Categories
GLOBAL

ASEAN berperanan penting tingkat perdagangan serantau

BANGKOK, 23 JUN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata 10 negara anggota ASEAN bukannya tidak aktif, sebaliknya memainkan peranan penting bagi merangsang perdagangan serantau.

Beliau berkata pelbagai usaha telah dilaksanakan di rantau dan sub-rantau itu yang menyaksikan banyak pertumbuhan, malah blok serantau itu turut mencatat banyak kemajuan sejak penubuhannya, di samping berpotensi besar untuk meningkatkan pertumbuhan setiap negara anggota.

Dr Mahathir yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 yang berakhir di sini, hari ini berkata: “Banyak pihak menyatakan ASEAN tidak aktif.

“Bagaimanapun, terdapat banyak perkara yang telah dilakukan walaupun di kawasan sub-rantau termasuk Kawasan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang menyaksikan banyak pertumbuhan.

“Saya berpendapat, dedikasi ke arah ASEAN sangat betul. Jika dibandingkan dengan perkumpulan serantau yang lain, ASEAN bukan sahaja boleh bekerjasama, malah aman. (Perkumpulan) yang lain tidak aman atau menghadapi masalah dengan keanggotaan, termasuk Kesatuan Amerika Utara dan Kesatuan Eropah,”

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas menamatkan lawatan kerja empat hari ke Thailand.

Sementara itu, Dr Mahathir menggesa negara anggota untuk melaksanakan usaha khas bagi merancakkan lagi perdagangan ASEAN.

Jelasnya, perdagangan dalam kalangan negara anggota adalah sangat kecil iaitu 25 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan berbanding perkumpulan yang lain seperti EU dan Kesatuan Amerika Utara yang mencatatkan perdagangan antara 40 hingga 50 peratus.

“Kita mempunyai idea, antaranya dengan mempergiat sektor pelancongan selain prosedur, proses dan keperluan undang-undang bagi meningkatkan perdagangan dalam kalangan negara ASEAN.

“Selain itu, kita perlu tentukan apakah yang boleh kita import ke ASEAN. Banyak barangan ini mungkin kita boleh keluarkan iaitu penggantian import. Ini ialah satu cara (bagaimana) negara ASEAN memperkenalkan industri negara mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir mencadangkan agar kereta ASEAN boleh menghentikan import kereta ke rantau ini.

“Apabila kita mengimport kereta, kita memasang di Malaysia dan ia menjadi satu perniagaan yang besar…kemudiannya kita boleh menggantikannya dengan kereta nasional kita sendiri,” katanya.

Dr Mahathir berkata ASEAN turut menyambut baik semua pelaburan langsung asing ke rantau ini yang telah dikenal pasti bidangnya di setiap negara.

“Terdapat cadangan untuk ditambah baik pada masa akan datang. Kami sedang mempermudahkan komunikasi supaya orang ramai boleh menjalankan perniagaan dengan lebih mudah di setiap negara,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata perjumpaan dengan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha hari ini turut membincangkan beberapa isu termasuk proses keamanan di Selatan Thailand dan pembinaan jambatan di sempadan untuk meningkatkan perdagangan.

Selain itu, beliau berkata masalah dua kewarganegaraan turut dibincangkan.

“Ada rakyat Malaysia yang juga rakyat Thai. Ini telah menimbulkan banyak masalah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob berkata Malaysia komited untuk memuktamadkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada tahun ini.

“Rundingan sedang dijalankan dengan beberapa isu perlu diselesaikan. Antara isu tersebut ialah mekanisme penyelesaian pertikaian dan beberapa negara anggota yang mahukan pengecualian.

“Proses ini sedang berlangsung. Malah, kita terlepas sasaran untuk menandatangani RCEP beberapa kali, namun kita komited untuk memuktamadkannya menjelang akhir tahun ini,” katanya.

RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas yang dicadangkan antara 10 negara anggota ASEAN dan enam negara Asia Pasifik, iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Perjanjian perdagangan bebas itu dilancarkan secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN 2012 di Kemboja.

RCEP mempunyai gabungan penduduk berjumlah 3.4 bilion dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bernilai US$49.5 trilion atau 39 peratus daripada KDNK global.

Terdahulu, Prayuth menggesa ASEAN untuk memuktamadkan RCEP pada tahun ini untuk membentuk kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia. – BERNAMA

Categories
GLOBAL

Muktamad RCEP bentuk kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia

BANGKOK, 23 JUN: Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha menggesa ASEAN untuk memuktamadkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada tahun ini untuk membentuk kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia.

Berucap merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 di sini hari ini, pengerusi ASEAN itu menggesa semua negara anggota untuk menegaskan semula keazaman mereka untuk memuktamadkan rundingan perjanjian perdagangan.

“Aspek perlindungan yang mengekang sistem pelbagai hala mengingatkan kita bahawa kita mesti bekerjasama dengan lebih erat antara satu sama lain.

“RCEP akan menjadi kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia, dan ia dapat menampan kesan daripada konflik perdagangan yang sedang berlaku antara beberapa rakan dagangan utama ASEAN,” katanya.

RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas yang dicadangkan antara 10 negara anggota ASEAN dan enam negara Asia Pasifik, iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Perjanjian perdagangan bebas itu dilancarkan secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN 2012 di Kemboja.

RCEP mempunyai gabungan penduduk berjumlah 3.4 bilion dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bernilai US$49.5 trilion atau 39 peratus daripada KDNK global.

Sementara itu, perdana menteri Thailand yang baru dilantik itu juga menggesa anggota perkumpulan serantau untuk mewujudkan ekonomi digital ASEAN, yang dijangka menambah US$100 bilion lagi kepada KDNK ASEAN pada 2025.

“Ekonomi digital akan dapat memanfaatkan teknologi dan inovasi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta mewujudkan peluang ekonomi baharu bagi tenaga kerja mahir, usahawan dan profesional Mikro, Perusahaan Kecil dan Sederhana (MPKS) dan sektor pertanian .

“Adalah penting untuk kita meningkatkan nilai tambah di seluruh rantaian bekalan pertanian, untuk mengurangkan ketaksamaan dan jurang pembangunan.

“Kita juga harus menggunakan Koridor Ekonomi Timur (EEC) dan pendekatan ‘menghubung kesalinghubungan’ di sub-rantau Strategi Kerjasama Ekonomi Ayeyawady-Chao Phraya-Mekong (ACMECS) dan rantau Asia Pasifik dan Indo-Pasifik, ” katanya. – BERNAMA

FOTO KREDIT: FB ASEAN2019

Categories
GLOBAL

PM Thai rasmi pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-34

BANGKOK, 23 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad hari ini menghadiri upacara pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 yang menyaksikan Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha, membentangkan wawasannya untuk perkumpulan serantau 10 negara itu.

Dalam ucapan perasmiannya yang bertemakan ‘Memperkukuhkan Kerjasama bagi Kelestarian’, Prayuth berkata negara itu akan meneruskan inisiatif dan tugas baik yang diusahakan pengerusi sebelumnya “untuk merealisasikan impian yang telah kita semua tetapkan serta memastikan penduduk ASEAN, sekarang dan masa depan, boleh menangani cabaran yang datang dan benar-benar mendapat manfaat daripada ASEAN “.

Beliau berkata kepengerusian Thailand mencerminkan impian ASEAN untuk mewujudkan Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat, tidak mengecualikan sesiapa sahaja serta memastikan rakyat hidup di rantau aman, stabil dan makmur yang berkekalan.

Beliau berkata negara-negara anggota ASEAN perlu mengambil kesempatan daripada Revolusi Perindustrian Keempat untuk meningkatkan daya saing dan membina imuniti terhadap kesan negatif teknologi yang mengganggu supaya dapat maju ke arah “Digital dan Green ASEAN”.

Prayuth menyeru negara-negara anggota supaya mengukuhkan usaha sama melalui kerjasama yang lebih mendalam di dalam ASEAN dan dengan rakan luarnya untuk memperkukuhkan kedudukan ASEAN di rantau ini dan meningkatkan peranan ASEAN dalam menangani isu-isu serantau dan global yang penting.

Beliau menggesa semua negara anggota supaya menggalakkan kesalinghubungan dalam semua dimensi, daripada infrastruktur digital dan peraturan untuk menghubungkan rakyat bagi membina “ASEAN Seamless”.

“Kita berhasrat untuk menjadi “ASEAN Lestari” dalam semua dimensi, dari keselamatan hingga ekonomi, alam sekitar dan keselamatan manusia. Mulai sekarang, konsep “Sustainability of Things” atau SOT, akan memaklumkan setiap keputusan ASEAN dan menjadi DNA ASEAN untuk disalurkan kepada generasi akan datang.

“Komuniti ASEAN yang mampan akan membantu meningkatkan nilai ditambah strategik ASEAN dalam jangka panjang dan akan menjadi perisai pelindung bagi rakyat kita dalam menghadapi perubahan serantau dan global dan ketidakpastian,” katanya.

Antara yang mendapat perhatian sidang kemuncak itu ialah acara tradisi para pemimpin berjabat tangan. Tumpuan media tempatan dan antarabangsa jelas ke arah Dr Mahathir, yang berdiri di hujung sebelah kiri manakala pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi , berdiri di sebelahnya, kerana kedua-dua pemimpin itu berbeza pendapat dalam krisis Rohingya.

Terdahulu, semua pemimpin ASEAN melancarkan ‘Satellite Warehouse’ di Wilayah Chainat, Thailand di bawah Sistem Logistik Kecemasan Bencana untuk ASEAN (DELSA).

Menurut Thailand, Satellite Warehouse atau gudang satelit itu akan membolehkan ASEAN dan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA) di Indonesia mengedarkan barangan bantuan dengan lebih berkesan ke negara anggota ASEAN yang terjejas bencana di tanah besar Asia Tenggara.

Sementara itu, Sekretariat ASEAN dalam satu kenyataan menjelaskan gudang satelit itu akan mengukuhkan lagi tindak balas kolektif ASEAN terhadap bencana alam di bawah semangat “Satu ASEAN, Satu Respons” di seluruh ASEAN, berikutan perangkaian dengan gudang serantau di Malaysia dan gudang satelit di Filipina.

“Gudang satelit di bawah DELSA adalah satu lagi penyampaian dalam menyokong tema kepengerusian ASEAN ‘Memperkukuhkan Kerjasama bagi Kelestarian,” katanya.

Dr Mahathir dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-13 dan Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-12, kemudiannya. – BERNAMA

FOTO KREDIT: FB ASEAN2019

Categories
GLOBAL

Tun M cadang perkenal cukai perniagaan tingkat pendapatan ASEAN

BANGKOK, 23 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad mencadangkan cukai perniagaan dalam talian diperkenalkan untuk meningkatkan pendapatan dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Dr Mahathir menyifatkan bahawa perniagaan dalam talian telah memberi kesan kepada perniagaan konvensional.

Memetik Amazon.com sebagai contoh, beliau berkata kedai buku dalam talian itu menyebabkan kedai-kedai buku konvensional gulung tikar.

“Perniagaan dalam talian yang berurusan secara terus telah menyebabkan perniagaan konvensional terjejas dan kutipan cukai perniagaan juga berkurangan.

“Menerusi perniagaan dalam talian, kita tidak tahu siapa yang mendapat keuntungan (kutipan cukai),” katanya kepada pemberita Malaysia selepas menghadiri Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34, di sini, pada Sabtu.

Saranan itu disuarakan Perdana Menteri ketika sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 sebelum itu.

Dr Mahathir berkata, ketika ini hanya negara asal perniagaan dalam talian itu yang mendapat keuntungan menerusi kutipan cukai tersebut.

“Kita tidak dapat apa-apa. Sehubungan itu, saya mencadangkan beberapa perkara supaya kita dapat sebahagian daripada cukai keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata sesi pleno itu juga membincangkan isu-isu lain berkenaan kerjasama ASEAN.

“Perdagangan intra-ASEAN adalah sangat kecil. Maka, perlu ada satu usaha khusus untuk meningkatkan perdagangan intra-ASEAN,” katanya.

ASEAN yang didiami lebih 600 juta penduduk adalah pasaran besar untuk perdagangan.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di sini yang dipengerusikan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha.

Dalam Pleno itu, para pemimpin negara anggota ASEAN membincangkan isu berkaitan tema sidang kemuncak berkenaan iaitu “Memperkukuhkan Kerjasama bagi Kelestarian”, termasuk kaedah untuk membina Komuniti ASEAN yang kukuh, berpaksikan rakyat, memastikan tiada yang ketinggalan dan melangkah arah masa depan yang gemilang.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Dr Mahathir hadiri sesi pleno sidang kemuncak ASEAN ke-34

BANGKOK, 22 JUN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menghadiri sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di sini yang dipengerusikan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha.

Dalam sesi itu, para pemimpin negara anggota ASEAN membincangkan isu berkaitan tema sidang kemuncak berkenaan iaitu “Memperkukuhkan Kerjasama bagi Kelestarian”, termasuk kaedah untuk membina Komuniti ASEAN yang kukuh, berpaksikan rakyat, memastikan tiada yang ketinggalan dan melangkah arah masa depan yang gemilang.

Terdahulu, Dr Mahathir mengambil bahagian dalam perjumpaan bersemuka dengan wakil daripada Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).

Malam ini, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali majlis jamuan gala yang dianjurkan oleh Prayuth bagi pemimpin ASEAN serta Setiausaha Agung ASEAN. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Isu serantau antara fokus sidang kemuncak ASEAN ke-34

BANGKOK, 19 JUN: Isu serantau dan antarabangsa yang memberi kesan kepada negara-negara anggota ASEAN akan dibincangkan pemimpin-pemimpin pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Bangkok, dalam usaha mewujudkan kestabilan ekonomi dan politik serantau.

Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad bersama pemimpin anggota negara ASEAN lain akan berhimpun mulai esok hingga 23 Jun ini membincangkan isu-isu perang dagang China-Amerika Syarikat, isu Laut China Selatan, pelarian Rohingya, Semenanjung Korea, terrorisme dan extremisme.

“Para pemimpin anggota ASEAN dijangka bertukar pendapat dan membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa semasa untuk membawa kestabilan ekonomi, politik dan keselamatan di rantau ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Selain itu, Rozian berkata empat dokumen akan diperakukan semasa sidang kemuncak kali ini iaitu ASEAN Leaders’ Vision Statement on “Partnership for Sustainability”; An ASEAN Indo-Pacific Outlook; Bangkok Declaration on Combating Marine Debris in the Region; dan ASEAN Leaders’ Statement on the ASEAN Cultural Year 2019.

Beliau berkata para pemimpin negara anggota ASEAN dijangka akan membincangkan pelbagai isu termasuk pewujudan Komuniti Asean menjelang 2025.

Bertemakan “Advancing Partnership for Sustainability”, beliau berkata para pemimpin akan membincangkan isu-isu berkaitan untuk membawa Asean lebih maju di bawah kepengerusian pertama Thailand.

“Malaysia menyokong tema yang diperkenalkan Thailand. Kita akan lihat apa (aspek) yang boleh kita bekerjasama untuk kestabilan di rantau ini. Para pemimpin anggota negara ASEAN akan memberi sokongan kepada inisiatif Thailand.

“Pada masa yang sama, negara-negara ASEAN bersama 10 anggota negara dialog dijangka melaksanakan program untuk memanfaatkan rantau ini khusunya untuk mengukuhkan kestabilan ekonomi dan dalam usaha mewujudkan Asean Community,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata Dr Mahathir yang akan tiba di Bangkok pada esok akan menghadiri Sesi Pleno Sidang Kemuncak Asean Ke-34 dan juga Sesi Pemukiman Sidang Kemuncak Asean Ke-34 pada Sabtu dan Ahad ini.

“Sidang kemuncak kali ini memberi peluang kepada para pemimpin ASEAN untuk menilai semula dan mengkaji isu-isu semasa dan agenda Komuniti Asean berikutan penubuhan Komuniti Asean dan perakuan dokumen Asean 2025,” katanya.

Selain itu, Jojie berkata perdana menteri juga akan mengambil bahagian dalam pertemuan pemimpin-pemimpin ASEAN dengan perwakilan Persidangan Perhimpunan Antara Parlimen Asean (AIPA); pertemuan dengan perwakilan Belia Asean dan pertemuan dengan Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-Bac).

Selain itu, beliau berkata Dr Mahathir juga dijadual mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak ke-13 Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Sidang Kemuncak ke-12 Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia, Thailand (IMT-GT) yang akan berlangsung pada Ahad.

Beliau berkata Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dijadualkan menghadiri Makan Malam Gala yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha untuk Pemimpin-Pemimpin Asean pada Sabtu malam.

Di akhir Sidang Kemuncak, Thailand sebagai Pengerusi ASEAN akan mengeluarkan Kenyataan Pengerusi untuk mencerminkan perbincangan para pemimpin.

Dalam lawatan ini, Dr Mahathir akan merasmikan program Malaysia Fest 2019 di Central World Shopping Mall, di samping mengadakan mesyuarat perniagaan meja bulat dengan tokoh-tokoh industri Thailand pada Jumaat.

Sementara itu, Jojie berkata Dr Siti Hasmah dijadual menyertai program untuk pasangan yang dihoskan isteri perdana menteri Thailand, Professor Madya Naraporn Chan-o-cha iaitu lawatan ke National Museum of Royal Barges dan juga demonstrasi kraftangan Thailand serta ‘Traditional Thai appetizers and desserts’ oleh Royal Traditional Thai Crafts School for Women.

Selain itu, Dr Siti Hasmah juga akan menghadiri majlis makan tengah hari dihoskan Naraporn.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PM ketuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak ASEAN di Bangkok

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asean ke-34, serta Sidang Kemuncak yang berkaitan di Bangkok, Thailand, dari 20 sehingga 23 Jun ini.

Perdana Menteri akan diiringi oleh Isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali; Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darrel Leiking; serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di samping pegawai-pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Wisma Putra, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan juga Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Dengan tema ‘Advancing Partnership for Sustainability’, Sidang Kemuncak Asean ke-34 itu adalah Sidang Kemuncak pertama diadakan dengan Thailand sebagai pengerusinya tahun ini, menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini.

Sidang Kemuncak itu akan memberikan peluang kepada para pemimpin negara-negara anggota Asean, untuk saling bertukar pandangan berhubung hala tuju masa depan perkumpulan itu dan proses pembinaan komunitinya, di samping pelaksanaan Wawasan Komuniti Asean 2025, dan berbincang mengenai isu-isu penting peringkat serantau dan antarabangsa.

Perdana Menteri, dan juga lain-lain menteri, akan mengambil bahagian dalam tiga pertemuan, yakni pertemuan pemimpin-pemimpin Asean dengan perwakilan Persidangan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA); pertemuan pemimpin-pemimpin Asean dengan perwakilan Belia Asean, serta pertemuan pemimpin-pemimpin Asean dengan Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-Bac).

Kementerian Luar berkata Dr Mahathir juga akan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak ke-13 Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Sidang Kemuncak ke-12 Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia, Thailand (IMT-GT) yang akan berlangsung pada 23 Jun.

Dalam lawatan itu Perdana Menteri juga akan merasmikan program Malaysia Fest di 2019 di the Central World Shopping Mall, di samping mengadakan mesyuarat perniagaan meja bulat dengan tokoh-tokoh industri Thailand pada 21 Jun. – BERNAMA