Categories
AGENDA NASIONAL

Terowong Smart ditutup sepenuhnya bagi persediaan operasi banjir

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Terowong Lebuhraya Smart ditutup sepenuhnya kepada pengguna bagi melencongkan air banjir susulan hujan lebat yang melanda Lembah Klang petang tadi.

Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (Smart) menerusi catatan di Facebook rasminya memaklumkan, terowong tersebut ditutup bermula 4.44 petang sebagai persediaan operasi menghadapi banjir.

“Kami tutup untuk kenderaan memang agak lambat berbanding operasi banjir yang telah bermula iaitu ketika mod 2 dan 3,” menurut hantaran tersebut.

Pada mod 4, air banjir dilencongkan ke laluan trafik (upper dan lower deck) dan terowong trafik ditutup dan dikosongkan sepenuhnya daripada kenderaan.

Pada peringkat mod 2, air banjir mengalir di bahagian bawah terowong dan terowong trafik masih dibuka untuk laluan trafik masuk dan keluar Kuala Lumpur, manakala pada mod 3, air banjir mengalir di bawah terowong dan trafik ditutup serta dikosongkan daripada kenderaan.

Terdahulu, beberapa laluan utama di Lembah Klang dinaiki air susulan hujan lebat kira-kira satu jam bermula 3 petang tadi.

Kejadian itu turut menyebabkan puluhan kereta terperangkap di jalan raya dan ada antaranya tenggelam apabila kawasan parkir dinaiki air.

Antara kawasan terlibat ialah Jalan Chan Show Lin, Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Kuching dan Jalan Raja Laut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebuhraya Smart dibuka semula petang tadi

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Lebuhraya SMART dibuka semula sepenuhnya kepada lalu lintas bermula 6.37 petang tadi selepas ditutup sejak jam 4 petang Khamis lepas.

Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd (SMART) dalam kenyataan hari ini berkata proses pengepaman keluar air dan pencucian terowong yang dijalankan sejak semalam selesai sepenuhnya.

“Proses pemeriksaan dan rektifikasi mekanikal serta elektrikal telah dijalankan bagi memastikan peralatan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum Terowong SMART dibuka semula kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.

Pengguna lebuh raya itu boleh mendapatkan maklumat lanjut atau pertanyaan dengan menghubungi talian SMART 1-300-88-7188 atau layari laman web rasmi di www.smarttunnel.com.my atau laman sosial di twitter @smarttunnel dan “Smart Tunnel” di Facebook.

Lebuhraya SMART ditutup kepada lalu lintas pada petang Khamis lepas bagi membolehkan pengaktifan sistem banjir dan disusuli dengan pelepasan air banjir ke sistem takungan Terowong SMART berikutan hujan lebat di ibu kota.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Smart Selangor manfaatkan 3 juta penduduk Petaling

OLEH NADIAH ZAMLUS

 

SERDANG, 27 MEI: Pembangunan Smart Selangor di Daerah Petaling telahpun memanfaatkan kira-kira 3 juta penduduknya, sehinggga hari ini.

 

Pegawai Daerah Petaling, Datin Paduka Roslinah Md Jani berkata, inisiatif Smart Selangor membantu perkembangan pembangunan fizikal dan juga pembangunan sosial yang berdaya huni di Petaling.

 

Katanya, selain itu ia turut memastikan kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar seiring dengan pembangunan yang dicapai.

 

“Sesungguhnya, sebuah bandar hidup adalah bandar yang seimbang dari segala aspek kehidupan.

 

“Pembangunan berteknologi tinggi juga turut merangsang Kerajaan Negeri dalam merealisasikan visi untuk menjadikan Selangor sebagai Smart State terulung di rantau ASEAN menjelang 2025,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor bersama rakyat dan penyampaian sumbangan hari raya bertempat di Masjid Kompleks Pertanian Serdang, di sini, hari ini.

 

Hadir mencemar duli, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, serta turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim.

 

Roslinah berkata, antara inisiatif yang telah dilaksanakan ke arah Smart Selangor adalah Intelligent Respond Selangor (i-RS), yang merupakan satu aplikasi sistem penyaluran laporan dan pengurusan pemantauan berkaitan insiden di jalan raya serta bencana.

 

Selain itu, untuk melaporkan isu mengenai sampah, boleh disalurkan terus melalui aplikasi i-Clean, manakala aplikasi Selangor Intelligent Transport System (SiTS) dapat memaklumkan waktu ketibaan bas Smart Selangor dan juga bas PJ City kepada pengguna.

“Smart Selangor tidak bertumpu pada penggunaan aplikasi sahaja, pembangunan infrastruktur lampu jalan pelbagai fungsi iaitu Smart Street Lamp dan pembangunan program kitar semula berteraskan data yang dinamakan Smart Recycling juga akan dibangunkan.

 

“Terdapat juga inisiatif penggunaan panel solar untuk menghasilkan tenaga solar sebagai penjana tenaga elektrik yang bakal dilaksanakan di pejabat-pejabat kerajaan negeri Selangor. Sememangnya inisiatif ini memanfaatkan semua penduduk,” katanya.

Categories
NASIONAL

SMART bakal jadi mentor pasukan penyelamat Brunei

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUCHONG, 10 APRIL: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan menjadi mentor kepada pasukan penyelamat Brunei yang berhasrat mengikut jejak langkah Malaysia mendapat pengiktirafan INSARAG (International Search and Rescue Advisory Group).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pengiktirafan INSARAG membolehkan pasukan mencari dan menyelamat sesebuah negara itu mengetuai misi menyelamat di luar negara.

“Pasukan SMART Malaysia mendapat pengiktirafan INSARAG, pada 2016 dan Malaysia kini masih dalam rundingan untuk pembentukan memorandum persefahaman (MoU) dengan Brunei yang sudah dibincangkan semasa lawatan saya ke negara itu, pada 27 Februari lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Lawatan ke Markas SMART, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, SMART banyak membantu pelbagai negara dan turut terbabit dalam forum antarabangsa, sejak 22 tahun lalu.

“SMART membantu di Indonesia, Turki, India, Pakistan, Filipina, Ukraine, dan Nepal untuk pelbagai operasi mencari dan menyelamat serta bantuan kemanusiaan, malah terbabit dalam pelbagai forum antarabangsa di lebih 10 buah negara,” katanya.

SMART ditubuhkan 25 tahun lalu ekoran ketiadaan kepakaran dan pasukan penyelamat khas ketika berlakunya tragedi runtuhan Highland Tower, pada 1993.

Atas dasar itu, pada 1994 jemaah menteri mengarahkan pasukan elit terbabit ditubuhkan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat khususnya membabitkan kawasan kompleks seperti runtuhan bangunan, kawasan sempit serta tanah tinggi.