Categories
AGENDA GLOBAL

Kes Covid-19 global kini lebih 22 juta, korban 778,557

NEW YORK, 19 OGOS: Kes Covid-19 di seluruh dunia kini sudah melebihi 22 juta pada Selasa, lapor agensi berita Xinhua berdasarkan data Johns Hopkins University.

Jumlah kes global mencecah 22,046,135, dengan korban seramai 778,557 setakat 8.27 malam waktu tempatan (0027 GMT Rabu).

Amerika Syarikat paling teruk diancam, menyaksikan 5,480,487 kes jangkitan dan 171,687 orang meninggal dunia, diikuti Brazil 3,359,570 kes dengan korban seramai 109,888. India pula mengesahkan lebih 2.7 juta kes.

Negara dengan lebih 400,000 kes termasuk Rusia, Afrika Selatan, Peru, Mexico dan Colombia. Sementara itu, Mexico, India, Britain, Itali dan Perancis pula mencatatkan lebih 30,000 kematian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jumlah kes Covid-19 seluruh dunia lebih 20 juta

MOSCOW, 11 OGOS: Jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia sudah melebihi 20 juta, lapor agensi berita Sputnik berdasarkan data Johns Hopkins University.

Kes seluruh dunia kini berjumlah 20,001,019 pada 23:54 GMT Isnin, dengan 733,897 kematian dan 12,200,847 kes pulih.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac.

Menurut WHO, jumlah korban global sudah melebihi 728,000 orang dengan jumlah kes di seluruh dunia melebihi 19.7 juta.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Kes Covid-19 dunia lebih 12 juta, pesakit pulih 6.5 juta

ANKARA, 9 JULAI: Kes Covid-19 dunia melebihi 12 juta pada Rabu lapor agensi berita Anadolu berdasarkan data Johns Hopkins University yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Jumlah kematian akibat virus itu mencecah 548,822 orang dengan angka pemulihan sebanyak 6.5 juta.

AS kekal sebagai negara paling teruk dijangkiti dengan lebih tiga juta jangkitan manakala jumlah kematiannya melebihi 132,000.

Brazil yang mencatat jumlah kes dan kematian Covid-19 terbanyak di Amerika Latin mempunyai jumlah jangkitan kedua tertinggi di seluruh dunia lebih 1.71 juta.

Rusia, India, Itali, Sepanyol dan United Kingdom juga antara negara paling teruk dilanda pandemik itu.

China yang berada di bawah sifar virus mencatat 84,946 kes setakat ini termasuk 4,641 kematian dan 79,802 pemulihan.

Pandemik itu merebak ke 188 negara dan wilayah sejak akhir tahun lalu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Kes Covid-19 di seluruh dunia lepasi empat juta

ANKARA, 10 MEI: Jumlah kes jangkitan Covid-19 di seluruh dunia kini melepasi empat juta pada Ahad, lapor agensi berita Anadolu memetik data Johns Hopkins University.

Data itu menunjukkan korban di seluruh dunia mencecah 277,860 orang sementara pesakit yang sembuh berjumlah 1,348,383.

Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk diancam wabak menyaksikan lebih 1.3 juta kes jangkitan dan 78,469 orang maut.

Diikuti United Kingdom (UK) dengan 31,662 orang meninggal dunia manakala Itali di kedudukan ketiga tertinggi menyaksikan seramai 30,395 pesakit maut.

Di Perancis pula 26,313 orang meninggal dunia disusuli Sepanyol dengan 26,299 kematian.

Sepanyol mempunyai kes kedua tertinggi iaitu lebih 222,800 diikuti Itali, UK dan Rusia.

China negara pertama wabak maut itu dikesan kini mencatatkan sifar kes. Keseluruhan negara ini melaporkan 83,976 kes dengan tiada kematian sejak minggu lalu menjadikan angka korban kekal seramai 4,637 orang.

-BERNAMA