Categories
NASIONAL

Sultan Selangor serikan majlis resepsi perkahwinan anak MB

6A

SHAH ALAM 18 OGOS: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merai majlis perkahwinan anak lelaki Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sebuah pusat konvensyen di sini, malam tadi.

Baginda hadir sebagai tetamu khas bagi menyerikan perkahwinan Mohd Ali Iqbal Abdul Khalid dan pasangannya Nurfazlin Mohamad.

Ketibaan baginda disambut Abdul Khalid dan isteri, Puan Sri Salbiah Tunut sebelum menyempurnakan acara merenjis pengantin dan makan beradab.

Majlis di Setia City Convention Centre (SCCC) itu disertai kira-kira 1,000 tetamu termasuk kerabat Diraja Selangor, Exco Selangor, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor, pemimpin Pakatan Rakyat dan pegawai kerajaan.

Sebelum majlis berakhir, pasangan pengantin turut menyempurnakan acara memotong kek dan beramah mesra bersama tetamu jemputan.

Pasangan pengantin itu selamat diijab kabul di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dekat sini, 13 Jun lalu.