Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Uber: Tewas mengejut kepada Kanada akhiri kempen Malaysia

AARHUS (Denmark), 12 OKT: Skuad muda negara menamatkan kempen Piala Uber tanpa kemenangan apabila kalah mengejut 4-1 kepada Kanada pada perlawanan terakhir Kumpulan D di Arena Ceres di sini, malam tadi (awal pagi Selasa di Malaysia).

Pemain perseorangan pertama negara, S Kisona, yang kembali semula ke gelanggang selepas direhatkan pada perlawanan menentang China sebelum ini, gagal menyuntik semangat skuad negara apabila tewas mengejut kepada pemain nombor 183 dunia, Talia Ng.

Pemain berusia 23 tahun itu membuka langkah pertama negara apabila melakarkan persembahan setanding dengan Talia dengan kedudukan 6-6 tetapi selepas itu mula hilang tumpuan dengan sering melakukan kesilapan.

Peluang itu dimanfaatkan oleh pemain Kanada itu dengan mengumpul tujuh mata secara berterusan sebelum menang set pertama 21-9.

Pada set kedua, Kisona, selaku pemain nombor 53 dunia, bangkit semula buat seketika dengan mendahului 5-1 tetapi sekali gagal mengekalkan rentak dengan mudah memberi kemenangan 21-14 kepada lawannya yang mengambil masa 36 minit untuk mengutip mata pertama untuk Kanada.

Pada perlawanan beregu pertama, wakil negara Teoh Mei Xing-Yap Ling, selaku pasangan nombor 68 dunia, memberi sedikit harapan untuk menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-13 pada set pembukaan berdepan dengan beregu nombor 20 dunia, Rachel Honderich-Kristen Tsai.

Bagaimanapun, beregu Kanada itu menggunakan pengalaman beraksi di Sukan Olimpik Tokyo, Ogos lalu, untuk menampilkan persembahan yang lebih mantap pada set kedua dengan kemenangan 21-10 untuk mengheret permainan kepada ‘rubber-set’ sebelum menang 21-14 dalam saingan selama 69 minit.

Kanada mengesahkan kemenangan 3-0 apabila pemain nombor 185 dunia, Rachel Chan tampil dengan aksi bertenaga untuk menyingkirkan wakil negara Woon Qi Xuan 21-12, 21-13 dalam masa 33 minit.

Gandingan baharu negara Go Pei Kee-M Thinaah akhirnya merapatkan jurang dengan menyumbang mata pertama negara apabila mengatasi Catherine Choi-Crystal Lai 21-12, 21-13 dalam masa 36 minit.

“Ini adalah kali pertama digandingkan dan tidak banyak berfikir tetapi hanya mahu turun untuk berjuang mengumpul setiap mata dengan harapan mencapai kemenangan. Malangnya tidak dapat membantu mengubah kedudukan tetapi kemenangan dalam saingan ini adalah bermakna dan gembira buat kami,” kata Thinaah.

Momentum kemenangan itu bagaimanapun tidak dapat diteruskan oleh K Letshana pada perlawanan terakhir apabila tewas 21-17, 16-21, 21-12 kepada Wen Yu Zhang dalam saingan selama 50 minit itu.

Skuad Piala Uber negara meletakkan sasaran peringkat suku akhir tetapi gagal melepasi saingan peringkat kumpulan apabila tercorot dalam kedudukan kumpulan selepas tewas 4-1 kepada tuan rumah, Denmark, Sabtu lalu, 5-0 kepada China pada Ahad dan Kanada 4-1.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke peringkat kalah mati dengan China dan Denmark mengesahkan slot ke suku akhir dengan masing-masing mencapai dua kemenangan.

Juara kumpulan tersebut akan ditentukan selepas pertembungan antara kedua-dua pasukan itu pada perlawanan terakhir kumpulan, malam Selasa.

Berikutan kempen skuad Piala Uber negara berakhir malam tadi, skuad lelaki negara akan membuka kempen Piala Thomas di venue sama dengan berdepan Kanada pada malam Selasa (1 pagi Rabu, waktu Malaysia) sebelum berdepan dengan Jepun pada Khamis dalam saingan Kumpulan D.

Keputusan lain: Peringkat Kumpulan

Piala Thomas:
Indonesia mn Thailand 3-2
Taiwan mn Algeria 5-0

Piala Uber:
Indonesia mn Perancis 4-1
Taiwan mn Tahiti 5-0
Korea Selatan mn Mesir 5-0
Jepun mn Jerman 5-0

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Krisis Kanada-Arab Saudi meruncing

RIYADH 7 OGOS: Pergeseran antara Kanada-Arab Saudi tidak menunjukkan sebarang tanda reda selepas Riyadh memutuskan hubungan diplomatik secara mengejut dengan Ottawa yang terus mendesak pembebasan seorang aktivis yang dipenjara di negara itu.

Kerajaan Arab Saudi bertindak mengusir duta Kanada, Dennis Horak dalam masa 24 jam dan memanggil pulang wakilnya di Ottawa.

Ia turut membekukan semua perjanjian dagangan baharu menyifatkannya sebagai cubaan campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara itu.

Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland berkata Kanada akan terus mempertahankan hak asasi manusia di seluruh dunia walau ia menjejaskan hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara.

Minggu lalu, Kanada menyatakan kebimbangannya berikutan gelombang baru penangkapan aktivis hak asasi manusia, termasuk pejuang hak asasi wanita, Samar Badawi dan menggesa Riyadh segera membebaskan mereka.

Badawi ditahan bersama Nassima al-Sadah minggu lalu, mangsa terbaru dalam tindakan keras kerajaan yang disifatkan Human Rights Watch tidak pernah berlaku ke atas pergerakan hak wanita.

Adik lelakinya, blogger Raif Badawi ditangkap pada 2012 dan dijatuhi hukuman 10 tahun penjara serta 1,000 kali sebatan kerana menghina Islam dalam kes yang mencetuskan bantahan antarabangsa.

SUMBER: AFP

 

Categories
NASIONAL

Pakistan, Kanada harap hubungan lebih erat dengan Malaysia

PUTRAJAYA 16 JUN: Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Malaysia berharap dapat terus menjalinkan kerjasama rapat dengan kerajaan baharu Malaysia bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Pesuruhjaya Tingginya Mohammad Nafees Zakaria berkata hubungan Pakistan dan Malaysia sudah terjalin sekian lama, dan beliau percaya bahawa hubungan diplomatik dapat dimantapkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2018 di Seri Perdana di sini, semalam.

Mohammad Nafees berkata beliau dan pegawainya berharap akan dapat menjalinkan kerjasama baik dengan Menteri Luar Malaysia yang baharu bagi memperbaharui jaminan dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara Pakistan dan Malaysia.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Kanada di Malaysia Julia G. Bentley berharap hubungan yang lebih seimbang dengan Malaysia.

Beliau juga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakyat Malaysia, dan terkejut dengan kehadiran khalayak begitu ramai menyambut Dr Mahathir pada majlis rumah terbuka itu, yang pertama kali diadakan selepas kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

PM Kanada tentang Islamofobia & diskriminasi

GLOBAL 30 JAN: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menggesa rakyat negara itu supaya bangkit menentang Islamofobia dan diskriminasi.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Trudeau berbuat demikian ketika memperingati peristiwa pembunuhan enam orang Islam setahun lalu di Masjid Quebec.

Perdana Menteri muda itu ketika berucap di parlimen melahirkan rasa kesal terhadap perbuatan kebencian dan diskriminasi.

Katanya, ia menjadi perlakuan ‘biasa dan seolah-olah ‘dibiarkan’ dan ia tidak sepatutnya sampai ke tahap itu.

“Kita tidak boleh menghidupkan mereka yang sudah mati tetapi kita berhutang kepada mereka untuk menentang sentimen yang menyebabkan kerugian kepada mereka.

“Kita berhutang kepada mereka untuk bersuara, bangkit menentang dan tegas terhadap Islamofobia dan diskriminasi dalam apa juga bentuknya,” katanya.

Pada 29 Januari 2017, sejurus selepas solat Zuhur, seorang lelaki bersenjata menyerbu masuk ke dalam sebuah masjid dan bertindak melepaskan tembakan rambang ke arah jemaah.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Dron langgar pesawat penumpang Kanada

MONTREAL 17 OKT: Sebuah pesawat penumpang Kanada selamat mendarat selepas melanggar sebuah dron dalam kes pertama seumpamanya yang berlaku di negara itu, kata seorang menteri Kabinet kelmarin.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan dengan peningkatan bilangan peranti udara tanpa pemandu di langit, perlanggaran masih jarang berlaku, tetapi pihak berkuasa di seluruh dunia mencari jalan untuk menjaga keselamatan pesawat.

Insiden itu berlaku pada Khamis lalu apabila sebuah dron bertembung dengan pesawat penerbangan domestik Skyjet yang menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Jean-Lesage di Bandar Raya Quebec, kata Menteri Pengangkutan, Marc Garneau dalam satu kenyataan.

“Ini merupakan kali pertama sebuah dron melanggar pesawat komersial di Kanada dan saya sangat lega kerana pesawat itu hanya mengalami kerosakan kecil dan mampu mendarat dengan selamat,” kata Garneau yang merupakan bekas angkasawan.

Pesawat yang membawa enam penumpang dan dua kru itu dilanggar pada bahagian sayap kanan, pada ketinggian kira-kira 450 meter dan berada pada kedudukan lebih kurang tiga kilometer dari lapangan terbang, menurut akhbar Le Journal de Quebec.

Garneau mengingatkan pengendali dron bahawa sesiapa yang didapati membahayakan keselamatan pesawat, boleh dikenakan denda sehingga AS$20,051 (RM84,558), penjara atau kedua-duanya.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

FB dan Instagram alami gangguan akses di AS, Eropah & Kanada

WASHINGTON 12 OKT: Pengguna Facebook (FB) dan Instagram di beberapa bahagian di Amerika Syarikat, Eropah dan Kanada tidak dapat mengakses akaun masing-masing berikutan isu teknikal dihadapi rangkaian media sosial itu.

“Kami sedar sebahagian pengguna berhadapan masalah mengakses Facebook dan Instagram. Kami berusaha mengembalikan keadaan kepada normal secepat mungkin,” kata jurucakap Facebook, lapor REUTERS.

Terdahulu, DownDetector.com, yang memantau gangguan, menunjukkan ada lebih 12,000 aduan pengguna mengenai isu dengan penggunaan laman web.

Downdetector dalam laman webnya menyebut, 50 peratus pengguna melaporkan masalah untuk log masuk, manakala 40 peratus mengadu berhadapan isu akaun terpadam sepenuhnya dan 10 peratus lagi mengalami masalah gambar.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Selangor Bio Bay ke Kanada 23 Julai

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 20 JULAI: Pembangunan berimpak tinggi ‘Selangor Bio Bay’ (SBB) menerusi industri bioteknologi akan dibentangkan di Kongres Bioteknologi yang bakal berlangsung di Montreal, Kanada, pada 23 hingga 26 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Mahmud Abbas berkata, produk bioteknologi adalah projek yang menerima respon positif dari negara luar dalam beberapa siri promosi di beberapa negara, bermula tahun lalu.

“Saya berbesar hati diberi peluang membentangkan projek ini dalam kongres itu dengan kebanyakan pemain dalam industri bioteknologi akan hadir. Saya menjangkakan projek ini mampu memberi impak positif kepada pemain industri daripada pelbagai negara.

Mahmud Abbas“Apabila SBB mempunyai produk dan fasiliti yang baik, pemain industri akan datang ke sini, sekali gus akan menjadi terkenal di mata dunia,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di Rumah Terbuka CSSB di ibu pejabatnya, di sini, hari ini.

Selain itu, Mahmud turut memaklumkan pihaknya sudah berbincang dengan ‘Suzhou Industrial Park’, China, untuk membina Biotech Accelerator Centre yang akan menjadi nadi bio bay, di sini.

Katanya, ia bagi membolehkan syarikat atau pemain industri itu menjadikan pusat ini sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang beroperasi dalam SBB.

“Selain Suzhou, kita juga mendapat kerjasama baik dari Universiti Selangor dan beberapa universiti tempatan lain,” katanya.

Pada masa sama, katanya, syarikat bioteknologi dari San Francisco sudah mengadakan lawatan ke Pulau Indah dan menunjukkan minat positif, baru-baru ini.

Difahamkan, lawatan ke Kanada itu akan turut disertai Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana serta Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hassan Azhari Idris.