Categories
NASIONAL

Suspek bersenjata parang samun stesen minyak

KUANTAN, 30 JUN: Seorang juruwang berdepan detik cemas apabila diacukan parang pada kejadian rompakan di sebuah stesen minyak di Chenor, Maran dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman berkata mangsa yang berusia 23 tahun mendakwa dua suspek lelaki itu melarikan wang tunai dianggarkan berjumlah RM800 pada kejadian 9.40 pagi itu.

“Mangsa mendakwa suspek masuk ke kedai serbaneka dan terus menuju ke kaunter sebelum salah seorang mengacukan parang supaya dia tidak menjerit meminta tolong.

“Suspek mengarahkan mangsa untuk membuka mesin simpanan wang sebelum seorang suspek lagi didakwa masuk ke belakang kaunter bagi mengambil wang tersebut,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Norzamri berkata mangsa mendakwa kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki Produa Myvi berwarna putih.

Mangsa yang tidak cedera terus menghubungi penyelia stesen minyak bagi memaklumkan kejadian sebelum membuat laporan polis.

Norzamri berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) kejadian rompakan itu juga tular di media sosial mulai malam tadi.

—BERNAMA

Categories
SELANGOR

Samun ketika berbuka puasa

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Sekumpulan empat lelaki dengan dua dipercayai bersenjatakan pistol melakukan rompkan di sebuah kedai emas dalam sebuah pasar raya di pekan Kajang, dekat sini, dalam kesibukan umat Islam berbuka puasa semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussoff berkata, dalam kejadian 7.43 malam itu, empat lelaki tersebut melarikan lapan dulang berisi barang kemas.

Bagaimanapun, katanya, polis masih menilai anggaran kerugian dan giat menjalankan siasatan bagi mengesan kempat-empat suspek terbabit.

Tiada tembakan dilepaskan di lokasi kejadian dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan, katanya, dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108 bagi membantu siasatan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wanita disamun dalam lif MRT Taman Mutiara

KUALA LUMPUR,16 FEB: Seorang wanita berusia 48 tahun ditumbuk serta ditendang beberapa kali dalam kejadian samun di dalam lif di MRT Taman Mutiara, Cheras, pada 14 Februari lalu.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, suspek warga tempatan mengekori mangsa yang menaiki lif seorang diri sebelum bertindak menyerang serta melarikan barang milik mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa berkata, mangsa mengalami kecederaan bengkak di dahi serta beberapa bahagian badan.

“Barangan milik mangsa yang hilang dalam kejadian itu adalah kad pengenalan, kad bank serta wang tunai RM400.

“Polis telah merakam percakapan tiga saksi bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, lapor BERNAMA.

Rusdi berkata, usaha mengesan suspek sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika melakukan samun yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) berdurasi 57 saat memaparkan tindakan suspek memukul mangsa tanpa belas kasihan di dalam lif tular dalam laman sosial hari ini.

– BERNAMA