Categories
NASIONAL

PM Perlu Pecat Khaled Nordin Sebagai Menteri

SHAH ALAM 9 JUN : Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak didesak untuk memecat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dengan segera.

Exco Selangor, Elizabeth Wong berkata, tindakan Khaled membekukan pinjaman  Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) merupakan tindakan berunsur politik yang menunjukkan  rendahnya kematangan dan profesionalisme beliau.

“Semata-mata untuk menjadikan diri sebagai wira Umno, beliau sudi menggadaikan masa depan mahasiswa.

“Malang lagi, tindakan beliau disokong dengan kuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yasin,” ujarnya yang juga Adun Bukit Lanjan dalam kenyataan media.

Tegas Elizabeth, permainan politik sebegini tidak boleh diterima oleh rakyat Selangor dan Malaysia secara amnya.

“Kekecewaan saya amat tinggi kerana tindakan beliau (Khaled) menjadikan mahasiswa sebagai mangsa sambil meningkatkan keresahan ibubapa yang inginkan pendidikan sebagai penjamin masa depan cerah bagi anak mereka.

“Sebagai usaha jangka pendek untuk membantu mahasiswa dan ibu bapa mereka, Kerajaan Negeri Selangor  bersedia untuk mengumpul sebanyak RM30 juta bagi tujuan bantuan kewangan pelajar,” katanya.

Tambah Elizabeth, tindakan pembekuan pinjaman PTPTN oleh Khaled itu  dibatalkan semalam.

“Walau bagaimanapun, jika beliau tidak dihukum dan dibiarkan terus bertugas sebagai menteri, ini membuktikan Umno-BN tidak mengambil perkara ini dengan serius,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Khaled Nordin Perlu Letak Jawatan Jika PTPTN Sekat Pinjaman Kepada Pelajar Unisel

PETALING JAYA, 6 JUN : Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin harus meletak jawatan dengan segera andainya benar beliau mengarahkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyekat pinjaman kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel).

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata jika benar Khaled tidak terlibat maka beliau perlu campur tangan segera bagi mencari penyelesaian total kepada isu pinjaman PTPTN itu.

“Gelagat beliau yang seolah-olah meraikan kepayahan ribuan pelajar dan mengamalkan politik dendam menimbulkan tanda tanya yang lebih besar.

?Apakah beliau sendiri yang mengarahkan agar PTPTN menyekat pinjaman kepada pelajar Unisel sebagai sebahagian dari mainan politik dendam Umno-BN”  tegas Rafizi dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Sebelum ini, portal Malaysiakini melaporkan di satu laman forum PTPTN bahawa pinjaman kepada pelajar baru Unisel ?ditangguhkan buat sementara waktu.?

Ruangan forum berhubung syarat permohonan pinjaman kendalian Kementerian Pengajian Tinggi itu turut menyatakan bahawa PTPTN tidak lagi memberi pinjaman kepada pelajar Unisel.

Perkara itu dinyatakan salah seorang moderator laman forum berkenaan yang menggunakan nama ?ptptn1? ketika menjawab satu soalan berhubung pinjaman PTPTN untuk pelajar Unisel pada 8 Mei lalu

Tambah Rafizi masa hadapan pelajar Unisel tidak perlu dipolitikkan ekoran polemik berkenaan tawaran Pakatan Rakyat dalam memberikan pendidikan percuma baru-baru ini.

“Sepatutnya Khaled Nordin menjadi pemuka yang intelek dalam mengemukakan model pengajian tinggi bukannya mengambil sikap kebudak-budakkan dalam hal ini,” kata Rafizi.

Jelas Rafizi,beliau yakin bahawa Malaysia mampu menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada rakyatnya berdasarkan kira-kira yang telah dibentangkan kepada rakyat.

“Oleh kerana pendidikan tinggi adalah bidang kuasa pusat dan mengikut Perlembagaan dibiayai oleh dana kewangan kerajaan pusat,maka sebarang perubahan model pendidikan tinggi negara hanya boleh dilaksanakan secara bersepadu oleh Kerajaan Pusat,” kata Rafizi.

 

 

Categories
SELANGOR

PKR Minta Khaled Nordin Dedah Jumlah Hutang Sebenar PTPTN

PETALING JAYA, 30 MEI: PKR hari ini mendesak Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin menjelaskan kepada rakyat jumlah sebenar hutang Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) beserta unjuran kutipan menjelang tahun 2020.

Pengarah Srategi PKR, Rafizi Ramli berkata, merujuk rekod pemberian pinjaman PTPTN sejak tahun 1997 sehingga tahun 2010, berlaku peningkatan ketara jumlah pinjaman yang diberikan kepada pelajar IPTA dan IPTS terutamanya di antara tahun 2005 hingga 2010.

“Kadar peningkatan jumlah hutang yang diluluskan di antara tahun 2005 hingga 2010 bagi pelajar IPT dan IPTS masing masing 10 peratus dan 17 peratus setiap tahun,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan Umno-BN perlu menyenaraikan langkah-langkah untuk memastikan jumlah kutipan semula hutang PTPTN lebih tinggi daripada jumlah rekod yang dicatatkan setakat ini.

Setakat ini, PTPTN hanya berjaya mengutip RM2.222 bilion hutang pinjaman bagi tempoh tahun 1997 hingga tahun 2010.

“Persoalan jumlah hutang yang bakal ditanggung PTPTN ini juga membawa dimensi baru dalam polemik model pendidikan baru negara.

“Jika model yang mendepankan pendidikan tinggi swasta yang bakal menelan belanja RM24 bilion setahun menjelang 2020 tidak mampu dibayar balik oleh rakyat seperti mana rekod setakat ini, siapakah yang akan menanggung hutang ini kelak? ” soal beliau.

Katanya, persoalan hutang ini sangat penting untuk membolehkan rakyat menilai bagaimanakah bentuk pendidikan tinggi yang mampan untuk negara.

Categories
NASIONAL

DAP Kesal Polis Gagal Bertindak Ketika Siswa Diserang

SHAH ALAM,20 APRIL : DAP mengutuk sekeras-kerasnya insiden serangan terhadap peserta yang berkhemah di Dataran Merdeka kerana ia bukan sahaja satu serangan ke atas prinsip-prinsip hak asasi manusia  tetapi ia penghinaan secara terang-terangan kepada budaya dan nilai-nilai Malaysia.

Setiausaha Agung DAP,Lim Guan Eng berkata kegagalan pihak polis bertindak dan keengganan menteri UMNO untuk mengutuk serangan ini adalah amat memalukan.

“Keengganan pihak polis yang dilihat di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur dengan “melengah-lengahkan kaki” mereka sekali lagi dan tidak mengambil langkah-langkah proaktif hanya dapat digambarkan sebagai satu jenayah kebencian yang bermotifkan politik.

Lebih teruk lagi, tiada Menteri UMNO memberi respon untuk mengutuk insiden kejam ini. Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein memandang ringan kejadian ini dan malah mendakwa bahawa ia adalah satu cubaan sengaja untuk membangkitkan emosi,” kata Guan Eng dalam kenyataan medianya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata kegagalan polis bertindak adalah sama dengan insiden di Speaker Corner, Esplanade Pulau Pinang pada 26 Februari lalu apabila ahli-ahli UMNO dan PERKASA berkelakuan seperti samseng, menyerang secara ganas dan mencederakan dua orang wartawan semasa perhimpunan anti-Lynas.

“Lebih buruk lagi adalah respon yang angkuh dan tidak boleh dimaafkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin yang mana sebagai menteri bertanggungjawab untuk universiti dan pelajar universiti untuk melindungi mereka dan bukannya menyerang secara kejam.

“Khaleed dalam twitter, “No one asked them to camp out at Dataran Merdeka.  When something happens, don’t go asking for sympathy.”  (Tiada siapa yang meminta mereka berkhemah di Dataran Merdeka.  Bila sesuatu terjadi, tidak perlu meminta simpati,” jelas Guan Eng.

Sekumpulan aktivis pelajar ini telah berkhemah secara aman di Dataran Merdeka sejak 6 hari lalu, dalam cubaan untuk menuntut hak-hak demokratik mereka untuk memprotes terhadap apa yang mereka dakwa kadar faedah dan caj pentadbiran yang tinggi telah dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Keganasan biadap yang digunakan terhadap pelajar yang berkumpul secara aman ini telah menarik kutukan segera daripada semua pihak, termasuk kumpulan-kumpulan hak asasi manusia dan rakyat keseluruhannya.

“Sejak bila keganasan dan gangsterime menjadi sebahagian daripada budaya kita? Ia sangat menyedihkan apabila anak-anak kita yang hanya cuba untuk menyatakan hak demokratik mereka menjadi mangsa dalam apa-apa cara yang buruk dan ganas,” kata Guan Eng.

Categories
NASIONAL

Mahasiswa: Khaled Nordin Patut Undur

SHAH ALAM, 16 APR: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin disarankan mengundurkan diri dari terus memegang jawatan yang disandangnya kerana gagal memastikan pendidikan percuma dilaksanakan oleh kerajaan.

Demikian reaksi Pengerusi Badan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademi (Bebas), Safwan Anang Talib berhubung kenyataan Khaled yang mencabar golongan mahasiswa yang mahu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan  memulangkan wang pinjaman tersebut.

Safwan juga menganggap, kenyataan tersebut merupakan satu kenyataan tidak bertanggungjawab serta memalukan golongan penerima PTTN.

“Ini adalah satu kenyataan yang tidak bertanggung jawab datang dari seorang Menteri dan wajar untuk Datuk Seri Khaled Nordin mengundurkan diri.

“Sebagai seorang menteri Khaled seharusnya berpihak kepada mahasiswa dengan berjuang membela nasib mahasiswa supaya memastikan pendidikan percuma dilaksanakan bukannya menjadikan mahasiswa sebagai penghutang,” kata Safwan yang juga Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis).

Menurut Safwan, kegagalan Khalid membela nasib pelajar dan mahasiswa membuktikan tidak ada kesungguhan kerajaan serta menterinya untuk membela masa depan generasi muda di masa depan.

“Adakah dia (Khaled) tahu bahawa pelajar dipaksa membuat pinjaman dengan PTPTN dengan kadar faedah yang tinggi berbanding pinjaman yang disediakan oleh yayasan kerajaan negeri.

“Masalahnya, pelajar tak boleh terus mohon pinjaman dari yayasan negeri tetapi hendaklah memohon dari PTPTN dahulu.

“Sekiranya gagal dapat pinjaman dari PTPTN barulah boleh mohon dari yayasan-yayasan negeri.

“Kalau tak mohon dari PTPTN dahulu, memang tak boleh mohon pinjaman dari yayasan negeri walaupun faedah yang dikenakan PTPTN jauh amat tinggi.

“Isunya adalah bukan sekadar PTPTN dimansuhkan tetapi pendidikan percuma harus diberikan kepada rakat negara ini,” ujarnya kepada TVS.

Sementara itu dalam perkembangan kempen menuntut agar PTPTN dimansuhkan, kira-kira 20 aktivis mahasiswa yang terus kekal berada di Dataran Merdeka telah bertindak memasang semula tiga buah khemah.

Terdahulu, kira-kira jam 10.15 pagi tadi kesemua lima buah khemah aktivis mahasiswa telah dirampas oleh kira-kira 50 penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan anggota polis.

Categories
NASIONAL

Kalungan Bunga, Batu Nisan Untuk Najib dan Khaled

KUALA LUMPUR 14 APR : Demonstrasi mansuh Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyaksikan upacara kalungan bunga di letak ke atas potret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Upacara tersebut dilakukan di hadapan lebih 500 mahasiswa yang berhimpun di hadapan Kompleks Membeli Sogo di sini petang tadi.

Tindakan itu menurut Timbalan Presiden  (KAMI), Khalid Mohd Ismath sebagai tanda pemerintahan rejim Umno-BN yang mengepalai negara ini harus berakhir.

“Ini menunjukkan kemuncak kekecewaan dan kemarahan kami golongan mahasiswa terhadap segala kepincangan dan kegagalan kerajaan yang ada sekarang ini.

“Jadi, kalungan bunga itu sebagai kemuncak tanda protes terhadap pemerintahan Najib yang dilihat tidak bersungguh-sungguh membela rakyat, memajukan negara apatah lagi untuk memberikan pendidikan percuma.

“Begitu juga dengan Menteri Pengajian Tinggi yang tidak peduli dengan desakan mahasiswa,” jelas Khalid ketika ditemuramah TV Selangor di Dataran Merdeka.

Disamping kalungan bunga, sebuah replika batu nisan dengan perkataan ?Demokrasi by KPT? di letakkan di antara potret kedua pemimpin Umno-BN itu.

Khalid menjelaskan upacara tersebut sekadar upacara simbolik dan tidak seharusnya dijadikan isu utama.

“Itu cuma simbolik bahawa kerajaan yang ada ini harus dikuburkan kerana telah banyak menyusahkan rakyat samada golongan pelajar atau bukan.

“Perbuatan mereka sebenarnya yang melampau dengan pelbagai penyelewengan, rasuah, pembaziran dan sebagainya yang mana rakyat yang menjadi mangsa sikap rakus dan tamak mereka,” tambah Khalid.