Categories
AGENDA NASIONAL

30,000 unit Rumah Idaman untuk warga Selangor, harga mampu milik

SHAH ALAM, 3 NOV: Sekurang-kurangnya 30,000 unit Rumah Idaman bakal dibina, yang memberi pilihan kepada penduduk Selangor memiliki kediaman berkualiti pada harga mampu milik.

Menurut laman web idamanselangor.com.my, lapan projek dilaksana di lokasi strategik meliputi Bandar Saujana Putra, Shah Alam, Puchong, Cybersouth dan Puncak Alam.

Projek perumahan yang dibina termasuk Idaman Cahaya, Idaman Bukit Jelutong dan Idaman Elmina 4,5, dan 12 di Shah Alam manakala Idaman Kita dan Idaman Melur di Cybersouth.

Sementara Idaman Sari di Puchong, Idaman BSP (Bandar Saujana Putra) dan Idaman Perdana Puncak Alam.

Pada 27 Oktober, Dato’ Menteri Besar mengumumkan pembinaan enam projek Rumah Idaman untuk membantu penduduk yang bekerja dan tinggal di Selangor memiliki kediaman pertama.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, setiap unit berkeluasan 1,000 kaki persegi, reka bentuk praktikal dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, dijual dengan harga RM250,000.

Turut diberikan seunit televisyen, peti ais, penyaman udara serta kabinet selain dibina menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) dan teknologi pasang siap yang mesra alam.

Lokasinya juga mudah diakses melalui lebuh raya selain berhampiran hospital, sekolah, universiti dan pengangkutan awam yang memberi nilai tambah dalam kehidupan.

Maklumat terkini berkaitan Rumah Idaman juga boleh dicapai melalui pautan www.platselangor.com.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rumah Idaman: Kediaman berkualiti pada harga mampu milik – MB

SHAH ALAM, 29 OKT: Pelaksanaan inisiatif Rumah Idaman memberi pilihan kepada penduduk Selangor memiliki kediaman yang berkualiti pada harga mampu milik, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook berkata kediaman itu bukan sahaja lengkap dengan pelbagai kemudahan malah mempunyai persekitaran yang kondusif.

Pada 27 Oktober, beliau mengumumkan pembinaan enam projek Rumah Idaman untuk membantu penduduk yang bekerja dan tinggal di Selangor memiliki kediaman pertama.

Projek dibina di lokasi strategik meliputi Bandar Saujana Putra, Shah Alam, Puchong, Cybersouth dan Bandar Puncak Alam.

Menurut Amirudin setiap unit rumah memiliki keluasan 1,000 kaki persegi, reka bentuk praktikal serta dijual dengan harga RM250,000

Rumah Idaman juga dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, dua ruang parkir, seunit televisyen dan peti ais serta kabinet serta kabinet selain dibina menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) dan teknologi pasang siap yang mesra alam.

Categories
SELANGOR

Rumah Idaman: Lokasi strategik, harga berpatutan tarik pembeli muda

SHAH ALAM, 28 OKT: Harga berpatutan dan terletak berhampiran kemudahan seperti hospital membuatkan sepasang suami isteri tidak berfikir panjang untuk menyatakan minat membeli rumah projek Rumah Idaman diperkenal Kerajaan Selangor.

Menurut Siti Razini Mohd Pakhruddin, 30, beliau dan suaminya Mohd Khairul Anuar Abdul Rahman,34, sudah lama menyimpan hasrat memiliki rumah sendiri selepas kembali bertugas sebagai guru di Lembah Klang namun belum kesampaian atas faktor kos.

“Bila dengar pengumuman Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) kami terus isi borang menyatakan minat beli kerana harga RM250,000 memang berpatutan, di Puchong susah hendak dapat rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi ditambah kemudahan dengan harga sebegitu.

Pasangan guru, Siti Razini Mohd Pakhruddin, 30, dan Mohd Khairul Anuar Abdul Rahman.

“Paling penting rumah kami pilih itu terletak berhampiran sekolah, klinik kesihatan dan pusat beli-belah… hendak ke Hospital Serdang dan Putrajaya pun tidak jauh,” katanya menjelaskan mereka sekeluarga kini tinggal di rumah pusaka keluarga suaminya di Kampung Sri Puchong.

Tawaran rumah itu juga menarik perhatian seorang perunding kewangan Ahmad Shukri Abd Halim,31, yang memilih unit rumah di projek Rumah Idaman Elmina untuk didiami bersama isterinya.

“Harga memang berpatutan mengambil kira lokasi dan kemudahan disediakan antaranya televisyen, dua lot parkir dan kabinet.

“Projek Rumah Idaman ini satu projek sesuai untuk keluarga muda seperti kami bagi membina kehidupan,” katanya yang berasal dari Pandan Indah.

Semalam, Amirudin mengumumkan Kerajaan Negeri membangunkan enam projek Rumah Idaman untuk membantu rakyat yang bekerja dan tinggal di Selangor memiliki kediaman pertama.

Projek dengan kerjasama anak syarikat LBS Bina Group, MGB Berhad dibina di lokasi strategik meliputi Bandar Saujana Putra, Shah Alam, Puchong, Cybersouth dan Bandar Puncak Alam.

Setiap unit rumah yang dijual pada harga RM250,000 memiliki keluasan 1,000 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, dua ruang parkir, seunit televisyen dan peti ais serta kabinet.

Maklumat terkini berkaitan Rumah Idaman boleh dicapai melalui laman sesawang www.platselangor.com.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Rumah Idaman guna teknologi pasang siap, kurang bergantung pekerja asing

SHAH ALAM, 27 OKT: Projek Rumah Idaman menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) dan teknologi pasang siap yang mesra alam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penggunaan IBS dapat mengoptimumkan kos pembinaan tanpa menjejaskan kualiti rumah selain dapat mengurangkan kebergantungan pekerja asing.

“Dengan IBS, Rumah Idaman semakin mampu dimiliki kerana kos pembinaan jadi optimum dan yang paling penting meningkatkan kualiti rumah mampu milik supaya dapat didiami dengan selesa.

“Kami yakin dengan rekod prestasi rakan kerjasama MGB Berhad dan LBS Bina Group berdasarkan pengalaman meluas menggunakan sistem binaan berindustri lebih 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata dalam pengumuman khas berkaitan Rumah Idaman secara langsung di Facebook rasminya hari ini.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan enam projek Rumah Idaman dibina untuk membantu rakyat yang bekerja dan tinggal di Selangor memiliki kediaman pertama.

Projek itu dibina di lokasi strategik meliputi Bandar Saujana Putra, Shah Alam, Puchong, Cybersouth dan Bandar Puncak Alam.

Setiap unit rumah memiliki keluasan 1,000 kaki persegi, reka bentuk praktikal serta dijual dengan harga RM250,000

Rumah Idaman juga dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, dua ruang parkir, seunit televisyen dan peti ais serta kabinet.

Maklumat terkini boleh dicapai melalui laman sesawang www.platselangor.com.

 

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Enam projek Rumah Idaman di lokasi strategik, dekat kemudahan awam

SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan Negeri membangunkan enam projek Rumah Idaman untuk membantu rakyat yang bekerja dan tinggal di Selangor memiliki kediaman pertama.

Projek dengan kerjasama anak syarikat LBS Bina Group, MGB Berhad dibina di lokasi strategik meliputi Bandar Saujana Putra, Shah Alam, Puchong, Cybersouth dan Bandar Puncak Alam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan setiap unit rumah memiliki keluasan 1,000 kaki persegi, reka bentuk praktikal serta dijual dengan harga RM250,000

Katanya, Rumah Idaman juga dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, dua ruang parkir, seunit televisyen dan peti ais serta kabinet.

“Lokasi Rumah Idaman juga mudah diakses melalui lebuh raya selain dekat dengan hospital, sekolah, universiti dan pengangkutan awam yang memberi nilai tambah dalam kehidupan.

“Kita berharap Rumah Idaman ini dapat memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Selangor untuk membina kehidupan lebih bermakna,” katanya dalam pengumuman khas di Facebook rasminya hari ini.

Amirudin berkata daripada enam projek itu, Rumah Idaman di Bandar Saujana Putra akan dilancarkan pada November tahun ini dan dijangka siap penghujung 2024.

Maklumat terkini berkaitan Rumah Idaman boleh dicapai melalui laman sesawang www.platselangor.com.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB buat pengumuman khas berkaitan Rumah Idaman Rabu ini

SHAH ALAM, 25 OKT: Dato’ Menteri Besar dijadual membuat pengumuman khas berkaitan Rumah Idaman Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Rabu ini.

Berita baik untuk rakyat negeri ini akan diumum secara langsung di Facebook Amirudin Shari dan program Platform Selangor (PLATS) jam 2.30 petang.

“Peluang untuk membina kehidupan lebih bermakna kini di tangan anda. Jangan lupa saksikan saya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi video hari ini.

Pada 2 Mei lalu, Amirudin memaklumkan sebanyak 80,650 unit Rumah Selangorku Idaman dan Harapan menerusi 41 projek yang dijadual siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.

Daripada jumlah itu, lebih 77,000 ditawarkan kepada orang awam manakala selebihnya diberikan kepada Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY).

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Amirudin mengumumkan sebanyak RM20 juta bagi program Skim Smart Sewa menggunakan dana Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera.

 

Categories
PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sasar bina 48,000 unit Rumah Idaman dalam tempoh lima tahun

SHAH ALAM 13 JULAI – Kerajaan Selangor menyasarkan pembinaan 48,000 unit Rumah Idaman dalam tempoh lima tahun kepada golongan berpendapatan rendah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek dengan nilai ekonomi RM12 bilion bakal menyelesaikan isu pemilikan rumah golongan peringkat bawah dan pertengahan.

“Pelaksanaan projek Rumah Idaman ini bukan sahaja akan menyelesaikan masalah pemilikan rumah kepada golongan B40 dan M40 tetapi ia juga akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri seperti penyediaan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya pada 13 Julai.

Sementara itu, Kerajaan Negeri juga memperkenalkan Insentif Galakan Pembinaan Rumah Selangorku dengan membenarkan pemaju meminda syarat.

Unit kediaman itu yang seluas lebih 1,000 kaki persegi dengan harga kira-kira RM250,000 dilengkapi penghawa dingin, kabinet dapur, kabinet baju dan pemanas air.

Melalui insentif ini, tambah Amirudin, Kerajaan Negeri mendapat lebih 3,000 unit Rumah Selangorku dengan nilai hartanah RM750 juta secara percuma sehingga 2023.

 

 

Categories
EXCO SELANGOR

Rumah Idaman tidak boleh dijual

SHAH ALAM, 7 NOV: Tindakan Kerajaan Negeri menghalang penjualan semula unit Rumah Idaman adalah bagi mengelak berlakunya spekulasi pasaran harga melambung, kata EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Katanya, penjualan semula juga akan menyebabkan ada pihak tertentu mengambil kesempatan membuat pembelian rumah bagi tujuan pelaburan.

“Setiap projek Rumah Idaman dibina di bawah garis panduan ditetapkan kerana tertakluk kepada moratorium selama lima tahun. Ini bermakna setiap unit rumah yang dibeli tidak boleh dijual kepada pihak lain sebelum tamat tempoh berkenaan.

“Oleh kerana itulah pemohon yang benar-benar layak sahaja harus memohon rumah ini dan jika berlaku pelanggaran syarat, tindakan akan diambil ke atas mereka yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing (ADN) Rajiv Rishyakaran dan ADN Sungai Panjang, Dato’ Mohd Imran Tamrin berhubung Rumah Idaman pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Haniza (PAKATAN-Lembah Jaya) berkata, pada masa sama beliau meminta supaya Pesuruhjaya Bangunan (COB) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) memantau sekiranya berlaku penyewaan Rumah Idaman, di negeri ini.

“Seeloknya kedua-dua pihak ini mewujudkan peraturan rumah (house rules) bagi mengelakkan penyewaan berlaku terutamanya kepada warga asing, namun pengecualian diberi kepada pemilik yang terpaksa berpindah kerana tidak lagi bekerja berhampiran dengan unit kediamannya.

“Jika itu berlaku, kita akan pertimbangkan dan memberi pengecualiaan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerjasama Selangor-KPKT bantu pembeli Rumah IDAMAN

SHAH ALAM, 1 NOV: Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memastikan pembeli Rumah IDAMAN mendapat manfaat daripada skim Rent-To-Own (RTO) yang dimumkan Kerajaan Persekutuan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2020 berkata, Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat menyatakan sokongan kepada inisiatif itu dengan memperkenalkan produk pembiayaan khusus membabitkan pinjaman sehingga 110 peratus daripada harga jualan bagi tempoh pinjaman 40 tahun.

Katanya, fasa pelaksanaan Rumah Idaman sebanyak 4,800 unit merangkumi kawasan Kajang, Bangi dan Paya Jaras sudah bermula dan diluluskan untuk pembinaan serta dijangka siap sepenuhnya dalam masa tiga tahun.

Melalui skim RTO, pembeli akan menyewa bagi tempoh sehingga lima tahun dan selepas setahun diberi pilihan untuk membeli rumah berkenaan pada harga ditetapkan semasa perjanjian penyewaan ditandatangani iaitu RM250,000.

Objektif utama Rumah Idaman adalah bagi meningkatkan sosio-ekonomi rakyat berpendapatan rendah (B40) dan menengah (M40) melalui penciptaan persekitaran hidup kondusif selaras dengan kerangka kerja Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj sambut baik inisiatif Kerajaan Negeri tawar rumah

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 6 APRIL: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan rumah Idaman kepada kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Yang Dipertuanya, Dato’ Rosli Othman berkata, inisiatif itu antara sagu hati istimewa buat PBT terbabit, apabila projek pertama Idaman dilancarkan di kawasan pentadbiran MPKj.

Katanya, penawaran rumah Idaman itu sebagai peluang terbaik kepada sebahagian kakitangan awamnya yang belum memiliki rumah.

“Kita akan pertimbangkan untuk penjawat awam MPKj berkelayakan memiliki sebahagian unit Idaman ini.

“Jika layak, kita akan mendaftarkan penjawat awam MPKj ini bagi mendapatkan unit Idaman, namun bergantung kepada kemahuan mereka juga,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah projek Idaman Abadi oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di Bandar Teknologi Kajang, di sini.

Turut hadir, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Raja Shahreen Raja Othman.

Pada masa sama, Rosli berkata, pembinaan rumah itu bakal memberi manfaar kepada seluruh rakyat Selangor khususnya.

“Saya mengalu-alukan Kerajaan Negeri untuk membina lebih banyak rumah seperti itu di dalam kawasan ini,” katanya.

Terdahulu, Amirudin mengumumkan penawaran 60 unit rumah Idaman kepada kakitangan MPKj.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Idaman: Titik permulaan MBI, mahu perluas ke bandar

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 6 APRIL: Rumah Idaman menjadi titik permulaan buat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) untuk memperluaskan lagi projek itu, terutama di kawasan bandar, pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman berkata, pihaknya dan Kerajaan Negeri berusaha mencari penyelesaian terbaik khusus buat rakyat Selangor untuk memiliki kediaman pertama dengan beberapa ciri serta kemudahan, pada harga berpatutan.

Mengakui agak mencabar untuk menyediakan kediaman berkonsepkan seperti itu, namun beliau berkata, ia akhirnya dapat dilaksanakan dengan sambutan luar biasa.

“Ini (rumah Idaman) adalah titik permulaan dan kita akan cuba usahakan lagi di tempat lain terutama di kawasan strategik seperti bandar kerana kita tidak mahu golongan sederhana dan rendah duduk di pinggir bandar yang menyukarkan aksesibiliti mereka.

“Malah, sambutan diterima hari ini bukan sahaja dari masyarakat yang hadir untuk memohon rumah Idaman tetapi ada juga antara pemaju yang hadir bertanyakan bagaimana MBI melaksanakan kediaman dengan harga cuma RM250,000 dilengkapi semi-perabot,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah projek Idaman Abadi oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di Bandar Teknologi Kajang, di sini.

Katanya, untuk sasaran pertama, sebanyak 6,000 unit rumah Idaman akan dibina dan ia mungkin akan bertambah bergantung kepada permintaan.

Mengulas berkenaan MBI bersedia membantu Kerajaan Persekutuan untuk memperluaskan projek Idaman itu, Raja Shahreen berkata, ia bergantung kepada Kerajaan Negeri.

“Ia bukan di bawah bidang kuasa kami kerana kita hanya memfokuskan Selangor dahulu dan pada masa akan datang sama ada mahu meluaskan ke negeri lain, ia bergantung kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Sedia rumah harga kawalan, ikut kemampuan rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 6 APRIL: Menjadi satu keperluan kepada Kerajaan Negeri untuk menyediakan kediaman di bawah harga kawalan mengikut kemampuan rakyat, kata Haniza Talha.

Beliau yang juga EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar berkata, langkah itu diambil kerana tidak semua individu mampu membeli kediaman, pada harga tinggi.

“Ada segelintir rakyat mampu membeli kediaman pada harga RM250,000 dan ada juga yang mampu pada harga RM42,000.

“Oleh itu, kita akan cuba menyediakan perbezaaan harga mengikut kemampuan rakyat, sekali gus melihat maklum balas mereka terhadap projek yang sudah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah projek Idaman Abadi oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di Bandar Teknologi Kajang, di sini.

Turut hadir, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian; Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Yang Mulia Raja Shahreen Raja Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Dato’ Rosli Othman.

Pada masa sama, Haniza berkata, sambutan terhadap rumah Idaman Abadi agak memuaskan dan Kerajaan Negeri akan mengkaji untuk memperluaskan lagi tawaran kediaman itu.

Rumah Idaman Abadi adalah perkongsian pintar antara kerajaan dan swasta menggunakan teknologi berinovasi tinggi serta kerjasama erat bersama institusi kewangan.

Ia menawarkan unit kediaman berkeluasan lebih 1,000 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir kereta dengan harga bersih hanya RM250,000.

Menariknya, setiap unit rumah Idaman itu dibekalkan set televisyen, peti sejuk, kabinet TV, kabinet dapur, penyaman udara di setiap bilik dan pemanas air di bilik air.

Difahamkan, projek itu akan dimajukan di Kajang, Bangi, Ampang, Shah Alam, Cyberjaya, Dengkil, Setia Alam, Klang, Bandar Saujana Putra, Bandar Salak Tinggi dan Kuala Langat Utara.