Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Kebenaran teman wanita bersalin tertakluk syarat, situasi semasa Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Kebenaran bagi suami atau waris terdekat menemani isteri atau ibu hamil semasa proses kelahiran anak di wad bersalin hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) telah berkuat kuasa sejak Oktober 2021.

Bagaimanapun, KKM menerusi perkongsian dalam laman Facebook rasminya, memaklumkan kebenaran itu tertakluk kepada syarat-syarat tertentu dan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut KKM, polisi serta garis panduan itu bersifat dinamik bergantung kepada situasi COVID-19 semasa dan pelaksanaannya di hospital tertakluk kepada situasi serta kapasiti atau kekangan tertentu bagi memastikan aspek penjagaan rawatan pesakit, keselamatan pesakit serta petugas kesihatan diutamakan.

“KKM sangat prihatin dan teliti dalam pelaksanaan polisi ini bagi memastikan wanita hamil serta bayi baru lahir terjaga kerana mereka adalah golongan yang berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19,” menurut perkongsian itu.

Orang ramai dinasihati agar menyemak dengan hospital terdekat mengenai polisi kebenaran menemani isteri di wad bersalin.

Bagi suami atau ahli keluarga yang ingin menemani ibu hamil bersalin di hospital, mereka perlu melengkapkan vaksinasi COVID-19 iaitu 14 hari selepas menerima dos kedua vaksin Pfizer, Sinovac serta Astra Zeneca atau 28 hari selepas menerima vaksin CanSino dan Johnson & Johnson.

Selain itu, mereka juga perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh 72 jam dan membawa keputusan ujian ke hospital atau membeli kit ujian kendiri dan menjalani ujian pengesanan di tempat saringan yang disediakan di hospital.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak, remaja bawah 17 tahun tidak perlu kuarantin setiba di Malaysia mulai 1 April

SHAH ALAM, 9 MAC : Kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun ke bawah tanpa mengira status vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin selepas tiba di Malaysia mulai 1 April ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, golongan terbabit bagaimanapun hanya perlu menjalani kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) sebaik tiba di Malaysia.

“Bagi pengembara yang sedang menjalani kuarantin sebagai contoh katakan individu itu tiba pada 29 Mac, tempoh kuarantin mereka akan berakhir pada 1 April.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang belum lengkap vaksinasi atau tiada langsung vaksinasi, perlu menjalani kuarantin selama lima hari selain perlu mematuhi syarat ditetapkan Malaysia sebaik menamatkan tempoh kuarantin,” katanya pada sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Khairy turut menjelaskan kerajaan tidak bercadang untuk kembali semula kepada fasa pandemik sekiranya sudah beralih ke fasa endemik 1 April ini.

“Namun, sebagai kementerian kesihatan yang mengamalkan dasar kawalan penyakit berjangkit yang selamat dan menjaga kesihatan awam, kita sentiasa bersiap sedia dengan apa sahaja kemungkinan.

“Sekiranya muncul varian baharu bukan sahaja di Malaysia semua negara pun sudah pasti akan mengkaji protokol baharu…jika sistem kesihatan kita lumpuh kita akan mencadangkan langkah tertentu dibuat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes jangkitan harian melonjak ke paras 31,199 pesakit, tertinggi sejak Januari 2020

SHAH ALAM, 24 FEB: Kadar jangkitan harian Covid-19 melonjak 4,020 kes semalam, kepada 31,199 iaitu tertinggi sejak ia mula dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.

Daripada jumlah itu, 31,080 adalah kes tempatan dan baki 119 adalah kes import.

Sebelum ini, angka jangkitan tertinggi dicatatkan pada 19 Februari lalu, iaitu 28,825 kes.

Bagaimanapun, kes kategori kategori 3, 4, dan 5 kekal rendah iaitu 194 kes atau 0.62 peratus manakala kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan) pula sebanyak 31,005 kes atau 99.38 peratus.

Sebanyak 45 kes atau 23.20 peratus daripada kategori 3, 4, 5 yang direkodkan membabitkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, manakala 108 atau 55.67 peratus sudah menerima dua dos vaksin tetapi masih belum menerima dos penggalak, 43 kes atau 21.13 peratus sudah menerima dos penggalak.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

Kategori 1 : 10, 171 kes (32.60 peratus)
Kategori 2 : 20,834 kes (66.78 peratus)
Kategori 3 : 102 kes (0.32 peratus)
Kategori 4 : 46 kes (0.15 peratus)
Kategori 5 : 46 kes (0.15 peratus)

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga di luar negara menerusi maklumat yang diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Setakat semalam, seramai 7,725 pesakit atau 2.8 peratus dirawat di hospital, 265,339 kes atau 95.5 peratus menjalani tempoh kuarantin di rumah manakala
4,460 atau 1.6 peratus ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19.

Angka kematian turut meningkat sebanyak 12 kes kepada 55 termasuk 23 kematian di luar hospital menjadikan keseluruhan jumlah terkumpul kematian kepada 32,488 kes.

Jumlah kes terkumpul setakat semalam adalah 3,305,157.

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuma tujuh peratus kes serius daripada 1,186 aduan kesan dos penggalak

PUTRAJAYA, 23 FEB: Sejumlah 87 kes atau 7.34 peratus daripada 1,186 laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) bagi dos penggalak vaksin COVID-19 diklasifikasikan sebagai serius, kata Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Dr Roshayati Mohamad Sani.

Beliau berkata 1,186 laporan AEFI yang diterima agensi itu setakat 18 Feb adalah bersamaan dengan kadar 86 laporan bagi setiap sejuta dos.

“Daripada pemantauan laporan AEFI diterima oleh NPRA setakat ini, trend dan kadar pelaporan AEFI yang melibatkan dos penggalak tidak menunjukkan sebarang peningkatan daripada apa yang dilihat semasa pemberian dos primer.

“Trend pelaporan yang sama turut dilaporkan oleh negara lain yang telah menjalankan program imunisasi bagi dos penggalak vaksin COVID-19,” katanya dalam taklimat bersama media mengenai AEFI vaksin Covid-19 secara maya hari ini.

Bagi laporan AEFI secara keseluruhan, Dr Roshayati berkata NPRA menerima sejumlah 25,211 laporan dan 93 peratus atau 23,453 kes yang dilaporkan adalah kes tidak serius, manakala 1,758 laporan pula dikategorikan sebagai AEFI serius.

Daripada 1,758 laporan itu, beliau berkata sebanyak 1,069 laporan diterima bagi vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech, 544 kes bagi vaksin Sinovac, AstraZeneca (142 kes) dan Convidecia (CanSino) tiga kes.

Dr Roshayati berkata demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan merupakan antara kesan advers yang paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin manakala kesan serius adalah kes yang memerlukan kemasukan ke hospital, mengancam nyawa, atau disyaki menyebabkan kematian.

Beliau berkata sebanyak 38 laporan AEFI melibatkan penerima vaksin daripada golongan kanak-kanak lima hingga 11 tahun diterima setakat 18 Feb, dengan 37 adalah kesan advers tidak serius manakala satu laporan serius melibatkan kemasukan ke hospital dan telah pulih.

Dr Roshayati berkata kes AEFI yang dilaporkan akan dimasukkan ke pangkalan data NPRA untuk diproses sebelum dinilai dan diberikan kategori hubung kait antara kesan dan vaksin yang diambil, berasaskan kriteria yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Data AEFI yang diterima adalah penting bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi produk vaksin kekal positif dalam mencegah penularan Covid-19,” katanya.

Mengenai isu seorang wanita yang mendakwa hilang deria sentuhan pada dua jarinya susulan dos penggalak vaksin Covid-19 dan berkemungkinan perlu melalui prosedur amputasi, Dr Roshayati memaklumkan NPRA telah menerima laporan penyiasatan berkenaan kes itu.

“Namun ada satu lagi ujian yang belum selesai dan perlu dilakukan. NPRA akan menentukan kemudian sama ada ia berhubung kait dengan vaksin Covid-19 secara langsung. Setelah keputusan ujian diterima, ia akan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Farmakovigilans,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM nafi video tular pelajar sekolah alami reaksi selepas vaksinasi

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan video tular menerusi media sosial yang mendakwa pelajar sekolah mengalami reaksi selepas divaksinasi.

Kementerian itu menerusi kenyataan hari ini memaklumkan video berkenaan adalah video lama berkaitan kejadian keracunan gas di sebuah sekolah di Pasir Gudang, Johor pada 2019.

“Orang ramai disaran agar tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat sebaliknya merujuk media sosial rasmi KKM untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar guna katil ICU hospital seluruh negara bawah 50 peratus

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan serta 11 negeri lain adalah di bawah 50 peratus setakat 20 Feb, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata negeri-negeri itu adalah Perlis; Kedah; Pulau Pinang; Perak; Selangor; Negeri Sembilan; Pahang; Terengganu; Kelantan; Sabah dan Sarawak.

“Katil ICU yang disediakan di Putrajaya adalah enam dan hanya mencatatkan satu penggunaan manakala bagi Labuan sebanyak tujuh katil disediakan dan tidak mencatatkan sebarang penggunaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara negeri yang mencatat kadar peratusan penggunaan katil ICU yang rendah ialah Negeri Sembilan iaitu lapan peratus; Sarawak (13 peratus); Pahang (14 peratus); Kedah (15 peratus); Putrajaya (17 peratus); dan Terengganu (20 peratus).

Beliau berkata secara keseluruhan, Kementerian Kesihatan mendapati kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes COVID-19 dan bukan COVID-19.

Namun begitu, setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes, katanya sambil memberitahu tiga negeri menunjukkan peratusan penggunaan katil ICU lebih 50 peratus iaitu Johor (70 peratus); Kuala Lumpur (65 peratus); dan Melaka (50 peratus).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 26,832 kes COVID-19 dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif kepada 3,221,680 dan daripada jumlah kes baharu itu, 1,438 kes dimasukkan ke hospital.

Beliau berkata bagi kes baharu, 133 daripadanya adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 26,699 terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti COVID-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19,” katanya.

Mengenai kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 18,459 kes dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif sembuh di negara ini adalah 2,937,655.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

53.3 peratus rakyat dewasa terima dos penggalak

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Seramai 12,473,139 individu dewasa atau 53.3 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini telah menerima dos penggalak COVID-19 setakat semalam.

Berdasarkan data di laman web COVIDNOW, sejumlah 22,930,943 individu atau 98 peratus daripada populasi sama telah melengkapkan dua dos vaksinasi, manakala 23,206,202 individu atau 99.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berumur 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,792,265 atau 88.7 peratus daripada populasi kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi, manakala 2,869,845 individu atau 91.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi vaksinasi harian, sebanyak 119,543 dos diberikan semalam meliputi 9,321 dos pertama, 2,188 dos kedua dan 108,034 dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 64,108,866 dos.

Sementara itu menurut portal Github Kementerian Kesihatan sembilan kematian akibat COVID-19 dilaporkan semalam dengan empat di Perak dan satu masing-masing di Kedah, Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Selangor.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

51.2 peratus penduduk dewasa terima suntikan dos penggalak

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Sebanyak 11,988,626 individu dewasa atau 51.2 peratus daripada populasi kumpulan di negara ini telah menerima suntikan dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Berdasarkan data di laman sesawang CovidNow, sejumlah 22,925,149 individu atau 97.9 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 99.1 peratus atau 23,202,052 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berumur antara 12 dan 17, sejumlah 2,788,610 individu atau 88.6 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi, manakala 2,867,859 individu atau 91.1 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, sejumlah 95,857 dos vaksin telah diberikan melibatkan 995 dos pertama, 1,537 sebagai dos kedua dan 93,365 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 63,567,717 dos.

Sementara itu, menurut portal Github Kementerian Kesihatan, 13 kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam, dengan tiga masing-masing di Johor dan Kelantan, dua di Sabah dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Perak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin: 201,716 dos penggalak disuntik semalam

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Sebanyak 22,864,655 individu atau 97.7 peratus populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan dos vaksin COVID-19 setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan menerusi laman COVIDNOW, sebanyak 23,155,545 individu atau 98.9 peratus daripada kumpulan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja pula, sebanyak 87.6 peratus atau 2,758,498 individu berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,849,786 individu atau 90.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Sementara itu, sejumlah 208,327 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 2,768 dos pertama, 3,843 dos lengkap dan 201,716 dos penggalak.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada 58,055,878 dos termasuk 6,627,119 dos penggalak.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM lapor polis antivaksin sebar maklumat palsu ancam kesihatan awam

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Kementerian Kesihatan telah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan maklumat palsu sehingga mengancam kesihatan awam.

Menterinya Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitter rasmi beliau berharap, tindakan susulan termasuk siasatan dan pendakwaan dapat disegerakan.

“Kumpulan ini (antivaksin) terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan menjengkelkan,” kata Khairy sambil menyertakan pautan Twitter seorang pengamal perubatan Dr Sakinah Sulong.

Dr Sakinah dalam Twitter tersebut menulis : “Am I the only one yang rasa antivaccine group kat Malaysia ni kebal-sekebalnya?”.

Beliau turut melampirkan tangkap layar aplikasi Telegram yang didakwa sebagai kumpulan antivaksin.

Dalam satu lagi ciapan, Khairy memaklumkan sehingga semalam sejumlah 5,410 dos penggalak telah diberikan, terutamanya kepada petugas perubatan barisan hadapan.

“Warga emas akan mula menerima dos penggalak mereka di klinik GP (pengamal perubatan) tidak lama lagi,” katanya.

Pada Rabu Khairy berkata kementeriannya akan mula memberikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas barisan hadapan yang telah melengkapkan vaksinasi mereka sekurang-kurangnya enam bulan lepas.

Individu yang layak akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, sementara kepada mereka yang tidak mempunyai MySejahtera, pengumuman akan dibuat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon daripada pusat vaksinasi.

Pemberian dos penggalak akan dijalankan secara sukarela dan ia percuma di bawah Program Imuniasasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi memastikan tempoh perlindungan yang optimum kepada penerimanya di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 18 juta penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Seramai 18,964,474 individu atau 81 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

Berdasarkan perincian yang dikongsi di portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan setakat semalam juga, sebanyak 93.3 peratus atau 21,847,551 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 321,342 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 30,860 dos pertama dan 197,994 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 41,247,271 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Sementara itu, sebanyak 487 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan setakat pukul 11.59 malam tadi (22 September), meningkat berbanding 334 kes kematian dilapor pada Selasa.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini kini 24,565.

Bagaimanapun, daripada 487 kematian baharu itu, hanya tujuh kes adalah kematian sebenar yang dilaporkan berlaku semalam (22 September) manakala selebihnya adalah pelaporan kes kematian tertunggak dan angka boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

Sebanyak 161 daripada kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID).

Sejumlah 178 kes kematian direkodkan di Selangor; Sabah (87); Johor (63); Kuala Lumpur (44); Pulau Pinang (36); Kelantan (26); Perak (18); Kedah (14); Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing lima); Terengganu (tiga); Perlis (dua) dan Sarawak (satu), manakala tiada kematian di Labuan dan Putrajaya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MMA gesa sambung kontrak khidmat pegawai perubatan hingga 10 tahun

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta kerajaan untuk mengkaji kemungkinan menyambung kontrak pegawai perubatan (MO) yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan, sehingga 10 tahun.

Presidennya, Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata penyambungan kontrak itu akan memberi penjimatan kepada kerajaan kerana Malaysia akan mempunyai pakar terlatih yang ramai tanpa perlu mengimport pakar dalam jangka masa panjang.

“Ini tidak harus dilihat sebagai perbelanjaan tetapi pelaburan untuk generasi pakar akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam .

Beliau berkata ketika kos penjagaan kesihatan semakin meningkat, mengekalkan kedudukan jawatan tetap untuk jangka panjang tidak dapat dielakkan dan isu-isu seperti penghijrahan modal insan yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan tinggi, latihan pakar yang tidak mencukupi dan harga diri dalam kalangan doktor muda juga harus dipertimbangkan.

Pada Isnin, Kementerian Kesihatan mendapat persetujuan untuk menyambung kontrak 2,070 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi secara one-off untuk enam bulan lagi, dengan peruntukan sebanyak RM81 juta yang akan ditampunug menerusi Kumpulan Wang Covid-19 (Tabung Covid-19).

Penyambungan kontrak itu melibatkan 79 pegawai perubatan (yang melengkapkan khidmat wajib sahaja kerana telah mengikuti latihan siswazah di luar negara), 852 pegawai pergigian dan 1,139 pegawai farmasi yang telah menamatkan latihan/khidmat wajib.

-BERNAMA