Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi pembenihan awan berjaya kurangkan jerebu di Sri Aman

PUTRAJAYA, 21 SEPT: Operasi pembenihan awan di Sri Aman, Sarawak semalam berjaya menurunkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu daripada tahap bahaya lebih 400 semalam kepada tahap tidak sihat 125, pada pukul 10 pagi tadi.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan hari ini berkata, kebakaran hutan belukar di Kampung STC Sri Aman, Jalan Tisak Betong dan Jalan Ketajau yang menyebabkan jerebu teruk di kawasan itu juga sedang dalam tindakan pemadaman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Dalam pada itu, JAS berkata secara keseluruhannya kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia, bahagian Barat Sarawak dan sekitar kawasan Tawau dan Sandakan, Sabah.

Berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam, katanya imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, menunjukkan terdapat peningkatan titik panas (hotspot) di Sumatera iaitu sebanyak 676.

“Manakala titik panas di Kalimantan, Indonesia berkurangan kepada 332, dan 20 titik panas dikesan di dalam negara iaitu di Semenanjung Malaysia (9), Sarawak (7) dan Sabah (4),” katanya.

Menurut JAS, Peta Jerebu Serantau dikeluarkan ASMC semalam pula menunjukkan kluster titik panas di Sumatera Tengah, Sumatera Selatan, Riau dan Jambi berterusan melepaskan asap jerebu sederhana hingga tebal.

“Asap jerebu dari Sumatera memberi kesan kepada hampir keseluruhan Semenanjung Malaysia. Di Kalimantan, kluster titik panas di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan berterusan melepaskan asap jerebu dimana memberi kesan jerebu di Sarawak,” jelasnya.

Setakat pukul 5.00 petang tadi, sebanyak 18 stesen di seluruh negara mencatatkan bacaan pada tahap tidak sihat dengan empat daripadanya di Sarawak iaitu Kuching (159), Samarahan (139), Sarikei (113) dan Sri Aman (107).

Di Selangor stesen terbabit ialah Johan Setia, Klang (152), Petaling Jaya (145), Shah Alam (128), Banting (115) dan Klang (113); manakala Kuala Lumpur melibatkan stesen Batu Muda serta Cheras masing-masing merekodkan bacaan 158 dan 150; dan Putrajaya 138.

Kawasan lain yang turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Nilai (138) dan Seremban (127) di Negeri Sembilan; Segamat (131) dan Tangkak (102) di Johor; serta Jerantut (114) dan Temerloh (102) di Pahang.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Isu Sri Aman diputar belit pihak tak bertanggungjawab

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MEI: Kerajaan Negeri menafikan dakwaan perobohan 30 rumah Kampung Seri Aman, Ijok sebaliknya isu terbabit didakwa diputarbelit dan diperbesarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau, percaya penyokong sebuah parti dan komponennya yang mahu dilihat menjadi hero kepada penduduk di kawasan itu.

GANAKatanya, pihak yang melakukan fitnah itu tidak pernah menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat ketika memerintah Selangor.

“Satu kelompok yang bukan duduk di situ mewakili satu parti dan bekas Adun kawasan itu yang sebelum ini tidak pernah membantu mendapatkan geran sebelum ini mereka membuat drama hari ini.

“Saya percaya tidak ada penduduk tempatan yang terlibat dalam kawasan itu,” katanya dalam sidang media, di pejabatnya.

Hari ini viral di laman Facebook dan hebahan Whatsapp tentang sebuah parti yang didakwa dihalang oleh Kerajaan Negeri apabila cuba mempertahankan 30 keluarga dihalau kelua dari rumah.

Dalam gambar menunjukkan antara tiga individu ditahan kerana bertindak mempertahankan 30 buah rumah daripada dirobohkan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memberi hak milik kepada 172 keluarga di Kampung Seri Aman dan Kampung Seri Sentosa.

Ganabatirau berkata hanya empat keluarga berdegil untuk berpindah sedangkan mereka sudah ditawarkan dua lot kediaman dan pertanian.

“Katanya, tindakan itu tidak terburu-buru kerana pemilik rumah itu diberikan pampasan RM5,000 dan dua tanah lot membabitkan kediaman dan pertanian.

“Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Negeri juga katanya lagi memberikan tanah pertanian untuk pemilik rumah yang diarahkan berpindah hari ini.

“Majlis Tindakan Ekonomi Negeri memutuskan supaya empat rumah yang terlibat dalam rizab jalan kerajaan diberikan pampasan sewajarnya,” katanya.

Ganabatirau berkata notis pengosongan diberikan dua kali iaitu pada Julai 2015 dan Januari 2016 disebabkan kediaman setinggan mereka termasuk dalam Rizab Jalan untuk pembinaan Rumah Selangorku.

“Kerajaan Negeri beri arahan selepas mengambil kira hak mereka dipelihara. Kita perlu mengeluarkan dan mengosongkan tempat kerana Projek Rumah Selangor juga tidak boleh diabaikan,” katanya.

EZY