Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peniaga beroperasi seperti biasa, simpan bekalan air sejak awal

KUALA LANGAT, 14 OKT : Premis di sekitar Pekan Banting di sini masih meneruskan operasi perniagaan seperti biasa meskipun kerja penyenggaraan aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 dijalankan semalam.

Mohd Annas Firdaus Borhanudin

Seorang peniaga kedai makan, Mohd Annas Firdaus Borhanudin, 37, berkata sebaik tahu kerja naik taraf loji dilakukan untuk beberapa tempoh, dia dan pekerja siap sedia menyimpan enam tong air.

“Alhamdulillah setakat ini air di kedai makan masih ada dan perniagaan berjalan seperti biasa. Jika tiada air pun tidak bimbang sangat kerana enam tong air disediakan sejak awal lagi,” katanya.

Beliau ketika ditemui di kedai makannya di Selera Tujuh, Pekan Banting berharap kerja baik pulih aset loji dapat disiapkan lebih awal dan tiada kes bekalan air terputus lagi selepas ini.

Manakala, pemilik kedai cucian kereta Lim Tee Wey berkata dia menyediakan 30 tong air bersaiz sederhana selepas dimaklum mengenai penyenggaraan aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1.

Lim Tee Wey

“Persediaan (menadah air) perlu walaupun setakat ini air masih ada…kami tidak bercadang untuk menutup kedai jika ketiadaan air kerana cukuplah ditutup lama akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerak),” katanya.

Pemilik kedai dobi Lim Yoon berkata kedainya dibuka seperti biasa meskipun tiada air untuk mencuci baju.

“Setakat ini kita sudah maklumkan kepada pelanggan yang datang hantar pakaian untuk dicuci supaya mereka ambil lewat sikit selepas adanya air dan mereka bersetuju sahaja,” katanya.

Lim Yoon

Kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 siap dilaksanakan jam 5 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan memaklumkan, setakat jam 6 pagi sistem rawatan air loji telah distabilkan dan disalurkan kepada pengguna secara berperingkat mulai jam 5 petang ini.

Bermula semalam hingga Sabtu, kerja penyenggaraan melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Sebanyak 105 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan demi kemudahan pengguna sepanjang tempoh itu.

Kerajaan Selangor juga menggerakkan sukarelawan di peringkat DUN, Team Selangor, Selangor Volunteer (Serve), Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan ketua kampung bagi membantu pengguna terlibat.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selenggara loji rawatan elak insiden terputus bekalan air masa depan

SHAH ALAM, 7 OKT: Kerja penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 akan melancarkan proses penyaluran bekalan air kepada pengguna pada masa depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kerja yang dijalankan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mulai minggu depan dapat mengelakkan berlaku kerosakan di loji rawatan.

Beliau berkata perkara itu antara tiga faktor yang menjejaskan perkhidmatan kepada pengguna selain bekalan air mentah tidak cukup dan insiden luar kawalan termasuk pencemaran dan paip pecah akibat perbuatan pihak ketiga.

“Jadi dengan penyelenggaraan, kita dapat elak satu faktor iaitu kerosakan loji rawatan. Dengan kurangnya risiko ini, bermakna selagi ada air mentah, kita tidak akan terputus bekalan,” katanya pada sidang media hari ini.

Amirudin juga memberi contoh kejadian kegagalan loji rawatan di Wangsa Maju  berikutan tidak dapat menampung lebihan kapasiti pernah berlaku hingga mengakibatkan mesin memproses air terganggu.

“Pada 2018 pula, pam loji meletup disebabkan tidak dapat tahan tekanan hingga menyebabkan gangguan air selama seminggu. Jadi, kita tidak mahu ini berulang hingga ada yang cedera.

“Ini hendak elak letupan, kerosakan dan kegagalan loji yang kerap berlaku,” kata beliau merujuk situasi yang dihadapi pentadbiran Kerajaan Negeri antara 2008 hingga 2013.

Justeru, beliau berharap orang awam di Lembah Klang memahami keputusan Kerajaan Selangor untuk menyelenggara dan menaik taraf loji SSPI demi kepentingan masa depan.

Baru-baru ini, Air Selangor meminta penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor menyimpan bekalan air secukupnya.

Sebanyak 105 lori tangki air turut digerakkan ke kawasan terlibat selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna sepanjang tempoh itu.

Kerja penyelenggaraan yang dijadual bermula jam 9 pagi pada 13 Oktober dijangka pulih sepenuhnya jam 9 malam pada 16 Oktober.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.

Categories
EXCO SELANGOR

Tujuh pencemaran air diatasi, tiada henti tugas loji rawatan

KAJANG, 3 FEB: Sebanyak tujuh insiden pencemaran yang boleh menyebabkan henti tugas loji rawatan air (LRA) negeri ini berjaya dihalang sepanjang Januari lalu.

EXCO alam sekitar berkata tiga kejadian melibatkan Sungai Gong, Rawang; dua di Sungai Semenyih, Kajang dan dua lagi di Sungai Chinchang, Sepang serta Sungai Kabul, Hulu Langat.

Hee Loy Sian memaklumkan kejadian antara 15 hingga 23 Januari bawah amaran kod kuning iaitu pencemaran berjaya dikesan dan ditangani tanpa operasi LRA dihentikan.

“Jadi kita harap tiada lagi gangguan air selepas ini. Sepanjang dua bulan, memang tiada henti tugas LRA, yang terakhir pada awal Disember,” katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi penemuan 165 liter bahan kimia di sini.

Menurutnya, Sungai Semenyih dan Sungai Gong yang kerap mengalami pencemaran berjaya ditangani hasil tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Jabatan Alam Sekitar.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 28 kes pencemaran air direkodkan dengan 10 kes pencemaran kod merah manakala 18 lagi kod kuning.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Loji rawatan air tambahan atasi isu luar jangka

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Pembinaan loji rawatan air (LRA) tambahan sejak beberapa tahun lalu mengurangkan kebergantungan terhadap tiga LRA Sungai Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelan jangka panjang itu meningkatkan mutu perkhidmatan sekali gus memenuhi keperluan bekalan air bersih kepada pengguna.

“LRA Labohan Dagang kini hampir memasuki fasa kedua (pelaksanaan). Sebelum ini, Kuala Langat tempat terakhir akan menerima (bekalan air) sekiranya LRA Sungai Selangor terkesan.

“Membekalkan sekitar 50 juta liter sehari (JLH) pada fasa pertama, kita dapat tanggung sekurang-kurangnya sebahagian besar kawasan Kuala Langat jika berlaku pencemaran di Sungai Selangor,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh situasi semasa pencemaran air di Ibu Pejabat Air Selangor di sini semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman meninjau sekitar kawasan loji rawatan air di Labohan Dagang, Banting pada 28 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata LRA Langat 2 yang siap sepenuhnya pula mempunyai sekitar 400 hingga 500 JLH air dan maksimum 1,130 JLH namun masih memerlukan pengaliran paip.

“Contohnya, di sekitar Ampang paip dari LRA Langat 2 bertujuan mengelakkan tekanan dan kebergantungan terhadap LRA Sungai Selangor,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pembinaan LRA Sungai Rasau tahun hadapan atau selewat-lewatnya pada 2022, yang dijangka mampu menampung bekalan air di kawasan Klang jika berlaku insiden henti tugas.

Sementara itu, Amirudin berkata penggantian paip sepanjang 150 kilometer setiap tahun memberi kesan terhadap peratusan kadar air tidak berhasil (NRW) di negeri ini.

“Kita mampu turunkan kadar NRW dari 35 peratus kepada sekitar 29 peratus pada tahun lalu malah Air Selangor pernah mendapat anugerah susulan kejayaan itu,” katanya lagi.

Selangor bina loji rawatan RM800 juta atasi isu air

Dua loji rawatan air akan dibina dengan kos hampir RM 800 juta sebagai langkah memastikan bekalan air mencukupi