Categories
NASIONAL SELANGOR

Bola sepak : Jangan sampai gadai negeri – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 25092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor berkata penajaan sesebuah kerajaan negeri terhadap pasukan bola sepak tidak harus sampai menggadaikan kepentingan rakyat.

2. Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail meringankan bebanan anak-anak yatim di Rumah Perlindungan Nur Qaseh.

3. Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak kerajaan Pusat memberi penjelasan mengenai cadangan kenaikan tarif elektrik yang dijangka dibuat tahun depan.

Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

Kegagalan FAM Komersilkan liga domestik persoalan lebih penting

fas_logo(RENCANA) Pasukan Selangor atau dikenali sebagai The Red Giant merupakan sebuah pasukan yang evergreen dan digeruni lawan sepanjang masa dalam kancah bolasepak tempatan. Tidak dinafikan, perkembangan yang baik dalam pembangunan bolasepak pasukan Selangor seharusnya diberi perhatian.

Namun sebagai anak muda progresif, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor menggesa semua pihak yang saban hari mengkritik dasar kerajaan negeri pimpinan Khalid Ibrahim dalam sudut pembangunan sukan supaya lebih proaktif dan positif.

SAMM Selangor difahamkan kerajaan negeri telah menyumbang lebih 7 juta setahun untuk pembangunan sukan bolasepak negeri. Jumlah bantuan tersebut adalah yang tertinggi berbanding negeri lain. Apakah bantuan sebanyak lebih RM 7 juta setahun tidak memadai?

SAMM Selangor percaya kerajaan negeri telah memberikan sokongan yang besar namun perlu diingat bahawa sukan bolasepak seharusnya lebih bertenaga dengan tajaan syarikat besar dalam negara.

Pihak yang mengkritik harus meneliti apakah sebabnya bolasepak tempatan kurang mendapat tajaan yang besar sehingga memaksa kerajaan negeri dilihat ‘wajib’ menjadi penaja utama.

SAMM Selangor melihat FAM sebagai satu badan yang gagal membawa bolasepak tanahair ke tahap komersial yang tinggi.

FAM perlu dirombak dan diberi nafas baru maka bolasepak tempatan akan berpotensi untuk lebih bersinar seterusnya mendapat sokongan besar dari syarikat gergasi dan menarik minat lebih ramai pelabur.

Kegagalan FAM dalam menerajui bolasepak tempatan ke arah liga domestik yang lebih berkualiti, malah dengan pasukan kebangsaan yang semakin merundum seharusnya menjadi persoalan lebih penting.

Liga domestik berada di tangga tercorot dengan katogeri liga kelas D menyebabkan syarikat gergasi dan pelabur berkira-kira untuk menjadi penaja.

Maka SAMM Selangor turut menegaskan sesuatu perlu dilakukan demi menjamin liga domestik yang lebih berkualiti, dan rombakkan FAM itu bukanlah perkara yang mustahil.

Dari satu sudut, pelaburan besar-besaran dari pihak kerajaan negeri tidak semestinya akan membawa hasil lumayan. Pasukan negeri Melaka sebagai contoh, telah dilaburkan jutaan ringgit tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Ia merubah menjadi satu pembaziran.

SAMM Selangor meminta agar semua pihak lebih memikirkan bagaimana dana peruntukkan kerajaan negeri dibelanjakan dengan manfaat terbaik terhadap rakyat tanpa mengabaikan perkembangan sukan di peringkat negeri.

Kebajikan rakyat adalah keutamaan dan tidaklah perlu menggadai negeri hanya semata-mata untuk sebuah pasukan bolasepak yang kuat. Berbelanja biarlah dengan berpada-pada, RM 7 juta setahun yang diperuntukkan itu sudah lebih dari mencukupi dalam aspek bantuan kerajaan negeri.

SAMM Selangor juga menggesa kepada semua penyokong agar tidak hanya ‘bising’ ketika pasukan negeri tidak berada di puncak prestasi, tetapi memberikan sokongan tanpa belah bahagi walau di mana pun kedudukan pasukan negeri.

Azhar Achil
Penyelaras Bersama
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor

Categories
SELANGOR

SAMM Lancar Wayang Pacak Sebar Maklumat Selangorku

SABAK BERNAM 10 NOV: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor melancarkan siri Jelajah Anak Muda Selangorku khususnya di kawasan luar bandar di negeri ini.

Penyelaras SAMM Selangor, Azhar Achil berkata, siri jelajah ini dengan kerjasama TVSelangor bertujuan menyampaikan maklumat dan dasar Kerajaan Negeri secara terus melalui pengedaran risalah mengenai skim dan program supaya rakyat mengetahuinya secara lebih jelas.

Katanya, tumpuan utama siri jelajah ini adalah kepada masyarakat luar bandar kerana masih kekurangan akses kepada saluran media alternatif bagi mendapatkan maklumat dan gambaran sebenar mengenai Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

“Siri jelajah ini memberikan naskhah dan risalah mengenai skim bantuan air percuma, penjelasan mengenai hutang Talam, Skim Mesra Usia Emas (SMUE), serta pengedaran akhbar Selangor Kini kepada penduduk yang datang ke tapak pasar malam ini,” katanya ketika di temui di lokasi pertama siri jelajah di tapak Pasar Malam Sabak Bernam petang semalam.

Azhar berkata, SAMM Selangor turut menggunakan pendekatan menggunakan ‘Wayang Pacak’ iaitu tayangan video mengenai iklan mengenai program serta skim yang dianjurkan selama empat tahun pentadbiran Selangor di bawah Pakatan Rakyat (PR).

Seterusnya, siri jelajah ini akan ke tapak pasar malam di Sungai Besar, Sekinchan, Tanjong Karang, Sungai Panjang dan Bestari Jaya.

Turut hadir ketika melancarkan siri pertama jelajah ini adalah Professor Dr. Aziz Bari yang merupakan calon bagi Parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya akan datang.

Dr Aziz Bari berkata, siri jelajah ini merupakan salah satu kaedah yang ada memandangkan maklumat-maklumat penting kerajaan negeri masih ada yang tidak diketahui oleh rakyat khususnya yang kekurangan kepada akses internet.

“Kekangan media massa yang dimanipulasikan oleh Kerajaan Umno-BN menyukarkan rakyat mendapatkan maklumat sebenar mengenai perancangan yang dilakukan Kerajaan Negeri bagi membantu meringankan rakyat.

“Pengedaran risalah dan maklumat ini dapat memberitahu rakyat bagaimana wang Kerajaan Negeri diuruskan supaya kekayaan negeri dapat dikembalikan kepada rakyat untuk dinikmati,” katanya ketika memberikan ucapan melancarkan siri jelajah itu.