Categories
AGENDA NASIONAL

4.57 juta akaun SSPN dibuka setakat Jun

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Sebanyak 4.57 juta akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dibuka dengan deposit berjumlah RM6.57 bilion sehingga 30 Jun 2020, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.

Noraini berkata Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mewujudkan SSPN pada 2004 dan sambutan yang diterima daripada masyarakat amat menggalakkan.

Katanya, jumlah deposit SSPN yang diterima bagi tempoh setengah tahun pertama tahun ini terus meningkat iaitu RM682.02 juta berbanding RM425 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

“PTPTN kini bukan sahaja dikenali sebagai sebuah institusi pemberi pinjaman untuk pendidikan tinggi, malah turut dikenali sebagai sebuah institusi penabungan pendidikan bagi kelangsungan masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook beliau hari i ni.

Beliau berkata usaha proaktif PTPTN dalam mentransformasikan minda masyarakat untuk membuat penabungan pendidikan merupakan suatu tindakan yang murni dan perlu disambut baik oleh segenap lapisan masyarakat.

“Hasrat saya agar PTPTN melalui SSPN terus menjadi pilihan utama kepada ibu bapa dalam membuat perancangan kewangan pendidikan anak-anak mereka.

“Saya yakin perkara ini dapat dicapai berdasarkan rekod pencapaian SSPN bagi tempoh setengah tahun pertama tahun ini yang terus meningkat,” katanya.

Noraini turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pendeposit SSPN atas kepercayaan dan sokongan padu berterusan menyimpan dalam SSPN bagi tujuan pendidikan anak-anak walaupun dalam situasi yang mencabar ini.

Beliau seterusnya menyeru agar semua pihak bersama-sama menyahut amalan menabung bagi tujuan pendidikan sebagai satu langkah penting bagi memastikan masa depan pendidikan anak-anak terjamin.

-BERNAMA