Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS sasar kutip zakat RM150 juta Ramadan ini

SHAH ALAM, 5 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasar kutipan RM150 juta bagi zakat harta, perniagaan dan fitrah pada Ramadan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM31 juta disasar melalui zakat fitrah, lapor Berita Harian.

“Pada Ramadan tahun lalu, kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 dan kita mula memperkasakan sistem dalam talian untuk pembayaran zakat.

“Dengan pelaksanaan sistem berkenaan, kita mengutip RM18 juta zakat fitrah tahun lalu (bagi kutipan dalam talian sahaja), justeru kita harapkan dengan pengalaman itu, kita lebih bersedia pada tahun ini serta mampu mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Saipolyazan Mat Yusop memberikan penerangan ketika sidang media di Bangunan Zakat Selangor, Shah Alam pada 23 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau yang ditemui pada Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di sini, semalam turut melancarkan aplikasi untuk memudahkan orang ramai mendapat maklumat.

Saipolyazan berkata aplikasi yang dalam tempoh percubaan minggu lalu dimuat turun lebih 500 kali meski ia belum diuar-uarkan secara rasmi.

“Malah, sudah ada yang menunaikan zakat menggunakan aplikasi berkenaan yang mana kita berjaya mengutip kira-kira RM60,000 ketika ia belum dilancarkan secara rasmi.

“Aplikasi ini sudah pasti akan memudahkan pembayar zakat terutamanya apabila PKP akan dilaksanakan semula di enam daerah di Selangor mulai 6 Mei (esok),” katanya.

Aplikasi tersebut meliputi semakan penyata, status bantuan, pengumuman kempen dan promosi terkini LZS, maklumat nisab zakat dan harga emas harian. Ia boleh dimuat turun melalui Playstore dan App Store.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS salur pelbagai bantuan keluarga ’28 anak’ sejak 2010

SHAH ALAM, 5 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menyalurkan pelbagai jenis bantuan zakat sejak 2010 kepada keluarga besar yang tular di media sosial semalam ekoran hidup dalam keadaan tidak kondusif dan mempunyai 28 orang anak.

Ketua Pegawai Eksekutif Saipolyazan M. Yusop berkata keluarga yang tinggal di Klang itu telah menerima pelbagai jenis bantuan antaranya bantuan sewa rumah, persekolahan, kecemasan dan modal bagi membaiki keadaan keluarga itu.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan sesi kaunseling kepada keluarga tersebut khususnya ketua keluarga manakala anaknya yang tidak bersekolah akan menghadiri kursus kemahiran sebagai usaha merubah mereka.

“Mereka juga akan diberikan motivasi termasuk perlu menandatangani akur janji untuk berubah. Manakala, anak-anak yang tercicir di sekolah menengah dibantu dengan mencari kursus vokasional dan latihan teknikal dalam membantu meningkatkan potensi mereka,” katanya selepas Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan oleh 24 syarikat, semalam.

Terdahulu, sebuah keluarga besar mempunyai 28 orang anak hasil perkahwinan bapa mereka bersama empat orang isteri yang hidup dalam keadaan tidak kondusif tular di media sosial dan mewujudkan pelbagai persepsi dalam kalangan netizen kelmarin.

Terdahulu, LZS hari ini menerima RM 7.7 juta zakat perniagaan daripada 24 buah syarikat.

Saipolyazan berkata pihaknya turut menyasarkan RM150 juta kutipan zakat merangkumi zakat harta dan fitrah sepanjang Ramadan tahun ini.

Selain itu, LZS turut melancarkan aplikasi ‘Zakat Selangor’ iaitu aplikasi pembayaran zakat mudah alih untuk memudahkan umat Islam di Selangor menunaikan ibadah tersebut yang kini boleh dimuat turun di Playstore dan App Store.

– BERNAMA