KUALA LUMPUR, 7 FEB: Majlis akad nikah dibenarkan untuk diadakan di semua masjid kariah dan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan, berkuat kuasa esok.
Menurut Garis Panduan Pelaksanaan Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan JAWI, bagi akad nikah di JAWI dan juga masjid-masjid di dalam Wilayah Persekutan, hanya lima orang dibenarkan hadir iaitu pengantin perempuan dan lelaki, wali serta dua orang wakil dari pihak pengantin.
Sementara jurunikah dan dua orang saksi adalah dari pihak JAWI sekiranya dijalankan di JAWI atau dari pihak masjid sekiranya akad nikah dijalankan di masjid.
“Bagi pasangan pengantin yang hadir dari negeri luar yang berada dalam zon merah ke majlis akad nikah di JAWI, mereka juga dihadkan kepada jumlah yang sama,” menurut garis panduan yang dikemas kini pada hari ini.
Hanya seorang jurufoto dibenarkan hadir dan hendaklah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan, dan tempoh masa perjalanan keseluruhan majlis akad nikah hendaklah tidak melebihi 20 minit.
Selain itu, tidak dibenarkan berjabat tangan antara jurunikah dengan pengantin lelaki serta antara semua pihak yang terlibat dalam majlis akad nikah dan susun atur majlis hendaklah mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.
Juga tidak dibenarkan sebarang upacara seperti upacara membatalkan air sembahyang dan menyarung cincin, serta perlulah mematuhi langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.
Hanya mas kahwin dan dokumen-dokumen yang berkaitan sahaja dibenarkan berada di dalam ruang majlis, malah ruang majlis dan kawasan sekitarnya juga hendaklah disanitasi termasuk tandas sebelum dan selepas majlis dijalankan.
Dalam masa sama, pihak-pihak yang terlibat mestilah mematuhi tarikh dan masa yang ditetapkan oleh Pendaftar atau Penolong Pendaftar Nikah Cerai Rujuk (NCR), atau majlis akad nikah boleh dibatalkan sekiranya pihak terbabit gagal hadir pada tarikh dan masa berkenaan.
Menurut garis panduan itu lagi, pelaksanaan majlis akad nikah dalam tempoh PKP dibenarkan kepada pasangan yang telah mendapat Kebenaran Berkahwin daripada JAWI, dan ia turut diperluaskan kepada pemohon luar Wilayah Persekutuan yang telah mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) masing-masing.
Ini termasuklah pasangan dari negeri lain yang telah mendapat kebenaran nikah JAWI dan ditangguhkan sebelum ini, juga boleh menjalankan akad nikah, serta keputusan Saringan Ujian HIV kedua-dua pasangan masih dalam tempoh sah laku semasa akad nikah dijalankan.
Bagi surat Kebenaran Berkahwin yang telah tamat dalam tempoh PKP, ia akan dilanjutkan dua bulan bermula dari tarikh kebenaran berakhir, namun pemohon hendaklah hadir semula ke JAWI untuk membuat penyambungan tempoh sah Kebenaran Berkahwin.
Mengikut garis panduan itu lagi, terdapat syarat-syarat khusus yang ditetapkan termasuklah pihak yang terlibat hendaklah membuat temu janji dengan JAWI terlebih dahulu bagi mendapatkan tarikh dan waktu akad nikah.
Pihak yang terlibat dalam akad nikah juga mestilah tidak mempunyai gejala, bukan kontak rapat kes positif Covid-19, bukan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), malah pengantin lelaki dan perempuan serta wali mereka diwajibkan menjalani ujian ‘swab test’ terlebih dahulu.
“Keputusan ujian yang disahkan negatif hendaklah diserahkan kepada JAWI sebagai bukti untuk membolehkan majlis akad nikah diadakan,” kata garis panduan itu.
Semua pihak juga diingatkan untuk membuat pemeriksaan suhu badan di pintu masuk, mendaftarkan kehadiran menggunakan imbasan QR code melalui aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman.
– BERNAMA