Categories
NASIONAL

Zahid Hamidi digesa hormati tugas wartawan

zahid-malaysiakiniSHAH ALAM 6 OKT : Menteri Dalam Negeri, Datuk Zahid Hamidi digesa menghormati tugas wartawan menanyakan soalan berkepentingan awam.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, Zahid selaku Menteri pula perlu memberikan jawapan tepat berkaitan kehilangan senjata milik Polis yang dilaporkan dalam Laporan Audit Ketua Negara 2012.

“Soalan yang dikemukan wartawan itu bukanlah suatu tuduhan tetapi perkara yang sudah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012,” katanya.

Tian Chua berkata, Zahid Hamidi perlu memastikan kejadian kehilangan senjata milik pihak Polis tidak berulang dengan membuat penambahbaikan pasukan itu di masa hadapan.

“Kalau berani sepatutnya Zahid Hamidi memberikan ‘amaran’ itu kepada Ketua Audit Negara dan bukannya wartawan Malaysiakini,” kata Tian Chua ketika dihubungi TVSelangor.

Pengasas bersama Malaysiakini, Premesh Chandran dan Steven Gan menegaskan wartawan mempunyai tugas asas menanyakan soalan berkenaan kepentingan awam kepada pihak menteri yang bertanggungjawab untuk memberikan jawapan.

“Jika Menteri Dalam Negeri percaya bahawa Malaysiakini salah dalam melaporkan berita, beliau boleh menghubungi kami untuk pembetulan.

“”Jika dia merasakan kita tidak adil kepada beliau, kami sentiasa bersedia untuk bertemu dengannya atau mana-mana Menteri lain untuk membincangkan laporan kami.

Setakat ini, kami tidak menerima sebarang aduan dari beliau atau pejabat beliau,” kata Premesh dan Gan dalam kenyataan medianya yang dipetik dari portal Malaysiakini.

Sebelum ini, Zahid Hamidi memberikan amaran kepada wartawan Malaysiakini berhubung soalan integriti pasukan polis dan berkenaan kehilangan senjata polis dalam Laporan Audit Ketua Negara.

Beliau kemudian melarang perbincangan lanjut mengenai perkara itu dan berkata “tiada lagi” soalan dari Malaysiakini.

Zahid memberi amaran kepada Malaysiakini supaya melaporkan dengan tepat apa yang dicakapkannya.