Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Negeri teliti tambah senarai barangan bawah skim harga maksimum

SHAH ALAM, 9 DIS: Kerajaan Selangor meneliti keperluan untuk menambah barangan dalam senarai Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sebelum mencadangkannya kepada persekutuan.

EXCO industri halal berkata pemilihan produk berdasarkan permintaan tertinggi pengguna yang dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.

“Kita akan memantau produk yang permintaannya tinggi dalam kalangan pengguna dan jika harganya didapati tidak terkawal, maka kita akan masukkan dalam senarai tersebut.

“Perkara ini akan diusulkan KPDNHEP kepada kerajaan persekutuan,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni selepas melancarkan inisiatif Halal Suri Darul Ehsan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut mempertimbang untuk melanjutkan tempoh skim itu bergantung situasi semasa selain menggesa rakyat mengadukan kepada KPDNHEP jika berlaku kenaikan melampau.

“Kita akan melihat dari semasa ke semasa terutama pada hari perayaan dan cuti sekolah kerana permintaan produk makanan dan barang keperluan ketika itu agak tinggi,” katanya.

Pada Selasa, kerajaan mengumumkan pelaksanaan SHMKM di seluruh negara hingga 31 Disember bagi menstabilkan harga barangan keperluan dan memastikan bekalan itu mencukupi di pasaran.

Antara barangan disenaraikan ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kubis bulat import (dari Indonesia dan China) serta timun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ayam, telur antara 11 barang bawah harga terkawal sempena Deepavali

PUTRAJAYA, 27 OKT: Sebanyak 11 barangan disenaraikan sebagai harga terkawal bagi tempoh 1 hingga 7 November ini di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Deepavali yang disambut pada Khamis depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata 11 barangan tersebut ialah ayam hidup; ayam standard; ayam super; daging kambing biri-biri import bertulang; telur ayam gred A, B dan C; cili merah; tomato; kelapa biji dan kelapa parut.

“Jenis barangan yang ditentukan adalah barangan utama yang diperlukan semasa sambutan perayaan Deepavali. Kesemua barangan ini mendapat permintaan yang tinggi oleh masyarakat yang menyambutnya, oleh itu kawalan harga dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalannya di pasaran,” katanya.

Nanta semasa melancarkan SHMMP Deepavali 2021 secara maya hari ini berkata tempoh pelaksanaan iaitu tujuh hari adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa dan mendatangkan suasana ‘menang-menang’ kepada pengguna dan peniaga.

“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya.

Nanta berkata SHMMP Deepavali 2021 wajar dilaksanakan walaupun negara masih berdepan dengan penularan wabak Covid-19 atas justifikasi permintaan orang ramai terhadap barangan tertentu masih tinggi untuk menyambut perayaan tersebut.

“Walaupun negara kita masih dilanda penularan wabak Covid-19, tiada jaminan bahawa peningkatan harga barangan tidak akan berlaku di pasaran walaupun bekalan barangan keperluan semasa adalah mencukupi,” katanya.

Nanta berkata pelaksanaan skim tersebut dibuat dengan beberapa penyesuaian tempoh masa dan barangan untuk memberi ruang kepada peniaga bagi memulihkan perniagaan setelah melalui Perintah Kawalan Pergerakan tanpa menjejaskan kepentingan pengguna ataupun peniaga.

Beliau berkata pelaksanaan kawalan harga maksimum itu tertumpu untuk memastikan harga barangan terpilih di peringkat pasar-pasar basah dan penjaja kecil terkawal kerana menjadi tumpuan pengguna berbelanja pada musim perayaan.

“Peringkat pasar raya besar harga kebiasaannya lebih terkawal kerana ‘economies of scale’ dan model perniagaan serta persaingan yang berbeza,” katanya.

Nanta berkata harga maksimum pengeluar, borong dan runcit ditentukan untuk barangan berkenaan bagi 91 daerah di Semenanjung Malaysia, 27 daerah di Sabah dan satu daerah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagi Sarawak, katanya pelaksanaan skim hanya melibatkan empat daerah sahaja iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu yang merupakan kawasan dengan majoriti masyarakat India yang meraikan perayaan Deepavali, berbanding 32 daerah sebelum ini.

“Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak,” katanya.

Dalam pada itu, Nanta berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membuat pemantauan memastikan bekalan barangan adalah mencukupi dan memastikan harga di pasaran adalah berpatutan.

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga akan berada di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan, katanya.

“Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan,” katanya.

Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim itu di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, katanya.

Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu yang disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; manakala bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

“Bagi memastikan pematuhan skim, KPDNHEP akan mengambil tindakan kompaun serta-merta dengan lebih tegas berbanding sebelum ini, iaitu tiga kali ganda daripada kadar biasa.

“Tindakan ini adalah sebagai peringatan dan pengajaran kepada peniaga, memandangkan tempoh masa pelaksanaan telah dipendekkan dan jumlah barangan telah dikurangkan berbanding perayaan sebelum ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ayam, hasil laut antara 10 barangan bawah harga kawalan

SHAH ALAM, 23 APRIL: Sebanyak 10 jenis barangan kawalan dikenal pasti bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 di Selangor.

EXCO Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata antara barangan tersebut ialah ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

“Harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kos semasa dan trend harga semasa,” katanya selepas meninjau pelaksanaan SHMMP di pusat membeli-belah Aeon Shah Alam semalam.

Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata sebanyak 156 premis termasuk tiga pasar borong diperiksa sejak skim tersebut berkuat kuasa kelmarin.

Beliau berkata pihaknya tidak menerima aduan peniaga sengaja menaikkan harga tanpa alasan munasabah demi meraih keuntungan tinggi.

“Bagaimanapun, kita jangka kawalan pemeriksaan harga diperketat seminggu sebelum Aidilfitri.

“Saya mohon peniaga jujur selain bekerjasama dengan skim kawalan ini bagi membantu rakyat yang dalam kesempitan berikutan pandemik Covid-19,” katanya.