Categories
SELANGOR

Red Giants pamer aksi menarik berdepan Juara Liga Europa 2013

SHAH ALAM 27 MEI: Pasukan Bola Sepak Selangor mempamerkan permainan menarik dan sengit biarpun tewas kepada Juara Liga Europa 2013, Sevilla FC 2-0 pada perlawanan pertunjukan Cabaran Dunia LFP (LFP World Challenge) di Stadium Shah Alam, semalam.

Perlawanan itu turut disaksikan kira-kira 25,000 peminat bola sepak yang hadir memberikan sokongan kepada perlawanan itu.

Sevilla1Cabaran dunia LFP (Liga Bola Sepak Sepanyol) merupakan projek khas LFP dengan mengadakan perlawanan pertunjukan yang melibatkan beberapa pasukan terpilih liga berkenaan dengan pasukan daripada benua lain bagi mempromosikan bola sepak sepanyol.

Pada aksi di Shah Alam, kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu masing-masing sebaik sahaja pengadil, Mohd Nafeez Abdul Wahab meniupkan wisel perlawanan namun gagal menemui sentuhan jaringan.

Serangan berterusan kelab Sepanyol kendalian Unai Emery itu berhasil selepas bekas pemain antarabangsa Jerman, Piotr Trochowski meletakkan mereka di hadapan pada minit ke-31 menerusi sepakan kencang yang tepat ke penjuru kanan gol Selangor.

Dipetik Bernama, pasukan pelawat terus menekan pasukan Selangor dan berjaya menggandakan kedudukan pada masa tambahan separuh masa pertama selepas Diogo Figueiras menanduk masuk hantaran silang daripada Jose Antonio Reyes.

Ketua jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic membuat beberapa pertukaran di bahagian serangan pada awal babak kedua bagi mengurangkan jaringan namun gagal memecahkan kebuntuan.

Pemain gantian, Andik Vermansah hampir menjaringkan gol pertama untuk skuad ‘Gergasi Merah’ namun sepakan percuma yang diambilnya pada pertengahan separuh masa kedua ditepis keluar penjaga gol pelawat.

Keputusan berkenaan kekal sehingga tiupan wisel terakhir daripada Mohd Nafeez.

Kemenangan itu adalah yang kedua diraih oleh kelab dari Sepanyol itu selepas menundukkan kelab Liga Super Indonesia, Pelita Bandung Raya 4-0 di Stadium Jalak Harupat, Bandung, Indonesia pada Khamis lepas (22 Mei).

Gambar: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) 

Categories
SELANGOR

Red Giants lakar sejarah diuji Juara Europa Sevilla 26 Mei

SHAH ALAM, 22 MEI: Pendahulu Liga Super, Selangor mencatatkan sejarah tersendiri apabila dijadualkan berdepan juara Liga Europa musim ini, Sevilla, pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, pada 26 Mei ini.

Kelab Sepanyol itu menewaskan wakil Portugal, Benfica 4-2 melalui penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir kejohanan kelab kedua terbesar Eropah yang berlangsung di Stadium Juventus, Turin, 14 Mei lalu.

“Kami berbangga dapat beraksi dengan sebuah kelab terkemuka seperti Sevilla, tambahan pula hanya beberapa minggu selepas mereka bergelar juara,” kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad dipetik daripada laman web Persatuan Bola Sepak Selangor.

Red GiantsSevilla adalah kelab kedua tertua di Sepanyol dan paling cemerlang dari wilayah Andalusia dengan memenangi kejuaraan La Liga 1945-46 serta lima kejuaraan Copa del Rey.

Di peringkat Eropah, kelab itu memenangi dua kejuaraan Piala UEFA (2006 dan 2007) serta Piala Super UEFA 2006, di samping Liga Europa edisi terkini.

Ketua Operasi Liga de Futbol Profesional (LFP) World Challenge, Sergi Vieta, berkata pasukan Sevilla turut teruja dengan pertemuan bersama salah satu kelab terkemuka rantau ini seperti Selangor serta peluang beraksi di Malaysia.

“Perlawanan ini pastinya satu ujian sukar buat Selangor, tetapi pasti kita akan berikan yang terbaik sebagai satu tanda penghargaan pasukan kepada peminat setia Merah Kuning.

Red Giants 1“Perlawanan berprofil tinggi seperti ini juga diharapkan dapat menambah semangat kepada para pemain untuk memastikan Selangor berada di puncak, musim ini,” katanya.

Tiket berharga RM20 boleh mula dibeli bermula jam 3.00 petang pada hari Sabtu (24 Mei) di Stadium Shah Alam.