Categories
SELANGOR

Pantau program Hari Tanpa Kenderaan elak pembaziran

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MAC: Program Hari Tanpa Kenderaan anjuran semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dipantau Kerajaan Negeri, kata Hee Loy Sian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam itu berkata, ia dilakukan bagi mengelakkan pembaziran kos bagi penganjuran program terbabit.

“Buat masa ini jumlah kos penganjuran bagi lapan PBT sepanjang 2018 adalah RM963,097.82.

“Walaupun mungkin kos ini dilihat agak tinggi, namun Kerajaan Negeri sentiasa memantau supaya penggunaan peruntukan digunakan secara berhemah,” katanya ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Loy Sian berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong berkenaan kos yang dibelanjakan dalam Program Hari Tanpa Kenderaan, pada 2018.

Loy Sian berkata, program yang menyasarkan penurunan karbon bagi kawasan bandar itu dilihat memberi kesan jangka panjang.

Katanya, antara kesan yang dapat dilihat termasuk pembinaan trek basikal di sekitar kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Sekarang kita dapati sudah ada penduduk yang sudahpun menggunakan basikal ke tempat kerja dan itulah yang ingin kita praktikkan di Selangor.

“Mungkin pada masa hadapan, kita juga akan menggalakkan penggunaan basikal elektrik bagi mengantikan motosikal, sekali gus mengurangkan pencemaran karbon,” katanya.

Categories
SELANGOR

Hari Tanpa Kenderaan MDHS Sabtu ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU SELANGOR, 20 SEPT: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) akan mengadakan Sambutan Hari Tanpa Kenderaan bagi September, di hadapan Pejabat Pos Bandar Kuala Kubu Bharu, di sini, pada 22 September ini.

Sambutan memasuki edisi kedua itu tampil dengan tema “Sayangi Alam Sekitar”, yang membawa maksud tiada penggunaan kenderaan bermotor pada hari berkenaan.

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Junainah Abdullah berkata, program bermula seawal jam 6.30 pagi itu sarat dengan acara menarik buat pengunjung untuk melakukan riadah seisi keluarga

“Ia termasuk larian santai sejauh 2.5 kilometer, kayuhan basikal, menaiki kereta kuda dan sukan tradisional.

“Selain itu, ada juga aktiviti ‘Skutterblade’, ‘Rollerblade’, ‘Skateboard’, ‘Hoverboard’, kereta bateri kanak-kanak, senamrobik, buskers, ‘Flee Market’, sewaan basikal, mewarna terbuka dan Supa Dupa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pengunjung juga berpeluang mendapatkan barangan secara percuma melalui ‘Eco Free Market’.

Katanya, semua barang dalam keadaan baik sekali gus meringankan beban orang ramai bagi memiliki keperluan terbabit.

“Dengan konsep tanpa pembaziran dan mengurangkan penggunaan karbon ke arah pembangunan mampan, program tidak menyediakan plastik.

“Orang ramai perlu membawa beg sendiri, urus sampah sendiri, ambil sendiri secara beradab mengikut keperluan tanpa sebarang urusan jual beli atau pertukaran barang,” katanya.

Mengulas mengenai lokasi pemilihan Kuala Kubu Bharu sebagai lokasi penganjuran, Junainah berkata, ia memandangkan kesesuainnya dari segi susun atur jalan dan bandar.

“Pengunjung berpeluang menikmati keindahan landskap dan reka bentuk bangunan bersejarah yang dirancang dengan menggunakan konsep Bandar Taman.

“MDHS turut berhasrat untuk menganjurkan sambutan ini pada minggu ketiga setiap bulan,” katanya.