Categories
AGENDA NASIONAL

Najib tidak tahu SRC rancang pohon pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memberi keterangan membela diri dalam perbicaraan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC), memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak tahu syarikat itu merancang untuk memohon pinjaman RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Najib, 66, yang merupakan Menteri Kewangan dan Penasihat Emeritus SRC ketika itu berkata beliau tidak menyedari perkara itu dan tidak dimaklumkan bahawa surat bertarikh 3 Jun 2011 daripada SRC untuk memohon kelulusan pinjaman sebanyak daripada KWAP akan dihantar kepadanya.

Beliau yang memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi bagi membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC, berkata beliau telah menemui bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi atau CEO SRC, Nik Faisal Ariff Kamil atau kedua-duanya antara 7 Januari 2011 hingga tarikh surat permohonan itu.

“Surat itu memaklumkan tentang inisiatif yang membawa kepada pinjaman yang dicadangkan SRC.

“Kemungkinan besar saya telah dimaklumkan mengenai perkara ini sebelum saya menerima surat tersebut. Saya tidak boleh mengingati secara khusus apa inisiatif yang telah dicadangkan itu, tetapi sudah semestinya ia adalah sesuatu yang cukup substantif terutama sekali apabila saya memberikan sokongan saya kepada SRC.

“Ini adalah berdasarkan visi SRC yang dijangkakan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri,” katanya ketika disoal peguamnya Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Ketika ditanya Wan Aizuddin mengapa surat permohonan kelulusan tersebut dialamatkan terus kepada beliau dan bukannya KWAP, Najib berkata ia mungkin kerana telah dinyatakan dalam surat permohonan itu, SRC akan beroperasi di bawah nasihat Perdana Menteri.

Najib berkata surat itu kemungkinan telah dihantar ke pejabat beliau dan diterima oleh Ketua Setiausaha Sulitnya, Datuk Azlin Alias, bagaimanapun tiada sebarang perbincangan diadakan mengenainya.

Membacakan penyataan saksinya, Najib juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang resolusi lembaga pengarah dikeluarkan oleh pemegang saham 1MDB yang mencadangkan pemindahan dana kepada Falcon Private Bank Ltd dan Julius Baer Bank bagi pelaburan di Asia Tenggara dan RM1.5 bilion untuk usahasama (JV) antara Aabar Investment PJS Ltd. dan SRC.

“Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) selaku pemegang saham 1MDB hanya akan meluluskan resolusi tersebut jika ia melibatkan nilai yang besar mengikut Akta Syarikat 1965…namun saya hanya mengetahui apabila ia telah diselesaikan,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau tidak mengenali individu bernama Zahid Taib dari 1MDB yang mengaturkan pertemuan antara beliau dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Mat Noor Nawi di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Pertemuan itu adalah berhubung dokumen draf memorandum pengambilalihan SRC oleh MKD di mana mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa Najib menandatangani dokumen itu atas bonet kereta.

“Saya beranggapan bahawa beliau telah dimaklumkan untuk berjumpa dengan saya di sana oleh Datuk Azlin atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop,” kata Najib.

Ditanya peguamnya berhubung pemindahan saham SRC kepada 1MDB, Najib berkata: “Saya juga tidak sedar bahawa saham syarikat SRC hanya dipindahkan kepada 1MDB pada akhir 2011 kerana ia tidak konsisten dengan apa yang ditunjukkan kepada saya”.

Pada 11 November, mahkamah memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RM5.1 bilion disedia bayar hutang 1MDB, SRC untuk 2019, 2020

PUTRAJAYA, 22 OKT: Sebanyak RM5.1 bilion diperuntukkan untuk melunaskan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) bagi tahun ini (2019) dan 2020, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, sejumlah RM2.7 bilion disediakan untuk 2020 bagi melunaskan bayaran khidmat hutang 1MDB dan SRC, dan sebanyak RM2.4 bilion bagi tahun 2019.

“Kerajaan tetap komited untuk membayar semua obligasi pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Lim, hutang dan liabiliti 1MDB, termasuk faedah, pada masa ini berjumlah kira-kira RM51 bilion, termasuk RM8.93 bilion yang telah dibayar oleh Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Pada 18 Okt lepas (2019), 1MDB telah membuat pembayaran faedah sebanyak AS$50,312,500 bagi pelunasan bayaran faedah bon terbitan 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL), katanya.

“Bayaran tersebut dibuat menggunakan dana pemulihan aset 1MDB yang berjaya dikembalikan sebanyak kira-kira RM1.45 bilion setakat ini,” kata Lim.

Bon 1MELL bernilai AS$1.75 bilion itu diterbitkan pada 19 Oktober 2012 dan akan matang pada 18 Oktober 2022.

Lim berkata, untuk tahun ini, dua lagi bayaran perlu dibuat oleh 1MDB.

Ia melibatkan bayaran faedah bon 1MDB Energy Ltd (1MEL) sebanyak AS$52.4 juta (kira-kira RM219.2 juta) yang akan dibayar pada 11 November 2019, dan bayaran faedah sukuk Islamic Medium Term Note (IMTN) sebanyak RM143.75 juta yang akan dibayar pada 29 November 2019, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kertas siasatan SRC diserah kepada Mohamed Apandi tanpa diperhalusi TPR SPRM

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa kertas siasatan SRC International Sdn Bhd diserahkan terus kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali tanpa melalui Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ia adalah kes istimewa.

Perkara itu didedahkan Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain, 54, ketika disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-58 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Saksi pendakwaan ke-57 itu berkata, tidak ada mana-mana TPR dari SPRM menghalusi kertas siasatan kes itu sehinggalah ia diserahkan kepada Mohamed Apandi pada 2015 dan 2016.

Ketika Muhammad Shafee bertanya kepastiannya berhubung perkara itu, Rosli berkata beliau menyerah kertas siasatan itu terus kepada Mohamed Apandi memandangkan ia adalah ‘kes istimewa’.

Muhammad Shafee: Saya katakan ini adalah tidak betul kerana saya pernah interview (temu bual) beberapa TPR dari SPRM.

Rosli: Selepas kertas siasatan itu diminit oleh Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin, saya menyerahkan kepada Peguam Negara pada 31 Disember 2015 dan ia dikembalikan semula kepada SPRM pada 18 Januari 2016. Kami menjawab pada 22 Januari 2016, dan saya hantar terus ke Jabatan Peguam Negara. Saya tidak melalui mana-mana TPR.

Kepada soalan Muhammad Shafee adakah Timbalan Pendakwa Raya mendiang Datuk Anthony Kevin Morais yang mati dibunuh pada 2015 terlibat dalam siasatan kes SRC, Rosli menjawab “tidak”.

Ditanya Muhammad Shafee sama ada Kevin Morais terbabit dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), saksi menjawab “Tidak tahu”.

Bagaimanapun, soalan peguam itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram atas alasan ia tidak ada sebarang kaitan dengan kes SRC.

Muhammad Shafee berkata, soalan itu adalah wajar bagi membersihkan nama anak guamnya kerana terdapat pihak yang membuat fitnah bahawa Najib terlibat dalam pembunuhan itu dengan mendakwa Kevin Morais terlibat dalam siasatan kes SRC.

Rosli juga bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa menerusi kertas siasatan pada 2015 terdapat beberapa nama dicadangkan untuk didakwa atas kesalahan pecah amanah dana SRC.

Mereka termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas Pengarah SRC, Datuk Suboh Md Yassin.

Rosli berkata, terdapat juga cadangan pendakwaan terhadap Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan Pengarah Kewangan IPSB, Abdul Aziz Ismail.

Katanya, cadangan itu adalah pertuduhan di bawah Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

“Cadangan ini adalah untuk (dakwaan) kesalahan yang berkaitan dengan pemindahan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta. Dakwaan ini adalah jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015,” katanya.

Muhammad Shafee: Saya mencadangkan, dalam keterangan kamu, tidak ada kejujuran di beberapa bahagian?

Rosli: Tidak sama sekali Yang Arif.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Kes di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 22 Oktober untuk pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan lisan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saya diminta letak jawatan – Bekas pegawai AmBank

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Bekas pegawai bank yang mengendalikan akaun AmBank Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini beliau diminta meletakkan jawatan pada 2015, dipercayai kerana terlibat dengan akaun Najib.

Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, juga berkata pada masa itu AmBank didenda RM53.7 juta oleh Bank Negara Malaysia (BNM) susulan kegagalan bank itu untuk memfailkan laporan transaksi mencurigakan.

Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan bahawa BNM mengenakan denda ke atas bank itu pada 23 Nov 2015 kerana kegagalannya melaporkan transaksi yang mencurigakan dalam akaun Najib.

Saksi ke-54 pendakwaan itu memberitahu perkara itu dalam pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh pada perbicaraan hari ke-42 bekas perdana menteri itu, yang menghadapi tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit: Adakah anda tahu mengapa mereka (bank) didenda?

Yu: Saya hanya membaca mengenainya dalam akhbar, mengenai ketidakpatuhan.

Harvinderjit: Adakah anda berhenti atau diminta untuk meletakkan jawatan?

Yu: Saya diminta meletakkan jawatan.

Harvinderjit: Adakah kerana terlibat dengan akaun Najib?

Yu: Saya percaya sedemikian. Mereka (AmBank) diletakkan di bawah tekanan jadi saya diminta letakkan jawatan.

Yu berkata dua lagi rakan sekerjanya, yang mempunyai kedudukan yang sama, Daniel Lee juga meletakkan jawatan dalam tempoh yang sama tetapi Krystle Yap terus bekerja seketika.

“Pada masa itu, pasukan itu lebih besar, terdapat kira-kira lapan orang tetapi Daniel dan Krystle mengendalikan akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC.

“Antara ketiga-tiga mereka, Yu berkata beliau adalah paling senior.

Saksi itu juga menafikan beliau sebagai perantara antara ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil (Nik Faisal).

Harvinderjit: Adakah anda perantara antara Jho Low dan Nik Faisal?

Yu: Tidak. Mereka saling berhubung, mereka tidak perlukan saya.

Harvinderjit: Anda juga perantara arahan antara Jho Low dan Nik Faisal?

Yu: Tidak, saya bertanya Nik Faisal untuk arahan kerana beliau adalah pemegang amanah akaun.

Harvinderjit: Anda mendapat arahan daripada Jho Low dan hanya merujuk kepada Nik Faisal untuk memformalkan dalam arahan bertulis?

Yu: Hanya arahan bertulis supaya bank boleh bertindak ke atasnya.

Harvinderjit: Malah surat (arahan) kepada Nik Faisal, anda yang draf.

Yu: Iya…sebahagian daripadanya. Ini untuk membantunya menangani lebihan pengeluaran dalam akaun Datuk Seri (Najib).

Semalam, saksi itu memberi keterangan Najib telah memberikan mandat kepada Nik Faisal untuk mengendalikan tiga akaun semasa AmBanknya, yang berakhir dengan 906; 898 dan 880, yang semuanya dibuka pada 2013 yang bank hanya boleh bertindak dengan syarat terdapat arahan bertulis.

Merujuk kepada BlackBerry Messenger (BBM) perbualan antara Yu dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling (Ung) , Harvinderjit menyoal saksi sama ada beliau mengetahui Jho Low mengarahkan Ung memindahkan wang tunai ke akaun Najib.

Harvinderjit: Anda terlibat dalam bilik bual, adakah anda mengetahui Ung menerima arahan daripada Jho Low?

Yu: Kami hanya mengaturnya untuk bank.

Harvinderjit: Jho Low beritahu Ung beliau perlukan RM2.5 bilion tunai daripada YR1M?

Yu: Saya tidak ingat siapa tetapi saya tahu seseorang telah menyatakan mereka perlukan wang tunai untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah benar permohonan Najib akses dokumen bank

KUALA LUMPUR , 23 JUL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengakses maklumat dan dokumen akaun banknya di Ambank bagi tujuan menyediakan pembelaannya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak seharusnya menghalang bank daripada memberikan maklumat dan dokumen bank untuk membolehkan tertuduh mendapat perbicaraan yang adil.

Beliau berkata, tertuduh sebagai pemegang akaun berhak untuk mendapat maklumat dan dokumen yang disediakan oleh bank.

Sebaliknya, SPRM tidak dihalang daripada meneruskan siasatannya dan berhak untuk merampas dokumen dan maklumat sebagaimana yang dibenarkan di bawah akta SPRM, kata beliau.

Terdahulu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa SPRM tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk menghalang anak guamnya daripada mengakses dokumen yang berkaitan dengan akaun banknya sendiri.

“Salinan asal telah berada dengan suruhanjaya, tidak timbul bahaya jika dokumen dimanipulasi atau dimusnahkan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berkata, SPRM diberi kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada Ambank, memandangkan perkara itu masih dalam siasatan.

“Perkara ini akademik, memandangkan bank telah memberikan dokumen kepada Najib dengan kelulusan SPRM,” katanya dan menambah bahawa tidak dinafikan perbicaraan perlu adil.

Pada 11 Julai, Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa Najib tidak dibenarkan mendapatkan dokumen berkaitan penyata akaun Ambanknya.

Beliau berkata, pembelaan meminta dokumen daripada Ambank untuk menyediakan pembelaan anak guamnya bagaimanapun dimaklumkan oleh pegawai bank melalui sepucuk surat yang menyatakan bahawa mana-mana pihak yang memohon mendapatkan dokumen perlu berhubung SPRM terlebih dahulu.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukannya dan tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengubahan wang haram: Najib kekal mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya atas tiga pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta, lima tahun lalu.

Najib, 66, yang bersut kelabu mengangguk faham selepas jurubahasa wanita membacakan setiap satu pertuduhan dan ketika ditanya sama ada beliau mengaku bersalah atau tidak, Najib berkata: “Minta bicara”.

Hari ini adalah sebutan kali pertama kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan selepas kes itu dibenarkan dipindah dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan berkenaan, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta, iaitu hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan semua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup mencadangkan mahkamah menggunapakai jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen pada 8 Feb lalu. Mahkamah menetapkan 17 April untuk sebutan semula kes Najib yang diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 8 Februari lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan itu, bagaimanapun kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan memohon kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi berlainan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menetapkan Isnin ini untuk pengurusan kes Najib yang didakwa atas tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta selepas Manoj memohon tarikh berkenaan ketika sebutan kes itu hari ini.

Manoj berkata, pada tarikh berkenaan, pihaknya akan memaklumkan perkembangan empat rayuan Najib yang didengar pada 11 Mac dan bersambung 15 Mac ini di Mahkamah Rayuan.

Rayuan berkenaan adalah membabitkan perintah menghalang media daripada menyiarkan perbincangan umum berkaitan merit kes itu, penzahiran dokumen, pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah sebagai ketua pasukan pendakwaan dan sijil pindah kes.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama dari dana serupa.

SUMBER: BERNAMA