Categories
BUDAYA RENCANA

Jenaka bah kepada rimba

menteri-menteri dipangkas
ditumbangkan demi selera
terjual secara pukal
kepada kilang-kilang ternama

hutan mendedahkan auratnya
urat-urat lembah, payudaranya
terhidang di lensa jelata.

berita sampai di pagar keraton
gegarkah kayu peterana
atau berita menambah derita?

batang-batang balak
tersusun rapi, tegak
diam di dewan parlimen
kedinginan dalam kebingungan

jenaka pun terjun maha lebatnya
di kepala rakyat
melimpahi sungai dan kota
entah mengapa
seorang wartawan tua
menangis tiba-tiba.

 

Shafiq Said

 

 

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Blessé

Bukan kesunyian yang membuatku bersedih
tetapi ketiadaan upaya mengungkap kata-kata
memujuk diri. Bukankah aku di kamar mandi—
ruang paling intim, paling selamat
apakah lagi yang kau takuti?

Bukan senyuman yang merawat luka tetapi cermin
berlumut di hadapanku ini. Teman yang jujur
mengukir derita dan merakam air mata—
Betapa hidup tidak adil, air mata yang mengalir
hanya dapat dilihat mata asing sedang aku
tak punya sesiapa.

Bukan ketiadaan suara dan bunyi yang meramas
dadaku tetapi kebisingan di dalam kepala ini
tak kau fahami. Aku terpisah dari pejal dunia
seperti teriak bayi terpisah dari rahim ibu,
mengapa dunia bergembira kerana itu?

Aku memeluk diri sendiri tetapi dakap dan hangatnya
terasa palsu. Kutahu lengan ini tercipta semata untuk
menoreh, menampar, menikam musuh; akukah itu
yang ingin kaubunuh?

Shafiq Said
Mentakab