Categories
SELANGOR

Tiada bayaran sewa tapak niaga Seri Serdang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JUN: Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang menyalahgunakan namanya untuk mengutip sewa tapak perniagaan.

Hal itu diumumkan menerusi laman Facebooknya susulan terdapat pihak menggunakan namanya untuk mengutip sewa daripada penggerai dan peniaga kereta terpakai di bawah rentis Tenaga Nasional Berhad (TNB) Puchong Permai.

“Saya tidak pernah mengeluarkan surat mahupun kebenaran lisan kepada mana-mana pihak kerana ia salah di sisi undang-undang.

“Peniaga tidak perlu membayar yuran perlindungan atau sewa kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga berkata, pihak berkuasa belum bercadang memindahkan peniaga, di sana.

“Namun pada masa hadapan, jika pihak berkuasa dan pemilik tanah berhasrat mengambil semula tanah mereka atau memindahkan peniaga, maka pada ketika itu peniaga harus akur dengan undang-undang.

“Sila laporkan kepada saya jika ada pihak yang menggunakan nama saya untuk kepentingan mereka,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noor Hanim Cadang Peruntukan Ikut Jumlah Penduduk

Hanim Manifesto

SHAH ALAM 3 JULAI : Memandangkan taburan jumlah penduduk di setiap DUN adalah berbeza, pembahagian peruntukan mengikut jumlah penduduk per kapita perlu dilaksanakan.

Ujar Noor Hanim Ismail(PAS- Seri Serdang), peruntukan mengikut jumlah penduduk penting bagi memastikan pembahagian yang lebih adil kepada setiap rakyat dinegeri ini.

“Contoh seperti di Seri Serdang yang mempunyai jumlah pengundi kira-kira 73,000.

“Ini pastinya menuntut pihak kerajaan untuk memastikan peruntukan yang diberi cukup dan setimpal,” jelas Noor Hanim.

Tambahnya, selain bersikap adil, pembahagian peruntukan berdasarkan per kapita ini juga dapat menjamin kelancaran program-program kebajikan yang dianjurkan Kerajaan Negeri.

“Sebagai contoh bantuan kepada warga emas, kawasan saya jumlahnya lebih ramai, jadi diharap ikut per kapita dan bukannya 1, 000 bagi setiap DUN.

“Demi kebaikan rakyat, saya harap satu inisiatif dapat diambil bagi mengkaji semula jumlah peruntukan ini,” ujar beliau lagi.