Categories
SELANGOR

Permohonan tanah rumah ibadat selain Islam tertakluk bawah Kanun Tanah Negara

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 22 NOV : Kelulusan permohonan tanah untuk pembinaan rumah ibadat selain Islam di Selangor diberi secara pewartaan seperti yang tertakluk di dalam Kanun Tanah Negara.

V-GanabatirauManakala prosedur pemilihan tanah untuk mendirikan rumah ibadat selain Islam di negeri ini pula dibuat berdasarkan Manual Garis Panduan Piawaian Perancangan Negeri Selangor, kata Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V Ganapathi Rao.

Antara prosedur itu katanya, rumah ibadat itu hendaklah didirikan di tengah-tengah kelompok masyarakat berkenaan, pembangunan di premis kedai atau kediaman tidak dibenarkan kecuali terbukti tiada tanah atau kawasan yang sesuai untuk tujuan itu dan tidak menimbulkan kacau ganggu kepada penghuni sekitar.

“Rumah ibadat selain Islam itu juga tidak dibenarkan dibina di kawasan lapang dan tidak boleh ditempatkan di sekeliling loji kumbahan atau pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Selain itu, Garis Panduan Hal Ehwal selain Islam turut menetapkan bahawa keluasan tanah rumah ibadat selain Islam sama ada disediakan oleh kerajaan atau pemaju tidak boleh melebihi 10,000 kaki persegi.

“Walaubagaimanapun, Jawatankuasa Hal Ehwal selain Islam boleh mempertimbangkan keluasan melebihi 10,000 kaki persegi berdasarkan kes-kes tertentu,” katanya semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Haniza Talha (PKR-Taman Medan) berhubung garis panduan bagi memilih tapak untuk pembinaan rumah ibadat selain Islam dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Katanya, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan membuat pemantauan secara berkala di tapak pembinaan rumah ibadat bukan Islam untuk memastikan syarat-syarat kelulusan sentiasa dipatuhi.

Antara syarat itu adalah memastikan ketinggian bangunan tidak melebihi 50 kaki, anjakan bangunan, penyediaan kemudahan tempat letak kereta dan sebagainya.

“Sekiranya binaan tidak menepati pelan, pihak PBT akan memberi notis di bawah Seksyen 70(13)(d) Akta Jalan ,Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dalam tempoh 14 hari.

“Ia untuk mengemukakan pelan pindaan atau merobohkan bahagian yang tidak menepati syarat, dan jika gagal mematuhi notis tersebut, PBT akan mengeluarkan kompaun di bawah Seksyen 70 (13)(d) akta yang sama bernilai RM25,000,” katanya.

-EZY

Categories
SELANGOR

Hingga Ogos, Selangor catat pelaburan RM3.47 bilion

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 21 NOV : Sehingga Ogos tahun ini, Selangor berjaya mencatatkan pelaburan bernilai RM 3.47 bilion, dan bukannya RM 2.88 billion seperti mana yang didakwa Adun Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan semalam.

ean yong hian wahExco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Ean Yong Hian Wah, menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mat Nadzari itu tidak tepat dan perlu diperbetulkan bagi mengelak kekeliruan rakyat.

Katanya, Mat Nadzari juga silap ketika memaklumkan jumlah jangkaan pelaburan bagi tahun 2013 ialah RM 11.7 billion di Dewan Undangan Negeri (DNS) semalam.

“RM 11.7 billion seperti yang dinyatakan adalah jumlah pencapaian pelaburan yang diterima pada tahun 2012 yang lalu.

“Berdasarkan prestasi pelaburan semasa, jumlah jangkaan pelaburan bagi tahun 2013 ialah sebanyak RM 5 hingga RM 6 billion, bukan RM 11.7 billion,” kata Ean Yong.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar bagi mengulas dakwaan Mat Nadzari dengan fakta yang tidak tepat berkenaan jumlah pelaburan di Selangor yang turut disiarkan dalam beberapa buah akhbar.

Ean Yong (DAP-Seri Kembangan) berharap penjelasan dan maklum balas diberikan beliau dapat membetulkan kenyataan yang dikeluarkan Adun Barisan Nasional.

Kerajaan Negeri mencatatkan jumlah pelaburan domestik berjumlah RM 2.3 billion sementara pelaburan luar pula berjumlah RM 1.1 billion, menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM 3.4 billion.

-EZY

Categories
SELANGOR

ADUN saran rangka pelan atasi miskin bandar

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 21 NOV : Kerajaan Negeri disarankan merangka pelan menyeluruh menangani peningkatan golongan miskin bandar yang kini membentuk hampir 20 peratus daripada jumlah penduduk di Selangor.

yeo bee  yinAdun Damansara Utama, Yeo Bee Yin, berkata terdapat 1.5 juta rakyat Selangor hidup dalam kemiskinan, sekiranya kadar garis kemiskinan diletakkan pada jumlah pendapatan isi rumah sebanyak RM 1,500.

Menurut Bee Yin, 88 peratus daripada jumlah itu, iaitu bersamaan dengan 1.3 juta rakyat miskin didapati tinggal di bandar.

“Kemiskinan selalunya melahirkan jenayah dan mereka yang terdesak selalunya akan bertindak mencuri atau bertindak ganas demi memberi makan kepada keluarga.

“Lebih daripada lima puluh kajian menunjukkan kecenderungan bertindak ganas lebih lazim dalam masyarakat yang mempunyai jurang pendapatan yang lebar.

“Kerajaan dapat membantu mengurangkan kemiskinan, kita bukan sahaja dapat mewujudkan masyarakat yang lebih saksama dan harmoni malahan dapat mengurangkan kadar jenayah dan mewujudkan masyarakat lebih selamat,” ujar Bee Yin.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2014 di Sidang Dewan Undangan Negeri di sini.

Dalam ucapan sama, beliau juga mencadangkan agar kesemua program di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) diletakkan di bawah satu pentadbiran berbanding sistem pengurusan berbeza yang ada buat masa ini.

“Sekarang ini, ada banyak jabatan yang mengendalikan program MES yang berbeza hingga menyebabkan terdapat banyak pertindihan fungsi.

“Ini membolehkan Kerajaan Negeri memperbaiki koordinasi dan kecekapan program-program MES dan seterusnya mengurangkan kos pengurusan negeri,” kata Bee Yin.

-EZY

Categories
SELANGOR

Kerajaan Pusat digesa bina dua hospital awam di Selangor

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 21 NOV : Kerajaan Pusat digesa untuk membina sekurang-kurangnya dua lagi hospital awam di Selangor dengan kapasiti 400 buah katil dalam tempoh lima tahun.

Dr Xavier JayakumarAdun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar, berkata ia bagi menampung kesesakan di hospital awam berikutan peningkatan bilangan pesakit yang semakin drastik terutama di Klang dan Kajang.

Katanya, meskipun pembinaan Hospital Shah Alam sedang berlangsung, namun tiada jaminan mahupun tetapan daripada Kerajaan Pusat berhubung tarikh sebenar untuk hospital itu beroperasi.

“Hospital Shah Alam dianggap tidak relevan kerana ia sudah terlalu lewat untuk dibuka kepada rakyat, malah ia dijangka tidak akan siap pada tahun depan kerana lari dari perancangan asal.

hospital tanjong karang 03“Kerajaan negeri sebelum ini pernah memaklumkan bersedia untuk memberi sekeping tanah di Kuala Selangor bagi pembinaan hospital dan saya minta perkara itu dipanjangkan kepada kerajaan pusat dengan segera,” katanya dalam sesi perbahasan Belanjawan Negeri Selangor 2014 di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Dr Xavier berkata, statistik menunjukkan jumlah kedatangan pesakit luar untuk mendapatkan khidmat kesihatan di Selangor terus meningkat sebanyak 3.5 juta sehingga 2012.

Katanya, peningkatan itu boleh dilihat di empat daerah di Selangor iaitu Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling.

“Kita ambil contoh Hospital Tengku Ampuan Rahimah di mana pada tahun 2012, jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan ialah sebanyak 95,194 berbanding 90,229 pada tahun sebelumnya dan dijangka akan terus meningkat untuk tahun 2013 dan 2014.

“Kadar penggunaan katil juga terus meningkat kepada lebih 100 peratus,” katanya lagi.

-EZY