Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu alam sekitar, program subsidi petrol tumpuan Parlimen

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) dan isu alam sekitar antara perkara yang akan dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-11 hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu PSP terkandung dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan oleh Shaharizukirnain Abd Kadir (PH-Setiu) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menyatakan tarikh baharu pelaksanaan PSP selepas ia ditangguhkan Kabinet.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula bertanyakan Menteri Alam Sekitar dan Air mengenai usaha kementerian dalam meningkatkan pemantauan aktiviti perladangan bagi memastikan alam sekitar dapat terpelihara daripada pencemaran serta statistik tindakan diambil terhadap syarikat yang mencemarkan alam sekitar.

Isu alam sekitar terus ‘disentuh’ oleh Yeo Bee Yin (PH-Bakri) yang bertanya mengenai usaha penghantaran balik kontena plastik haram ke negara asal seperti yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Persoalan itu antara lain turut membangkitkan jumlah kontena yang telah dihantar balik dari Mac hingga Jun 2020 dan perincian negara terlibat.

Turut dijangka menjadi perhatian ialah persoalan yang dibangkitkan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) kepada Menteri Dalam Negeri berhubung langkah strategik bagi mengesan lorong tikus aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin ke Malaysia.

Sidang Dewan pada hari terakhir minggu ketiga ini juga, akan menyambung perbahasan titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu perpaduan, persiapan hadapi Covid-19 dibangkit di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Hal berkaitan perpaduan dan kesediaan negara berdepan peningkatan penularan Covid-19 adalah antara perkara yang bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu berkenaan terkandung dalam sesi soal jawab lisan yang akan diajukan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) kepada Menteri Perpaduan Negara berhubung perancangan Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) peringkat kebangsaan yang baharu ditubuhkan dalam menangani isu dan cabaran perpaduan di Malaysia.

Hal-hal yang berkaitan penularan wabak Covid-19 di negara ini turut menjadi tumpuan Ahli Parlimen apabila dua soalan mengenainya tersenarai dalam 10 soalan pertama pada sesi berkenaan.

Soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) memohon penjelasan kerajaan mengenai usaha-usaha yang dibuat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menyelesaikan isu berkaitan pelaksanaan ibadah yang timbul sepanjang penularan Covid-19.

Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pula bertanyakan Menteri Kesihatan berhubung perancangan kementerian dalam kesediaan negara menghadapi penularan wabak pada masa akan datang termasuk sekiranya wabak Covid-19 kembali memuncak.

Sidang dewan yang memasuki hari ketujuh hari ini dijadual menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada pembentangan bacaan kali kedua bagi Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020, Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 dan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019 serta Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu tarif air Lembah Klang dibangkit di Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Isu tarif air di Lembah Klang merupakan antara perkara yang akan dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu tersebut terkandung dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang diajukan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, sama ada kerajaan dapat menjamin tarif air di wilayah itu tidak naik selepas menyerahkan Loji Rawatan Air Langat 2, kepada Pengurusan Air Selangor.

Turut dibangkitkan dalam sesi itu adalah pertanyaan daripada Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanyakan kepada Menteri Kewangan, mengenai status terkini pelaksanaan Program Prihatin dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), dan jika program itu akan diteruskan lagi dengan pengumuman lain yang baru.

Usai sesi tersebut, tumpuan dijangka terarah kepada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawapan Lisan, dan antara dijangka menjadi perhatian adalah soalan daripada Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru), yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan status terkini rundingan antara Malaysia dan Singapura, berkaitan pembangunan Projek Sistem Rapid Transit (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura.

Sidang dewan yang memasuki hari keenam hari ini juga akan menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos, berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan, bagi mengekang penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengangguran antara isu menarik dalam Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Isu pengangguran adalah antara perkara yang bakal dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) dijadual mengemukakan soalan kepada Menteri Sumber Manusia berhubung unjuran kadar pengangguran negara dan anggaran jumlah penduduk yang menganggur sehingga akhir tahun ini.

Ketua pembangkang itu juga mahu tahu mengenai langkah diambil kementerian berkenaan dalam mengatasi lonjakan kenaikan kadar pengangguran ketika sesi soal jawab lisan.

Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pula dijangka bertanyakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai penyalahgunaan lesen perniagaan seperti menjual dan menyewa lesen perniagaan kepada warga asing, serta strategi dalam memastikan ia tidak berulang pada masa depan.

Sidang dewan yang memasuki hari kelima hari ini juga bakal menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pertikai tempoh, PAKATAN jamin masuki Parlimen penuh adab

SHAH ALAM, 16 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan ahli parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) akan menjaga adab dan mematuhi peraturan Dewan Rakyat pada Isnin ini sekalipun mereka mempertikai tempoh persidangan itu.

Presiden KEADILAN yang juga pengerusi PAKATAN berkata pembangkang tetap menghormati Titah Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya tegaskan dalam PAKATAN untuk sesi Isnin, kita harus memuliakan sesi Titah Diraja dan tidak menimbulkan apa-apa masalah supaya perjalanan persidangan (berlangsung) penuh hormat dan teratur.

“Apa yang dibangkitkan kemudian (sama ada) di mahkamah atau pertikai dari segi politik, itu jangan mengganggu gugat (persidangan) terutama dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong,” kata ahli parlimen Port Dickson menerusi siaran langsung Facebook hari ini.

Dewan Rakyat hanya bersidang sehari, menyebabkan pemimpin PAKATAN mendesak ia dibuat secara penuh atau sekurang-kurangnya dua minggu.

Sidang Isnin ini juga hanya urusan Titah Diraja berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas kepada ahli-ahli Dewan Rakyat pada 13 Mei lalu.

Notis ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat yang menyatakan ketetapan itu dibuat selaras keadaan semasa negara berikutan wabak  Covid-19 yang belum reda sepenuhnya.