Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand rekod 959 kes Covid-19 baharu, keseluruhan 14,646

BANGKOK, 26 JAN: Thailand merekodkan peningkatan kes harian Covid-19 tertinggi sejak wabak itu menular di negara itu pada Januari tahun lepas, berikutan pengesanan kes aktif di wilayah Samut Sakhon, dengan kes Covid-19 kian meningkat setelah virus berkenaan mula dikesan, pada pertengahan Disember lepas.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata Thailand merekodkan 959 kes Covid-19 dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 14,646 kes dan 75 kematian.

Daripada 959 kes baharu itu, katanya 937 adalah penularan tempatan termasuk 848 kes melalui pengesanan kes aktif di Samut Sakhon (760 pekerja migran dan 84 warga Thailand) dan Bangkok (empat) sementara 89 kes lain adalah pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital serta 22 kes import.

“Peningkatan kes Covid-19 itu berikutan pengesanan kes aktif di pusat wabak terbaharu kerana ia boleh mengekang secara efektif penulara wabak berkenaan di negara ini,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Semalam, penolong jurucakap CCSA Dr Apisamai Srirangsan berkata Thailand merancang untuk menyaring sekurang-kurangnya 60,000 penduduk Samut Sakhon meliputi di kawasa kilang, asrama, pasar dan komuniti dalam minggu ini untuk mengekang penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Sementara itu, Thaweesilp berkata gelombang baharu kes Covid-19 sejak pertengahan Disember telah mencecah 10,409 kes dengan 15 kematian.

Katanya, penularan terbaharu wabak berkenaan mendapati 58 peratus pesakit berusia antara 20 dan 29 tahun, mudah terdedah kepada jangkitan, diikuti mereka yang berusia antara 30 hingga 39 tahun (29 peratus).

Beliau menambah, CCSA akan mengadakan mesyuarat esok untuk membincangkan mengenai pelonggaran sekatan dan langkah-langkah di dalam negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Lebih 1,300 kes baharu Thailand ada kait penjual di pasar

BANGKOK, 26 DIS: Wabak Covid-19 terbaru di Thailand merebak ke sekurang-kurangnya 31 wilayah dan lebih 1,300 kes dilaporkan ada kaitan dengan sebuah pasar makanan laut di wilayah barat daya Samut Sakhon.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata pihak berkuasa kesihatan awam meningkatkan pengesanan kes aktif untuk menghentikan penularan virus yang boleh membawa maut itu.

“Sehingga kini, kami menjalankan 8,810 ujian Covid-19 dan lebih 1,300 disahkan positif.

“Kebanyakan pesakit adalah pekerja asing dari negara jiran, Myanmar dan tidak mengalami gejala,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Kes indeks di pasar makanan laut itu dipercayai penjual udang berusia 67 tahun yang didapati positif virus itu minggu lepas.

Berikutan lonjakan kes, kerajaan negara itu telah melaksanakan sekatan pergerakan dan perintah berkurung pada sebelah malam di Samut Sakhon.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand mencatatkan 81 kes Covid-19 baharu termasuk sembilan kes import manakala 72 kes tempatan yang ada kaitan dengan pasar tersebut.

Setakat ini, Thailand mencatatkan 5,910 kes Covid-19 dengan 60 kematian.

Kelmarin, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata tidak akan ada sekatan pergerakan seluruh negara di Thailand berikutan wabak terbaru itu.

Bagi membendung penularan Covid-19 secara efektif, semua wilayah dikategorikan kepada empat, iaitu amat terkawal (kawasan dengan jumlah jangkitan yang tinggi – Samut Sakhon), terkawal (lebih 10 kes disahkan), di bawah pengawasan tinggi (kawasan dengan jumlah kurang daripada 10 orang dijangkiti dan dapat mengawal keadaan) dan berada di bawah pengawasan (tidak ada kes yang dilaporkan).

Gabenor wilayah berkuasa mengeluarkan perintah untuk melarang kegiatan tertentu dan menyekat pergerakan orang dalam usaha menyekat penyebaran Covid-19.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 382 kes baharu di Thailand, tiada rancangan luas sekatan

BANGKOK, 21 DIS: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan segera untuk memperluaskan sekatan pergerakan selepas 382 kes baharu Covid-19 dilaporkan sepanjang tempoh 24 jam lepas.

Daripada 382 kes baharu itu, 360 kes melibatkan pekerja asing di pasar makanan laut di wilayah Samut Sakhon yang sekatan pergerakan dan perintah berkurung pada sebelah malam dilaksanakan sehingga 3 Januari berikutan lonjakan kes Covid-19.

Prayuth berkata kerajaan akan memantau situasi itu selama seminggu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Keadaan adalah terkawal. Kluster baharu itu ekoran kemasukan pekerja asing secara haram. Kami berharap semuanya akan bertambah baik tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Kesihatan Awam untuk merangka garis panduan untuk melaksanakan sekatan pergerakan sekiranya kes Covid-19 terus meningkat.

Sementara itu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissnuyothin berkata 821 kes dilaporkan dengan kes indeks merupakan seorang penjual udang di pasar makanan laut di Samut Sakhon, sebuah wilayah di barat daya Bangkok.

“Sejumlah 360 kes didapati di asrama pekerja migran. Lebih 90 peratus pesakit baharu adalah asimptomatik atau tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Lebih banyak kes yang disahkan dijangkakan berikutan proses pengesanan kes aktif Covid-19 dijalankan di wilayah itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Thaweesilp berkata semua pekerja migran di Samut Sakhon akan menjalani kuarantin susulan kebanyakan kes yang disahkan adalah asimptomatik.

Beliau juga berkata pihak berkuasa meningkatkan usaha pengesanan kontak dan sejumlah 2,707 orang telah menjalani ujian Covid-19 dalam tempoh dua hari lepas dan sedang menunggu keputusan.

Kementerian Kesihatan Awam berkata 40,000 orang akan menjalani ujian Covid-19 di Samut Sakhon dan wilayah berhampiran. Setakat ini, Thailand merekodkan 5,289 kes Covid-19 dengan 60 kematian.

-BERNAMA