Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua lagi positif Covid-19 di Selangor, orang ramai diingat terus patuh

SHAH ALAM, 13 MEI: Terdapat pertambahan dua kes positif Covid-19 di Selangor setakat jam 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah keseluruhan 1,612 kes.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan sehubungan itu orang ramai diminta terus mematuhi peraturan sedia ada sebagai langkah pencegahan susulan terdapat beberapa kelonggaran lagi hari ini dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD).

“Syabas dan tahniah. Namun setiap warga Selangor wajib mengamalkan penjarakan sosial, menjaga kebersihan dan memakai pelitup muka. Gunakan SELangkah setiap kali anda masuk ke premis perniagaan,” katanya melalui Facebook hari ini.

SELangkah adalah aplikasi secara dalam talian dibangunkan Kerajaan Negeri pada 4 Mei lalu bagi menjejak kontak Covid-19.

Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan terdapat pertambahan 37 kes baharu positif Covid-19 di negara ini dengan 21 darinya dalam kalangan warga asing.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan Komuniti di Selayang catat satu kes tiada gejala

SHAH ALAM, 9 MEI: Seorang daripada 1,653 individu didapati positif Covid-19 melalui Saringan Komuniti bersasar di Bandar Baru Selayang pada 22 hingga 23 April lalu.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan pesakit tersebut tidak bergejala.

“Saringan Komuniti bersasar dijalankan sebagai satu pendekatan ‘Kesan Awal, Asing Awal, Rawat Awal’ bagi menurunkan kadar penularan dan kematian ke tahap lebih rendah,” katanya di Facebook hari ini.

STFC memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor turut terlibat dalam mesyuarat gerak kerja operasi dan bersetuju dengan tatacara operasi piawai (SOP) mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada 28 April lalu, seramai 10 daripada 5,433 individu yang disaring dalam beberapa siri pemeriksaan komuniti bersasar disahkan positif Covid-19. Lapan daripadanya tidak bergejala.

Kerajaan Negeri memulakan Saringan Komuniti bersasar di kawasan zon merah bagi membantu melandaikan keluk dan memutuskan rantaian wabak.

Saringan secara pandu lalu dan dari rumah ke rumah dilakukan secara berperingkat membabitkan kawasan Hulu Langat, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Petaling dan Klang, Shah Alam, Sepang, Hulu Selangor serta Gombak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes baharu Covid-19 di Selangor naik, namun keadaan terkawal

SHAH ALAM, 9 MEI: Bilangan kes Covid-19 di Selangor hari ini meningkat kepada 10 berbanding enam yang direkodkan semalam.

Mengikut statistik Bilik Gerakan Covid-19 Selangor, sembilan kes dicatatkan di Petaling manakala satu di Gombak.

“Pertambahan itu menjadikan jumlah terkini pesakit Covid-19 ialah 1,596 dengan 206 kes aktif. Seramai 1,328 pesakit pulih dan dibenar keluar hospital manakala jumlah kematian kekal 20 orang,” katanya.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor memaklumkan situasi semasa pandemik di negeri ini masih terkawal.

Katanya, sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) yang dilancarkan Kerajaan Negeri pada 4 Mei lalu menjadi pendekatan untuk mengawal rantaian Covid-19.

“Warga Selangor diminta patuh dengan empat perkara asas ini bagi menjalankan sebarang urusan iaitu penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan menggunakan SELangkah ketika masuk ke premis,” tulisnya di Facebook.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sabak Bernam daerah kedua diisytihar zon hijau

SHAH ALAM, 9 MEI: Sabak Bernam menjadi daerah terbaharu di Selangor dikategorikan sebagai zon hijau susulan tiada pertambahan kes aktif Covid-19 hari ini.

Daerah itu yang mencatatkan sifar kes di semua mukim menjadi kawasan kedua berada dalam zon tersebut selepas Kuala Langat.

“Mukim Pasir Panjang menjadi mukim ke-33 berstatus zon hijau manakala mukim Hulu Langat pula bertambah baik ke zon kuning. Tahniah dan syabas semua,” tulis Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Twitter malam ini.

Lima daerah berada dalam zon kuning iaitu Kuala Selangor (13), Klang (15), Hulu Langat (33), Hulu Selangor (tiga) dan Sepang (satu) manakala zon merah ialah Petaling (62) dan Gombak (79).

Sementara itu, STFC mengingatkan orang ramai untuk mematuhi amalan norma baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai walaupun situasi semakin baik.

Katanya, penjarakan sosial, kebersihan diri, memakai pelitup muka dan mengimbas SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) seharusnya dijadikan tabiat baharu untuk rakyat Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan Komuniti di Sepang catat sifar kes Covid-19

SHAH ALAM, 8 MEI: Tiada kes Covid-19 dikesan dalam Saringan Komuniti bersasar membabitkan 397 individu di Salak Tinggi pada 21 April lalu.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor berkata saringan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) menggunakan kit ujian diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Seramai 397 orang disaring dan sukacitanya tiada kes. SOP disandarkan kepada tatacara KKM dan menggunakan kit ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi berbalik masa nyata (rRT-PCR),” tulisnya di Twitter malam tadi.

Dato’ Menteri Besar pada 28 April lalu memaklumkan sebanyak 5,433 sampel diuji dengan 10 daripadanya disahkan positif Covid-19 termasuk lapan kes tanpa gejala.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sampel diambil berdasarkan siri pemeriksaan bersasar yang dilaksanakan Kerajaan Negeri di enam kawasan sejak 11 hingga 23 April lalu.

Saringan secara pandu lalu dan dari rumah ke rumah dilakukan secara berperingkat membabitkan kawasan Hulu Langat; Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam; Petaling dan Klang; Shah Alam; Sepang; Hulu Selangor serta Gombak.

Laporan pemeriksaan boleh dimuat turun di http://www.selangorprihatin.com mulai 1 Mei lalu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

SELangkah selamat, tidak dedah data peribadi pengguna

SHAH ALAM, 7 MEI: Inisiatif SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) yang dibangunkan Kerajaan Selangor untuk mengesan Covid-19 selamat dan efektif kepada pengguna.

Anggota Pasukan Petugas Covid-19 Selangor Dr Helmi Zakariah berkata inisiatif tersebut tidak akan mendedahkan data peribadi pengguna, sebaliknya hanya merekodkan masa dan lokasi.

“Kita faham apabila memuat turun sesuatu aplikasi, orang ramai gusar data peribadi (didedahkan) dan menjejaki mereka. Apa yang kita buat ialah menukar premis perniagaan sebagai pusat kawalan.

“Sekiranya ada pengunjung demam, kita boleh kesan pengunjung lain yang ada bersama individu tersebut dan membantu mewujudkan pengesanan kontak,” katanya melalui rakaman video yang dikongsi di portal amirudinshari.com.

Dr Helmi berkata SELangkah diwujudkan selepas Kerajaan Negeri menyedari sistem menjejak kontak virus ketika ini sangat terhad dan kebanyakannnya dibuat secara manual.

Katanya, fasa pertama aplikasi tersebut dimulakan di pasar basah dan kedai runcit yang merupakan pusat kegiatan ekonomi paling berisiko untuk menyebarkan wabak.

Inisiatif dalam talian yang diperkenalkan pada 4 Mei lalu bertujuan mengesan kontak di mana-mana premis bagi mencegah penularan Covid-19.

Pemilik premis perlu mencetak sendiri kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya manakala pengunjung perlu mengimbas kod tersebut.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan SELangkah akan digunakan di semua premis kerajaan dan swasta berkuat kuasa serta-merta.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Sembilan kes baharu di Selangor, satu kematian

SHAH ALAM 6 MEI: Sebanyak sembilan kes positif Covid-19 baharu direkodkan di Selangor setakat jam 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah keseluruhan 1,564 kes.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) turut memaklumkan satu kematian dilaporkan membabitkan warga negeri ini.

“STFC turut bersedih dengan berita ini. Salam takziah kepada keluarga mangsa dan semoga cekal serta tabah hadapi dugaan ini,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Dalam hantaran sama STFC mengingatkan warga Selangor supaya memakai pelitup muka sepanjang Perintah Pelaksaan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) dilaksanakan.

“Pelitup muka merupakan satu komponen pencegahan utama di Selangor ketika ini selain penjarakan sosial dan kebersihan diri. Kita perlu cegah bersama supaya kesihatan masyarakat tetap terpelihara,” katanya.

Setakat hari ini, sebanyak 6,428 kes positif Covid-19 dilaporkan di Malaysia dan 4,702 kes disahkan pulih dan dibenarkan discaj.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

STFC: Kekalkan penjarakan sosial, pakai pelitup muka

SHAH ALAM, 5 MEI: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor mengingatkan masyarakat supaya terus mengekalkan penjarakan sosial dan memelihara kebersihan.

“Status 56 mukim Selangor tidak berubah. Namun keseluruhannya, Daerah Petaling terjejas dengan kembali semula ke Zon Merah. Ketidaktentuan ini menunjukkan penjarakan sosial dan pelihara kebersihan jangan dipandang sebelah mata.

“Hari ini kes baharu masuk semula kepada satu digit, sila pakai pelitup muka bila keluar, jadikan aksesori wajib,” tulis pasukan itu di Twitter.

Sementara itu berdasarkan data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS), sebanyak lima kes baharu direkodkan hari ini tetapi semua kes tersebut melibatkan rakyat Malaysia yang baru pulang ke negara ini.

Data tersebut menunjukkan bilangan kes keseluruhan di Selangor adalah 1,555 dengan 1,276 daripadanya sembuh.

Menurut BGNS daerah Gombak merekodkan kes aktif tertinggi iaitu 89, diikuti Petaling (51) dan Hulu Langat (45), Kuala Selangor dan Klang (13), Kuala Langat (4), Sabak Bernam (2) serta Sepang dan Hulu Selangor (1).

Semalam Selangor merekodkan 21 kes baharu Covid-19 dengan Petaling mencatat tambahan kes tertinggi iaitu 13.

Hari ini Malaysia merekodkan 30 kes baharu Covid-19 hari ini iaitu terendah direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pancang Bedena mukim ke-32 di Selangor berstatus zon hijau

SHAH ALAM, 29 APRIL: Pancang Bedena di daerah Sabak Bernam yang mencatatkan sifar kes Covid-19 hari ini menjadi mukim terbaharu di Selangor diisytiharkan zon hijau.

Perkembangan tersebut menjadikan 32 dari 56 mukim di negeri ini berstatus zon hijau, menurut Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

“Tahniah mukim Pancang Bedena kerana telah tambah baik ke zon hijau. Mukim Hulu Langat pula semakin hampir menjadi zon kuning dan keseluruhannya Selangor hampir bersih sepenuhnya dari zon merah tidak
lama lagi. Teruskan disiplin,” tulis pasukan itu di Twitter malam ini.

Mengikut data dikongsi STFC, Hulu Langat kekal satu-satunya mukim zon merah dengan 46 kes aktif.

Selangor merekodkan hanya satu kes baharu hari ini, berbanding lima yang dilaporkan semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini melaporkan 94 kes baharu Covid-19, dengan 72 daripadanya kes import membabitkan warganegara dan pelajar Malaysia yang pulang dari Indonesia.

Setakat ini, Malaysia mencatatkan keseluruhan 5,945 kes dengan jumlah kematian kekal 100 orang (1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hanya satu kes baharu wabak, MB pesan jangan terlalu selesa

SHAH ALAM, 29 APRIL: Hanya satu kes baharu Covid-19 dicatatkan di Selangor hari ini, berbanding lima yang dilaporkan semalam.

Angka sama pernah direkodkan pada 25 April lalu.

Menurut data dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), kes tersebut dilaporkan di Hulu Langat. Keseluruhannya daerah itu memiliki 66 kes aktif.

“Satu lagi rekod baik, Selangor! Kes baharu rendah memerlukan disiplin yang tinggi. Maka terus konsisten, jangan alpa!” kenyataan ringkas STFC di Twitter dipetik.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu selesa meskipun kes baharu mencatatkan satu digit.

“Usaha memutuskan rantaian Covid-19 di negeri ini terus menunjukkan perkembangan positif. Teruskan penjarakan fizikal dan sikap menjaga kebersihan harus menjadi keutamaan dan kebiasaan,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter petang tadi.

Berdasarkan data Bilik Gerakan Selangor, daerah Petaling kekal dengan 38 kes, Klang (15), Gombak (14), Sepang (3), Hulu Selangor (1), Kuala Selangor (1), Kuala Langat (7) dan Sabak Bernam (2).

Jumlah kematian pula seramai 18 orang.

Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini melaporkan 94 kes baharu Covid-19, dengan 72 daripadanya kes import membabitkan warganegara dan pelajar Malaysia yang pulang dari Indonesia.

Setakat ini, Malaysia mencatatkan keseluruhan 5,945 kes dengan jumlah kematian kekal 100 orang (1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Malaysia merekodkan jumlah kes positif harian kurang dari 100 sejak 17 April lalu. KKM menyasarkan jumlah kes harian Covid-19 turun kepada satu angka pertengahan Mei ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Kes baharu di Selangor naik, tapi kekal digit tunggal

SHAH ALAM, 28 APRIL: Bilangan pesakit baharu Covid-19 di Selangor meningkat kepada lima orang berbanding empat yang direkodkan semalam.

Mengikut data dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), negeri itu mencatatkan keseluruhan 1,403 kes setakat 12 tengah hari tadi.

“Kes baharu stabil dalam lingkungan digit tunggal. Jaga penjarakan sosial dan kebersihan diri untuk elak transmisi Covid-19,” kenyataan ringkas STFC di Twitter dipetik.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Twitter berkata dua daripada lima kes tersebut adalah kes import.

“Lima kes baharu Covid-19 di Selangor dicatatkan hari ini, namun ada kenaikan satu kes berbanding semalam. Dua dari lima kes baharu dalam kalangan mereka yang pulang dari luar negara,” tulisnya.

Berdasarkan statistik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis negeri setakat 5 petang tadi, dua kes baharu dikesan di Hulu Langat, Petaling (dua) dan Gombak (satu). Hulu Langat masih mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 475 dengan 72 kes aktif.

Daripada keseluruhan kes dilaporkan, seramai 1,205 pesakit berjaya sembuh dan 17 orang meninggal dunia.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Dzulkefly: Kes aktif wabak turun di Selangor petanda baik

SHAH ALAM, 28 APRIL: Kejayaan tiga mukim di Selangor yang berubah dari zon kuning ke hijau disifatkan petanda positif dalam usaha melawan jangkitan Covid-19.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia juga menunjukkan inisiatif Kerajaan Negeri melandaikan keluk wabak membuahkan hasil.

“Secara keseluruhannya Selangor masih mencatatkan lebihan positif dari segi bilangan mukim yang sudah tiada kes aktif.

“Hanya Pasir Panjang dan Tanjong Karang yang asalnya zon hijau menjadi zon kuning,” tulis pengerusi Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Facebook hari ini.

Menurut data dikongsi STFC setakat 12 tengah hari semalam, mukim Batang Berjuntai, Ijok dan Jeram berubah kepada zon hijau selepas tiada kes aktif yang direkodkan.

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly merayu penduduk negeri ini supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rantaian wabak.

“Bagi yang bergejala seperti batuk, selsema dan kesukaran bernafas, maka segera buat saringan kesihatan berdekatan anda. Kita pasti menang,” katanya lagi.