Categories
SELANGOR

Wan Azizah: 16 tahun keluarga difitnah, apa perasaan anda jika ditempat saya?

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 APRIL: Sesi perbahasan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini mencuri tumpuan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail buat pertama kali berucap bagi membahaskan titah Tuanku Sultan Selangor.

Beliau sekali lagi mempertahankan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus menjadi sasaran serangan yang dibangkitkan pelbagai pihak termasuk Pembangkang DUN Selangor dalam isu fitnah II, MH370 dan pertikaian peranan beliau sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Wan Azizah dengan tenang meminta dewan menyelami sendiri perasaan mereka jika berada ditempat beliau sekeluarga yang terus menjadi mangsa fitnah, sejak 16 tahun lalu.

07“Kalau tuan berada di tempat saya, apa perasaan anda? Saya ada anak dan keluarga,” katanya yang merujuk kepada kes Fitnah II yang dilemparkan terhadap Anwar.

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh pujian yang dizahirkan Sultan Selangor yang gembira dengan peningkatan ekonomi Selangor sebanyak enam peratus seperti yang dititahkan tuanku dalam ucapannya, pada 7 April lalu.

Katanya, angka berkenaan adalah bukti jelas Anwar melakukan tugas selaku Penasihat Ekonomi Negeri dalam memastikan ekonomi Selangor meningkat waalupun dibayar dengan gaji RM1.

09Selain itu, Wan Azizah turut menegur Kerajaan Negeri supaya mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan usaha memastikan kaedah pengurusan sisa pepejal dapat ditambah baik.

Hal itu kerana beliau melihat sendiri keadaan taburan sampah sarap pada tempoh berkempen di DUN Kajang dan percaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat diperkasakan melalui kuasa yang ada pada Kerajaan Negeri.

Tambahnya, jalan penyelesaian masalah aliran trafik untuk jangka pendek di kawasan Kajang juga perlu dibuat sementara menunggu projek MRT siap sepenuhnya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Wan Azizah pertahan Anwar berhubung isu MH370

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 8 APRIL: Buat pertama kalinya selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang semalam, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bangun pada sesi perbahasan mempertahankan suaminya yang juga Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wan Azizah bertindak demikian bagi menepis dakwaan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) yang mengatakan Anwar cuba memburukkan imej negara ketika ditemubual media antarabangsa berhubung insiden pesawat MH370.

Beliau dalam nada tenang sebaliknya menegaskan Anwar hanya menjawab soalan yang dikemukakan media berhubung fungsi radar yang dibeli kerajaan ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

a6“Penasihat Ekonomi pergi ke luar negara kerana dijemput Sky News dan CNN ekoran pemberita antarabangsa tidak mendapat jawapan jelas daripada sidang media yang diadakan pihak kementerian di Malaysia.

“Beliau langsung tidak memburukkan negara sebaliknya hanya menjawab pertanyaan yang dikemukakan dan mempersoal kegunaan sistem radar yang dibeli ketika beliau menjadi Menteri Kewangan untuk mengesan pesawat terbabit,” katanya.

Terdahulu, Anwar dalam temubual bersama media antarabangsa dilaporkan mendakwa kerajaan mempunyai maklumat yang kritikal untuk rakyat memahami misteri kehilangan pesawat MH370.

graphics_MH370_radar_afp_540_322_100Anwar menegaskan sekali lagi bahawa sistem radar Malaysia yang dibeli ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri mampu mengesan penerbangan MH370 apabila ia berpatah balik dan terbang melintasi Semenanjung Malaysia.

Beliau juga mengkritik kerajaan kerana tidak bertindak cepat pada peringkat awal dengan membiarkan Vietnam dan China menjalan operasi mencari di kawasan yang salah, di Laut China Selatan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

ADUN Sekinchan minta ‘task force’ selesai isu tanah Bagan Nakhoda Omar

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 APRIL: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim meminta Kerajaan Negeri menubuhkan ‘task force’ bagi menyelesaikan isu tanah penduduk di Bagan Nakhoda Omar.

Suee Lim dalam perbahasan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) berkata, isu terbabit sudah dibangkitkan sejak lima tahun lalu.

Namun, sehinga kini, penduduk yang juga nelayan di kawasan itu tidak diberikan jawapan berhubung status tanah yang sudah diduduki lebih 50 tahun lalu.

attactserangNG SUEE LIM-AZMIN2 copy“Status tanah rizab yang kini diduduki nelayan kaum Cina sudah diberitahu bahawa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid maklum berhubung perkara itu.

“Tetapi, perkara ini masih belum diberi perhatian sewajarnya. Sehubungan itu, kita mahu satu pasukan tindakan khas untuk menyelesaikan masalah ini supaya penyelesaian konkrit diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, penduduk di kawasan itu layak untuk diberikan kawasan penempatan yang baru jika mereka tidak dibenarkan untuk tinggal di kawasan terbabit.

“Jika perkara itu tidak boleh diselesaikan, maka penduduk perlu dimaklumkan tetapi kita harap dimaklumkan secepat mungkin jika masih dalam tindakan juga,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Khalid memaklumkan 3,252 ekar tanah rizab Melayu yang dirampas dan dijual oleh Umno-Barisan Nasional (BN) sejak mentadbir negeri itu berpuluh tahun dahulu masih belum diganti.

03“Jadi, kita tetap berusaha untuk mencari tanah bagi menggantikannya, tetapi biar ia sepadan. Maknanya jika tanah itu di bandar, ia mesti diganti juga dengan kawasan yang sama,” katanya.

Abdul Khalid memaklumkan Kerajaan Negeri masih mencari tanah yang sesuai untuk digantikan.

“Apapun, kita mahu gantikan tanah terbabit biar sesuai. Kita mengikut dasar dan kaedah yang ditetapkan serta tidak mahu lepaskan begitu sahaja, yang mana kemudian baru mahu mencari tanah ganti,” katanya.

-NFN-

 

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor proaktif selesai projek terbengkalai

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kerajaan Negeri mengambil sikap proaktif dengan menggunakan kuasa di bawah Kanun Tanah Negara 1965 untuk mengambil tanah projek terbengkalai supaya dapat dibangunkan semula mengikut perancangan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata tindakan itu nyata membuahkan hasil apabila dua projek perumahan mega yang sekian lama terbengkalai dapat diselesaikan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) iaitu di Alam Perdana, Ijok dan Bukit Botak.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus berusaha memperjuangkan hak rakyat Selangor bagi mengelakkan pembeli teraniaya dan tertipu kerana projek perumahan yang gagal disiapkan.

khalid dun 5“Saya hendak mengingatkan ahli dewan bahawa adalah satu kesalahan jenayah bagi pemaju perumahan yang tidak menyiapkan projek mereka.

“Oleh itu, ahli dewan perlu mengkaji undang-undang supaya masalah projek terbengkalai yang mengakibatkan begitu ramai pembeli tertipu dan rugi ratusan juta kerana projek yang tidak disiapkan.

“Saya antara menteri besar yang dibawa ke Mahkamah Persekutuan kerana mengambil tanah untuk rakyat Selangor. Saya akan perjuangkan hak rakyat,” katanya ketika menjawab pertanyaan mulut daripada Dr Abdul Rani Osman (PAS-Meru).

Pada masa sama, Abdul Khalid turut memaklumkan sebuah Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai membabitkan semua pihak berkepentingan turut ditubuhkan untuk memantau perkembangan projek yang gagal diselesaikan sehingga kini.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan dianggotai Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan dipengerusikan Exco Perumahan, Iskandar Abdul Samad.

“Ia turut dianggotai penasihat undang-undang Jabatan Kerja Raya (JKR), wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil Jabatan Insolvensi untuk memberi nasihat serta pandangan berhubung penyelesaian kepada masalah perumahan terbengkalai ini,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Titah DYMM Sultan akan dihayati Ahli Dewan Negeri Selangor

Oleh: ASRI SAPFIE

SHAH ALAM, 8 APRIL: Sempena pembukaan Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), 400 jemputan termasuk Exco Selangor, Yang di-Pertua daerah, dan kakitangan kerajaan negeri hadir dalam jamuan makan malam bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, di sini, semalam.

Majlis itu berlangsung di HOtel Concorde, di sini, yang bermula jam 9 malam selepas keberangkatan tiba Tengku Panglima DiRaja Sulaiman Ibni Al-Marhum Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah mewakili DYMM Sultan Selangor.

IMG_8645Hadirin turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan serta nyanyian lagu klasik sepanjang acara itu berlangsung.

Speaker DNS, Hannah Yeoh turut melahirkan terima kasih kepada semua yang terbabit dalam menjayakan pembukaan sidang DNS penggal kedua.

Dalam ucapannya, beliau juga turut mendoakan kesejahteraan baginda dan keluarga, selain mewakili seluruh ahli DNS berjanji akan memberikan sepenuh perhatian bagi melaksanakan segala titah baginda ketika pembukaan sidang dewan berkenaan.

IMG_8678“Keprihatinan tuanku dalam isu rakyat jelata akan diberikan lebih perhatian oleh kami,” katanya.

Majlis yang berlangsung kira-kira 2 jam itu turut diserikan dengan penyampaian cenderamata oleh Hannah kepada Tengku Sulaiman dan juga sesi bersalaman bersama jemputan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor lulus 47 projek pembinaan Rumah Selangorku

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 8 APRIL : Kerajaan Selangor meluluskan 47 projek pembinaan Rumah Selangorku untuk dibangunkan bagi memenuhi permintaan penduduk negeri ini.

Exco Perumahan Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 18,732 unit rumah akan dibina daripada 44 projek berkenaan selepas rundingan penetapan jumlah unit rumah berjaya dimuktamadkan.

dnsKatanya, terdapat perbezaan antara pembinaan Rumah Selangorku dengan Rumah PR1MA yang dibina Kerajaan Persekutuan dari segi harga dan keluasan.

Harga Rumah Selangorku antara RM42,000 hingga RM250,000 sementara Rumah PR1MA diantara RM100,000 hingga RM400,000.

Dari segi keluasan pula rumah yang dibina Kerajaan Selangor dari 700 hingga 1,000 kaki persegi sementara PR1MA dari 670 hingga 1,300 kaki persegi.

“Kita tidak membuat rumah melebihi 1,000 kaki persegi kerana kita mahu menumpukan kepada golongan pertengahan yang sudah cukup memadai dengan 1,000 kaki persegi,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Sehingga kini, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah menerima 7,335 permohonan untuk Rumah Selangorku.

Secara keseluruhan Kerajaan Selangor mensasarkan pembinaan rumah mampu milik berjumlah 35,000 termasuk kerjasama dengan pemaju swasta seperti Sime Darby menjelang tahun 2017.

Jelas Adun Cempaka, Kerajaan Negeri memberikan insentif pengurangan caj pembangunan kepada pemaju swasta yang terlibat dengan projek perumahan yang dibuat bersama Kerajaan Negeri.

Selain itu, satu Jawatankuasa Khas untuk memantau penyiapan projek perumahan telah ditubuhkan bagi memastikan projek pembinaan 18,732 unit rumah ini siap secepat mungkin.

Kata beliau lagi, kuota 30 peratus pembelian untuk golongan Bumiputera masih dikekalkan.

Manakala pemberian insentif pototongan harga sebanyak tujuh peratus kepada pembeli telah dimansuhkan oleh kerana harga jualan rumah yang ditawarkan Kerajaan Negeri lebih rendah dan telah diberikan subsidi daripada harga pembinaan.

EZY

Categories
SELANGOR

Lebihan Marris, masuk ke tabung pembangunan

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 28 NOV : Lebihan peruntukan tahunan Sistem Maklumat Rekod Jalan raya Malaysia (Marris) di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri Selangor akan dimasukkan ke dalam tabung penyelenggaraan jalan untuk kegunaan di masa depan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata, selain tabung pembangunan, lebihan dana itu turut dimasukkan ke dalam rizab negeri supaya ia boleh dipantau.

02 (2)Katanya, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk memberi peruntukan yang bersesuaian terhadap mana-mana PBT yang mempunyai komitmen tinggi untuk menyelenggara jalan raya di kawasan mereka.

“Lebihannya (peruntukan) itu diagihkan berasaskan kadar syarat panjang jalan raya di mana kalau jalan yang perlu dijaga adalah lebih panjang.

“Maknanya PBT itu akan dapat peruntukan yang lebih bersesuaian dengan formula yang akan kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan mulut daripada Dr Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) berhubung penerimaan dan perbelanjaan peruntukan Marris dari tahun 2008 hingga 2012 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Abdul Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang itu berkata kerajaan negeri setakat ini sudah membelanjakan kira-kira RM1.35 bilion dalam tempoh lima tahun untuk penyelenggaraan jalan raya di seluruh Selangor daripada peruntukan RM1.75 bilion daripada kerajaan pusat.

Categories
SELANGOR

Selangor perkenal bas awam percuma

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 22 NOV : Kegagalan Kerajaan Pusat menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang berkesan mendorong Kerajaan Negeri memikul tanggungjawab itu demi kepentingan dan kemudahan rakyat.

sidang dun 21-11-13 - 1Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Khim, berkata walaupun tidak mendapat sebarang peruntukan daripada Kerajaan Pusat atau mana-mana pihak dan dengan kekangan sumber kewangan yang terhad, Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif perkhidmatan pengangkutan bas awam percuma.

Menurut Chang Khim (DAP-Sungai Pinang), Kerajaan Negeri juga sentiasa bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) bagi memastikan sistem pengangkutan awam di Selangor selari dengan pembangunan pesat dan peningkatan penduduk.

“Untuk tujuan itu, Jawatankuasa Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat yang di selaras oleh pihak SPAD dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan membincangkan pelaksanaan inisiatif ini secara bersepadu.

“Antara faktor yang harus diambil kira ialah perkhidmatan ‘FeederBus’ yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi perhubungan kawasan kejiranan dengan stesen pengangkutan rel (MRT/LRT) tidak bertindih,” kata Chang Kim.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Adun Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz (BN) berhubung perkembangan perkhidmatan pengangkutan awam yang terkandung di dalam Manifesto Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) Pakatan Rakyat.

Ujar Chang Khim, setiap kertas cadangan rangka kerja perkhidmatan bas awam percuma yang disediakan kesemua lapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga akan diperhalusi mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan berkesan.

Lapan PBT yang terlibat ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSP).

“Secara dasarnya perkhidmatan ini diberikan kepada semua pihak tidak kira sama ada warga emas, miskin dan lain-lain.

“Terdapat juga cadangan yang masih dalam pertimbangan seperti permintaan MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) yang mahu mengenakan bayaran RM 0.50 dan cadangan untuk tidak membenarkan mereka yang bukan warganegara menikmati perkhidmatan percuma ini dan sebagainya.

“Kesemua cadangan ini kita akan bincangkan,” kata Chang Kim.

Beliau juga berkata, perlaksanaan perkhidmatan ini akan diperluaskan ke kawasan luar bandar dan pinggiran bandar jikapermintaan meningkat di kawasan-kawasan berkenaan.

Buat masa ini, MBPJ mendahului perkhidmatan bas komuniti percuma sejak tahun 2008 yang meliputi laluan mengikut zon iaitu Zon Petaling Jaya Selatan (PJS) dan Zon Petaling Jaya Utara (PJU).

-EZY

Categories
SELANGOR

Ketua Pembangkang DNS gagal patuhi arahan

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 22 NOV : Kegagalan Ketua Pembangkang, Datuk Mohd
Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) mematuhi arahan sewaktu
perbahasan berlangsung di Dewan Negeri Selangor (DNS) mencemari budaya perbahasan yang sihat dan adil.

nik nazmiTimbalan Speaker DNS, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata beliau sentiasa  memberikan ruang secukupnya kepada setiap Adun, sama ada
daripada parti pemerintah (PR) mahupun parti pembangkang (BN) untuk berbahas.

Ujarnya, tindakan Shamsudin itu juga bertentangan dengan kata-
katanya sendiri pada awal persidangan dewan yang berterima kasih
kepada Speaker DNS atas peluang perbahasan yang adil.

“Selaku Timbalan Speaker, saya kesal perkara seperti ini boleh berlaku
tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain lagi.

“Menjadi hasrat kami (Speaker dan Timbalan Speaker) untuk
mempromosikan budaya perbahasan yang berkualiti secara adil
kepada adun-adun namun tindakan Sungai Burong mendesak saya
mengarahkan dia keluar dewan,” kata Nik Nazmi.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di DNS bagi
mengulas tindakannya mengarahkan Shamsudin keluar dewan ketika
perbahasan Adun Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan (BN)
sedang berlangsung.

Speaker DNS, Hannah Yeoh yang turut hadir dalam sidang media sama
menyatakan sokongan ke atas tindakan tegas Nik Nazmi itu.

“Setakat ini, 12 orang Adun PR sudah menamatkan sesi perbahasan
sementara BN pula seramai tujuh orang, bukankah ini sesuatu yang
bagus.

“Jadi, saya ingin juga menasihati setiap Adun untuk menggunakan
ruang dengan sebaik-baiknya dengan membawa isu-isu baru, tanpa
perlu mengulangi isu lama atau yang sudah dijawab sebelum ini,” kata
Hannah (DAP-Subang Jaya).

Nik Nazmi memutuskan mengarahkan Shamsudin keluar dewan selaras
dengan Peraturan Tetap 44 (2) berikutan tindakan Adun Sungai Burong
itu yang tidak menghormati kuasa speaker dan enggan duduk
meskipun diarah berulang kali.

Insiden bermula apabila Halimaton Saadiah Bohan (BN-Kota
Damansara) mahu membangkitkan isu kenaikan sewa flat projek
perumahan rakyat (PPR) oleh kerajaan negeri yang bermula ‘seawal
Jun 2013′.

Pihak Kerajaan kemudiannya membangkitkan Peraturan Tetap 36(6)
bahawa kenyataan itu adalah sangkaan jahat dan meminta ia ditarik
balik.

Apabila kenyataan itu enggan ditarik balik, Shamsudin kemudian cuba
bangun untuk mempertahankan tindakan Kota Damansara tanpa
merujuk mana-mana peraturan tetap.

-EZY

Categories
SELANGOR

Pergiat usaha tingkat kutipan hasil negeri

Oleh : Afeeqa Afeera,

SHAH ALAM, 22 NOV : Kerajaan Selangor akan melaksanakan usaha berterusan bagi meningkatkan kutipan hasil negeri dengan menekankan prinsip ketelusan, keupayaan dan kebertanggungjawaban dalam semua urusan.

sidang dun 21-11-13 - 1Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, berkata antara usaha yang dilaksanakan adalah mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri untuk membantu negeri menguruskan lebihan tunai dengan lebih efisyen.

Katanya, pendekatan melalui kutipan cukai tanah turut dipergiatkan melalui pelaksanaan Operasi Bersepadu Mengutip Hasil Tanah (Ops Kutip) dengan kerjasama Perbendaharaan Negeri Selangor, Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Bahagian Teknologi Maklumat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Kerajaan negeri terutamanya melalui Pejabat Daerah/Tanah sentiasa berusaha meningkatkan kutipan cukai tanah melalui beberapa kaedah iaitu mengenal pasti serta mengasingkan semua hak milik (tertunggak) yang bermasalah agar tindakan susulan dapat diambil selain menambah kaedah pembayaran di kaunter pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan negeri juga berusaha menangani tunggakan hasil cukai tanah dengan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Mengurangkan Tunggakan Cukai Tanah untuk melaksanakan kutipan tunggakan cukai tanah secara holistik melibatkan penunggak tegar dan penyelesaian hak milik yang terlibat dengan permasalahan tanah di semua Pejabat Daerah/Tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Ng Tien Chee (DAP-Balakong) berhubung langkah yang diambil untuk mengukuhkan ekonomi negeri semasa sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini. hari ini.

Teng berkata, kerajaan negeri turut mewujudkan pasukan Taskforce Mengurangkan Tunggakan Cukai Tanah di empat Pejabat Daerah/Tanah iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat untuk menangani secara khusus masalah tunggakan cukai tanah daripada hak milik bermasalah.

-EZY

Categories
SELANGOR

Adun Sungai Burong diarah keluar dewan

Oleh : Afeeqa Afeera,

SHAH ALAM, 22 NOV : Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Nik Nazmi Nik Ahmad mengarahkan Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias keluar dewan kerana keengganan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu mematuhi arahan.

niknazmiNik Nazmi memutuskan demikian selaras dengan Peraturan Tetap 44 (2) berikutan tindakan Shamsudin yang tidak menghormati kuasa speaker dan enggan duduk meskipun diarah berulang kali.

“Saya sudah jalankan perbahasan dengan baik, jadi saya minta yang berhormat Sungai Burong duduk sekarang.

“Dengan dulu dulu penjelasan saya, kalau tidak puas hati bawa usul kepada speaker, baca peraturan tetap, ada jalannya bukan melawan cakap speaker,” katanya semasa sesi perbahasan di DNS di sini.

Insiden bermula apabila Halimaton Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) mahu membangkitkan isu kenaikan sewa flat projek perumahan rakyat (PPR) oleh kerajaan negeri yang bermula ‘seawal Jun 2013’.

Pihak Kerajaan kemudiannya membangkitkan Peraturan Tetap 36(6) bahawa kenyataan Kota Damansara itu adalah sangkaan jahat dan meminta ia ditarik balik.

Apabila kenyataan itu enggan ditarik balik, Shamsudin kemudian cuba bangun untuk mempertahankan tindakan Kota Damansara tanpa merujuk mana-mana peraturan tetap.

Nik Nazmi yang kelihatan tenang berkali-kali mengingatkan Ketua Pembangkang Selangor itu supaya menggunakan usul yang betul sekiranya ingin mencelah atau tidak berpuas hati terhadap speaker.

Bagaimanapun perbalahan yang berlangsung lebih lima minit itu bertambah kecoh apabila Shamsudin terus berdiri untuk mengemukakan hujahnya.

“Memandangkan yang berhormat masih tidak mendengar arahan speaker, maka dengan ini saya memerintahkan Sungai Burong untuk keluar daripada dewan sekarang,” kata Nik Nazmi.

-EZY

Categories
SELANGOR

2,431 dapat bantuan Blueprint basmi kemiskinan

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 22 NOV : Sehingga kini seramai 2,431 rakyat Selangor yang mempunyai perniagaan sendiri dan layak berjaya menikmati bantuan Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor (BBPKNS).

V-GanabatirauExco Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V. Ganapathi Rao, berkata Kerajaan Negeri juga akan memperluaskan jenis perusahaan atau bidang yang layak diberi bantuan pada tahun hadapan.

Menurut beliau, buat masa sekarang, hanya terdapat tiga jenis perusahaan yang dibenarkan iaitu jahitan, perniagaan makanan dan perniagaan runcit.

“Pada September lalu, kita mengadakan mesyuarat dengan mereka yang pakar dalam bidang berkenaan bagi membincangkan perkara ini.

“Terdapat beberapa cadangan namun kita masih lagi mengkaji secara mendalam senarai yang ada, dan boleh dikatakan setiap perusahaan diambil kira,” kata Ganapathi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Adun Sungai Burong, Datuk Mohammad Shamsudin Lias berhubung status terkini BBPKNS.

Mengulas lanjut, Ganapathi berkata Kerajaan Negeri menyediakan bantuan peralatan atau mesin yang diperlukan oleh pemohon untuk memajukan perusahaan sedia ada mereka.

“Kita dapati penerima bantuan ini yang menggunakan bantuan secara berhemah telah membuahkan hasil yang baik,” katanya.

BBPKNS menyediakan bantuan kepada mereka yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM 1, 500, menetap di Selangor sekurang-kurangnya lima tahun dan mempunyai perusahaan sekurang-kurangnya satu tahun dengan lesen perniagaan yang sah.

-EZY