Categories
SELANGOR

Fadzil Zahari bangga jayakan #SmileSelangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 SEPT: Ikon selebriti, Fadzil Zahari, melahirkan rasa bangga dengan kejayaan peraduan #SmileSelangor yang mencatat capaian lebih tiga juta pengguna media sosial.

Ternyata kempen dijalankan di sepanjang peraduan itu berjaya mencapai sasaran Smart Selangor dengan penyertaan tinggi rakyat Selangor.

“Terima kasih Smart Selangor kerana memilih kami untuk tujuan promosi #SmileSelangor dan alhamdulillah kempen dijalankan berjaya.

“Apa dilalui membanggakan dan memang banyak fasiliti disediakan Smart Selangor dengan matlamat mencapai sasaran ‘Smart State’ untuk Selangor,” kata penerbit dan pelakon itu dalam majlis penyerahan hadiah kepada pemenang peraduan #SmileSelangor di Black Box SACC Mall, di sini, semalam.

Suami kepada pelakon Yana Shamsuddin turut berkongsi pengalaman terhadap penyertaan anak mereka, Aisy Mateen dalam skim Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas).

“Alhamdulillah anak saya sudah didaftarkan dalam Tawas dan akan mendapat RM1,500 bila mencapai usia 18 tahun.

“Ia amat berguna untuk menampung keperluannya seperti mendaftar ke universiti atau lain-lain,” katanya.

SMILEPeraduan #SmileSelangor bermula dari 1 hingga 14 September lalu turut membabitkan pelakun drama bersiri Mencintaimu Mr Photographer, Syafiq Kyle.

Semua pemenang ditentukan berdasarkan gambar senyuman serta kapsyen yang mengamati visi Smart Selangor.

Ia diadakan bagi mempromosikan inisiatif Smart Selangor dengan mengetengahkan pengalaman warga Selangor sendiri.

Tiga pemenang terpilih ialah pertama, Muhammad Faiz Lazarus, 26, (@_irdinazara_) menerima RM1,000; kedua, Sarimah Rosli, 27, (@as_arima) (RM300) manakala ketiga, Muhammad Ajwad Amaluddin, 23, (@ajwadamal) (RM200).

Categories
SELANGOR

#SmileSelangor dapat sambutan, bakal diperluas

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 SEPT: Peraduan #SmileSelangor mendapat sambutan hebat dalam kalangan rakyat di negeri ini dengan penyertaan lebih 600 peserta dan mencatat capaian kira-kira 3 juta pengguna media sosial.

Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, ekoran sambutan menggalakkan, pihaknya merancang untuk meneruskan dan memperluaskan program terbabit terutama ke kawasan luar bandar.

“Signifikan program ini selaras visi Smart Selangor menjadikan Selangor sebagai ‘Smart State’ menjelang 2025 dengan matlamat utama menaikkan kualiti hidup rakyat.

“Apabila kualiti hidup naik, maka rakyat akan lebih tersenyum dan itulah signifikan program dilaksanakan,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang peraduan #SmileSelangor di Black Box SACC Mall, di sini, semalam.

Peraduan bermula 1 hingga 14 September itu dimenangi Muhammad Faiz Lazarus, 26, (@_irdinazara_) menerima RM1,000; pemenang kedua, Sarimah Rosli, 27, (@as_arima) (RM300) manakala ketiga, Muhammad Ajwad Amaluddin, 23, (@ajwadamal) (RM200).

dr-fahmiSemua pemenang ditentukan berdasarkan gambar senyuman serta kapsyen yang mengamati visi Smart Selangor sendiri.

Peraduan #SmileSelangor diadakan bagi mempromosikan inisiatif Smart Selangor dengan mengetengahkan pengalaman warga Selangor sendiri.

Peserta hanya diminta menghantar gambar di laman media sosial dengan hashtag #SmileSelangor dan #SmartSelangor serta menyatakan visi Smart Selangor yang membuatkan mereka tersenyum.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Soffan Affendi Aminudin; Ketua Jabatan Komunikasi Korporat MBI, Haniza Abd Aziz; serta ikon selebriti, Fadzil Zahari dan Syafiq Kyle.

Syafiq Kyle, pelakon utama drama bersiri Mencintaimu Mr Photographer turut mengambil peluang beramah mesra bersama tetamu dalam acara ‘Meet and Greet’.

Categories
SELANGOR

#SmileSelangor terima sambutan hebat, peluang temui Syafiq Kyle

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 SEPT: Peraduan #SmileSelangor terus menerima sambutan hebat pengguna media sosial dengan ribuan penyertaan sejak dibuka, pada 1 September lalu.

Dengan meletakkan hashtag SmileSelangor, kebanyakan penyertaan memuji segala inisiatif disediakan Kerajaan Negeri untuk kebajikan rakyat.

Ia termasuk, kemudahan wifi percuma, Skim Peduli Sihat, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor dan air percuma.

MBSmileTerdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut menyatakan kegembiraannya dengan sambutan serta maklum balas positif diterima menerusi #SmileSelangor.

“Smart Selangor sedang aktif menjalankan peraduan #SmileSelangor dengan pembabitan menggalakkan daripada rakyat.

“Saya ambil maklum semua maklum balas rakyat berkenaan inisiatif kami melalui hashtag #SmileSelangor itu dan meraikan keterbukaan serta penerimaan rakyat terhadap usaha Kerajaan Negeri,” katanya menerusi Facebook.

Bakal ditutup pada 14 September ini, #SmileSelangor menawarkan hadiah RM1,000 kepada pemenang pertama, kedua RM300 dan ketiga RM200.

Lebih menarik, tiga pemenang itu juga berpeluang menyertai sesi ‘meet and greet’ bintang drama sensasi, Mencintaimu Mr Photographer, Syafiq Kyle pada 17 September ini di Black Box SACC Mall.