Categories
AGENDA NASIONAL

Sidang Kemuncak KL: Penyertaan bukan pengiktirafan Kerajaan

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Penyertaan mana-mana individu atau organisasi pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL) 2019 baru-baru, tidak semestinya mendapat pengiktirafan oleh kerajaan Malaysia, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, beliau telah menjelaskan inisiatif sidang kemuncak itu dan tujuannya kepada Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Kerjasama Afrika dan Rakyat Afrika Di Luar Negeri Kerajaan Maghribi Nasser Bourita, yang berkaitan dengan penyertaan dua organisasi Maghribi.

“Saya mengadakan perbualan telefon dengan Nasser Bourita awal pagi ini mengenai penyertaan dua organisasi Maghribi, Attawhid wa Al Islah dan Al Adl wa Al Ihsan, pada Sidang Kemuncak KL baru-baru ini.

“Saya menjelaskan kepada beliau bahawa Sidang Kemuncak KL 2019 adalah inisiatif Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia (NGO), dan semua jemputan kepada ulama dan wakil sektor swasta dan masyarakat awam, serta mesyuarat mereka dengan Perdana Menteri Malaysia (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan pemimpin Malaysia yang lain telah kendalikan oleh NGO berkenaan, “menurut kenyataan itu.

Beliau menjelaskan bahawa penyertaan dua organisasi Maghribi itu hanya terhad kepada input mereka mengenai isu-isu berkaitan dengan tujuh topik yang dibincangkan di Sidang Kemuncak KL 2019.

“Saya juga menyampaikan kepadanya bahawa Sidang Kemuncak KL 2019 diadakan dengan matlamat untuk menyediakan landasan antarabangsa untuk dialog, persidangan pemimpin Islam, cendekiawan, sektor swasta dan masyarakat sivil untuk mencari penyelesaian yang didorong oleh tindakan kepada masalah yang dihadapi oleh ummah dan berusaha untuk memperbaiki keadaan dalam kalangan negara-negara Islam, “katanya.

Beliau juga sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia terus menegakkan dasar selama ini yang tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara dan saling menghormati dalam hubungannya dengan negara lain yang berdaulat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM ucap terima kasih kepada petugas Sidang Kemuncak KL

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang menjayakan Sidang Kemuncak KL 2019 sehingga ia mencapai matlamat yang diharapkan.

Beliau berkata mengikut laporan yang diterimanya melalui media dan delegasi asing, sidang kemuncak itu berjaya membuahkan hasil dalam usaha membangunkan negara-negara Islam.

“Semua ini hasil usaha kerja dan tenaga tuan-tuan dan puan-puan, sebab itu saya amat berterima kasih kepada semua yang hadir malam ini dan tiada cara saya membalas budi, kerana setakat makan malam saja tak cukup barangkali, tetapi itu sajalah yang kita mampu.

“Semua peserta dan pekerja telah berusaha bertungkus lumus menjayakan suatu perjumpaan yang luar biasa dalam dunia Islam, tetapi sebenarnya bagi semua kerja yang kita lakukan (tujuannya) bukan upah atau makanan, yang penting sebaliknya kepuasan hati kita kerana matlamat kita telah tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Penghargaan bagi meraikan lebih 1,000 petugas pada Sidang Kemuncak KL 2019 yang berakhir hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Sidang Kemuncak itu berkata pada mulanya beliau khuatir sama ada persiapannya berjalan dengan sempurna atau sebaliknya, berikutan kekangan tugas sebagai Perdana Menteri yang menyebabkan beliau tidak dapat memantau perkembangan persiapan dengan kerap.

Bagaimanapun selepas melihat sendiri perjalanan sidang kemuncak itu yang sempurna, beliau kagum akan persiapan yang dijalankan para petugas dalam mengendalikan persidangan bertaraf antarabangsa itu.

“Macam-macam usaha telah dibuat termasuk mengadakan latar belakang yang cantik, melihat pameran, berkenaan dengan pencapaian dalam bidang teknologi moden, kita juga dapat dengar syarahan pemimpin-pemimpin, dan dalam program meja bulat yang diadakan khusus untuk memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang kita ingin capai, (semuanya) berjalan dengan baik,” katanya.

Sidang Kemuncak KL 2019 yang bermula Rabu lepas disasar untuk menampilkan penyelesaian yang baharu dan boleh dilaksanakan dalam menghadapi isu-isu yang membelenggu dunia Islam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sidang Kemuncak KL orak langkah perkasa Islam

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 yang berakhir hari ini, berjaya menghasilkan inisiatif konkrit untuk mengangkat umat Islam dan menangani beberapa kebimbangan masyarakat seperti Islamofobia.

Walaupun terdapat kritikan, Perdana Menteri yang juga pengerusi sidang berkenaan, Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan persidangan empat hari itu bermula pada 18 Dis, dan tegas dengan kepercayaannya bahawa sidang kemuncak itu dapat memberikan sumbangan positif kepada permasalahan membelenggu masyarakat Islam global.

“Kami sekali lagi menegaskan bahawa sidang kemuncak ini tertumpu pada objektifnya mencari penyelesaian dan program yang kami percaya dapat membantu dan akhirnya menyelamatkan ummah daripada penderitaan yang dialami mereka sekarang,” katanya pada sesi penutup persidangan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Pemimpin sealiran dengan Dr Mahathir, turut menyokong beliau dengan menghadiri sidang kemuncak itu termasuk Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani, serta perwakilan di semua peringkat dari 56 negara Islam.

Bukan sekadar pentas untuk omong kosong, inisiatif-inisiatif yang dihasilkan oleh sidang kemuncak itu akan memberi manfaat kepada ummah dalam bidang seperti teknologi tinggi, kolaborasi media, pusat kecemerlangan penyelidikan saintifik, jaminan makanan serta kepimpinan belia.

Umat Islam kini berdepan dengan penindasan, pemenjaraan, ditempatkan dalam kem tahanan serta terjejas dengan perang saudara yang mengakibatkan kemusnahan bandar dan negara sehingga mendorong kepada penghijrahan besar-besaran umat Islam ke negara-negara bukan Islam.

Umat Islam turut menghadapi peningkatan Islamofobia dan amalan tidak rasional yang melanggar rukun Islam tetapi menyebarluaskannya atas nama Islam.

Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada penutup Sidang Kemuncak KL di sini hari ini. Foto BERNAMA

Dr Mahathir tanpa putus asa berusaha menjelaskan bahawa Sidang Kemuncak KL tidak bertujuan untuk mengambil alih peranan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tetapi berfungsi sebagai kerjasama strategik untuk melengkapi usaha yang dilakukan oleh gabungan negara Islam yang sedia ada, seperti OIC dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8).

Sementara itu, para perwakilan yang menghadiri Sidang Kemuncak KL itu memuji perhimpunan ini yang mereka rasakan telah berjaya menghasilkan keputusan yang konkrit dan bukan sekadar cakap kosong.

Prof Dr Umaimah Altijani Mustafa dari University of Khartoum, Sudan, berkata sidang kemuncak ini telah meneliti masalah dan konflik yang menjejaskan negara-negara Islam dan ummah secara keseluruhan dan telah berusaha dengan cara yang sangat ikhlas untuk mencari sebab dan penyelesaian bagi isu-isu tersebut.

“Saya fikir ia akan dapat mengisi jurang yang dihadapi ummah dan akan banyak membantu memperbaiki keadaan Muslim dan cuba memulihkan era kegemilangan umat Islam.

“Seperti yang kita tahu Dr Mahathir adalah seorang pemimpin Islam yang disegani, yang boleh menterjemahkan perkataan kepada tindakan. Justeru, saya percaya Sidang Kemuncak KL akan memainkan peranan yang sangat baik dan besar dalam mengubah keadaan ummah,” katanya.

Seorang perwakilan dari Switzerland, Khaldoun Dia-Eddine, yang juga Ketua Bahagian Timur Tengah dan Perniagaan, Universiti Sains Gunaan Zurich, berkata persidangan tersebut memberi isyarat bahawa umat Islam mempunyai keazaman tinggi untuk mengatasi masalah dan krisis membelenggu mereka.

Beliau berkata umat Islam di seluruh dunia sedang menanti langkah susulan dalam bentuk tindakan hasil daripada perhimpunan tersebut.

“Sekarang cabaran utama ialah menterjemahkan instrumen yang dimeterai kepada pelaksanaan dan amalan sebenar,” kata Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Tukri, Dr Haitham Al Haddad.

Dalam pada itu, perwakilan dari United Kingdom, Sirajul Islam, berkata sidang kemuncak ini harusnya dijadikan ‘wake up call’ (peringkatan) untuk ummah berdiri teguh dan saling membantu terutama mereka yang berdepan dengan ancaman atau bahaya.

“Ia penting kerana ummah perlu bersatu. Jika salah seorang menderita, seluruh ummah perlu turut merasai keperitannya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Solidariti Palestin di Turki, ​​​​Mohammed Mesheinesh berkata beliau gembira melihat semua pemimpin di sidang kemuncak itu memperakui isu berkaitan rakyat Palestin dalam ucapan mereka.

“Semua pemimpin ini mahu menangani masalah berkenaan kerana mereka tahu kami rakyat Palestin ingin hidup di negara sendiri, tapi ia sedang dijajah. Mereka faham bahawa ia adalah masalah utama ummah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perhubungan Luar Jamaat-e-Islami Hind, sebuah pertubuhan Islam di India, Dr Rizwan Rafeequi, memuji kejayaan sidang kemuncak itu.

“Diharapkan semua resolusi boleh dilaksanakan dan seluruh dunia Islam boleh disatukan dan mendapat manfaatnya. Kami rasa sidang kemuncak ini akan memperkasa semua ummah di India dan di seluruh dunia,” katanya.

Pegawai Hamas pula Dr Osama Hamdan berkata sidang kemuncak itu adalah permulaan baik bagi membawa perubahan positif kepada komuniti Muslim, namun mengingatkan bahawa ada banyak perkara yang perlu dilakukan bagi menjayakannya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tingkat pelaburan di negara Islam kurang berada

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Negara Islam yang kaya diminta supaya melabur lebih banyak lagi di negara Islam yang kurang berada supaya kemakmuran dan kemajuan dapat dikongsi antara mereka, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata negara Islam setakat ini didapati tidak banyak melabur di negara Islam lain yang memerlukan pelaburan mereka.

“Negara-negara miskin sepatutnya menerima pelaburan asing terutamanya daripada negara Islam,” katanya pada sidang akhbar di akhir Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 di sini hari ini.

Dr Mahathir menegaskan negara Islam tidak menolak pelaburan daripada negara bukan Islam.

“Tetapi kita merasakan bahawa negara Islam setakat ini tidak banyak melabur di negara Islam lain yang memerlukan pelaburan mereka,” katanya yang juga Pengerusi Sidang Kemuncak KL.

“Jadi, kami harap hasil daripada persidangan ini, banyak lagi negara Islam yang kaya akan melabur di negara miskin,” katanya.

Dr Mahathir berkata Malaysia juga mengalu-alukan pelaburan dari negara Islam yang lain, misalnya, dalam pengeluaran peralatan dan kelengkapan pertahanan.

“Kita juga memerlukan aliran tunai mungkin untuk pelaburan dalam hartanah, kewangan dan banyak bidang lain di mana mereka yang mempunyai modal boleh melabur,” katanya.

Mengenai perkara lain, Perdana Menteri berkata negara-negara Islam perlu mempunyai kajian terperinci mengenai cadangan dinar emas digunakan untuk dagangan antarabangsa.

Beliau berkata ketidakstabilan dolar Amerika merupakan antara sebab gesaan untuk dinar emas digunakan.

“Hari ini, kita tersekat dengan penggunaan mata wang tunggal untuk dagangan antarabangsa iaitu dolar Amerika tetapi dolar Amerika tidak stabil. Kadang-kadang ia semakin kuat dan kadang-kadang ia lemah tetapi emas mempunyai nilai tertentu untuk semua negara dalam dunia.

“Kita boleh memanggil mata wang kita dengan apa jua nama tetapi ia harus berkait dengan nilai emas di negara anda. Jika anda tahu nilai emas dalam negara anda dengan rakan dagangan anda, maka kita dapat hitung berapa emas digunakan dalam urusan dagangan dan dengan itu, kita boleh panggil dinar emas sebagai bayaran standard,” jelas Dr Mahathir.

Dr Mahathir juga menyatakan kepuasannya dengan penganjuran sidang kemuncak tersebut yang telah menarik minat dari negara-negara dari seluruh dunia termasuk beberapa ketua negara, perwakilan dan ulama.

“Kami berpuas hati dengan kehadiran dan perbincangan yang lebih menumpukan bagaimana kita boleh membantu diri kita daripada meminta orang lain untuk tidak melakukan itu dan ini kerana kita lemah.

“Kita perlu belajar untuk memperkasakan diri dan lebih​​​​​​ bersatu, Itulah tujuannya. Apa juga orang nak memperkatakan, itulah adalah hak mereka,” katanya.

Sidang kemuncak edisi kelima itu dihadiri oleh Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani serta 450 perwakilan dari 56 negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Sidang Kemuncak KL lengkapi usaha gabungan negara Islam

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Sidang Kemuncak KL bertindak sebagai kerjasama strategik untuk melengkapkan usaha yang dilakukan oleh gabungan negara Islam sedia ada seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8).

Perdana menteri berkata semua negara Islam dipelawa menyertai usaha ini dalam perbincangan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada masa akan datang yang akan dijenamakan semula sebagai Dialog Perdana, bermula 2020.

Dr Mahathir, sebagai pengerusi Sidang Kemuncak KL, berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada akhir persidangan edisi 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kenyataan Pengerusi Sidang Kemuncak KL 2019 yang mengandungi antara lain, komitmen dan ikrar dalam usaha untuk meningkatkan kemajuan umat Islam, dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Sidang Kemuncak Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid pada majlis penutup persidangan itu.

“Kami komited untuk melaksanakan penyelesaian pragmatik yang disokong oleh sidang kemuncak ini dengan tujuan untuk memulihkan ketamadunan Islam yang sangat dihormati, memperbaiki keadaan semasa ummah, dan memperluas jangkauan pembangunan ekonomi serta sains, teknologi dan inovasi untuk manfaat generasi akan datang,” kata Dr Mahathir dalam dokumen itu.

“Kami mengiktiraf peranan setiap ummah dalam semua kepelbagaiannya untuk mencapai matlamat memulihkan peradaban Islam untuk kebaikan ummah,” katanya dalam kenyataan pada Sidang Kemuncak KL bertemakan ‘Peranan Pembangunan Dalam Akses Kedaulatan Negara’.

Dr Mahathir berkata sidang kemuncak itu memutuskan untuk memanfaatkan solidariti, kekuatan dan sumber untuk memangkinkan amanat yang diperbaharui dan kesungguhan ummah untuk meningkatkan kehidupan, memodenkan dan mencipta pendekatan baharu untuk menangani masalah dihadapi umat Islam.

Perdana menteri berkata sidang kemuncak itu menekankan pentingnya mengenal pasti pembangunan diperlukan negara-negara Islam, mewujudkan peluang dalam pelbagai bidang, memerangi rasuah dan mengamalkan tadbir urus yang baik, serta menangani krisis identiti dan ancaman Islamofobia.

Peluang yang akan diwujudkan seperti ekonomi, perdagangan, pelaburan, perindustrian, penyelidikan dan pembangunan, produk kewangan Islam dan kemajuan teknologi bersama dalam bidang-bidang yang penting.

“Kami mengulangi komitmen kami untuk bekerjasama ke arah membangunkan ummah yang menjalani kehidupan penuh kebebasan, dengan kemuliaan dan kemakmuran, dilengkapi dengan tahap pendidikan dan kemahiran tertinggi untuk peluang sosioekonomi yang lebih baik,” katanya.

Dr Mahathir berkata perbincangan turut menyentuh mengenai isu mata wang dan cara perdagangan sesama negara Islam, di mana beliau mencadangkan supaya dikaji semula idea perdagangan dengan menggunakan dinar emas dan sistem barter.

Beliau berkata penting juga bagi beliau untuk menyatakan bahawa Iran khususnya, walaupun bertahun-tahun berdepan perintah sekatan, mampu terus maju dan berkembang, dengan mempunyai jumlah jurutera keempat tertinggi di dunia.

Pemimpin Malaysia itu berkata Qatar juga telah dikenakan sekatan dan, seperti Iran, turut berjaya bangkit dan berkembang maju dengan hebat.

“Bagaimanapun, sekatan sedemikian tidak semata-mata merujuk kepada Iran dan Qatar sahaja. Semasa dunia menyaksikan negara-negara membuat keputusan unilateral bagi mengenakan langkah berbentuk menghukum seperti itu, Malaysia dan negara lain harus selalu ingat bahawa ia juga boleh dikenakan ke atas mana-mana daripada kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata atas alasan inilah, negara-negara Islam perlu berdikari dan berusaha dengan negara Islam lain untuk memastikan bahawa jika langkah-langkah seperti itu dikenakan kepada mereka, atau apabila dikenakan, mereka mampu menghadapinya.

Dr Mahathir turut menyentuh berhubung kebimbangan umat Islam di negara bukan Islam dipaksa menjalani asimilasi, dengan berkata “Kita menyokong integrasi, tetapi asimilasi sehingga ke tahap meninggalkan agama kita, ia tidak boleh diterima,”

Beliau berkata sidang kemuncak ini menegaskan bahawa sekiranya negara-negara Islam benar-benar bebas, dan berupaya untuk berdikari, mereka pastinya tidak mendapat layanan yang sedemikian.

Merujuk kepada 1.8 bilion populasi umat Islam, beliau berkata mereka membentuk satu perempat daripada jumlah umat manusia, namun, kelompok yang mewakili mereka dalam semua bidang di platform global, dilihat masih kurang.

Dr Mahathir juga ada beberapa mesej buat mereka yang berpandangan negatif terhadap Sidang Kemuncak KL.

“Kita bukan berhimpun di sini untuk mengambil alih mana-mana platform Islam yang lain, kita juga tidak berhasrat mewujudkan kategori atau kelas yang berbeza antara negara Islam, dan kita juga tidak berhasrat untuk melemahkan yang lain,” katanya.

“Ia adalah satu jemaah terdiri daripada beberapa negara Islam di mana beberapa pemimpinnya berhasrat untuk bersama membincangkan bidang tertentu yang boleh mereka bangunkan secara bersama, dengan hasrat yang pertama adalah membawa manfaat kepada negara yang berkenaan, dan kemudiannya membawa ia ke platform lebih besar serta berkolaborasi untuk memberi manfaat kepada negara Islam secara keseluruhannya.

“Semasa ia tidak dapat menghilangkan rasa curiga dan bantahan yang dibangkitkan, kita sekali lagi ingin mengulangi bahawa sisang kemuncak ini bertumpu kepada objektif bagi mencari penyelesaian dan mewujudkan program-program yang kita percaya boleh membantu, sekaligus menyelamatkan ummah daripada penderitaan semasa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sidang Kemuncak KL: Agihan kekayaan, pendidikan antara tumpuan hari ketiga

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Pengagihan semula kekayaan, teknologi, jaminan makanan dan pendidikan di dunia Islam adalah antara tajuk yang dibincangkan di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019, di sini, hari ini.

Program di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu bermula dengan sesi khas bagi tajuk “Kenapa Pendidikan Kunci Kepada Pembangunan Negara?”

Ia diikuti dengan empat sesi pleno yang menyentuh isu-isu ‘Pengagihan semula Kekayaan – Perkongsian Kesejahteraan’, ‘Jaminan Makanan’, ‘Kemajuan Teknologi Tinggi’ dan Pemeliharaan Identiti Kebangsaan’.

Sidang Kemuncak empat hari yang disasar untuk menampilkan penyelesaian yang baharu dan boleh dilaksanakan dalam menghadapi isu-isu yang membelenggu dunia Islam itu berlangsung sehingga Sabtu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pengerusi Sidang Kemuncak KL.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Negara Islam perlu kuat tolak campur tangan asing

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata negara Islam perlu menjadi kuat dan bebas, supaya mereka berupaya menolak campur tangan asing dalam hal ehwal urusan negara sendiri.

Perdana Menteri berkata beberapa negara asing sememangnya berhasrat untuk melihat negara-negara Islam bertelagah antara satu sama lain supaya mereka (negara Islam) tidak dapat menjadi kuat.

“Campur tangan sentiasa ada dari negara-negara luar. Semua negara besar mahu mempengaruhi apa jua yang berlaku dalam negara kita.

“Tapi ia seharusnya terserah kepada kita untuk menolak, dan bagi membolehkan kita menolaknya kita perlu kuat dan bebas,” katanya pada sesi soal jawab pada perbincangan meja bulat berhubung tema Keutamaan Pembangunan dan Cabaran, sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Presiden Iran Hassan Rouhani dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan turut mengambil bahagian dalam perbincangan itu.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Sidang Kemuncak KL menegaskan bahawa pergantungan kepada negara-negara yang kuasa besar untuk dana misalnya, turut menjadikan negara-negara yang bebas, terdedah kepada pengaruh luar.

“Apa yang kita lihat hari ini adalah pergantungan yang melampau keatas negara kuasa besar ini bagi mendapatkan dana, mendapatkan peralatan, malah sebenarnya bagi kehidupan kita sendiri.

“Untuk menjadi bebas, kita perlu menolak pengaruh negara asing yang ingin melihat kita bertelagah sesama sendiri, supaya kita tidak menjadi kuat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir menggesa negara-negara Islam menyelesaikan masalah-masalah atau konflik menerusi rundingan dan timbang tara, atau boleh juga menerusi mahkamah.

Beliau berkata dengan memilih keganasan, contohnya dengan memulakan perang, ia tidak akan dapat menyelesaikan sebarang masalah, kerana langkah itu hanya akan mengakibatkan kematian dan kemusnahan.

“Pilihan yang lebih baik adalah menerusi rundingan. Jika anda anggap kita semua umat Islam bersaudara, cara yang lebih baik untuk menyelesaikan (sebarang pertelingkahan) adalah menerusi rundingan dalam suasana yang tenang, dan tidak membenarkan emosi dan perasaan mempengaruhi kita, sehingga kita tenggelam punca.

“Kita perlu menolak pergaduhan, menolak perang, sebaliknya perlu berbincang dan mendapatkan timbang tara,” kata Mahathir.

Menjawab satu soalan Dr Mahathir berkata Sidang Kemuncak KL akan menyumbang kearah kerjasama dua hala yang lebih rapat di kalangan negara-negara yang merngambil bahagian, termasuk dalam bidang pendidikan, sains dan perniagaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perpaduan, pembangunan penting buat ummah hadapi cabaran – Agong

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru umat Islam supaya meningkatkan usaha ke arah perpaduan dan pembangunan bagi mengatasi pelbagai cabaran hidup dalam dunia yang sangat kompleks.

“Pada saya, keperluan untuk perpaduan ummah serta membawa pembangunan kepada komuniti kita adalah dua kaedah paling penting untuk menghadapi cabaran-cabaran itu,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah umat Islam kini hidup dalam pelbagai kategori yang menjadikan mereka berada dalam perseteruan dan kebencian antara satu sama lain, sikap tidak bertoleransi sehingga mencapai tahap membimbangkan selain diselubungi berita sedih dan kesengsaraan, serta tragedi dan kehilangan.

“Bagaimanapun, saya amat merasakan keadaan ini tidak seharusnya berlaku dan kita boleh melihat diri kita sendiri untuk mencari jalan damai, kerana Islam adalah agama yang menggalakkan rasionalisasi, pemikiran saintifik dan etika yang kuat,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian semasa merasmikan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 di sini, hari ini yang dihadiri para pemimpin Islam seperti Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam titah diraja itu, Al-Sultan Abdullah bertitah umat Islam datang dari pelbagai negara yang mempunyai sejarah dan amalan berbeza.

“Bagaimanapun, kita bersatu dalam satu paksi universal iaitu Islam…kita berbeza dalam kedudukan dan zon waktu, tetapi kita bersama-sama menunaikan ibadah solat. Ia suatu yang sangat menakjubkan,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Ini secara jelas menunjukkan bahawa umat Islam berusaha ke arah mencapai perpaduan dalam kehidupan seharian.

“Mungkin telah tiba masanya bagi kita memperluaskan usaha individu untuk melangkah menuju perpaduan ummah yang lebih utuh. Marilah kita bersama-sama dan menyatakan komitmen untuk melaksanakan amalan kita menunaikan solat lima kali sehari di seluruh dunia, bagi menaik taraf kehidupan ummah selain membina semula peradaban Islam yang gemilang seperti dahulu,” titah Seri Paduka.

Menzahirkan baginda tidak mahu berpura-pura menyatakan cabaran yang dihadapi umat Islam hari ini mudah diselesaikan, Al-Sultan Abdullah bertitah ia adalah tugas sukar yang menghendaki setiap anggota masyarakat berikhtiar bersungguh-sungguh merealisasikannya.

“Bagaimanapun, saya yakin ini tidak seharusnya menghalang daya upaya kita untuk mencapai matlamat murni menyatupadukan ummah yang pelbagai, kaya serta bersemangat,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah melihat Sidang Kemuncak KL sebagai satu platform penting untuk pemimpin dan cendekiawan Islam bagi membuktikan keutuhan perpaduan ummah.

“Dengan berbuat demikian, kita akan mengetahui ada perbezaan ketara namun cabaran yang kita hadapi adalah sama. Tema persidangan ini yang menekankan aspek pembangunan dan kedaulatan negara adalah tepat, seiring perkongsian kemakmuran dan pembangunan sesebuah negara,” titah Seri Paduka.

Dalam titah diraja itu, Al-Sultan Abdullah turut menyentuh mengenai kepentingan dialog bagi membetulkan salah faham tentang Islam dan sebagai satu amalam untuk memahami dan bekerjasama di sebalik perbezaan selain bersaing mengejar kecemerlangan secara sihat.

“Menerusi dialog, umat Islam akan mempunyai platform yang kukuh untuk memperbetulkan salah faham mengenai Islam dalam kalangan mereka yang berlainan agama dan ideologi, selain membolehkan mereka berinteraksi dan berhubung dengan masyarakat berlainan budaya dan ketamadunan.”

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sidang Kemuncak KL permulaan kecil tangani hal dunia Islam

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemundak KL) bukan bertujuan mendiskriminasi atau mengasingkan sesiapa, sebaliknya ia berhasrat untuk mencari jalan bagi menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh dunia Islam dan ummah.

“Kita bukan mendiskriminasi atau mengasingkan sesiapa. Kita berhasrat untuk bermula secara kecil, dan sekiranya idea, saranan, dan penyelesaian yang dihasilkan boleh diterima dan dibuktikan dapat dilaksanakan, kita harap ia boleh dibawa ke platform yang lebih besar untuk pertimbangan,” katanya.

Dr Mahathir, yang merupakan Pengerusi Sidang Kemuncak KL berkata demikian semasa menyampaikan kata-kata aluan pada majlis pelancaran persidangan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, hampir semua negara-negara Islam dijemput untuk mengambil bahagian dalam sidang kemuncak ini, tanpa mengira peringkat.

Beliau berkata demikian dalam perhimpunan pagi ini yang turut dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta lain-lain pemimpin negara Islam seperti Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa sidang kemuncak itu dianjurkan bukan untuk berbincang mengenai agama, sebaliknya ia perbincangan mengenai hal ehwal ummah.

“Islam, kaum Muslim dan negara mereka berada dalam krisis, tidak berdaya, tidak layak bagi agama agung ini yang dimaksudkan untuk menjadi yang terbaik bagi umat manusia,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, atas alasan-asalan inilah sidang kemuncak ini dianjurkan, dan setidak-tidaknya para peserta mungkin akan dapat mengenal pasti di mana silapnya, menerusi perbincangan pada sesi sidang ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sidang Kemuncak KL: Fokus usaha tangani isu-isu ummah

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 akan berlangsung di ibu negara hari ini, dengan para peserta membincangkan pelbagai isu yang memberi kesan kepada komuniti Islam, di samping berusaha mencari jalan penyelesaian ke arah kesejahteraan ummah.

Persidangan edisi kelima ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berkenan menyampaikan titah diraja pada perasmian persidangan empat hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu.

Sidang Kemuncak KL bermula malam tadi dengan acara jamuan malam bagi mengalu-alukan kehadiran peserta, di mana Dr Mahathir berkata, sidang kemuncak itu diadakan kerana merasakan sesuatu perlu dilakukan bagi memperbaiki kehidupan ummah di seluruh dunia.

Beliau berharap sidang kemuncak itu akan dapat menetapkan sejumlah inisiatif khusus yang boleh menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih besar kepada umat Islam.

Peserta sidang kemuncak dengan tema “Peranan Pembangunan Dalam Akses Kedaulatan Negara” menghimpunkan para pemikir, intelektual, ahli politik, dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Dengan perhimpunan lebih 450 perwakilan daripada 56 negara Islam, isu-isu seperti kebangkitan Islamophobia, pemenjaraan umat Islam di seluruh dunia, penghijrahan besar umat Islam akibat perang sivil, dijangka akan menjadi topik utama perbincangan.

Sidang kemuncak ini akan memberi tumpuan kepada tujuh teras utama iaitu pembangunan dan kedaulatan negara, integriti dan tadbir urus yang baik, kebudayaan dan identiti, keadilan dan kebebasan, keamanan, keselamatan dan pertahanan, perdagangan dan pelaburan, serta teknologi dan tadbir urus internet.

Hampir 800 pengamal media tempatan dan antarabangsa akan membuat liputan persidangan tersebut yang melabuhkan tirainya Sabtu ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM harap Sidang Kemuncak KL cetus pencapaian gemilang bagi ummah

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan harapan bahawa Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 akan membuka jalan ke arah pencapaian yang lebih besar bagi ummah.

“ Kami harap pada akhir sidang ini, kami akan dapat menggariskan beberapa inisiatif khusus sebagai pemangkin kepada pencapaian yang lebih besar,” kata perdana menteri merangkap pengerusi sidang kemuncak itu, di sini, malam ini.

Dr Mahathir berkata demikian pada jamuan malam menyambut peserta sidang kemuncak itu di sebuah hotel terkemuka di sini, berhampiran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, iaitu venue persidangan empat hari itu yang berakhir Sabtu ini.

Dr Mahathir berkongsi dengan hadirin mengapa sidang kemuncak itu diadakan di ibu negara Malaysia.

“Kami telah berusaha mengadakan sidang kemuncak ini kerana kami merasakan bahawa kami perlu melakukan sesuatu untuk memperbaiki kehidupan ummah di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata: “Kami merasakan bahawa kita perlu mengatasi Islamofobia. Kita perlu mencari jalan untuk menangani kekurangan, kebergantungan kita terhadap bukan Islam untuk melindungi diri kita daripada musuh Islam.”

Dalam menyambut kehadiran peserta, Dr Mahathir mengambil peluang untuk mengetengahkan kewujudan bersama kepelbagaian budaya dan agama masyarkat Malaysia.

Beliau berkata walaupun majoriti rakyat Malaysia beragama Islam namun negara ini mempunyai sebilangan besar kumpulan minoriti daripada pelbagai agama, kebudayaan, adat-resam dan cara hidup yang berbeza.

Dr Mahathir menekankan kenyataan bahawa walaupun wujud pelbagai perbezaan, rakyat Malaysia dapat hidup secara aman antara satu sama lain.

“ Kami tidak akan mendakwa sebagai orang Islam yang sempurna atau model negara Islam yang baik. Tetapi kita dapat membuktikan bahawa kami telah dapat hidup dengan rakyat bukan Islam dalam suasana aman dan harmoni sejak berdekad lamanya,” katanya.

Tradisi ini, katanya, telah wujud sejak kemerdekaan negara.

Dr Mahathir, bagaimanapun, berkata memang telah ada konflik kaum dan agama yang kecil.

“ Tetapi jumlah insiden seperti itu amat kecil dan jarang berlaku…tidak memberi kesan jika dibandingkan dengan tempoh keamanan, muhibah dan kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat Malaysia.

“ Bagi kami, inilah yang dituntut Islam — untuk hidup secara aman dengan rakyat bukan Islam dan bekerjasama membina sebuah negara yang sejahtera, aman dan harmoni,” kata perdana menteri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sidang Kemuncak KL tumpu isu umat Islam

KUALA LUMPUR, 18 DIS: ​​​​​Pentas Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang akan mengetengahkan isu hal ehwal umat Islam, kini sedia menjadi tumpuan dengan peserta berusaha menentukan hala tuju dunia Islam.

Pandangan akan terarah kepada perbincangan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bermula malam ini, sehingga Sabtu.

Sidang kemuncak berkenaan akan diterajui Perdana Menteri dan Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, yang terkenal dengan pandangan berhubung isu dunia Islam.

Turut menyertai beliau pada persidangan itu ialah Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan serta Presiden Iran Hassan Rouhani, menurut kenyataan penganjur sidang kemuncak itu.

Erdogan dan Rouhani berada di sini untuk menghadiri sidang kemuncak itu manakala Sheikh Tamim dijangka tiba esok.

Indonesia akan diwakil Naib Presiden Ma’ruf Amin manakala Uzbekistan oleh Penasihat Negara kepada Presiden, Rustam Kasimov.

Kira-kira 450 wakil dari 56 negara Islam menghadiri sidang kemuncak ini yang akan melihat isu seperti kebangkitan Islamophobia, penahanan umat Islam di seluruh dunia dan penghijrahan besar-besaran umat Islam akibat perang saudara.

Peserta sidang kemuncak itu, yang membawa tema ‘Peranan Pembangunan dalam Akses Kedaulatan Negara’, terdiri daripada pemikir, intelektual, ahli politik dan pemimpin masyarakat.

Sidang Kemuncak tersebut akan memberi tumpuan kepada tujuh teras utama iaitu pembangunan dan kedaulatan negara, integriti dan tadbir urus yang baik, kebudayaan dan identiti, keadilan dan kebebasan, keamanan, keselamatan dan pertahanan, perdagangan dan pelaburan serta teknologi dan tadbir urus Internet.

Sebagai pengiktirafan kepada pentingnya belia di dunia Islam, buat julung kalinya Sidang Kemuncak Belia KL 2019​​​​​​, diadakan untuk membincangkan peranan belia dalam pembangunan negara-negara Islam.

Bertemakan “Pemberdayaan Belia dalam Menghadapi Cabaran Global”, sidang kemuncak dua hari yang berakhir hari ini membincangkan enam sesi dialog kluster.

Persidangan itu bertujuan untuk memperkukuhkan kesejahteraan belia dalam sektor pendidikan, memantapkan ekonomi digital, memperkukuhkan masa depan belia dalam politik, ekonomi dan kelestarian, cabaran IR 4.0 dan menyebarkan integriti dan ketelusan dalam memastikan tadbir urus yang baik.

Resolusi Sidang Kemuncak Belia KL akan dibentangkan kepada pemimpin menghadiri Sidang Kemuncak KL yang bermula malam ini.

Sidang Kemuncak KL dijangka mendapat liputan yang meluas daripada hampir 800 pengamal media tempatan dan antarabangsa.

-BERNAMA