Categories
AGENDA NASIONAL

Perubahan iklim: JPS nilai risiko banjir 36 sungai utama, naik taraf siren amaran

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melaksanakan penilaian risiko bencana banjir berdasarkan unjuran perubahan iklim melalui inisiatif peta hazard banjir dan peta risiko banjir.

Menteri berkenaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), penilaian risiko bencana banjir merangkumi 36 lembangan sungai utama di seluruh negara telah siap dibangunkan.

“Bagi kawasan Lembah Klang, peta hazard banjir bagi enam lembangan sungai telah siap dibangunkan manakala peta risiko banjir melibatkan lembangan Sungai Bernam juga telah siap dibangunkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang bertanyakan berkenaan kajian kerajaan mengenai kemungkinan perubahan iklim drastik dengan bencana alam yang dijangka lebih kerap serta tahap kesiapsiagaan sistem amaran bencana negara.

Tuan Ibrahim berkata JPS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sentiasa menyegerakan, menyelenggara dan menambah baik tahap kesiapsiagaan sistem amaran awal di bawah seliaan jabatan berkenaan.

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), MetMalaysia sedang memasang lapan sistem radar baharu untuk tambahan di Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak sebagai tambahan kepada 11 sistem radar sedia ada dan dijangka siap sepenuhnya tahun ini.

“Selain itu, JPS turut melaksanakan program ramalan dan amaran banjir yang bertujuan memberi amaran awal kepada agensi berkaitan dengan pengurusan bencana dan orang awam.

“Siren akan dibunyikan apabila aras air melepasi nilai ambang tertentu untuk memberi amaran awal kepada penduduk setempat, ramalan banjir seawal tujuh hari dan amaran seawal dua hari disediakan bagi lokasi-lokasi dijangka banjir,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini, sistem itu beroperasi di lembangan Sungai Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan ketepatan 65 peratus manakala sistem amaran di bawah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) bagi negeri-negeri lain di seluruh negara sedang dinaik taraf.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya cadang naik denda, penjara kesalahan cemar air

SHAH ALAM, 14 DIS: Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) bercadang meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling (Akta 127) dan Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655) bagi menangani pencemaran air.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata langkah itu bagi meningkatkan hukuman sedia ada menjadi lebih tinggi, lapor Berita Harian .

“Perkara ini termasuk meningkatkan jumlah penalti dan denda, tempoh penjara dan mengenakan penjara mandatori untuk beberapa kesalahan berkaitan, terutama membabitkan pencemaran air bagi memberikan impak lebih tinggi kepada penjenayah alam sekitar,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan juga menubuhkan Green Court iaitu Mahkamah Sesyen Khusus pada 2012 untuk menimbang kes berkaitan alam sekitar.

“Ia adalah kemudahan yang sudah disediakan pihak mahkamah dengan memberi keutamaan kepada kes alam sekitar supaya dapat diselesaikan segera,” katanya.

Dewan Negeri Selangor pada 9 November meluluskan pindaan Enakmen Lembaga Air Urus Selangor (LUAS) yang mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori dan denda maksimum RM1 juta kepada pesalah pencemar sumber air.

Pada 8 Disember lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj perkenan pindaan enakmen tersebut dan ia akan dikuatkuasakan serta-merta.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sisa klinikal meningkat 20 peratus sejak Covid-19 melanda

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Sisa klinikal di negara ini meningkat sebanyak 20 peratus sejak wabak Covid-19 melanda negara, kata Menteri Alam Sekitar dan Air (Kasa) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata semua sisa buangan daripada kemudahan kesihatan seperti peralatan perlindungan diri (PPE) yang dikategori sebagai sisa klinikal semasa penggunaan bagi pengendalian pesakit Covid-19 dikumpul dan dilupuskan di loji pelupusan sisa klinikal yang mempunyai teknologi pengawalan pencemaran alam sekitar.

“Di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, buangan seperti bahan-bahan plastik pakai buang yang dijana daripada kemudahan kesihatan dan pusat kuarantin Covid-19 yang diwartakan oleh kerajaan dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod buangan terjadual SW 404 – buangan patogenik, buangan klinikal atau bahan yang dikuarantinkan.

“Buangan iaitu sisa klinikal tersebut perlu dilupuskan di premis yang ditetapkan buangan terjadual yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengenai sama ada Kasa bercadang mewujudkan tempat pembuangan sisa klinikal khas di setiap negeri sejak negara dilanda Covid-19 kerana terdapat peningkatan pembuangan sampah sejak Mac tahun ini.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata sisa buangan seperti plastik pakai buang yang diguna pakai orang awam di premis seperti pasar basah, pasar raya, pejabat, kilang dan seumpamanya yang digunakan bagi tujuan perlindungan diri daripada jangkitan Covid-19 dikategorikan sebagai buangan domestik.

Jelasnya, buangan itu dilupuskan sebagai buangan domestik (sisa pepejal) yang diuruskan pihak berkuasa tempatan atau di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

-BERNAMA