Categories
AGENDA NASIONAL

Sisa klinikal meningkat 20 peratus sejak Covid-19 melanda

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Sisa klinikal di negara ini meningkat sebanyak 20 peratus sejak wabak Covid-19 melanda negara, kata Menteri Alam Sekitar dan Air (Kasa) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata semua sisa buangan daripada kemudahan kesihatan seperti peralatan perlindungan diri (PPE) yang dikategori sebagai sisa klinikal semasa penggunaan bagi pengendalian pesakit Covid-19 dikumpul dan dilupuskan di loji pelupusan sisa klinikal yang mempunyai teknologi pengawalan pencemaran alam sekitar.

“Di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, buangan seperti bahan-bahan plastik pakai buang yang dijana daripada kemudahan kesihatan dan pusat kuarantin Covid-19 yang diwartakan oleh kerajaan dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod buangan terjadual SW 404 – buangan patogenik, buangan klinikal atau bahan yang dikuarantinkan.

“Buangan iaitu sisa klinikal tersebut perlu dilupuskan di premis yang ditetapkan buangan terjadual yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengenai sama ada Kasa bercadang mewujudkan tempat pembuangan sisa klinikal khas di setiap negeri sejak negara dilanda Covid-19 kerana terdapat peningkatan pembuangan sampah sejak Mac tahun ini.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata sisa buangan seperti plastik pakai buang yang diguna pakai orang awam di premis seperti pasar basah, pasar raya, pejabat, kilang dan seumpamanya yang digunakan bagi tujuan perlindungan diri daripada jangkitan Covid-19 dikategorikan sebagai buangan domestik.

Jelasnya, buangan itu dilupuskan sebagai buangan domestik (sisa pepejal) yang diuruskan pihak berkuasa tempatan atau di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sisa klinikal antara isu dibangkit di Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Isu pembuangan sisa klinikal khas, pelan bendung kegiatan judi tidak berlesen dan bentuk bantuan kerajaan kepada bekas pekerja Malindo Air antara perkara bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara berkenaan menjadi tumpuan ahli parlimen menerusi tiga soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dalam sidang dewan yang memasuki hari kedua.

Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengemukakan soalan kepada menteri Alam Sekitar dan Air sama ada kementerian bercadang mewujudkan tempat pembuangan sisa klinikal khas di setiap negeri kerana terdapat peningkatan pembuangan sampah seperti pelitup muka dan sarung tangan terutama di Sungai Klang sejak negara dilanda pandemik Covid-19 pada Mac.

Seterusnya, Kesavan Subramaniam (PKR-Sungai Siput) pula meminta menteri Dalam Negeri menyatakan perancangan strategik kerajaan bagi membendung kegiatan judi tidak berlesen agar masalah sosial dapat dikurangkan sekali gus menambah hasil percukaian negara.

Sementara itu, Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) mengajukan soalan kepada menteri Sumber Manusia mengenai bentuk bantuan untuk pekerja Malindo Air yang diberhentikan serta rancangan kementerian bagi memastikan jaminan pekerjaan kepada mereka.

Dalam sesi soal jawab lisan pula, isu berkaitan pencemaran sungai dan isu reformasi sistem penjara susulan Covid-19 dijangka menjadi tumpuan perbincangan ahli parlimen dengan beberapa soalan akan diajukan.

Antaranya, Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) bertanyakan menteri Alam Sekitar dan Air tentang jumlah syarikat yang dikenakan tindakan undang-undang kerana menyebabkan pencemaran sungai dan menjejaskan bekalan air manakala Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) bertanya kepada menteri Dalam Negeri mengenai langkah reformasi sistem penjara selepas penularan mendadak Covid-19 dalam kalangan banduan dan staf penjara.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada beberapa pembentangan Rang Undang-Undang bagi bacaan kali pertama, termasuk Rang Undang-undang Perbekalan 2021 dan Rang Undang-undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020.

Persidangan Parlimen kali ini turut melihat semua ahli parlimen dan petugas Parlimen dikehendaki mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah Covid-19 termasuk memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal di dalam dewan.

Sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 berlangsung selama 27 hari dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.

-BERNAMA