Categories
AGENDA NASIONAL

FMM harap ringgit lebih kukuh pada 2020

KUALA LUMPUR 10 JAN: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berharap kerajaan akan terus mengukuhkan mata wang dan pasaran modal negara.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata peningkatan akan mengurangkan kos untuk menjalankan perniagaan.

“Perlu diingat bahawa kira-kira 70 peratus daripada barangan perantara untuk sektor pembuatan diimport dan kami mahu kerajaan membantu mengukuhkan ringgit,” katanya kepada pemberita pada majlis angkat sumpah Majlis FMM dan majlis makan malam di sini, semalam.

Acara itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Turut bersetuju dengan Soh, bekas Presiden Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata ringgit meningkat berbanding dolar AS daripada 4.2 kepada 4.1 dalam beberapa minggu ini.

“Bagaimanapun, terdapat juga pengeksport dalam industri (pembuatan) dan industri lain; justeru mata wang yang stabil merupakan penyelesaian yang terbaik untuk semua. Tidak terlalu kukuh dan tidak terlalu lemah.

“Saya fikir julat 3.8 hingga 4 adalah paras terbaik. Sebelum ini pada 3.8, ringgit telah mencatatkan prestasi yang amat baik untuk kebanyakan sektor,” katanya.

Soh berkata bagi 2020, FMM akan mencuba yang terbaik untuk meningkatkan sektor pembuatan, menambah aktiviti dan mempunyai lebih banyak eksport selain membawa masuk lebih banyak pendapatan.

-BERNAMA