Categories
BERITA UTAMA

Selangor Agro Fest 2019 sasar lebih 120,000 pengunjung

PETALING JAYA, 14 OGOS: Lebih 120,000 pengunjung dijangka menghadiri Selangor Agro Fest 2019 yang bakal berlangsung di Bulatan Bazarena, Seksyen 13, Shah Alam, pada 5 hingga 8 September ini.

Bertemakan Pemodenan Pertanian Ke Arah Kehidupan Lestari, ekspo tahunan pertanian terbesar Selangor itu akan memfokuskan kepada penanaman dan penternakan berpulangan tinggi serta moden.

EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, sasaran itu berdasarkan sambutan menggalakkan diterima terhadap penganjuran sama yang diadakan di Kuala Selangor, tahun lalu.

“Kita menerima penyertaan sangat ramai daripada usahawan tani dari seluruh negeri pada Agro Fest di Kuala Selangor tahun lalu meliputi pelbagai bidang sama ada membuka gerai jualan atau pameran.

“Buat julung kali tahun ini, kita juga akan menarik pelajar sekolah untuk turut serta memandangkan kita akan memulakan program Agro Sekolah, pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran ekspo berkenaan, di Tapak Pasar Tani Kelana Jaya, di sini hari ini.

Ir Izham Hashim

Turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor, Dato’ Abdul Ghariff Ramin dan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Pada masa sama, Ir Izham berkata, karnival berkenaan akan turut dijayakan melalui pembabitan 10 jabatan, agensi dan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam dalam menyediakan logistik serta susun atur selesa.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menyediakan 100 lot pameran bagi usahawan tani yang berminat untuk menyertai karnival itu dengan kadar sewa berpatutan.

“Kita menawarkan harga serendah RM200 satu lot sepanjang tempoh empat hari karnival ini, jadi usahawan perlu segera membuat tempahan bagi mengelakkan kehabisan tempat untuk jualan dan pameran.

“Tempahan sudah dibuka kepada usahawan tani dan mereka boleh menempah secara dalam talian di laman sesawang FAMA,” katanya.

Selain pameran penternakan, perikanan, pertanian dan Industri Asas Tani, karnival itu turut menganjurkan aktiviti lain antaranya jualan jimat rakyat, pertandingan masakan juadah kampung, jualan makanan istimewa daerah di Selangor, jualan kendera saji (food truck), acara kanak-kanak serta persembahan artis tanah air.

Selangor Agro Fest yang dijadikan sebagai salah satu acara tahunan sejak 2012 diadakan dengan matlamat memperkasa dan membangunkan sektor pertanian, sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan tani di negeri itu.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Selangor Agrofest 2018 mampu tarik wanita tingkat pendapatan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 3 NOV: Selangor Agrofest 2018 mampu menarik golongan wanita menyertai bidang keusahawanan sekali gus boleh meningkatkan pendapatan mereka, kata EXCO Kesihatan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Katanya, beliau tertarik dengan festival berkenaan kerana ia sedikit sebanyak membantunya mencari inisiatif membantu golongan wanita di Selangor terutamanya.

“Saya tertarik dengan Selangor Agrofest kerana jika kita lihat tadi pelbagai demonstrasi seperti memasak, gubahan dan menghias riben membabitkan wanita diadakan yang boleh menjana pendapatan daripada rumah (work from home).

“Oleh itu, golongan suri rumah perlu bijak mengatur strategi menambah pendapatan dengan hanya bekerja daripada rumah dan tidak menjadikan tiada masa sebagai satu alasan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat gerai pameran pada Selangor Agrofest 2018, di Pentas Utama Kompleks Sukan, di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri turut komited melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan wanita menambahkan pendapatan sejak dahulu lagi.

“Kadang kala kebanyakan wanita mempunyai minat namun tiada modal untuk menjalankan perniagaan, jadi saya amat menggalakkan untuk mereka membuat perniagaan kecil-kecilan seperti menerima upah daripada rumah.

“Daripada situ perniagaan mereka mungkin mampu berkembang ke peringkat yang lebih jauh dan boleh menyertai festival seperti Selangor Agrofest ini,” katanya.

Terdahulu, Selangor Agrofest 2018 yang diadakan selama empat hari sejak Khamis lalu itu turut menampilkan pelbagai gerai pameran membabitkan pertanian dan persembahan demonstrasi.

Categories
SELANGOR

200,000 dijangka kunjungi Selangor Agro Fest

Oleh: NAZLI IBRAHIM

MORIB, 15 SEPT: Kira-kira 100,000 hingga ke 200,000 pengunjung dijangka mengunjungi Selangor Agro Fest 2014 yang diadakan awal November ini.

Exco Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi, berkata Expo tahunan pertanian terbesar Selangor kali pertama diadakan di luar Shah Alam itu dijangka mendapat sambutan berdasarkan sambutan diberikan terhadap Mini Agro Fest yang diadakan di Sabak Bernam sebelum ini.

agro4“Biasanya kita buat di Shah Alam tapi kali ini Selangor Agro Fest kali ini kita cuba buat di Morib,” Kata Sallehin dalam sidang media di Kejohanan Siri GP Selangor Pantai Morib 2014, di sini, semalam.

Jelas Sallehin, keyakinan ini berdasarkan kecenderungan dan minat masyarakat luar bandar terhadap meningkatkan pengetahuan dan hasil pertanian masing-masing berbanding masyarakat di bandar.

Selangor Agro Fest yang dijadikan sebagai salah satu acara tahunan sejak 2102 diadakan dengan matlamat merancakkan lagi sektor pertanian negeri itu sekaligus meningkatkan pendapatan golongan petani dan negeri.

Pada tahun-tahun sebelum ini Selangor Agro Fest yang diadakan di Bandaraya Shah Alam berjaya mencatat jualan lebih RM1 juta dan dikunjungi ribuan pengunjung dalam dan luar Selangor.

Selain pameran dan jualan hasil pertanian dan penternakkan, pelbagai program menarik turut diadakan seperti memancing keli, pertandingan futsal, Majlis Perkahwinan Belia Selangor dan banyak lagi.

EZY