Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air Selangor selenggara aset, ganti 800km paip jamin bekalan air bersih

SHAH ALAM, 23 JAN: Sebanyak 1,562 kerja penyelenggaraan berjadual dilakukan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sepanjang tahun lalu.

Langkah itu bagi memastikan pengguna mendapat perkhidmatan terbaik selain bekalan air terawat diperoleh bersih dan selamat, kata syarikat itu.

“Kami membawakan keceriaan melalui pelbagai inisiatif pengoperasian bagi memastikan kelestarian air untuk generasi akan datang,” menurutnya di Facebook.

Melalui perkongsian video, Air Selangor memaklumkan lebih 800 kilometer paip diganti sejak 2016 bagi memastikan kelestarian air pada masa hadapan.

Kadar air tidak berhasil (NRW) bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencecah 28.1 peratus setakat November manakala 28.6 peratus pada 2020.

Air Selangor turut menyasarkan NRW bagi ketiga-tiga kawasan turun kepada 27 peratus tahun depan.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim menyasarkan NRW negeri turun kepada 25 peratus menjelang 2025 melalui perancangan rapi termasuk penggantian pelbagai komponen.

Categories
AGENDA NASIONAL

Proton beri diskaun 50 peratus selenggara kenderaan mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 30 DIs: Proton menawarkan pakej bantuan pelanggan yang dipertingkat bagi meringankan beban kewangan mereka untuk membaiki kenderaan yang rosak akibat banjir menerusi diskaun 50 peratus bagi alat ganti terpilih untuk semua model kecuali Proton X50 dan Proton X70.

Dalam kenyataan hari ini, Proton berkata pakej baharu dan ditambah baik itu turut merangkumi servis tunda serta pembersihan luar dan ruang enjin secara percuma, selain diskaun caj buruh yang ditingkatkan kepada 25 peratus untuk semua model kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata sehingga kini, pusat servis Proton telah menerima kira-kira 600 kenderaan dan lebih banyak kenderaan dijangka tiba pada hari dan minggu akan datang.

“Proton amat bersimpati dengan nasib mangsa banjir baru-baru ini berikutan kebanyakannya terdiri daripada kumpulan B40. Sehubungan itu, kami telah meningkatkan lagi pakej bantuan untuk meringankan beban kewangan mereka,” katanya.

Bagi pemilik Proton X50 dan Proton X70, diskaun untuk alat ganti terpilih telah dinaikkan kepada 25 peratus berbanding 20 peratus seperti diumumkan sebelum ini.

Pelanggan yang diinsuranskan bawah Program Insurans Proton layak menerima bayaran bantuan banjir sebanyak RM1,000. Tawaran bantuan ini boleh didapati daripada pengedar 3S/4S Proton terpilih dan tertakluk kepada terma dan syarat.

“Selain pakej bantuan, Proton juga akan berunding dengan pihak bank untuk membenarkan pelanggan membuat bayaran secara ansuran melalui kad kredit bagi pembayaran bil. Ini akan membantu dari segi aliran tunai mereka kerana tidak dikenakan bayaran faedah dan tidak perlu membuat bayaran penuh secara sekali gus,” katanya.

Pada 22 Dis lepas, Proton dalam kenyataan mengumumkan bantuan kepada semua pemilik model Proton yang mengalami kerosakan kereta akibat banjir baru-baru ini dengan menawarkan diskaun 20 peratus bagi alat ganti tertentu serta diskaun 20 peratus untuk caj buruh kepada pelanggan yang telah membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Dalam kenyataan itu juga, syarikat pengeluar kereta itu berkata ia akan menanggung caj tunda sehingga RM200 dan caj pembersihan bahagian luar serta ruang enjin sebanyak RM100.

Pelanggan boleh menghubungi talian pelanggan Proton di 1-800-88-8398 untuk keterangan lanjut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selenggara loji rawatan elak insiden terputus bekalan air masa depan

SHAH ALAM, 7 OKT: Kerja penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 akan melancarkan proses penyaluran bekalan air kepada pengguna pada masa depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kerja yang dijalankan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mulai minggu depan dapat mengelakkan berlaku kerosakan di loji rawatan.

Beliau berkata perkara itu antara tiga faktor yang menjejaskan perkhidmatan kepada pengguna selain bekalan air mentah tidak cukup dan insiden luar kawalan termasuk pencemaran dan paip pecah akibat perbuatan pihak ketiga.

“Jadi dengan penyelenggaraan, kita dapat elak satu faktor iaitu kerosakan loji rawatan. Dengan kurangnya risiko ini, bermakna selagi ada air mentah, kita tidak akan terputus bekalan,” katanya pada sidang media hari ini.

Amirudin juga memberi contoh kejadian kegagalan loji rawatan di Wangsa Maju  berikutan tidak dapat menampung lebihan kapasiti pernah berlaku hingga mengakibatkan mesin memproses air terganggu.

“Pada 2018 pula, pam loji meletup disebabkan tidak dapat tahan tekanan hingga menyebabkan gangguan air selama seminggu. Jadi, kita tidak mahu ini berulang hingga ada yang cedera.

“Ini hendak elak letupan, kerosakan dan kegagalan loji yang kerap berlaku,” kata beliau merujuk situasi yang dihadapi pentadbiran Kerajaan Negeri antara 2008 hingga 2013.

Justeru, beliau berharap orang awam di Lembah Klang memahami keputusan Kerajaan Selangor untuk menyelenggara dan menaik taraf loji SSPI demi kepentingan masa depan.

Baru-baru ini, Air Selangor meminta penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor menyimpan bekalan air secukupnya.

Sebanyak 105 lori tangki air turut digerakkan ke kawasan terlibat selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna sepanjang tempoh itu.

Kerja penyelenggaraan yang dijadual bermula jam 9 pagi pada 13 Oktober dijangka pulih sepenuhnya jam 9 malam pada 16 Oktober.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.