Categories
AGENDA NASIONAL

RM5.1 bilion disedia bayar hutang 1MDB, SRC untuk 2019, 2020

PUTRAJAYA, 22 OKT: Sebanyak RM5.1 bilion diperuntukkan untuk melunaskan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) bagi tahun ini (2019) dan 2020, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, sejumlah RM2.7 bilion disediakan untuk 2020 bagi melunaskan bayaran khidmat hutang 1MDB dan SRC, dan sebanyak RM2.4 bilion bagi tahun 2019.

“Kerajaan tetap komited untuk membayar semua obligasi pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Lim, hutang dan liabiliti 1MDB, termasuk faedah, pada masa ini berjumlah kira-kira RM51 bilion, termasuk RM8.93 bilion yang telah dibayar oleh Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Pada 18 Okt lepas (2019), 1MDB telah membuat pembayaran faedah sebanyak AS$50,312,500 bagi pelunasan bayaran faedah bon terbitan 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL), katanya.

“Bayaran tersebut dibuat menggunakan dana pemulihan aset 1MDB yang berjaya dikembalikan sebanyak kira-kira RM1.45 bilion setakat ini,” kata Lim.

Bon 1MELL bernilai AS$1.75 bilion itu diterbitkan pada 19 Oktober 2012 dan akan matang pada 18 Oktober 2022.

Lim berkata, untuk tahun ini, dua lagi bayaran perlu dibuat oleh 1MDB.

Ia melibatkan bayaran faedah bon 1MDB Energy Ltd (1MEL) sebanyak AS$52.4 juta (kira-kira RM219.2 juta) yang akan dibayar pada 11 November 2019, dan bayaran faedah sukuk Islamic Medium Term Note (IMTN) sebanyak RM143.75 juta yang akan dibayar pada 29 November 2019, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB: Mahkamah arah pendakwaan sedia saksi Isnin depan

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang sama, akan bermula Isnin depan dengan keterangan lisan oleh saksi pendakwaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pasukan pendakwaan supaya bersedia dengan saksi pada hari berkenaan sama ada saksi terbabit akan memberi keterangan secara lisan atau menerusi pernyataan saksi.

“Isnin (depan) kita akan memulakan dengan keterangan lisan. Harap sediakan saksi,” kata Hakim Sequerah.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan menjelaskan bahawa tiga saksi pertama mereka adalah saksi substantif (saksi utama yang akan memberi keterangan menerusi pernyataan saksi).

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam utama bekas Perdana Menteri itu, berpendapat bahawa persediaan berkaitan pernyataan saksi memerlukan beliau dan anggota pasukannya untuk membaca serta memahami sepenuhnya keterangan saksi.

“Apabila saksi berbekalkan pernyataan saksi, mereka akan laju seperti kereta api,” katanya dan menambah, pihak pembelaan memerlukan lebih masa untuk membuat persediaan kerana mereka baru menerima 15 berkas dokumen, ada antaranya mempunyai lebih 90 hingga 200 muka surat.

Hakim Sequerah: Saya boleh kekalkan untuk perbicaraan bermula pada Isnin. Saya sedia untuk bertolak ansur jika kamu memerlukan masa… saya boleh tangguhkannya seketika atau selama separuh hari. Perbicaraan akan diteruskan pada Isnin tetapi saya akan mendengar (hujah) kamu pada Khamis.

Terdahulu, Sri Ram memohon supaya perbicaraan dimulakan pada 3 September dengan menyatakan tiga alasan bahawa perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan SRC International Sdn Bhd di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali masih belum selesai.

“Saya dimaklumkan oleh Datuk V Sithambaram (Timbalan Pendakwa Raya) bahawa saksi akhir sedang memberi keterangan semasa pemeriksaan utama dan pihak pembelaan memerlukan sehari setengah untuk memeriksa balas saksi itu,” katanya.

Sri Ram berkata, alasan kedua bagi permohonan penangguhan itu adalah disebabkan pihak pendakwaan tidak dapat menyerahkan pernyataan saksi daripada 12 saksi sehingga Jumaat dan mereka memerlukan masa untuk menentusahkan beberapa dokumen.

“Pagi ini kami turut menyerahkan 15 berkas dokumen kepada pembelaan. Berdasarkan alasan di atas, perbicaraan 1MDB perlu dimulakan pada 3 September kerana mereka (pendakwaan dalam kes SRC) berpeluang untuk menyelesaikan kes mereka,” katanya.

Hakim Sequerah: Tarikh telah ditetapkan lebih awal. Boleh saya tahu kenapa pernyataan saksi lewat diserahkan?

Sri Ram: Saksi pertama kami adalah saksi substantif. Pihak pembelaan memerlukan masa untuk menentusahkan beberapa dokumen. Tidak adil bagi pembelaan jika saksi tidak dipanggil seperti diarahkan. Dan peluang juga perlu diberi untuk menyelesaikan kes SRC.

Ditanya oleh Hakim Sequerah sama ada pendakwaan boleh membacakan pernyataan pembukaan kes itu pada hari ini, Sri Ram berkata, pihak pendakwaan belum bersedia untuk membacakannya.

Hakim Sequerah kemudian memerintahkan pendakwaan supaya bersedia dengan pernyataan pembukaan mereka dan saksi pada Isnin, selain menetapkan Khamis ini bagi pengurusan kes untuk mengetahui perkembangan perbicaraan kes SRC.

Beliau kemudian membenarkan permohonan Sri Ram untuk menangguhkan perbicaraan 1MDB, juga dikenali sebagai perbicaraan 1MDB-Tanore, yang dijadualkan bermula hari ini.

Pada 20 September 2018, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 25 pertuduhan dan kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mahkamah benar warta notis pihak ketiga babit wang lebih RM6.16 juta

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan pihak pendakwaan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas wang lebih RM6 juta yang disita daripada enam pihak termasuk parti UMNO, beberapa syarikat dan individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pewartaan notis itu bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Enam pihak itu ialah Parti UMNO Negeri Kelantan, IPG Mediabrands Sdn Bhd, Parti Bersatu Rakyat Sabah, Yayasan Tun Hussein Onn, Sim Sai Hoon dan Akademi Pemuda.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memohon tempoh dua bulan untuk pihaknya selaku pemohon melaksanakan proses pewartaan berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan sebelum atau pada 5 Sept untuk pendakwaan mewartakan notis tersebut dan juga untuk pengurusan kes untuk empat responden iaitu Parti UMNO Negeri Kelantan, IPG Mediabrands Sdn Bhd, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Yayasan Tun Hussein Onn.

“Tarikh 18 Julai ditetapkan sebagai sebutan lantikan peguam bagi Sim Sai Hoon dan Akademi Pemuda (bagi dua responden),” kata Ahmad Shahrir.

Bagi satu lagi responden, Rayhar Travels Sdn Bhd, mahkamah menetapkan 1 Ogos untuk mendengar permohonan pendakwaraya untuk mewartakan notis berikutan syarikat itu membantah permohonan pewartaan itu tanpa mendengar hujahan responden terlebih dahulu.

Proses pewartaan notis berkenaan dibuat mengikut Seksyen 56(1) dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dalam notis usul itu, pendakwa raya memohon suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi supaya disiarkan satu notis dalam warta di bawah Seksyen 61(2) AMLATFPUAA) 2001, bagi memanggil semua pihak ketiga yang menuntut apa-apa kepentingan dalam harta yang dirampas daripada semua responden untuk hadir atau melalui peguam di hadapan Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mukhriz tidak tahu dana 1MDB disalur kepada Umno Kedah

ALOR SETAR, 22 JUN: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata beliau tidak mengetahui mengenai dana yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) disalurkan kepada UMNO Kedah sewaktu memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, sebelum ini.

Katanya, segala urusan berkaitan dana parti diserahkan sepenuhnya kepada Bendahari UMNO negeri pada ketika itu iaitu Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang turut menguruskan perbelanjaan dan agihan kepada setiap UMNO bahagian di negeri ini.

“Waktu saya jadi Pengerusi UMNO negeri, memang ada keperluan perbelanjaan untuk setiap bahagian tetapi saya serah kepada bendahari. Saya tidak tahu apa kaedah yang dia (bendahari) gunakan tetapi peruntukan yang diperoleh itu adalah untuk gerakkan aktiviti di setiap bahagian.

“Selepas itu (peruntukan diperoleh), apa yang berlaku saya tidak tahu tetapi ia langsung tidak libatkan sebarang projek, kontrak atau benda-benda lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan perlucuthakan sivil terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kesemua 41 individu dan entiti terbabit termasuk parti politik, yayasan dan syarikat, termasuk bahagian UMNO, Parti Rakyat Bersatu Sabah, MCA serta Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Mengulas lanjut, Mukhriz yang kini Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata jika dana diperoleh oleh UMNO daripada sumber yang salah, maka parti itu harus memulangkannya semula.

Mukhriz memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri pada Ogos 2013 dan melepaskan jawatan tersebut pada Februari 2016 selepas meletak jawatan sebagai menteri besar susulan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri Kedah memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wan Azizah: 1MDB jejaskan semua rakyat Malaysia

SANDAKAN, 5 MEI: Kesedaran tentang skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah penting kerana skandal itu menjejaskan rakyat di negara ini termasuk rakyat di Sandakan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini.

Beliau berkata, skandal itu telah menjejaskan peruntukan dalam belanjawan negara, yang sepatutnya boleh digunakan untuk membangunkan lagi Sabah.

“Ada kaitannya (kesedaran tentang skandal 1MDB kepada penduduk di Sabah).

“Orang mungkin tidak tahu … tetapi disebabkan skandal itu, kita kehilangan banyak wang,” kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita ketika berkempen untuk calon DAP pada Pilihan Raya Kecil Sandakan di sini.

Wan Azizah diminta mengulas mengenai ceramah oleh bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Pulau Berhala di sini, semalam.

Pandikar, yang berada di sini untuk berkempen bagi calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin, memberitahu penduduk di pulau itu bahawa skandal 1MDB tidak relevan kepada rakyat di Sandakan.

Wan Azizah berkata, tindakan Pandikar adalah tidak bertanggungjawab dan bahawa rakyat di seluruh negara perlu tahu skandal itu yang mendapat perhatian seluruh dunia.

Mengenai Wong, Timbalan Perdana Menteri mahu penduduk Sandakan memastikan Wong memenangi pilihan raya kecil itu kerana negara memerlukan lebih ramai pemimpin muda untuk menyuarakan masalah mereka di Parlimen.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes babit akaun bapa Jho Low didengar pada 19 Julai

KUALA LUMPUR, 19 APR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 19 Julai bagi mana-mana pihak ketiga yang berhasrat menentang perlucuthakan wang lebih RM48 juta yang dirampas daripada tujuh akaun bank milik Tan Sri Larry Low Hock Peng, bapa ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, untuk hadir di mahkamah.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh perbicaraan itu untuk pihak-pihak berkenaan hadir menunjukkan sebab mengapa harta berkenaan tidak boleh dilucuthakkan kepada kerajaan.

Mohamed Zaini juga bersetuju dengan permohonan pendakwaan supaya mewartakan notis yang mempelawa pihak ketiga hadir mengemukakan alasan terhadap tindakan pelucuthakan itu beberapa hari atau minggu sebelum perbicaraan.

“Terdapat keperluan mewartakan notis supaya sebarang tuntutan diketahui oleh mahkamah sebelum mahkamah dapat mempertimbangan perlucuthakan aset berkenaan,” kata hakim.

Wang yang dibekukan oleh pihak berkuasa dalam akaun Larry Low dipercayai sebahagian daripada penyiasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aaron Abilash Paul Chelliah memberitahu mahkamah bahawa pihak berkuasa tidak mengetahui di mana responden (Larry Low) berada sebagaimana disahkan dalam afidavit pegawai penyiasat Supt Foo Wei Min, yang menunjukkan beliau tidak berada di Malaysia.

“Polis juga memfailkan tuduhan terhadap beliau dan waran tangkap telah dikeluarkan. Kami memohon bantuan Interpol untuk mengesan beliau tetapi setakat ini tidak berjaya,” katanya dan memohon supaya notis berkenaan dikeluarkan.

Pada 29 Mac, kerajaan memfailkan tindakan pelucutan sivil untuk membekukan tujuh akaun bank milik Larry Low dengan mendakwa ia adalah hasil daripada kegiatan pengubahan wang haram.

Notis penyitaan bertarikh 17 Januari 2019 yang ditujukan kepada Goh Gaik Ewe, 66, ibu Jho Low, dikeluarkan mengikut Subseksyen 51 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM: Kerajaan tetap cari Jho Low walau sukar

PUTRAJAYA, 10 JAN: Kerajaan akan tetap meneruskan usaha mencari ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low walaupun sukar, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Terdapat hanya kira-kira tujuh bilion penduduk (dunia) jadi, tidak sukar sangat.

“Kita boleh cari dia, walaupun sukar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di sini, hari ini.

Jho Low dikenal pasti penyiasat Malaysia dan Amerika Syarikat sebagai watak utama dalam skandal berbilion dolar 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dipercayai melarikan diri daripada ditahan di Hong Kong ke pulau berdekatan dengan Macau.

Sebuah portal dalam talian melaporkan semalam, bahawa Jho Low menafikan laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa beliau turut memainkan peranan dalam rundingan dengan China untuk membayar balik hutang 1MDB pada 2016 sebagai tukaran kepada pemberian kontrak mewah.

Jho Low, dalam satu kenyataan melalui jurucakapnya yang dikeluarkan menerusi peguamnya mendakwa, artikel berkenaan sebagai “separuh benar” dan menuduh pentadbiran Dr Mahathir bertanggungjawab dalam perkara itu.

Ditanya mengenai dakwaan Jho Low kononnya tuduhan itu bermotifkan politik, Dr Mahathir berkata, ahli perniagaan sedang melarikan diri itu sudah banyak kali bercakap seperti itu sebelum ini.

“Dia yang curi duit bermotifkan politik,” katanya.

Mengenai laporan WSJ itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu mendapatkan dokumen dinyatakan dalam laporan berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kita perlu cari dokumen itu dulu dan menggunakannya sebagai bukti ia benar-benar berlaku. Pada masa ini ia hanya sebuah berita dalam akhbar,” katanya.

Memetik minit mesyuarat beberapa siri mesyuarat yang tidak didedahkan sebelumnya, WSJ melaporkan bahawa pegawai China telah memberitahu rakyat Malaysia yang melawat Beijing, mereka akan menggunakan pengaruh untuk memujuk Amerika Syarikat dan beberapa negara lain untuk menggugurkan siasatan terhadap dakwaan bahawa rakan sekutu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan yang lain telah mencuri wang 1MDB.

Sebagai balasan, dakwa WSJ, Malaysia menawarkan kontrak mewah bagi pembinaan landasan kereta api dan saluran paip di bawah program pembinaan infrastruktur ‘One Belt, One Road’ negara China.

WSJ berkata rundingan itu termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur dan Saluran Paip Gas Trans Sabah yang akan dibiayai pada harga melebihi harga pasaran untuk menjana wang lebihan untuk kegunaan lain.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Singapura sedia bantu siasat skandal 1MDB

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 MEI: Singapura menyatakan pihaknya bersedia membantu siasatan berkaitan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di negara ini, lapor Channel News Asia, semalam.

CNA melalui laporan di portalnya berkata, kenyataan itu dikeluarkan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) dan Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD).

Katanya, pihak berkuasa Singapura bekerjasama secara meluas dengan penguatkuasa di Malaysia atas permintaan mereka untuk mendapatkan maklumat berhubung transaksi berkaitan 1MDB.

“Singapura juga telah mengambil tindakan pantas terhadap institusi kewangan serta individu yang melanggar undang-undang berhubung aliran dana yang berkaitan dengan 1MDB,” katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan mendapatkan kembali semua wang diseleweng 1MDB yang dipercayai disimpan di beberapa negara termasuk Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.

Categories
NASIONAL

Akaun berkaitan skandal 1MDB di Swizerland di siasat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Satu akaun berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kini sedang di siasat oleh pihak berkuasa di Swizerland.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, ini membuktikan skandal ini semakin diketahui masyarakat dunia termasuk pihak bertanggungjawab di negara masing-masing.

nurul izzah KLSCAH 01“Pada saya penting beri peringatan kepada semua apabila suara didiamkan, maka skandal seperti 1MDB atau keputusan terkini peguam negara bukan sahaja dipersoalkan dalam negara tetapi seluruh dunia dan terbaru di siasatan akaun ini di Swizerland,” katanya.

Izzah berkata demikian pada program Pelepasan Jelajah Konvoi #BebasAnwar Siri Selangor dan Kuala Lumpur di kediaman Anwar di Bukit Segambut, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika menyentuh isu pemenjaraan Anwar, Nurul Izzah menegaskan ia adalah simbol tangkapan pemimpin pembangkang lain.

Jelasnya, antara yang pernah ditahan adalah, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan ramai lagi.

-nR-

Categories
NASIONAL

1MDB kurangkan hutang, jual 60% Bandar Malaysia

SHAH ALAM, 31 DIS: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bersetuju menjual 60 peratus ekuiti dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada dua konsortium sebagai sebahagian daripada rancangan rasionalisasi mengurangkan hutang RM42 bilion.

Ekuiti bernilai RM7.41 bilion itu dijual kepada Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, berkata sebaik perjanjian penjualan saham dimeterai, 1MDB akan menerima deposit 10 peratus (RM741 juta).

arul kanda“Konsortium terbabit menilai penuh 100 peratus tanah Bandar Malaysia pada harga RM12.35 bilion. Nilai bersamaan 60 peratus tanah adalah RM7.41 bilion dan 1MDB dan menerima deposit 10 peratus atau RM741 juta selepas pelaksanaan perjanjian.

“Urus niaga transaksi ini dijangka lengkap menjelang hujung Jun tahun depan,” katanya.

Majlis menandatangani perjanjian itu dengan dua rakan kongsi baru mereka diadakan di Royale Chulan Hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama pada majlis itu adalah Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

-nR-