Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Dewan Negeri bersidang penuh mulai 23 Ogos

SHAH ALAM, 19 OGOS: Persidangan penuh Dewan Negeri Selangor (DNS) akan berlangsung sembilan hari di Bangunan Annex di sini, mulai 23 Ogos hingga 6 September.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dijadual berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan istiadat pembukaannya pada 23 Ogos.

Pada 9 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata persidangan itu mengikut format biasa meliputi soal jawab dan perbahasan, bukan sekadar sidang khas.

Beliau menegaskan sidang dewan dibuat dengan pematuhan ketat tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Semua individu terlibat termasuk pengamal media disyaratkan lengkap dua dos vaksin, malah ujian calitan juga dijalankan pada setiap sebelum persidangan bermula.

Siaran langsung perbahasan wakil rakyat boleh diikuti menerusi https://selangortv.my/ dan https://www.facebook.com/MediaSelangor.

Laporan ucapan dan perbahasan pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.

Categories
EKONOMI SELANGOR

SIBS 2018 sidang perniagaan terbesar di Malaysia

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 21 OGOS: Dengan penyertaan menggalakkan, Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2018 pada 6 hingga 16 September ini bakal menjadi persidangan perniagaan terbesar pernah dianjurkan, di negara ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, SIBS 2018 dianjurkan Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) buat tahun kedua menyasarkan penyertaan lebih baik dengan nilai transaksi kira-kira RM250 juta.

“Pada tahun lalu, SIBS mencatat penyertaan lebih kurang 22,000 pelawat dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM204 juta.

“Dengan kejayaan ini, kita menyasarkan penyertaan lebih baik iaitu kira-kira 25,000 pelawat dengan nilai transaksi sekitar RM250 juta.

“Ia bakal menjadi persidangan perniagaan terbesar pernah dianjurkan sebuah Kerajaan Negeri, di Malaysia,” katanya dalamn sidang media, di Invest Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Projek SIBS 2018, Sven Schneider dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor, Raja Shahreen Raja Othman.

SIBS 2018 akan diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, merangkumi tiga acara iaitu Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor 2018 (6 dan 7 September); Ekspo Antarabangsa Selangor (6 hingga 9 September) dan Konvensyen Ekonomi Digital & Bandar Pintar Selangor (13 hingga 15 September).

Chang Kim berkata, ia membabitkan penyertaan 60 peratus pelabur dan usahawan domestik serta 40 peratus daripada antarabangsa.

Katanya, penyertaan pelabur dan usahawan tempatan serta antarabangsa di dalam SIBS 2018 adalah kombinasi terbaik dalam menjadikan Selangor sebagai hab perdagangan antarabangsa.

“Cetusan idea untuk tujuan ini dilaksanakan sejak empat tahun lalu melalui Expo Antarabangsa Selangor dengan Kerajaan Negeri berjaya mencapai kejayaan membanggakan menerusi persidangan ini.

“Kita yakin SIBS akan menjadi antara acara utama di rantau ini, pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, melalui SIBS 2018, pelabur dan pedagang akan mempamerkan produk mereka kepada dunia luar yang turut disertai negara ASEAN, Eropah juga Afrika.