Categories
AGENDA NASIONAL

Wilayah Persekutuan benarkan solat tarawih, Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Solat sunat tarawih dan Aidilfitri di seluruh Wilayah Persekutuan yang kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan berdasarkan kapasiti masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter berkuat kuasa semalam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata kebenaran yang hanya dilaksanakan di kawasan kariah masing-masing itu turut membenarkan ibadah solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti keagamaan.

Mohd Ajib berkata ketetapan baharu yang diumumkan Jawi itu diputuskan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras pengumuman terkini kerajaan berhubung perkembangan PKP.

“Aktiviti qiamullail dibenarkan 100 orang sahaja mulai jam 5 pagi dengan penjarakan fizikal 1.5 meter,” katanya dalam kenyataan semalam.

Berikut adalah antara ketetapan baharu berhubung ibadah solat dan aktiviti keagamaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan:

Kawasan PKP (Kuala Lumpur)

    • Tadarus al-Quran dan Majlis Khatam al-Quran secara bersemuka dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 meter
    • Takbir Hari Raya pada malam 1 Syawal dibenarkan dengan peserta tidak melebihi 20 orang dalam kalangan ahli jawatankuasa dan pegawai masjid hingga 10 malam
    • Jamuan selepas solat sunat Aidilfitri, Majlis Jamuan Hari Raya dan aktiviti ziarah kubur adalah tidak dibenarkan
    • Kuliah dan tazkirah secara bersemuka dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama dengan penjarakan 1.5 meter

Kawasan PKPP (Putrajaya dan Labuan)

  • Tadarus al-Quran dibenarkan secara bersemuka dengan kapasiti separuh dewan solat utama manakala Majlis Khatam al-Quran dibenarkan mengikut kapasiti dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 meter
  • Takbir Hari Raya pada malam 1 Syawal dibenarkan dengan jumlah peserta mengikut kapasiti dewan solat utama masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan 1.5 meter sehingga jam 10 malam
  • Jamuan selepas solat sunat Aidilfitri dibenarkan secara berbungkus manakala Majlis Jamuan Hari Raya tidak dibenarkan
  • Kuliah dan tazkirah secara bersemuka dibenarkan dengan separuh kapasiti masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter
  • Aktiviti Ziarah Kubur dibenarkan dengan tidak melebihi enam orang bagi satu petak kubur dan tidak melebihi 30 minit

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Solat tarawih di masjid, surau negeri ikut SOP ketat

SHAH ALAM, 9 APRIL: Kerajaan Selangor membenarkan solat tarawih 20 rakaat di masjid dan surau seluruh negeri tahun ini mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata jemaah perlu membawa sejadah, menyukat suhu badan, mendaftar dan memakai pelitup muka seperti arahan solat Jumaat.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor minta solat tarawih dikekalkan sehingga 20 rakaat, sementara tazkirah selepas solat Maghrib tetapi tiada majlis berbuka puasa.

“Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga mencadangkan bacaan surah lazim,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada program Ikon Mahabbah Yayasan Islam Darul Ehsan di sebuah hotel di sini.

Beliau menambah Kerajaan Negeri mengambil pendekatan tidak mengumumkan SOP solat tarawih kepada orang ramai bagi mengelakkan salah faham.

“Kita hanya beri penerangan kepada nazir dan pengerusi masjid yang bertanggungjawab menjaga protokol kesihatan,” kata Mohd Zawawi lagi.

Pada 16 Mac, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membenarkan solat tarawih berjemaah di masjid tertakluk SOP ketat.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan bincang SOP solat tarawih dan Jumaat esok

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kerajaan akan bermesyuarat esok berhubung tatacara operasi piawai (SOP) solat tarawih dan Jumaat di masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat khas menteri-menteri akan membincangkan beberapa perkara termasuk hukum penjarakan sosial daripada sudut agama ketika solat jemaah, lapor Berita Harian.

“Menteri agama akan terbabit dalam mesyuarat ini. Banyak SOP akan dibincang kerana ramai orang bertanya sama ada boleh atau tidak solat tarawih contohnya duduk satu meter di masjid dan pelbagai soalan lagi.

“Jadi kita minta menteri agama tampil dengan SOP dalam menentukan apakah solat Jumaat dan tarawih dibenarkan dengan penjarakan satu meter,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan memberi kelonggaran dalam fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia dilaksanakan secara berperingkat.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jais minta bilal umum solat tarawih di rumah

SHAH ALAM, 17 APRIL: Bilal perlu membuat pengumuman meminta semua ahli kariah menunaikan solat tarawih di rumah selepas azan Maghrib dan Isyak sepanjang Ramadan ini, kata Jabatan Agama Islam Selangor.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata hanya imam, bilal dan siak yang bertugas boleh menunaikannya di masjid dan surau, namun menggunakan pembesar suara di dalam ruang solat sahaja.

“Nota Khas Panduan Pelaksanaan Solat Sunat Tarawih di rumah dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jais akan dihebahkan dalam masa terdekat,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mohd Shahzihan berkata imam, bilal dan siak boleh melaksanakan tadarus al-Quran selepas solat tarawih menggunakan pembesar suara luar menara, namun tidak melebihi jam 10.30 malam.

“Pengurus masjid boleh mengambil inisiatif mengadakan tazkirah secara langsung di Facebook masjid masing-masing pada waktu yang difikirkan sesuai seperti sebelum atau selepas Zuhur, sebelum azan Isyak atau selepas solat sunat tarawih.

“Masjid daerah dan masjid diraja boleh memasang bacaan ayat al-Quran 15 minit sebelum azan Maghrib menggunakan pembesar suara luar pada kadar sederhana,” katanya lagi.

Categories
AGAMA AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Solat tarawih di rumah jika PKP masih berjalan

SHAH ALAM, 2 APRIL: Solat tarawih tidak boleh dilaksanakan di masjid atau surau, sama seperti solat fardhu sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) belum berakhir, kata mufti Selangor.

Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata orang ramai disarankan menunaikan solat sunat itu secara berjemaah atau bersendirian di rumah kerana ketika ini kesihatan lebih utama walaupun disunatkan beribadah.

“Selama ini penduduk Selangor yang bekerja hingga lewat malam menunaikan solat tarawih di rumah akibat kekangan kerja malah waktu menunaikan solat itu juga panjang.

“Jika ikut sejarah para sahabat nabi, mereka tunaikan tarawih di rumah. Buatlah dengan ikhlas kerana Allah,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Mohd Tamyes berkata orang ramai tidak seharusnya menjadikan pandemik Covid-19 ini sebagai alasan tidak melakukan ibadah.

“Kita usaha. Selagi ada niat beribadah walau tidak berjemaah, Allah ganti pahala yang sama,” katanya.

Pada 16 Mac lalu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sepanjang PKP semua rumah ibadah hendaklah ditutup serta penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat.