Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB seru anak hargai ibu, jasa tidak terbalas

SHAH ALAM, 10 MEI: Dato’ Menteri Besar menzahirkan ucapan Selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang bergelar ibu.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga menyeru anak-anak supaya menghargai jasa ibu selagi masih ada hayat dan mendoakan mereka jika sudah tiada.

Dato’ Menteri Besar menzahirkan ucapan Selamat Hari Ibu. Foto Facebook Amirudin Shari

“Selamat Hari Ibu saya ucapkan kepada bidadari dan ratu hati bergelar ibu. Usaha membesarkan anak-anak hingga menjadi seorang insan yang berjaya, jasa ibu tidak terbalas.

“Hargai ibu semasa hayat mereka dan doakan ibu yang telah pergi menghadap Sang Pencipta,” tulisnya di Twitter sempena sambutan Hari Ibu hari ini.

Sambutan itu lazimnya disambut bagi menunjukkan tanda penghargaan kepada wanita bergelar ibu yang telah mengorbankan tenaga, masa dan hidup demi kebahagiaan anak.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

“Semoga ibu-ibu semua sihat, selamat hari ibu” – Tun M

 

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) — Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menzahirkan ucapan Selamat Hari Ibu kepada kaum wanita di seluruh negara.

“Selamat menyambut Hari Ibu. Saya harap ibu-ibu semua berada dalam keadaan sihat dan mendidik anak-anak dengan cara yang terbaik,” kata Dr Mahathir menerusi catatan dalam laman Twitter rasmi beliau @chedetofficial.

Turut dilampirkan bersama catatan itu ialah klip video berdurasi 32 saat yang memaparkan Dr Mahathir, 93, bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, 92, yang juga ibu kepada tujuh anak mereka.

Hari Ibu di Malaysia disambut setiap Ahad minggu kedua dalam bulan Mei setiap tahun.

— BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

“Tahniah dan terima kasih ibu” – Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Bersempena sambutan Hari Ibu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan penghargaan kepada para ibu di seluruh negara atas segala pengorbanan yang dilakukan demi memastikan anak-anak dan keluarga sentiasa dalam keadaan yang selamat dan lengkap.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata ibu-ibu pada zaman ini berdepan cabaran yang sangat memerlukan mereka untuk bergerak pantas dan bijak mengatur strategi keibubapaan.

Dalam mesej Hari Ibu menerusi sebuah video pendek yang dimuat naik di laman Twitter kementerian, beliau berkata golongan ibu juga perlu mahir menggunakan teknologi moden dalam membantu mereka mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga.

“Ia sekali gus memacu ahli keluarga menjadi modal insan yang berkualiti. Harapan saya, negara akan lebih maju dengan komitmen yang diberikan oleh anda semua terutama ibu-ibu yang dikasihi,” katanya dalam video berdurasi satu minit 36 saat itu.

Dr Wan Azizah turut mengambil kesempatan mengingatkan anak-anak supaya menghargai ibu masing-masing sepanjang hayat.

“Ingatlah, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Tahniah dan terima kasih ibu. Anda merupakan insan yang hebat.

“Selamat hari ibu, kitakan keluarga,” katanya.

Hari Ibu disambut pada Ahad kedua bulan Mei setiap tahun.

– BERNAMA