Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin sempurnakan Sambutan Maulidur Rasul

SHAH ALAM, 9 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Stadium Malawati, di sini.

Mengiringi baginda, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad.

Sementara itu, Mohd Amin dalam sembah ucapannya menyarankan umat Islam khususnya di Selangor, perlu meneladani ajaran dibawa Rasulullah SAW dengan sikap terbuka dan menerima kepelbagaian dalam umat Islam.

Beliau berkata, sebarang khilaf dan perbezaan pandangan dalam sesuatu perkara perlu diraikan tanpa menjejaskan ikatan tali Allah SWT yang menyatukan kita.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menyerahkan cek replika kepada johan kontinjen Pejabat Setiausaha Selangor pada Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di Stadium Malawati, Shah Alam pada 9 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Akhlak dan budi pekerti Rasulullah SAW merupakan contoh terpuji yang patut diteladani terutamanya sifat baginda sebagai seorang pemimpin.

“Baginda sentiasa mementingkan musyawarah mendengar pandangan sabahat serta menganjurkan nilai terpuji seperti kejujuran dan zuhud.

“Sifat ini yang harus diteladani dalam melaksanakan sistem pentadbiran yang cekap demi kemakmuran dan perpaduan di Selangor,” katanya.

Mohd Amin berkata, kehadiran Islam yang dibawa Rasulullah SAW berjaya memecahkan tembok pemisah antara manusia tanpa mengira perbezaan bangsa, warna kulit, harta dan pangkat.

Malah, katanya, Baginda juga menunjukkan bahawa sifat kasih sayang sesama manusia merupakan batu asas untuk membentuk perpaduan dan persaudaraan antara kita.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama Amirudin Shari dan tetamu berarak
pada Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di Stadium Malawati, Shah Alam pada 9 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Justeru, selagi umat Islam kekal berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah, ia akan sentiasa berada di landasan yang benar dan diberkati,” katanya yang turut menganggap penganjuran sambutan itu sebagai pencetus kepada kemakmuran Islam.

Pada sambutan itu, seramai 3,850 peserta daripada 77 kontinjen membabitkan pelbagai jabatan dan agensi menyertai perarakan sejauh dua kilometer bermula di pintu gerbang Stadium Mini Shah Alam.

Selain itu, Raja Muda Selangor turut berkenan menyampaikan hadiah kepada Pemenang Sepanduk dan Kontinjen Perarakan Terbaik.

Antara pemenang Kontinjen Perarakan Terbaik ialah Setiausaha Kerajaan Negeri untuk kategori Jabatan Kerajaan, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) (Badan Berkanun dan Swasta Perbadanan), Masjid Darul Mustaqim (Institut Pengajian Tinggi/ Badan Bukan Kerajaan/ Masjid) dan Sekolah Agama Menengah Bestari (Perempuan) ( Sekolah Menengah).

Selain itu, pemenang sepanduk bagi kategori Jabatan Kerajaan dimenangi Pejabat Agama Daerah Petaling, PADAT (Badan Berkanun dan Swasta), Universiti Teknologi Shah Alam (Institut Pengajian Tinggi/ Badan Bukan Kerajaan/ Masjid) dan Sekolah Menengah Pasir Panjang (Perempuan) (Sekolah Menengah).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong: Saling hormat, kasih sayang resepi perpaduan

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Hormat-menghormati, sifat kasih sayang serta keadilan berteraskan syariat Islam merupakan resepi kepada perpaduan dan keharmonian pemerintahan negara berbilang agama dan bangsa, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam ucapan bersempena sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019 peringkat kebangsaan, Seri Paduka bertitah amalan pemerintahan baginda Rasulullah SAW yang menekankan sifat kasih sayang sesama manusia dan sejagat boleh dijadikan suri tauladan utama dalam membentuk perpaduan rakyat.

Memetik sebuah hadis sahih, Sultan Abdullah bertitah, bahawa perpaduan akan terbentuk secara semula jadi menerusi rasa kasih sayang serta hormat-menghormati di antara rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

“Orang yang berkasih sayang akan dikasihi oleh Yang Maha Penyayang. Oleh itu, kasihilah semua yang di bumi; maka kamu akan dikasihi oleh Mereka yang di langit.

“Baginda (SAW) juga tidak melupai dan sentiasa menyantuni golongan yang kurang berkemampuan dan lemah. Ini bagi membolehkan mereka agar dapat bangkit meningkatkan potensi diri dan seterusnya menyumbang kepada masyarakat,” titah Seri Paduka pada majlis sambutan itu di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Sultan Abdullah bertitah, bahawa agama Islam menitikberatkan persaudaraan sejagat dan menuntut pelaksanaan keadilan bagi semua tanpa mengira agama dan bangsa kerana menerusi pendekatan itu, hak individu serta semua masyarakat sentiasa terpelihara.

“Inilah merupakan pengajaran Yang Maha Agung yang dibawa Rasulullah SAW untuk dijadikan tauladan oleh pemimpin dan generasi masa kini,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan akan sentiasa mengambil pendekatan untuk menjaga hak rakyat berbilang agama dan bangsa di samping berterusan dalam membantu golongan yang lemah.

Pada masa sama, usaha berterusan hendaklah dilakukan dalam mengawal fahaman radikal dan sebarang bentuk tindakan yang boleh menggugat keharmonian negara, titah Seri Paduka.

Sebelum mengakhiri titah ucapan, Sultan Abdullah mengajak seluruh rakyat menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dan menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan dalam kehidupan kerana kehalusan akhlak baginda dapat memelihara sahsiah diri untuk menjadi bangsa yang disegani.

“Kebijaksanaannya boleh kita jadikan inspirasi untuk memajukan diri manakala amalan pentadbiran baginda pula boleh kita jadikan panduan ke arah pembentukan sebuah negara rahmah yang bersatu padu,” titah Seri Paduka.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Rasulullah rahmat terbesar untuk umat manusia

SHAH ALAM, 9 NOV: Kelahiran Nabi Muhammad SAW yang menggoncang dunia pada 1,441 tahun lalu adalah rahmat terbesar dalam hidup manusia, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

“Perawakan dan keperibadiaan Baginda yang mulia, lemah lembut disayangi kawan juga disegani lawan. Junjungan mulia ini terus menjadi inspirasi hari ini buat lebih dua bilion penganut Islam serta 7.7 bilion umat manusia seluruhnya.

“Kehadiran Baginda dianggap sebagai sinar yang menyingkap tabir kegelapan, menghapuskan kejahilan dengan keilmuan dan menyebarluaskan rahmat ke seluruh alam dengan adab sopan serta budi pekerti mulia wajar disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan,” tulisnya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan Salam Maulidur Rasul 1441H di akaun media sosialnya, hari ini.

Katanya, ulama hadith tersohor, Dr. Syed Muhammad Al Alawi Al Makki turut menyebut bahawa dianjurkan bagi umatnya untuk turut bergembira dengan rahmat ALLAH itu.

“Marilah bersama-sama menzahirkan sukacita dan berkongsi kegirangan kita di atas kelahiran junjungan besar ini setiap hari, termasuk hari kelahiran Baginda.

“Sesungguhnya ALLAH SWT dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi Muhammad. Wahai orang yang beriman berselawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

“Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1441H,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Usaha tingkat kefahaman ajaran Islam perlu terus dipergiat

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Tun Dr Mahathir Mohamad berharap usaha untuk meningkatkan kefahaman berkaitan ajaran Islam yang sebenar terus dilipat ganda dan dipergiat, dengan pendekatan-pendekatan yang sesuai.

Perdana Menteri berkata, usaha ini penting bagi membuktikan bahawa rakyat dapat menjalani kehidupan yang sejahtera, dinaungi oleh agama Islam yang membawa rahmat kepada semua.

“Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai ikutan sepanjang hayat, agar kita semua memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat,” katanya dalam satu catatan di laman Twitter rasminya.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Dr Mahathir juga berkata, umat Islam wajar menghargai kemajmukan, melestarikan kehidupan dalam kedamaian, serta memelihara hubungan antara kaum dan agama.

Ciri-ciri tersebut katanya, boleh dicapai dengan menitikberatkan ajaran Islam dalam kehidupan yang berlandaskan Al-Quran dan hadis yang sahih.

“Kita sebut agama Islam yang sebenar kerana terdapat banyak tafsiran dan ajaran Islam yang disalah tafsir, dipengaruhi oleh kepentingan lain. Inilah yang menyebabkan umat Islam berpecah dan berpuak-puak,” katanya yang juga mengucapkan “Salam Maulidur Rasul 1441H”.

Beliau mengakhiri catatan itu dengan menyatakan “Negara Rahmah, Ummah Sejahtera”.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Sambut Maulidur Rasul dengan majlis ilmu

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru umat Islam di negara ini menyambut Maulidur Rasul dengan mengadakan majlis ilmu serta melakukan amalan kebaikan.

Timbalan Perdana Menteri berkata selain itu, mereka juga perlu beramah mesra bersama golongan kurang bernasib baik, serta mendekati mereka yang masih belum mengenali Islam dan baginda Rasulullah SAW.

“Amalan ini perlu dilakukan agar kehadiran Rasulullah SAW sebagai Rahmatan lil Alamin itu terus dirasai oleh umat sejagat.

“Justeru marilah kita mencontohi sifat kepimpinan Rasulullah SAW dan meneladani kisah perjuangan baginda dalam mencakupi pelbagai aspek kehidupan kita hari ini,” katanya dalam perutusan bersempena sambutan Maulidur Rasul 1441H.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan umat Islam bahawa sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW, bukan sekadar memperingati kisah perjuangan baginda sebagai satu retorika sejarah sebaliknya untuk menginsafi kesukaran laluan perjuangan sebelum menggenggam segunung kejayaan.

Dr Wan Azizah berkata, sebagai umat Nabi Muhammad SAW, umat Islam dinasihati untuk merenungi sifat kemanusiaan baginda yang tiada tolok bandingan kerana amat prihatin dengan keperluan serta kelemahan seorang manusia.

“Baginda banyak membimbing berbanding menghukum. Baginda lebih banyak bersimpati berbanding mengkritik atau memarahi. Baginda lebih kerap berdoa kepada Allah SWT demi kesejahteraan umat baginda berbanding doa untuk diri baginda sendiri,” katanya.

Mengakhiri perutusan itu, Dr Wan Azizah mengucapkan, “Salam Maulidur Rasul 1441H”.

– BERNAMA