Categories
AGENDA NASIONAL

Ekonomi suram, lebih 200,000 siswazah menganggur tahun lalu

PUTRAJAYA, 27 JULAI: Jumlah siswazah menganggur meningkat sebanyak 22.5 peratus kepada 202,400 orang pada 2020 berbanding 165,200 pada tahun sebelumnya, menurut Statistik Siswazah 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata situasi itu disebabkan oleh persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan pada tahun lepas dan kesannya kepada kedudukan pasaran buruh.

Justeru, beliau berkata kadar pengangguran siswazah pada 2020 meningkat 0.5 mata peratus kepada 4.4 peratus berbanding 3.9 peratus dalam tahun sebelumnya.

“Selain itu, lebih 75 peratus daripada siswazah menganggur adalah mereka yang aktif mencari kerja yang mana hampir separuh menganggur bagi tempoh kurang dari tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini susulan penerbitan statistik tersebut.

Siswazah dalam laporan itu ditakrifkan sebagai individu yang memperoleh sijil tertinggi daripada universiti, kolej, politeknik, badan yang diikhtiraf atau setaraf, dengan tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun.

Mohd Uzir berkata antara 4.35 juta siswazah yang bekerja pada 2020, lebih daripada dua pertiga atau 68.8 peratus adalah dalam kategori mahir, namun jumlahnya menurun 0.8 peratus berbanding 2019, iaitu penurunan dalam kategori pekerjaan profesional, termasuk juruteknik dan profesional bersekutu.

Beliau berkata kategori pekerjaan separuh mahir meliputi 19.3 peratus siswazah bekerja pada 2020, terutamanya dalam kategori pekerja perkhidmatan dan jualan, operator loji dan mesin serta pemasang, katanya.

Komposisi siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir pula meningkat kepada 28.9 peratus manakala 2.3 peratus siswazah bekerja adalah dalam kategori berkemahiran rendah.

“Siswazah yang bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah diklasifikasikan sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran memandangkan mereka bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kelayakan mereka,” katanya.

Dari perspektif sektor ekonomi, beliau berkata lebih 75 peratus atau 3.37 juta siswazah bekerja dalam sektor perkhidmatan, diikuti 14.6 peratus dalam sektor pembuatan.

Menurut Mohd Uzir, terdapat 800,900 siswazah luar tenaga buruh pada 2020, iaitu 39.4 peratus daripada jumlah itu adalah kerana kerja rumah atau tanggungjawab keluarga.

Berdasarkan Laporan Survei Gaji & Upah jabatan tersebut, purata gaji dan upah bulanan siswazah bagi pekerjaan utama sepenuh masa atau setaraf, turun 10.6 peratus kepada RM4,489 berbanding RM5,020 pada 2019.

“Pemegang ijazah menerima purata gaji dan upah sebanyak RM5,471 sebulan pada 2020, berkurang 9.1 peratus berbanding 2019, manakala pemegang diploma menerima purata sebanyak RM3,311, menyusut 11.5 peratus pada tempoh yang sama.

“Dapat dilihat bahawa kategori mahir merekodkan pengurangan terbesar sebanyak lapan peratus kepada RM5,316, sementara kategori separuh mahir menerima RM2,418, jatuh sebanyak 2.7 peratus berbanding 2019.” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Siswazah utamakan gaji, bonus dalam pilihan majikan – tinjauan

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Tinjauan yang dijalankan oleh syarikat pengambilan siswazah, Talentbank, baru-baru ini mendapati siswazah lelaki dan wanita di negara ini mengutamakan gaji dan bonus dalam pilihan pekerjaan mereka.

Tinjauan mendapati gaji dan bonus adalah pilihan utama daripada lima keutamaan yang dicari oleh mahasiswa di tempat kerja ideal mereka, selain peluang pengembangan kerjaya, bos dan pemimpin yang baik, peluang belajar dan pembangunan, budaya syarikat yang baik dan waktu kerja yang fleksibel.

Pengasas Talentbank Ben Ho berkata kebanyakan siswazah berkongsi pendapat bahawa mereka menjangkakan gaji permulaan antara RM2,500 dan RM3,500 dalam pekerjaan pertama serta elaun latihan praktikal RM1,000 sebulan.

“Namun, responden lelaki memilih pengembangan kerjaya sebagai keutamaan kedua, sementara responden wanita mencari bos dan pemimpin yang baik,” kata Ben dalam satu kenyataan hari ini.

Tinjauan dilakukan oleh syarikat pengambilan pekerja itu melibatkan lebih 24,000 pelajar yang memilih dalam Anugerah Pilihan Graduan Tahunan (GCA) ketiga, yang mana mereka turut memilih 10 Majikan Pilihan Graduan Untuk Bekerja 2021 – Maybank, Google, Microsoft Malaysia, Petroliam Nasional Berhad, Shopee Malaysia, Intel Malaysia, CIMB, Shell Malaysia, Celcom Axiata Berhad dan PwC Malaysia.

Pelajar dari universiti awam dan swasta di seluruh Malaysia memilih jenama majikan pilihan yang paling menarik untuk bekerja daripada senarai 700 syarikat di 35 industri dalam survei selama 12 bulan yang dijalankan dari 1 September 2019 hingga 31 Ogos 2020.

Ho berkata selain menyedari komitmen yang dibuat oleh majikan, anugerah berprestij itu juga menjadi rujukan bagi siswazah baru untuk membantu mereka membezakan kelebihan syarikat tersebut ketika mereka memohon pekerjaan pertama setelah tamat pengajian.

“Kepentingan imej jenama majikan yang hebat tidak boleh dipandang rendah. Ini membantu organisasi untuk menjadi tarikan kepada bakat yang tepat,” katanya.

Survei GCA keempat kini dibuka dari 1 September tahun ini hingga 30 Jun 2021 untuk para pelajar universiti dan graduan dengan kad pengenalan pelajar yang sah untuk mengundi Jenama Majikan Terbaik di www.award.com.my/vote.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PENDIDIKAN

Siswazah bekerja meningkat 6.9 peratus pada 2019

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Bilangan siswazah yang bekerja meningkat 6.9 peratus pada 2019 kepada 4.25 juta orang berdasarkan Statistik Siswazah 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada jumlah siswazah yang bekerja itu, lelaki meliputi 49.8 peratus (2.11 juta orang) sementara perempuan merangkumi 50.2 peratus (2.13 juta orang).

“Melihat kepada kebolehpasaran siswazah mengikut sijil tertinggi yang diperoleh, didapati siswazah bekerja berkelulusan ijazah mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi iaitu 8.5 peratus berbanding siswazah berkelulusan diploma dengan 4.9 peratus.

“Dari aspek tahap kemahiran, kebanyakan siswazah bekerja dalam kategori mahir, iaitu sebanyak 73.3 peratus (3.11 juta orang), bersesuaian dengan kelayakan mereka sebagai siswazah, manakala siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir mewakili 25.6 peratus atau 1.09 juta orang pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dari segi aktiviti ekonomi, 79.6 peratus siswazah tertumpu di sektor perkhidmatan merekodkan 3.38 juta orang dan diikuti oleh pembuatan (538,600 orang), pembinaan (226,100), pertanian (57,000) dan perlombongan dan pengkuarian (43,200).

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata kadar pengangguran siswazah pada tahun lepas kekal 3.9 peratus dengan 170,300 penganggur siswazah, manakala siswazah yang aktif mencari pekerjaan merangkumi 74.8 peratus iaitu 127,400 orang.

“Daripada jumlah itu, lebih 80 peratus menganggur bagi tempoh kurang daripada enam bulan manakala hanya 8.1 peratus menganggur bagi tempoh 12 bulan dan lebih,” katanya.

Beliau berkata jumlah siswazah di dalam negara adalah 5.29 juta orang merangkumi 21.3 peratus daripada populasi umur bekerja pada 2019 dan hampir 90 peratus daripada siswazah berada dalam tenaga buruh dengan kadar 83.5 peratus (4.4 juta orang).

“Walaupun majoriti siswazah adalah perempuan, kadar penyertaan tenaga buruh siswazah perempuan adalah lebih rendah (79.8 peratus) berbanding lelaki yang merekodkan kadar 87.7 peratus,” katanya.

Katanya, bagi siswazah luar tenaga buruh pula, ia meningkat 7.6 peratus kepada 869,800 orang, merangkumi 16.5 peratus daripada keseluruhan siswazah.

“Sumbangan peratusan terbesar luar tenaga buruh iaitu sebanyak 36.8 peratus adalah disebabkan kerja rumah atau tanggungjawab keluarga iaitu 319,900 orang…mereka ini dilihat sebagai kumpulan yang berpotensi untuk menyertai pasaran buruh.

“Di samping itu, mereka yang bersara atau lanjut usia meliputi 30.0 peratus (260,700 orang) diikuti dengan masih belajar atau program latihan iaitu 27.6 peratus (239,900 orang),” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata Survei Gaji & Upah 2019 yang dilaksanakan oleh DOSM mendapati bahawa penengah gaji dan upah bulanan siswazah dengan pekerjaan utama sepenuh masa adalah RM4,371 berbanding 2018 sebanyak RM3,936.

Katanya, siswazah bekerja dalam kategori mahir menerima RM5,175 manakala kategori separuh mahir menerima RM2,300.

Merumuskan berkenaan penemuan statistik siswazah, beliau menambah: “Berhubung jawatan kategori mahir yang perlu diisi oleh siswazah, Statistik Guna Tenaga Suku Tahunan melaporkan kadar kekosongan jawatan kategori mahir di pertubuhan formal sektor swasta pada 2019 adalah 2.3 peratus dengan 48,300 kekosongan jawatan.

“Ini jauh lebih rendah berbanding bilangan keluaran siswazah setahun iaitu dalam lingkungan 300,000 orang…sehubungan itu, antara laluan alternatif bagi menyokong kemasukan siswazah baharu ke dalam pasaran buruh dapat diterokai melalui bidang keusahawanan dengan memanfaatkan revolusi platform digital.”

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerja tidak setaraf kelayakan punca gaji siswazah turun

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 APRIL: Gaji permulaan siswazah menurun kebelakangan ini ekoran pekerjaan dilakukan golongan itu tidak setaraf kelulusan, selain kos kehidupan meningkat.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Raduan Che Rose berkata, hanya 65 peratus daripada 200,000 siswazah lulusan universiti berjaya mendapatkan pekerjaan dalam bidang dipelajari.

Manakala, selebihnya hanya menerima kerja yang tidak memerlukan ijazah kerana desakan hidup.

“Selain kenaikan kos sara hidup, kuasa membeli seseorang lepasan ijazah yang baru memasuki alam pekerjaan juga dilihat semakin mengecil sekarang.

“Jika dulu dengan gaji RM2,000, mereka boleh membeli pelbagai keperluan dan barangan, namun pada hari ini dengan gaji sebanyak itu kuantiti barang yang boleh dibeli berkurang,” katanya.

Terdahulu, Laporan Tahunan 2018 Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan gaji permulaan bulanan benar bagi kebanyakan siswazah baharu di negara ini menurun sejak 2010 selepas mengambil kira faktor inflasi.

Siswazah baharu yang berkelulusan diploma mendapat gaji benar sebanyak RM1,376 pada 2018 berbanding RM1,458 pada 2010.

Sementara itu, gaji benar pemegang ijazah sarjana muda adalah RM1,983 pada 2018 berbanding RM1,993 pada 2010, manakala pemegang ijazah sarjana memperoleh gaji benar RM2,707, daripada gaji RM2,923 pada 2010.