Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

FMM gesa kerajaan selaras usaha penguatkuasaan PKP

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk menyelaraskan usaha penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut garis panduan standard dan menurut tatacara operasi piawai (SOP) am yang diumumkan bagi pelaksanaan di seluruh negara.

Mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari, Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata FMM sentiasa menekankan bahawa untuk memutuskan rantaian jangkitan perlu ada jalinan usaha bersepadu antara sektor awam dan swasta.

“Pada masa sama, FMM juga ingin mengulangi bahawa perintah penutupan serta merta perniagaan yang tidak mematuhi SOP dan keadaan operasi perlu dibuat dengan mengambil pertimbangan beberapa cabaran utama dihadapi industri.

“Ini termasuk mereka yang memerlukan kerjasama penuh daripada pemegang kepentingan utama lain seperti majlis tempatan berkaitan pematuhan kepada Akta 446 mengenai penginapan pekerja asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Soh juga berkata industri kecewa dengan pengumuman pada Khamis lepas apabila sektor yang diluluskan untuk menyambung perniagaan sebelum ini seperti tekstil, pakaian dan kasut tidak dimasukkan ke dalam senarai perkhidmatan penting.

“Ini juga termasuk keseluruhan rantaian bekalan, termasuk runcit dan industri/sektor lain yang mungkin menyokong secara tidak langsung perkhidmatan penting, serta syarikat berorientasikan eksport utama.

“Sektor-sektor ini tidak boleh berterusan ditutup dalam tempoh PKP yang dilanjutkan ini kerana ia akan menjejaskan dengan teruk perniagaan mereka,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Lonjakan automasi, digitalisasi pacu ekonomi

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Kejayaan Malaysia meratakan lengkung Covid-19 meletakkan ekonomi pada tahap yang lebih kukuh untuk menarik pelaburan langsung asing, namun, ia juga memerlukan lonjakan besar bagi melaksanakan aspek automasi dan digitalisasi, kata Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Lau Zheng Zhou.

Kerajaan perlu menggalakkan lebih ramai pengeluar terutamanya mereka dari peringkat pertengahan untuk melabur dalam automasi serta inisiatif peningkatan produktivti berasaskan digital yang lain, kata beliau.

Menurut kaji selidik Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), pekilang Malaysia mendakwa bahawa sehingga 40 peratus operasi sudah dilakukan secara automasi seperti dalam pemasangan, pemeriksaan dan pengujian, pembungkusan dan pergudangan.

“Walaupun secara umum, terdapat peningkatan kilang-kilang telah menggunakan aspek automasi, kecepatan transformasi masih lagi rendah. Adalah penting untuk mengetahui apa cabarannya dan di mana adanya jurang dalam dasar sedia ada,” kata beliau kepada Bernama dalam temubual menerusi emel baru-baru ini.

Pandemik Covid-19 dan kejutan yang dicetuskan kepada kedua-dua permintaan tempatan dan global telah menambahkan risiko kepada penggunaan automasi, kata beliau.

“Bagi kebanyakan mereka, terutamanya pengeluar peringkat rendah hingga pertengahan, mereka kekurangan akses kepada platform pengetahuan untuk mengembangkan kemampuan dengan lebih berjaya.”

Manfaatkan Revolusi Perindustrian 4.0

Penilaian Kesediaan Industry4WRD (RA Industry4WRD) disifatkan sebagai idea bernas untuk membantu syarikat menilai kemampuan mereka memanfaatkan 4.0.

“Tetapi ramai pengeluar tidak dapat menyertai program ini kerana peruntukan dan sumber yang terhad. Ini berlaku walaupun dengan peningkatan kos untuk mendapatkan sumber tenaga kerja asing dan kelebihan yang boleh diperoleh daripada automasi ini,” jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Lau berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19 turut menekankan kebergantungan pengeksport kepada China untuk mendapatkan bekalan bahan mentah penting yang menjuruskan kepada kos pengeluaran yang tinggi.

“Banyak syarikat multinasional yang sebelum ini bergantung kepada ekosistem rantaian bekalan China telah mempelbagaikan dan berpindah ke negara-negara seperti Vietnam, Thailand dan Malaysia.

“Jadi, kerajaan masih perlu meneruskan dasar terbuka untuk menarik pelaburan berkualiti dalam usaha mempromosikan inovasi limpahan positif serta meningkatkan eksport nilai tambah yang lebih tinggi,” kata beliau.

Eksport Malaysia Susut Kesan Pandemik Covid-19

Penularan pandemik Covid-19 telah menyaksikan eksport Malaysia susut teruk sebanyak 25.5 peratus tahun ke tahun kepada RM62.7 bilion pada Mei tahun ini, iaitu kejatuhan terbesar sejak Mei 2009.

Ini merupakan bulan kedua berturut-turut penurunan dua digit untuk eksport selepas mencatatkan kemerosotan 23.8 peratus tahun ke tahun pada bulan April.

Dalam pada itu, beberapa langkah dasar telah diperkenalkan oleh kerajaan termasuk Pelan Pemulihan Ekonomi dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat untuk membendung kesan akibat Covid-19 ke atas rakyat dan perniagaan.

Terdahulu, pada awal bulan ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyatakan ia beserta 20 pejabat luar negara dan 12 pejabat serantaunya akan sentiasa berusaha menjalankan promosi pelaburan dalam menarik pelaburan berkualiti daripada kawasan liputan masing-masing meskipun dalam situasi ekonomi membimbangkan disebabkan Covid-19.

Meskipun berhadapan dengan penutupan sempadan antarabangsa dan perlu mematuhi tatacara operasi piawai kerajaan, MIDA terus bersedia dalam memberikan nasihat dan sokongan kepada pelabur sedia ada dan bakal-bakal pelabur.

Bergerak ke hadapan, Lau berkata, aktviti pembuatan seharusnya menunjukkan peningkatan seperti yang dilihat dalam kenaikan ketara Indeks Pengurus Pembelian (PMI) kepada 45.6 pada Mei berbanding rekod terendah 31.3 bulan sebelumnya.

Selain daripada itu, rakan niaga utama Malaysia seperti China telah melaporkan pengembangan dalam aktiviti pembuatan bulan Jun manakala Amerika Syarikat dan zon euro turut diramal menyaksikan pemulihan besar, sekali gus mencadangkan kestabilan yang lebih mantap dalam pemulihan perdagangan Malaysia.

Bagaimanapun, kemerosotan pembuatan di ASEAN dijangka berterusan dan ini boleh menimbulkan risiko kepada fungsi rantaian bekalan serantau termasuklah ancaman perlindungan perdagangan dan kehilangan peluang untuk integrasi seterusnya.

Ekonomi Malaysia Pulih Berperingkat

Lau berkata perdagangan Malaysia tahun ini dijangka pulih secara berperingkat tetapi masih lagi kurang stabil.

Bank Negara Malaysia telah menurunkan kadar dasar semalaman untuk kali keempat tahun ini ke paras paling rendah pada Julai 7, di celah-celah penularan pandemik Covid-19 dan permintaan eksport yang lemah.

Bank pusat, tanpa dijangka, telah mengurangkan kadar asas pinjaman sebanyak 25 mata asas kepada 1.75 peratus. Secara umumnya, persekitaran kadar faedah yang rendah akan membolehkan Malaysia mempunyai lebih banyak tunai dan kecairan ini mampu membantu memacu ekonomi menerusi penggunaan persendirian.

Ini seterusnya akan membantu mengurangkan impak ekonomi daripada pandemik Covid-19.

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelonggaran monetari tambahan boleh membantu merangsangkan aktiviti ekonomi menerusi kos pinjaman yang lebih murah.

“Pada tahap tertentu, ia memberi isyarat yang bank pusat bimbang dengan tinjauan ekonomi yang sedang berkembang. Dengan ketiadaan vaksin, keadaan masih tidak menentu untuk pembukaan semula ekonomi secara menyeluruh.

“Perniagaan masih belum lagi beroperasi sepenuhnya terutama apabila sempadan masih ditutup untuk pelancong asing. Pada masa yang sama, terdapat kos pematuhan (perlu diikuti) seperti prosedur operasi standard dan protokol kesihatan. Justeru, untuk meraih keuntungan, masih memerlukan masa untuk kembali kepada sedia kala,” tambah beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FMM harap ringgit lebih kukuh pada 2020

KUALA LUMPUR 10 JAN: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berharap kerajaan akan terus mengukuhkan mata wang dan pasaran modal negara.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata peningkatan akan mengurangkan kos untuk menjalankan perniagaan.

“Perlu diingat bahawa kira-kira 70 peratus daripada barangan perantara untuk sektor pembuatan diimport dan kami mahu kerajaan membantu mengukuhkan ringgit,” katanya kepada pemberita pada majlis angkat sumpah Majlis FMM dan majlis makan malam di sini, semalam.

Acara itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Turut bersetuju dengan Soh, bekas Presiden Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata ringgit meningkat berbanding dolar AS daripada 4.2 kepada 4.1 dalam beberapa minggu ini.

“Bagaimanapun, terdapat juga pengeksport dalam industri (pembuatan) dan industri lain; justeru mata wang yang stabil merupakan penyelesaian yang terbaik untuk semua. Tidak terlalu kukuh dan tidak terlalu lemah.

“Saya fikir julat 3.8 hingga 4 adalah paras terbaik. Sebelum ini pada 3.8, ringgit telah mencatatkan prestasi yang amat baik untuk kebanyakan sektor,” katanya.

Soh berkata bagi 2020, FMM akan mencuba yang terbaik untuk meningkatkan sektor pembuatan, menambah aktiviti dan mempunyai lebih banyak eksport selain membawa masuk lebih banyak pendapatan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

FMM: Pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh perlu telus

SHAH ALAM 13 FEB: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mahu jaminan proses pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh dibuat secara telus dan cekap tanpa penglibatan atau pelantikan sebarang ejen atau syarikat penyumberan luar di Malaysia untuk membawa mereka masuk.

Katanya pada masa lalu, pekerja dibawa masuk oleh syarikat penyumberan luar yang diluluskan tanpa pekerjaan yang terjamin, yang menyebabkan ramai daripada mereka menjadi pendatang tanpa izin.

bangladesh“Syarikat penyumberan luar yang terdesak untuk mendapatkan kerja untuk mereka kemudiannya bertindak menawarkan pekerja terlibat kepada majikan yang memerlukan pekerja,” kata FMM dalam satu kenyataan.

Menurut FMM, pekilang tidak mahu mengambil pekerja tidak bertujuan bekerja dalam sektor pembuatan serta tidak mempunyai kemahiran bersesuaian.

Ia menegaskan yang majikan perlu dilibatkan dalam pengambilan pekerja dan diberikan hak untuk memilih pekerja sebelum proses pekerjaan sebenar.

FMM juga menggesa kerajaan segera mengadakan mesyuarat dengan persatuan majikan dan berkongsi perincian pengaturan kerajaan ke kerajaan, terutama mengenai kos pengambilan pekerja terbabit.

EZY