Categories
AGENDA NASIONAL

Kawasan fenomena laut terbelah di Pantai Mek Mas ditutup kepada pengunjung

KOTA BHARU, 20 OKT: Kawasan fenomena air surut sehingga menampakkan beting pasir dan membuatkan laut kelihatan seolah-olah terbelah di Pantai Mek Mas, Kuala Besar, di sini ditutup kepada orang ramai sejak Isnin lepas.

Tinjauan Bernama mendapati tanda amaran bahaya diletakkan di kawasan berkenaan berserta pita amaran kuning dan bendera merah bagi memberi peringatan kepada orang ramai agar menjauhi kawasan itu.

Penghulu Mukim Che Latif, Zinuddin Daud, 58, berkata kawasan fenomena yang menjadi tarikan baharu kepada masyarakat sejak sebulan lalu sehingga tular di media sosial, ditutup atas faktor keselamatan.

Katanya, tindakan itu diambil oleh pihak berkuasa tempatan selepas perbincangan dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri kerana khuatir kejadian yang tidak dingini berlaku kepada pengunjung, terutamanya ketika negeri ini akan memasuki musim tengkujuh.

“Kita khuatir ia akan menyebabkan ombak yang besar secara tiba-tiba atau air pasang terutamanya pada musim tengkujuh iaitu pada November atau Disember.

Kita ambil langkah awal (berjaga-jaga) menutup kawasan ini memandangkan ketika tular tempoh hari jumlah pengunjung ke kawasan berkenaan mencecah hampir 500 orang pada hari minggu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pantai Mek Mas, di sini hari ini.

Katanya, setakat ini pihaknya tidak pasti sama ada pantai itu akan dibuka semula kepada pengunjung atau tidak.

Sementara itu, seorang pengunjung Nur Athirah Zulkaain , 28, dari Kampung Tok Sangkut, Pasir Mas, berkata beliau berkunjung ke situ untuk melihat sendiri fenomena yang tular itu.

“Saya mengambil peluang untuk melihat fenomena yang tular di media sosial Facebook dan juga Tik Tok ini, namun tidak menyangka kawasan ini telah ditutup kepada orang ramai.

Namun, tidak mengapa memandangkan penutupan ini demi menjaga keselamatan pengunjung,” katanya yang bekerja di Kuala Lumpur.

Fenomena “laut terbelah” itu menarik perhatian orang ramai dan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk memuat naik rakaman pengalaman mereka berjalan melalui kawasan itu di media sosial.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS salur pelbagai bantuan keluarga ’28 anak’ sejak 2010

SHAH ALAM, 5 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menyalurkan pelbagai jenis bantuan zakat sejak 2010 kepada keluarga besar yang tular di media sosial semalam ekoran hidup dalam keadaan tidak kondusif dan mempunyai 28 orang anak.

Ketua Pegawai Eksekutif Saipolyazan M. Yusop berkata keluarga yang tinggal di Klang itu telah menerima pelbagai jenis bantuan antaranya bantuan sewa rumah, persekolahan, kecemasan dan modal bagi membaiki keadaan keluarga itu.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan sesi kaunseling kepada keluarga tersebut khususnya ketua keluarga manakala anaknya yang tidak bersekolah akan menghadiri kursus kemahiran sebagai usaha merubah mereka.

“Mereka juga akan diberikan motivasi termasuk perlu menandatangani akur janji untuk berubah. Manakala, anak-anak yang tercicir di sekolah menengah dibantu dengan mencari kursus vokasional dan latihan teknikal dalam membantu meningkatkan potensi mereka,” katanya selepas Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan oleh 24 syarikat, semalam.

Terdahulu, sebuah keluarga besar mempunyai 28 orang anak hasil perkahwinan bapa mereka bersama empat orang isteri yang hidup dalam keadaan tidak kondusif tular di media sosial dan mewujudkan pelbagai persepsi dalam kalangan netizen kelmarin.

Terdahulu, LZS hari ini menerima RM 7.7 juta zakat perniagaan daripada 24 buah syarikat.

Saipolyazan berkata pihaknya turut menyasarkan RM150 juta kutipan zakat merangkumi zakat harta dan fitrah sepanjang Ramadan tahun ini.

Selain itu, LZS turut melancarkan aplikasi ‘Zakat Selangor’ iaitu aplikasi pembayaran zakat mudah alih untuk memudahkan umat Islam di Selangor menunaikan ibadah tersebut yang kini boleh dimuat turun di Playstore dan App Store.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Viral: Buruh tempatan mampu, tapi sektor 3D tiada nilai ihsan

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 19 FEB : Pemilik akaun facebook Abdullah Suady Ramadhan tidak menyangka perkongsian pengalaman hidupnya sebagai buruh kasar menjadi viral di media sosial.

Malah, beliau berterima kasih kepada mereka yang menyokong dan bersama berkongsi pengalaman bahawa anak muda Malaysia tidaklah seteruk sangkaan pihak tertentu.

SUADY“Setahun aku menjadi buruh kasar ( Plumbing & Sanitary ) , panjat bumbung tingkat lima tanpa safety suit .. masuk keluar manhole , main simen , buat kerja tengah panas , dah gelap bertambah legam !! gaji ciput , sehari kasar kasar dlm RM30.

“Memikirkan duit pada keluarga & makan minum tapi aku tidak kisah kerana ketika umur sebesar itu aku hanya perlukan pengalaman .. aku pernah duduk lepak makan dengan buruh bangladesh dan vietnam. Makan di kantin buruh indonesia di kawasan setinggan. Semua itu pengalaman yang sangat berharga,” katanya dalam satu entry yang dimuat naik 10 jam lalu.

Menurutnya, anak muda tempatan juga mampu memegang peranan besar seperti mana 1.5 juta warga Bangladesh yang bakal di bawa masuk mengisi keperluan kerja dalam sektor ‘3D’ iaitu kotor, sukar dan berbahaya (Dirty, Difficult, Dangerous) yang pada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ia tidak digemari belia tempatan.

Namun, katanya sektor pembinaan yang tidak dilengkapi nilai ihsan dalam urus tadbirnya membuatkan anak muda tempatan memilih sektor lain yang lebih berkebajikan.

BURUH TEMPATAN“Apabila timbul isu adakah belia Malaysia mampu bekerja seperti buruh Bangladesh dan Indonesia. Jawapan aku YA ! Jika sektor pembinaan kita ada nilai ihsan dalam urus tadbirnya.

“Mudah amek bangladesh kerana tidak perlu fikir tempat tinggal selesa…campur serumah 20-30 orang mereka sanggup tidak seperti melayu. melayu ‘demand’ untuk potongan KWSP, elaun itu dan ini. semua tuntutan ini merugikan syarikat besar,” katanya.

Mengakhiri statusnya itu, Abdullah meninggalkan pesan berbunyi “CEO CEO di Jepun relex je naik bas @ train pi kerja.. CEO Malaysia dok fikir mcm mana nak perah tenaga bangladesh,”.

-nR-

Categories
SELANGOR

‘Selfie’ terakhir lima sekeluarga viral di laman sosial

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 OKT: Beberapa gambar kenangan ‘selfie’ terakhir mangsa lima sekeluarga kemalangan di semalam menjadi viral di laman sosial.

Antaranya di laman PenMerah [dot] com yang memuat naik status berkongsi gambar berkenaan dan dikongsi lebih 3, 000 setakat pagi ini dengan lebih 60, 000 ‘likes’.

Selain itu, laman Sukan Star TV yang memaparkan gambar sama turut dikongsi lebih 3, 000 dengan jumlah ‘likes’ melebihi 30, 000.

Terdapat banyak komen yang mengaitkan perbuatan selfie itu mengundang bahaya hingga menyebabkan kemalangan maut. Bagaimanapun, tindakan mengambil gambar secara selfie bukanlah penyebab kepada kemalangan berlaku.

Pihak berkuasa mengesahkan kemalangan berlaku disebabkan sebuah treler di lorong paling kanan gagal dikawal hingga melanggar treler di hadapan seterusnya merempuh enam kereta lain termasuk kereta mangsa.

Kemalangan di kilometer 256 Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke arah utara selepas Terowong Menora itu berlaku pada pukul 11.30 pagi semalam membabitkan dua treler dan enam buah kereta.

Mangsa Norhayati Wook, 50, dan Siti Yuslianis Roslan, 20, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala tiga adik-beradik lain mengalami cedera ringan.

Pemandu kereta, Muhammad Yusriman, 23, ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tidak putus-putus melafazkan “saya minta maaf mak” dengan nada hiba selepas merasa serba salah atas kejadian itu.

Beliau dan abangnya Muhammad Yusrizal, 25, mengalami cedera ringan manakala adik mereka Siti Yusliana, 12, mengalami luka di bahagian tumit kaki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Ghuzlan Salleh berkata pemandu treler berusia 40-an kini ditahan untuk siasatan lanjut serta ujian air kencing dan darah.

Kejadian berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

HM