Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor sedia dua agenda digital pendidikan ketika pandemik

SHAH ALAM, 30 DIS: Kerajaan Negeri menyediakan dua agenda pendigitalan sektor pendidikan bagi memudahkan pembelajaran sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin berkata program e-pembelajaran Selangor Tutor dimulakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu dan diikuti Data Internet Selangor.

“Inisiatif ini disasarkan untuk membantu golongan B40 dan M40 dengan menyediakan sambungan internet mudah alih mampu milik yang dipakejkan dengan solusi pembelajaran yang digunakan oleh golongan sasaran secara produktif.

“Inisiatif ini juga dapat meningkatkan akses sumber pendidikan dalam talian sebagai salah satu norma baharu dalam sektor pendidikan,” katanya.

Amirudin yang juga pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2019/2020 secara maya hari ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 tajaan yayasan itu yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang di sebalik kekangan pandemik Covid-19.

“Walaupun hadapi pelbagai kekangan pembelajaran disebabkan pandemik mereka masih mampu berjuang, mengadaptasi dengan krisis dan mencapai kecemerlangan.

“Ini membuktikan murid mempunyai semangat dan daya juang yang tinggi, ini adalah ramuan untuk mereka hadapi perjuangan di masa hadapan,” katanya lagi.

Pada Mac tahun lalu, Kerajaan Negeri melaksana program e-pembelajaran, Selangor Tutor sepanjang tempoh PKP yang mendapat sambutan menggalakkan.

Pada 4 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad SIM dan data internet percuma selama 12 bulan dengan peruntukan RM17.5 juta.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia teruskan Selangor Tutor

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kerajaan Negeri bersedia meneruskan Selangor Tutor jika berlaku penutupan sekolah ekoran peningkatan kes Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata program pembelajaran dalam talian itu mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai lebih 100,000 pelajar ketika diperkenal April tahun lalu.

“Penyertaan Selangor Tutor sangat baik dan mungkin dapat mengatasi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Kita sudah mulakan beberapa fasa boleh dikembangkan selain dilema yang memang ada dalam sistem pendidikan nasional ketika ini, jadi kita dapat tambah nilai program ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis memeterai kerjasama program pendidikan sempena ulang tahun ke-50 Yayasan Selangor di kediama Dato’ Menteri Besar semalam.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri berhasrat menambah baik program percuma itu dengan menggabungkan pendidikan dalam talian dan secara bersemuka pada masa depan.

Inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan Yayasan Selangor selaku agensi penyelaras program merupakan antara intipati Pakej Rangsangan Selangor Prihatin.

Laman sesawang program menyediakan lebih 130,000 soalan latih tubi mengikut piawaian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pada Isnin, KPM mengumumkan sesi pembelajaran selepas cuti Aidilfitri akan diteruskan dengan PdPR selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.

Menterinya berkata sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) manakala 17 hingga 28 Mei untuk sekolah kumpulan B (di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Datuk Dr Radzi Jidin berkata keputusan itu dibuat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 selepas cuti sekolah bagi meraikan Aidilfitri yang dijadualkan pada 7 hingga 15 Mei bagi sekolah kumpulan A dan 8 sehingga 16 Mei (kumpulan B).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Tutor jadi pilihan pelajar, 80,000 daftar

SHAH ALAM, 17 MEI: Portal Selangor Tutor terus menjadi pilihan pelajar di negeri ini sebagai medium pembelajaran dan mengulang kaji pelajaran secara dalam talian apabila lebih 80,000 sudah mendaftar sehingga 13 Mei lalu.

Yayasan Selangor dalam kenyataan berkata lebih 500,000 latihan dan 2.5 juta soalan latih tubi telah dijawab oleh pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Lima menggunakan portal berkenaan.

“Program percuma ini masih dibuka sehingga 31 Mei depan dan bertujuan untuk membantu pelajar mengulang kaji secara mudah mengunakan gajet pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya.

Yayasan Selangor turut menganjurkan pertandingan video pendek kreatif Selangor Tutor bermula 27 April hingga 3 Mei bagi minggu pertama dan 4 hingga 10 Mei bagi minggu kedua.

Pemenang minggu kedua bagi kategori sekolah rendah ialah Nur Syarifah Alya Mohamad Omar dari Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2.

Sementara kategori sekolah menengah ialah Mahashri Sundar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Selayang dan Raihah Rashidi dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7 Shah Alam.

Kesemua pemenang menerima hadiah baucar pembelian buku.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor Tutor: 75,580 pelajar daftar, tahun enam paling ramai

SHAH ALAM, 15 MEI: Seramai 75,580 murid mengikuti program e-pembelajaran percuma dengan kekerapan menjawab 2.34 juta soalan sejak dilancarkan April lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendaftaran melalui www.selangortutor.com turut mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Pendidikan Negeri, guru dan pelajar.

“Bagi memastikan pelajar di Selangor meneruskan pembelajaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Selangor mewujudkan Selangor Tutor bermula 3 April 2020,” katanya ketika sidang media di kediaman rasminya di sini hari ini.

Selangor Tutor dibuka untuk murid tahun satu hingga tingkatan lima bagi semua sekolah milik kerajaan dan swasta.

Pengarah Kanan Pendidikan Yayasan Selangor Zahura Zakry berkata pendaftaran tertinggi diterima daripada murid tahun enam iaitu 32.28 peratus, tingkatan tiga (22.71 peratus) manakala 15.55 peratus daripada pelajar tingkatan lima.

Categories
AGENSI SELANGOR

76,000 daftar Selangor Tutor, pertandingan video kreatif diteruskan

SHAH ALAM, 6 MEI: Pertandingan video pendek kreatif mengenai Selangor Tutor diteruskan lagi pada 4 hingga 10 Mei depan, kata pengarah kanan pendidikan Yayasan Selangor.

Dibuka bagi kategori sekolah rendah dan menengah Zahura Zakry berkata pertandingan bertujuan mencungkil bakat pelajar selain memberi tumpuan kepada pembelajaran akademik di selangortutor.com.

“Pertandingan sudah berlangsung pada 27 April hingga 3 Mei bagi minggu pertama dan diteruskan lagi minggu kedua.

“Setiap pemenang akan menerima hadiah baucar pembelian buku dan syarat penyertaan boleh dirujuk di laman media sosial rasmi Yayasan Selangor sama ada Instagram, Facebook dan Twitter,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan juga memaklumkan pemenang bagi minggu pertama dimenangi oleh T Srinikhiesh dari Sekolah Kebangsaan Jalan Empat Bandar Baru, Bangi manakala kategori sekolah menengah dimenangi Nurul Fikriyah Kamarzaman dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang Kuala Selangor; Rakin Rashidi (SMK Seksyen 7) dan Muhamad Firdaus Azman (Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya).

Zahura berkata sejak Selangor Tutor dilancar sehingga semalam lebih 76,000 pelajar telah mendaftar dan menggunakan portal ini.

“Sepanjang tempoh itu juga, lebih 500,000 latihan dan 2.3 juta soalan latih tubi telah dijawab. Justeru, kami menyeru pelajar di negeri ini yang belum mendaftar Selangor Tutor, segera mendaftar sebelum 31 Mei ini,” kata beliau.

Categories
AGENSI SELANGOR

E-pembelajaran: Program Selangor Tutor dibuka kepada murid sekolah swasta

SHAH ALAM, 11 APRIL: Atas permintaan ramai portal e-pembelajaran percuma, Selangor Tutor kini dibuka kepada semua murid di Selangor termasuk sekolah swasta.

Yayasan Selangor berkata portal yang boleh diakses melalui laman sesawang selangortutor.com merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam Pakej Rangsangan Selangor Prihatin sempena tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dibuka 3 April sehingga 31 Mei depan, portal lengkap dengan lebih daripada 130,000 soalan latihan itu kini mempunyai hampir 40,000 murid berdaftar.

“Portal Selangor Tutor ini yang mengandungi pembelajaran secara dalam talian bagi mata pelajaran murid Tahun 1 sehingga tingkatan 5 pada mulanya dibuka kepada sekolah milik kerajaan.

“Namun atas permintaan ramai, kini ianya dibuka kepada semua murid di Selangor termasuk yang belajar di sekolah milik swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, sebarang masalah semasa pendaftaran atau penggunaan portal itu, pengguna boleh menghubungi pegawai Yayasan Selangor iaitu Encik Haziq (013-4016055) dan Encik Fauzani (019-2219321).

“Semua murid Tahun 1 sehingga tingkatan 5 serta para ibubapa di seluruh negeri ini diseru segera mendaftar dan mengunakan Selangor Tutor sebagai medium pembelajaran khususnya dalam tempoh PKP ini,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

MB: Selangor Tutor masih dibuka, lebih 38,000 sudah sertai

SHAH ALAM, 11 APRIL: Pelajar yang berminat menyertai program pembelajaran elektronik Selangor Tutor masih boleh membuat pendaftaran, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ini kerana masih banyak ruang kosong disediakan untuk projek bantuan di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin fasa kedua itu.

“Masih ada ruang kosong mari terus daftar dan ia percuma,” tulisnya di Twitter hari ini.

Beliau berkata setakat 3 petang semalam jumlah keseluruhan pendaftaran meningkat kepada 38,372 berbanding seramai 21,000 pada 5 April lalu.

Pecahan mengikut jantina pula menyaksikan lelaki naik satu peratus, dengan jumlah terkini seramai 17,696 manakala wanita pula 20,676.

Dari segi kekerapan penggunaan, Amirudin memaklumkan pelajar tahun enam paling tinggi, iaitu 24,432 kekerapan.

Manakala jumlah keseluruhan kekerapan pula adalah 239,729, naik 222 peratus dari 5 April lalu.

Pada 1 April, Kerajaan Negeri mengumumkan program e-pembelajaran yang turut mendapat kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) manakala Yayasan Selangor selaku agensi penyelaras.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

21,000 pelajar ikuti Selangor Tutor, MB kongsi cara daftar (VIDEO)

SHAH ALAM, 5 APRIL: Seramai 21,000 pelajar mendaftar setakat semalam dalam program Selangor Tutor yang menawarkan pembelajaran dalam talian secara percuma, kata Dato’ Seri Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Twitter malam ini berkongsi beberapa langkah mudah sebagai panduan kepada pelajar yang ingin mendaftar program yang diumumkannya melalui Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 pada 1 April lalu.

“Isi masa di rumah dengan pastikan anak-anak mendapat pendidikan melalui e-pembelajaran di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0,” katanya.

Berikut cara pendaftaran Selangor Tutor:

1) Layari laman sesawang selangortutor.com
2) Klik butang daftar atau log masuk (yang sudah mendaftar)
3) Pilih nama sekolah dan peringkat
4) Isi butiran mudah (nama penuh atau samaran, kad pengenalan dan kata laluan)
5) Klik butiran langganan
6) Pendaftaran berjaya

Program e-pembelajaran yang mendapat kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar diselaraskan Yayasan Selangor.

Lebih 130,000 soalan latih tubi disediakan dalam aplikasi yang mengikut piawaian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ibu bapa boleh mengakses program itu untuk memantau perkembangan pembelajaran anak masing-masing.

Cara layari Selangor Tutor:

1) Layari laman sesawang selangortutor.com
2) Log masuk
3) Laman Profil
4) Klik modul – pilih subjek
5) Pilih topik
6) Mula membuat latihan