Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kadar pengangguran naik kepada 4.5 peratus pada 2020

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Kedudukan tenaga buruh Malaysia yang terjejas pada 2020 berikutan krisis kesihatan dan kesan ekonomi, menyebabkan kadar pengangguran mencecah 4.5 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2019, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh global berada dalam situasi tidak menentu sepanjang 2020 yang mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan pengurangan jam bekerja serta sumber pendapatan berikutan pandemik Covid-19 dan langkah mengekang penularan pandemik ini yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara.

“Semasa krisis kesihatan, kadar pengangguran bulanan adalah dalam lingkungan 3.9 peratus hingga 5.3 peratus — penambahan melebihi 200,000 penganggur.

“Pembukaan semula lebih banyak aktiviti perniagaan dengan pematuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan sehingga akhir tahun ini dilihat telah dapat mengimbangi kepentingan kesihatan dengan pemulihan ekonomi dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan berdasarkan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, 2020.

Mengulas mengenai situasi tenaga buruh pada tahun lepas, Mohd Uzir berkata tenaga buruh yang merangkumi penduduk bekerja dan penganggur, meningkat 0.6 peratus kepada 15.7 juta orang daripada 15.6 juta orang pada 2019.

Sementara itu, beliau berkata kadar pengangguran tahunan meningkat 1.2 mata peratus kepada 4.5 peratus pada 2020, kadar tertinggi sejak 1993.

Bilangan penganggur bertambah 39.9 peratus kepada 711,000 orang daripada 508.2 ribu orang pada 2019.

Daripada jumlah ini, 72.3 peratus adalah penganggur aktif yang meningkat 40.4 peratus kepada 514,200 orang daripada 366,200 orang pada 2019.

Beliau berkata bilangan mereka yang bekerja berkurang 0.8 peratus kepada 15 juta orang berbanding 15.1 juta orang pada 2019.

Melihat kepada guna tenaga mengikut sektor ekonomi, beliau berkata majoriti penduduk bekerja tertumpu dalam sektor perkhidmatan dengan peratus sumbangan sebanyak 64.5 peratus diikuti pembuatan (16.7 peratus) dan pertanian (10.5 peratus).

Sementara itu, penduduk bekerja dalam sektor pembinaan dan perlombongan dan pengkuarian masing-masing meliputi 7.8 peratus dan 0.5 peratus.

Mohd Uzir berkata pasaran buruh Malaysia diramalkan akan meningkat secara marginal namun masih berdepan dengan cabaran ketidaktentuan situasi krisis kesihatan.

“Ketika pelbagai fasa PKP 2.0 juga dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang penularan pandemik ini, beberapa kelonggaran bagi aktiviti ekonomi untuk beroperasi juga dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Dengan fasa pemulihan ekonomi yang berterusan disokong pelbagai program inisiatif oleh kerajaan bagi membantu kelangsungan perniagaan serta pelancaran program pemvaksinan pada 2021, ia diharapkan dapat membantu melegakan serta mengurangkan beban perniagaan.

“Ini sekali gus boleh membantu mempercepatkan pemulihan pasaran buruh,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PENDIDIKAN

Siswazah bekerja meningkat 6.9 peratus pada 2019

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Bilangan siswazah yang bekerja meningkat 6.9 peratus pada 2019 kepada 4.25 juta orang berdasarkan Statistik Siswazah 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada jumlah siswazah yang bekerja itu, lelaki meliputi 49.8 peratus (2.11 juta orang) sementara perempuan merangkumi 50.2 peratus (2.13 juta orang).

“Melihat kepada kebolehpasaran siswazah mengikut sijil tertinggi yang diperoleh, didapati siswazah bekerja berkelulusan ijazah mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi iaitu 8.5 peratus berbanding siswazah berkelulusan diploma dengan 4.9 peratus.

“Dari aspek tahap kemahiran, kebanyakan siswazah bekerja dalam kategori mahir, iaitu sebanyak 73.3 peratus (3.11 juta orang), bersesuaian dengan kelayakan mereka sebagai siswazah, manakala siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir mewakili 25.6 peratus atau 1.09 juta orang pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dari segi aktiviti ekonomi, 79.6 peratus siswazah tertumpu di sektor perkhidmatan merekodkan 3.38 juta orang dan diikuti oleh pembuatan (538,600 orang), pembinaan (226,100), pertanian (57,000) dan perlombongan dan pengkuarian (43,200).

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata kadar pengangguran siswazah pada tahun lepas kekal 3.9 peratus dengan 170,300 penganggur siswazah, manakala siswazah yang aktif mencari pekerjaan merangkumi 74.8 peratus iaitu 127,400 orang.

“Daripada jumlah itu, lebih 80 peratus menganggur bagi tempoh kurang daripada enam bulan manakala hanya 8.1 peratus menganggur bagi tempoh 12 bulan dan lebih,” katanya.

Beliau berkata jumlah siswazah di dalam negara adalah 5.29 juta orang merangkumi 21.3 peratus daripada populasi umur bekerja pada 2019 dan hampir 90 peratus daripada siswazah berada dalam tenaga buruh dengan kadar 83.5 peratus (4.4 juta orang).

“Walaupun majoriti siswazah adalah perempuan, kadar penyertaan tenaga buruh siswazah perempuan adalah lebih rendah (79.8 peratus) berbanding lelaki yang merekodkan kadar 87.7 peratus,” katanya.

Katanya, bagi siswazah luar tenaga buruh pula, ia meningkat 7.6 peratus kepada 869,800 orang, merangkumi 16.5 peratus daripada keseluruhan siswazah.

“Sumbangan peratusan terbesar luar tenaga buruh iaitu sebanyak 36.8 peratus adalah disebabkan kerja rumah atau tanggungjawab keluarga iaitu 319,900 orang…mereka ini dilihat sebagai kumpulan yang berpotensi untuk menyertai pasaran buruh.

“Di samping itu, mereka yang bersara atau lanjut usia meliputi 30.0 peratus (260,700 orang) diikuti dengan masih belajar atau program latihan iaitu 27.6 peratus (239,900 orang),” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata Survei Gaji & Upah 2019 yang dilaksanakan oleh DOSM mendapati bahawa penengah gaji dan upah bulanan siswazah dengan pekerjaan utama sepenuh masa adalah RM4,371 berbanding 2018 sebanyak RM3,936.

Katanya, siswazah bekerja dalam kategori mahir menerima RM5,175 manakala kategori separuh mahir menerima RM2,300.

Merumuskan berkenaan penemuan statistik siswazah, beliau menambah: “Berhubung jawatan kategori mahir yang perlu diisi oleh siswazah, Statistik Guna Tenaga Suku Tahunan melaporkan kadar kekosongan jawatan kategori mahir di pertubuhan formal sektor swasta pada 2019 adalah 2.3 peratus dengan 48,300 kekosongan jawatan.

“Ini jauh lebih rendah berbanding bilangan keluaran siswazah setahun iaitu dalam lingkungan 300,000 orang…sehubungan itu, antara laluan alternatif bagi menyokong kemasukan siswazah baharu ke dalam pasaran buruh dapat diterokai melalui bidang keusahawanan dengan memanfaatkan revolusi platform digital.”

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kadar tenaga buruh meningkat kepada 68.8 peratus

PUTRAJAYA, 13 JAN: Kadar penyertaan tenaga buruh pada November 2019 naik 0.1 peratus kepada 68.8 peratus berbanding bulan sebelumnya, menurut Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia.

Mengulas laporan itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata angka itu juga meningkat 0.4 peratus berbanding bulan yang sama 2018 iaitu 68.4 peratus.

Katanya bilangan tenaga buruh pada November 2019 pula meningkat 2.4 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya kepada 15.83 juta.

“Pada tempoh yang sama, penduduk bekerja turut meningkat 2.5 peratus kepada 15.32 juta,” katanya.

Mohd Uzir berkata kadar pengangguran kekal 3.2 peratus bagi dua bulan berturut-turut melibatkan 513,900 penganggur.

-BERNAMA