Categories
NASIONAL

PKR Kesal Polis Enggan Siasat Skandal LRT Ampang

SHAH ALAM 5 JULAI : PKR hari ini mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih mementingkan kekuasaan Umno-BN berbanding keselamatan rakyat.

Rafizi Ramli berkata, tindakan polis yang menolak mentah-mentah dari menyiasat campur tangan Datuk Seri Najib Razak dalam anugerah kontrak kerja-kerja pembinaan tambahan LRT laluan Ampang adalah dikesali.

Tetapi dalam masa sama menubuhkan pasukan khas menyiasat kebocoran maklumat sulit negara apabila dokumen tender mula diketahui umum hanya mengesahkan persepsi rakyat bahawa polis meletakkan kepentingan Umno-BN mengatasi segala-galanya.

Jelas Rafizi, kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin semalam, mengesahkan bahawa dokumen-dokumen Kementerian Kewangan termasuk minit yang ditandatangani oleh Najib dan dokumen lain berkaitan tender tersebut adalah benar dan asli.

“Datuk Seri Najib Razak bimbang skandal ini bakal menggugat kedudukan beliau apabila maklumat mengenainya tersebar luas,” katanya yang juga Pengarah Strategi PKR dalam kenyataan media.

Rafizi kesal dengan kenyataan Bakri kononnya kebocoran maklumat sebegini menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara.

“Apakah beliau tidak memahami bahaya kepada jutaan orang awam yang sedang dan bakal menggunakan sistem LRT laluan Ampang sekiranya sebuah syarikat yang langsung tidak ada pengalaman di dalam sistem LRT dianugerahkan kontrak ini.

“Adakah beliau sendiri berani menaiki LRT sistem laluan Ampang saban hari ke tempat kerja sekiranya beliau sedar bahawa seluruh kerja-kerja pembinaan dikendalikan oleh sebuah syarikat yang hanya berpengalaman mengilang meter air,” tegas Rafizi.

Paling dikesali, pimpinan polis tidak pula bergegas mahu menyiasat kebocoran maklumat pertahanan negara apabila dokumen sulit mengenai strategi dan kekuatan pertahanan negara dijual kepada syarikat asing, seperti yang didedahkan di Mahkamah Perancis baru-baru ini.

“Saya sedar tanggungjawab yang perlu kami galas dan risiko yang perlu dihadapi.

“Nyawa jutaan rakyat Malaysia yang menggunakan sistem LRT laluan Ampang adalah terlalu berharga dan perlu dipertahankan sehinggalah kontraktor yang layak dan berkemahiran dilantik bagi projek ini,” katanya.

Beliau menambah,sebarang usaha untuk menakut-nakutkannya dan rakan-rakan beliau dari terus membongkar skandal ini adalah sia-sia.

“Saya akan meneruskan siri pendedahan seterusnya pada hari Isnin 9 Julai 2012 seperti biasa.

“Malah, mulai minggu depan kami akan mula turun ke stesen-stesen LRT untuk mengedarkan risalah maklumat dan melancarkan kempen ?Utamakan Keselamatan Rakyat? di seluruh LRT laluan Ampang,” ujarnya.