Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiga mukim di Selangor kini zon hijau, Klang bebas zon merah

SHAH ALAM, 27 APRIL: Tiga mukim bawah daerah Kuala Selangor mencatatkan sifar kes aktif Covid-19 hari ini, sekali gus bertukar dari zon kuning ke hijau.

Menurut Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor, mukim tersebut ialah Batang Berjuntai, Ijok dan Jeram.

“Pasir Panjang, Tanjong Karang yang zon hijau bertukar kuning, namun Batang Berjuntai, Ijok, Jeram pula bertambah baik dari zon kuning ke hijau. Positif!” tulis pasukan itu di Twitter malam ini.

Mengikut data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Krisis negeri, Hulu Langat kekal satu-satunya mukim zon merah, yang merekodkan 171 kes dengan 54 daripadanya aktif.

Mukim Kajang pula kedua tertinggi dengan 159 kes diikuti Klang (124), Sungai Buloh (119), Damansara (113), Petaling (95) dan Ampang (74).

Sementara itu, Majlis Perbandaran Klang mengucapkan tahniah atas kejayaan penduduk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan hingga daerah tersebut berjaya keluar dari zon merah.

“Walaupun situasi bertambah baik, semua penduduk diminta terus mematuhi arahan kerajaan bagi membendung pandemik Covid-19,” tulis pihak berkuasa tempatan itu di Facebook.

Berdasarkan data setakat jam 12 tengah hari tadi, daerah Klang mencatatkan 29 kes aktif berbanding 44 semalam.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes aktif di mukim Hulu Langat turun, zon jingga hanya empat

SHAH ALAM, 23 APRIL: Kes aktif Covid-19 di mukim Hulu Langat menurun kepada 42 kes, kurang dua kes untuk keluar daripada zon merah.

Menurut data dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) setakat 12 tengah hari semalam, kes sedang dirawat di mukim itu berkurang 10 berbanding 52 kes yang direkodkan kelmarin.

“Zon merah masih satu, zon jingga berkurangan kepada empat. Kajang bertambah baik kepada kuning hari ini,” kenyataan ringkas STFC di Twitter dipetik.

Empat mukim dalam zon jingga yang merekodkan antara 21 hingga 40 kes adalah Damansara dan Sungai Buloh, masing-masing 33 kes diikuti Petaling (32) serta Klang (30).

Kementerian Kesihatan Malaysia menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tinjauan STFC: 80 peratus setuju PKP dilanjutkan bagi fasa keempat

SHAH ALAM, 21 APRIL: Sebanyak 80 peratus daripada lebih 2,200 responden yang menyertai tinjauan pendapat di Facebook Selangor Task Force Covid-19 (STFC) berpendapat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wajar dilanjutkan.

Dalam tempoh 24 jam mulai 5.30 petang semalam, 80 peratus atau atau kira-kira 1,760 pengunjung Facebook STFC setuju PKP dilanjutkan bagi fasa keempat, manakala 20 peratus lagi tidak setuju.

Fasa ketiga PKP berakhir pada 28 April ini dan kerajaan sebelum ini menyatakan apa juga keputusan sama ada arahan itu akan dilanjutkan, bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengunjung Facebook yang menggunakan akaun Nazri Taib meminta kerajaan melaksanakan PKP fasa keempat dan membuat saringan kesihatan besar-besaran di penempatan warga asing.

“Kita tak nak menjadi seperti Singapura,” katanya merujuk kepada jumlah kes positif Covid-19 di negara jiran itu yang meningkat mendadak sejak beberapa hari lalu.

Seorang lagi pengunjung, Alif Ain berpendapat kelonggaran pergerakan perlu dipertimbangkan bagi tujuan yang tidak melibatkan perjumpaan dengan jumlah terhad, di samping penjarakan sosial mesti dipatuhi sepenuhnya.

Mohd Hakimi pula berpendapat PKP diteruskan di zon merah sahaja dan orang ramai tidak boleh keluar masuk ke kawasan berkenaan.

“Semua sekolah masih ditutup sehingga Malaysia semuanya zon hijau,” katanya.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di Putrajaya hari ini berkata ada pihak mula merasakan keperluan untuk melonggarkan PKP, susulan aliran penurunan jumlah kes baharu positif Covid-19 di negara ini.

Bagaimanapun katanya kerajaan tidak akan melonggarkan tatacara operasi piawai (SOP) PKP dan penguatkuasaan adalah seperti biasa sehingga SOP baharu diperkenalkan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Usaha cegah Covid-19 tunjuk perkembangan positif – STFC

SHAH ALAM, 20 APRIL: Usaha memutuskan rantaian Covid-19 di negeri ini terus menunjukkan perkembangan positif, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Menurut Twitter STFC hanya dua kes baharu direkodkan hari ini dengan jumlah kes di Selangor setakat ini 1,343.

“Corak kes baharu berbanding semalam terus menurun. Sudah empat hari digit tunggal untuk kes baharu, kes kematian pun tiada. Kelihatan sangat baik! Terus patuh PKP, jangan leka!,” katanya.

Perkembangan positif terus ditunjukkan dalam memerangi Covid-19 di negara ini apabila kes harian sebanyak 36 kes iaitu jumlah paling rendah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 98 kes yang pulih dan dibenarkan keluar pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 3,295 kes iaitu 60.74 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Beliau berkata jumlah keseluruhan Covid-19 di Malaysia sehingga hari ini berjumlah 5,425 kes.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Tiga kes positif baharu di Selangor

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kes positif Covid-19 di negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak tiga orang setakat jam 12 tengah hari tadi, mengikut data Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Menurut Twitter STFC, jumlah keseluruhan kes di Selangor setakat ini 1,343 manakala kes di seluruh negara pula seramai 5,389 individu.

“Walaupun naik sedikit namun masih baik kerana digit tunggal. Tolong patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia belum lagi habis, belum lagi menang,” katanya.

Semalam Selangor menunjukkan pertambahan hanya dua kes baharu positif yang merupakan angka paling rendah minggu ini.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan 95 kes di Malaysia pulih dan pesakit dibenarkan pulang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes sembuh sepenuhnya 3,197 iaitu bersamaan 59.32 peratus dari keseluruhan kes positif.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kes baharu Covid-19 di Selangor turun empat hari berturut-turut

SHAH ALAM, 18 APRIL: Pertambahan jumlah kes harian positif Covid-19 di Selangor mencatatkan bilangan terendah selama empat hari berturut-turut dalam tempoh seminggu.

Berdasarkan statistik Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) setakat jam 12 tengah hari ini, hanya dua kes baharu dicatatkan berbanding semalam.

Pertambahan kes hari ini merupakan angka paling rendah dalam tempoh tujuh hari terakhir sejak Isnin.

Sebanyak sembilan kenaikan kes direkodkan pada 17 April lalu, 16 April (13 kes), 15 April ( 17 kes), 14 April (50 kes), 13 April (13 kes) dan 12 April (53 kes).

“Empat hari berturut-turut kes baharu turun. Kita sudah capai tahap ini, jadi tolong disiplin patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jangan sia-siakan usaha,” kata STFC di Twitter malam ini.

STFC turut menyebut jumlah pesakit keseluruhan di Selangor setakat hari ini ialah 1,340 kes.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Kes baharu di Selangor turun dua hari berturut-turut

SHAH ALAM, 16 APRIL: Pertambahan jumlah kes harian di Selangor mencatatkan bilangan terendah selama dua hari berturut-turut dalam tempoh seminggu.

Mengikut statistik Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) setakat jam 12 tengah hari ini, hanya 17 kes baharu dicatatkan semalam manakala 13 lagi pada hari ini.

Pertambahan kes hari ini menyamai angka terendah dalam tempoh tujuh hari terakhir, dicatatkan pada 13 April lalu iaitu pertambahan 13 kes.

Sebanyak 50 kenaikan kes direkod pada 14 April lalu, 12 April (53 kes), 11 April (35 kes), 10 April (30 kes) dan 9 April (40 kes).

“Semakin bagus, kan? Jadi patuh Perintah Kawalan Pergerakan, tolong jangan sia-siakan usaha sebelum ini,” kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi Twitter malam ini.

Pasukan itu melalui wadah sama juga menyebut jumlah pesakit sembuh lebih tinggi daripada kes baharu tetapi tidak menjelaskan angka terperinci.

Kes terkumpul di Selangor setakat hari ini sebanyak 1,329, tertinggi di Malaysia.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Negara luar guna sistem Selangor kesan titik panas Covid-19

SHAH ALAM, 9 APRIL: Sistem bagi mengesan titik merah Covid-19 yang dicipta anggota Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) turut diguna pakai oleh negara luar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem ciptaan Dr Helmi Zakariah juga boleh menganalisis wabak denggi.

“Kita beruntung kerana data ini turut diguna pakai negara luar dan daripada situ lahir inisiatif Kerajaan Negeri untuk melakukan saringan Covid-19 secara besar-besaran dalam tempoh satu ke dua hari lagi,” katanya ketika diwawancara dalam program Malaysia Hari ini di TV3.

STFC akan menjalankan saringan wabak Covid-19 secara besar-besaran di beberapa lokasi terpilih bermula esok dengan sasaran antara 1,000 hingga 1,200 orang.

Pasukan petugas diketuai bekas menteri kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan enam anggota lain membantu melengkapkan keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengawal penularan Covid-19 di negara ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Sepang catat 43 kes, zon merah di Selangor kini lima

SHAH ALAM, 6 APRIL: Zon merah di Selangor bertambah satu lagi hari ini selepas daerah Sepang mencatatkan 43 kes positif Covid-19.

Menurut angka di Twitter Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), empat daerah lain yang dikategorikan zon merah ialah Hulu Langat sebanyak 325 kes, Petaling (297), Klang (111) dan Gombak (107).

“Jangan keluar rumah sekiranya tiada keperluan. Jika perlu keluar, ambil langkah penjagaan diri yang betul. Bosan? Amalkan tips 4C,” kenyataan ringkas STFC dipetik.

Tips 4C merujuk kepada kawalan maklumat (control), ambil berat diri sendiri (care), sentiasa berhubung (connect) dan bertenang (calm).

Kenyataan itu turut diulang siar Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang menyeru masyarakat meneruskan usaha memerangi Covid-19 dengan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Selangor merekodkan keseluruhan 970 kes, dengan lapan kematian setakat ini.

Kementerian Kesihatan menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Dzulkefly: Patuhi PKP, jaga kebersihan bagi ‘landaikan keluk’ wabak

SHAH ALAM, 2 APRIL: Rakyat negeri ini diseru mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua dan menjaga kebersihan diri bagi melandaikan keluk pandemik Covid-19 dengan segera.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata langkah itu susulan Selangor mencatatkan jumlah kes positif Covid-19 tertinggi di seluruh negara setakat ini.

“STFC memandang serius situasi penyakit ini di Selangor yang meningkat sejajar faktor kepadatan penduduk, mewakili lebih 20 peratus daripada populasi kependudukan Malaysia,” kata pengerusinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Bekas menteri kesihatan itu turut mengingatkan penduduk di empat daerah dalam zon merah supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan berdisiplin tinggi mematuhi PKP.

Katanya, langkah pencegahan setempat melalui pihak berkuasa tempatan juga akan dibuat menggunakan sumber dan pasukan sokongan Kerajaan Negeri termasuk sukarelawan seperti dianjurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Setakat semalam, Selangor mencatatkan 726 kes daripada 2,908 kes  di seluruh negara dengan empat daerah dikategorikan dalam zon merah iaitu Petaling, Hulu Langat, Klang dan Gombak.

STFC ditubuhkan bagi memantau dan mencegah penularan Covid-19 di negeri ini, yang turut dianggotai empat pakar kesihatan, wakil Jabatan Kesihatan Negeri dan Unit Bencana Negeri.