Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN terima deposit SSPN 159 peratus, lebihi sasaran awal

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS 2021) mencatatkan situasi luar biasa dengan terimaan deposit Simpan SSPN berjumlah RM175 juta atau 159 peratus berbanding sasaran awalnya sebanyak RM110 juta.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam satu kenyataan hari ini berkata kejayaan terimaan deposit yang tinggi itu jelas menunjukkan semakin ramai ibu bapa mengambil berat mengenai kepentingan menabung dan perancangan kewangan bagi menjamin masa depan pendidikan tinggi anak-anak.

“Kekallah menjadi ‘superhero’ sepanjang masa untuk anak-anak dengan membuat perancangan kewangan dari awal bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna.

“Pendidikan memainkan peranan penting, bukan sahaja sebagai satu laluan untuk melahirkan modal insan yang berguna tetapi juga menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan ekonomi negara,” katanya.

BMS 2021 anjuran PTPTN diadakan sepanjang Oktober 2021 bersempena Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Okt setiap tahun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RM3 juta perkenal skim pendidikan anak Selangor

SHAH ALAM, 26 NOV: Sejumlah RM3 juta diperuntuk bagi melaksana skim Iltizam Anak Selangor yang menyasarkan penyertaan 30,000 kanak-kanak di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skim berkenaan membabitkan pembukaan akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime bagi anak yang baru lahir.

“Seramai 30,000 anak-anak yang memohon akan diberikan RM100 setahun untuk tempoh lima tahun dengan peruntukan sebanyak RM3 juta pada 2022,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Jelas beliau, program baharu itu diperkenal kerana pentingnya mengurus kewangan yang mampan di peringkat isi rumah.

Selain itu, Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM27.5 juta bagi meneruskan pelaksanaan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) tahun depan.

Amirudin berkata Iltizam Sayang Usia Emas berjaya menghimpunkan 402,000 ahli SMUE berdaftar yang mendapat manfaat baucar beli-belah RM100 pada bulan kelahiran dan khairat kematian bernilai RM500.

Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN tawar hadiah lumayan sempena kempen Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semalam melancarkan kempen Gong Xi Ang Pow Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2021 yang menawarkan pelbagai hadiah menarik bermula pada 8 Feb hingga 8 Mac tahun ini.

Kempen yang dilancarkan sempena meraikan Tahun Baharu Cina itu bagi menghargai semua penyimpan setia SSPN dan pelanggan baharu yang memilih SSPN sebagai skim simpanan utama.

Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika melancarkan kempen itu secara langsung menerusi Facebook PTPTN berkata pihaknya sentiasa komited dan bersedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Hadiah lumayan berjumlah lebih RM88,888 menanti 88 pemenang dengan hadiah utama bernilai RM8,888 untuk pemenang pertama, RM6,888 (tempat kedua) dan RM3,888 (tempat ketiga) manakala RM888 akan diberikan kepada 85 pemenang sebagai hadiah sagu hati.

Minimum RM100 simpanan bersih dalam akaun SSPN, bersamaan satu cabutan diperlukan untuk menyertai kempen tersebut.

Bagi individu yang membuka akaun atau membuat penambahan simpanan sepanjang tempoh kempen berlangsung, mereka juga boleh menyertainya secara automatik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN catat deposit SSPN RM1.3 bilion setakat November

SEREMBAN, 30 DIS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan sebanyak RM1.3 bilion atau 87.05 peratus jumlah deposit akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi tempoh Januari hingga 30 Nov lepas, berbanding sasaran sebanyak RM1.5 bilion, tahun ini.

Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata walaupun ia tidak mencapai sasaran, namun jumlah berkenaan menyaksikan peningkatan sebanyak 63 peratus berbanding RM800.84 juta yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Sebanyak 385,288 akaun SSPN telah dibuka setakat 30 Nov lepas dan ia mencapai sebanyak 96.32 peratus daripada sasaran tahun 2020 iaitu 400,000 akaun baharu.

“Kami jangkakan jumlah akaun baharu ini akan terus meningkat pada tahun hadapan dengan pelbagai promosi yang ditawarkan dan kami menyeru ibu bapa memanfaatkan peluang ini untuk menabung demi masa depan anak-anak,” katanya kepada pemberita selepas Program Bantuan Persekolahan 2021 PTPTN hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata secara keseluruhannya, sejak SSPN dilancarkan pada 2004 dan sehingga 30 Nov lepas, sebanyak 4.77 juta akaun SSPN dibuka dengan deposit berjumlah RM7.19 bilion.

“Kami berharap kadar dividen yang ditawarkan oleh SSPN kekal kompetitif berbanding institusi kewangan lain. Pada 2019, kadar dividen yang diberikan adalah kompetitif iaitu empat peratus dan saya berpandangan keuntungan yang diperoleh perlu dikongsikan dengan rakyat supaya mereka juga mendapat manfaat,” katanya.

Terdahulu, Wan Saiful dalam ucapannya pada program tersebut berkata seramai 410 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Negeri Sembilan hari ini menerima bantuan keseluruhan berjumlah RM41,000 daripada PTPTN.

Bantuan tersebut yang bertujuan bagi meringankan beban kewangan ibu bapa merangkumi baucar Mydin berjumlah RM80 bagi pembelian kelengkapan persekolahan dan RM20 dalam bentuk simpanan akaun SSPN-i kepada setiap pelajar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

4.57 juta akaun SSPN dibuka setakat Jun

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Sebanyak 4.57 juta akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dibuka dengan deposit berjumlah RM6.57 bilion sehingga 30 Jun 2020, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.

Noraini berkata Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mewujudkan SSPN pada 2004 dan sambutan yang diterima daripada masyarakat amat menggalakkan.

Katanya, jumlah deposit SSPN yang diterima bagi tempoh setengah tahun pertama tahun ini terus meningkat iaitu RM682.02 juta berbanding RM425 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

“PTPTN kini bukan sahaja dikenali sebagai sebuah institusi pemberi pinjaman untuk pendidikan tinggi, malah turut dikenali sebagai sebuah institusi penabungan pendidikan bagi kelangsungan masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook beliau hari i ni.

Beliau berkata usaha proaktif PTPTN dalam mentransformasikan minda masyarakat untuk membuat penabungan pendidikan merupakan suatu tindakan yang murni dan perlu disambut baik oleh segenap lapisan masyarakat.

“Hasrat saya agar PTPTN melalui SSPN terus menjadi pilihan utama kepada ibu bapa dalam membuat perancangan kewangan pendidikan anak-anak mereka.

“Saya yakin perkara ini dapat dicapai berdasarkan rekod pencapaian SSPN bagi tempoh setengah tahun pertama tahun ini yang terus meningkat,” katanya.

Noraini turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pendeposit SSPN atas kepercayaan dan sokongan padu berterusan menyimpan dalam SSPN bagi tujuan pendidikan anak-anak walaupun dalam situasi yang mencabar ini.

Beliau seterusnya menyeru agar semua pihak bersama-sama menyahut amalan menabung bagi tujuan pendidikan sebagai satu langkah penting bagi memastikan masa depan pendidikan anak-anak terjamin.

-BERNAMA