Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN umum dividen tiga peratus SSPN 2021

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semalam mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) tahun lepas sebanyak tiga peratus bagi dua produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

Pengerusinya Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ia membabitkan pemberian dividen dengan anggaran peruntukan RM206.25 juta dan akan memberi manfaat kepada 5.24 juta pendeposit PTPTN.

“Kadar dividen yang diberikan kepada pendeposit Simpan SSPN adalah berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang telah dibuat atas deposit yang diterima oleh PTPTN.

“Dividen yang diberikan ini masih lagi kompetitif berbanding keuntungan akaun semasa dan simpanan tetap. Ia juga mengambil kira mandat pelaburan PTPTN yang dibenarkan adalah terhad dalam pasaran wang dan pasaran sukuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan dividen Simpan SSPN tahun 2021 dan melancarkan Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 yang dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Operasinya Mastura Mohd Khalid.

Wan Saiful berkata pemberian dividen pada kadar tiga peratus itu jelas menunjukkan bahawa Simpan SSPN tetap mempunyai daya saing berbanding produk-produk simpanan lain yang ditawarkan di pasaran walaupun dalam ekonomi negara tidak menentu.

Beliau turut berharap ini dapat menarik minat masyarakat Malaysia untuk menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama simpanan pendidikan anak-anak.

Katanya selain pemberian dividen, Simpan SSPN turut menawarkan pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful dan geran sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi tiap keluarga yang layak.

Sementara itu Wan Saiful turut melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 pada kadar satu peratus sebagai tanda penghargaan PTPTN kepada pendeposit yang membuat simpanan dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata tempoh promosi bermula 22 Februari sehingga 30 April tahun ini dan layak disertai oleh pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada 2004 hingga 31 Dis 2018.

Katanya ganjaran kesetiaan ini akan dinikmati pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan terkumpul dalam tempoh promosi dengan jumlah minimum RM500 dan sangat berbaloi sebagai pulangan tambahan selain dividen tahunan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN sasar deposit SSPN lebih RM1 bilion tahun ini

SEREMBAN, 22 SEPT: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan untuk mendaftarkan 500,000 pemegang akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan jumlah deposit melebihi RM1 bilion, tahun ini.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, ini susulan kejayaan yang diraih agensi itu pada tahun lepas yang merekodkan 678,829 pemegang akaun dengan jumlah deposit terkumpul sebanyak RM1.13 bilion.

“Bagi tempoh Januari sehingga 31 Julai lepas, SSPN merekodkan sebanyak 256,135 pemegang akaun dengan jumlah deposit sebanyak RM477.25 juta,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah SSPN 2019 peringkat Negeri Sembilan, yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun di sini, hari ini.

Wan Saiful berkata, SSPN adalah produk yang amat mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat serta menyifatkannya sebagai perkembangan yang baik dan berharap kesedaran menabung dapat dipertingkat dan diperkukuhkan.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berkata pendidikan merupakan aset utama dalam pelaksanaan pembangunan negara dan kerajaan katanya amat menitik berat soal pendidikan bagi pembangunan modal insan bagi mencapai negara yang makmur dan maju.

Di Negeri Sembilan katanya, sejak 2004 sehingga Julai tahun ini sebanyak 191,013 akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM179.9 juta manakala bagi tempoh Januari hingga 31 Julai tahun ini, sejumlah 12,301 pemegang akaun membabitkan deposit terkumpul sebanyak RM18.4 juta direkodkan di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau menyeru ibu bapa yang belum mempunyai perancangan kewangan pendidikan, supaya memulakan langkah penabungan segera.

Pada majlis itu, Wan Saiful turut memberikan sumbangan akaun SSPN-i kepada 320 pelajar asnaf melibatkan lapan kawasan Parlimen di seluruh negeri ini melalui peruntukan wakalah zakat PTPTN yang berjumlah RM32,000.

Setiap pelajar menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka oleh PTPTN melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

SSPN sejak diwujudkan pada 2004 dan sehingga 31 Julai lalu merekodkan 4.2 juta akaun dengan deposit berjumlah RM5 bilion, di seluruh negara.

Program Jelajah SSPN yang bertujuan untuk membuat hebahan kepada masyarakat berkaitan budaya penabungan bagi pendidikan tinggi, berlangsung selama dua bulan mulai bulan lepas membabitkan 12 lokasi di Semenanjung, 11 lokasi di Sabah dan 10 di Sarawak.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

PTPTN umum dividen empat peratus SSPN

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak empat peratus untuk dua Skim Simpanan Pendidikan Nasional 2018 (SSPN-i dan SSPN-i Plus).

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pemberian dividen berkenaan melibatkan anggaran peruntukan RM114.55 juta yang memberi manfaat kepada 3.91 juta pendeposit PTPTN.

“Kadar empat peratus ini adalah berdasarkan pulangan bersih pelaburan yang telah dibuat atas deposit diterima dan PTPTN masih dapat mengekalkan kadar dividen SSPN yang kompetitif walaupun suasana ekonomi mencabar.

“Pemberian kadar dividen kompetitif berbanding dividen diberikan akaun simpanan yang lain diharap menjadikan SSPN lebih berdaya saing dan menjadi instrumen simpanan pilihan dan keutamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya pada majlis pengumuman Dividen 2018 Skim SSPN di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain pemberian dividen, ibu bapa juga diberikan insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan hingga RM6,000 dan pendeposit turut mendapat perlindungan takaful sehingga RM1 juta dengan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

“Dengan keistimewaan pelepasan taksiran cukai, kadar dividen dan juga perlindungan takaful diberikan, pendeposit sebenarnya mendapat keuntungan bukan setakat empat peratus sahaja dan melalui pembentangan Bajet 2019.

“Insentif pelepasan taksiran cukai SSPN juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000 bermula tahun taksiran 2019,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata pada tahun lepas, PTPTN berjaya mencapai kutipan deposit SSPN berjumlah RM1.13 bilion yang merupakan jumlah penabungan tertinggi pernah dicapai semenjak SSPN diwujudkan manakala bilangan akaun baharu yang telah dibuka adalah sebanyak 678,839.

“Kedua-dua pencapaian ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun 2017 iaitu peningkatan sebanyak RM404.48 juta untuk deposit dan 231,790 untuk akaun baharu,” katanya.

– BERNAMA