Categories
PBT SELANGOR

Tiada lagi straw plastik di kantin MPSJ

SUBANG JAYA, 24 JULAI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kini tidak lagi menyediakan penyedut minuman plastik di kantin premis milik mereka.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohammad Zulkurnain Che Ali berkata, langkah itu selaras kempen mengurangkan penggunaan straw oleh Kerajaan Selangor menjelang 2025.

“Pada masa sama, MPSJ juga mengingatkan kesemua pemilik premis makanan supaya tidak menggunakan straw plastik memandangkan Kerajaan Negeri sudah memberi ingatan sebelum ini.

“Untuk makluman, lesen yang dikeluarkan MPSJ juga menasihatkan pemilik premis makanan supaya tidak menggunakan plastik serta mengurangkan penggunaan straw.

“Bagi tujuan itu, kami turut mengedarkan surat rasmi kepada semua pemilik premis supaya tidak lagi menggunakan penyedut minuman berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPSJ, di sini hari ini.

Turut sama, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan.

Berkuat kuasa 1 Julai lalu, semua premis makanan di Selangor dilarang menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, pemilik premis juga dilarang menyediakan straw plastik di kaunter untuk diambil secara bebas oleh pelanggan.

Katanya, dasar itu juga selaras Kempen Bebas Plastik yang sedang dijalankan untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna (single-use plastics) seperti beg plastik, polistirena, penutup/pelapis makanan plastik dan bahan plastik pakai-buang.

Ia bertujuan mendidik dan meningkatkan tahap kesedaran penduduk berhubung kesan jangka panjang penggunaan plastik sekali guna khususnya straw plastik terhadap kesihatan dan alam sekitar.

Categories
SELANGOR

Tiada pemberian straw secara automatik bermula 1 Julai

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 15 MEI: Bermula 1 Julai ini, pengguna tidak lagi diberikan straw secara automatik bagi setiap minuman yang dipesan dan perlu meminta sendiri di kaunter jika memerlukannya, kata Hee Loy Sian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, tindakan berkenaan dibuat sebagai usaha menangani penggunaan ‘single-use plastic’ dan ia bakal dimulakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK).

“Mulai 1 Julai, kita tetap akan melaksanakan program untuk tidak memberi straw plastik secara automatik kepada pelanggan. Kalau pelanggna mahu, kena minta di kauter.

“Kita juga menghadkan restoran supaya tidak mempamerkan straw plastik di kaunter, mereka kena simpan. Atas permintaan, baru bagi sebagai satu usaha mengurangkan penggunaan plastik.

“Tahun ini juga kita menerima arahan daripada (Kerajaan) Pusat dan akan dimulakan di SUK terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurkan perasmian program Bazar Ramadan Mampan dan Kempen Amalan Hijau dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Taman Greenwood.

Katanya, pelbagai reaksi positif diterima daripada pengusaha dan pengguna sejak dimulakan 1 April lalu, ketika diumumkan pada Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Tahun Baru Cina.

Hasil pengumuman itu, banyak syarikat mula menghasilkan plastik dan straw biodegradasi ekoran permintaan tinggi yang diterima, sekali gus membolehkan pengurangan jumlah sisa serta menjimatkan kawasan tapak pelupusan sampah.

Categories
SELANGOR

Tiada caj untuk straw plastik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 DIS: Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk mengenakan caj ke atas penggunaan penyedut minuman plastik yang akan dikuat kuasakan larangannya, pada 2019.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, penyedut minuman tidak akan diberi secara ‘default’ kepada pelanggan, sebaliknya hanya diberi jika diminta.

Bagaimanapun, beliau menyarankan pengguna untuk membawa straw ‘stainless steel’ yang dijual di pasaran.

“Pada masa ini, kita tidak bercadang untuk mengenakan caj ke atas penggunaan penyedut minuman plastik.

“Pelaksanaan ini juga selaras hasrat Kerajaan Persekutuan supaya premis makanan tidak lagi memberi (straw) secara automatik,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Pandamaran, Leong Tuck Chee, pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.

Loy Sian berkata, larangan itu berkuat kuasa ke atas semua premis makanan termasuk restoran, kopitiam dan gerai makanan, di seluruh Selangor.

Kerajaan Negeri akan mengeluarkan notis berkenaan larangan itu kepada semua pemilik premis melalui Pihak Berkuasa Tempatan yang dijangka dikeluarkan, pada Disember ini sementara pelaksanaannya, pada Januari 2019.

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

FOMCA: Sediakan alternatif sebelum haramkan guna straw plastik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan Negeri disarankan menyediakan langkah alternatif terlebih dahulu sebelum mencadangkan negeri itu mengharamkan penggunaan straw plastik.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, hal itu kerana pihaknya bimbang sekiranya isu larangan straw plastik akan menjadi isu sama dengan penggunaan beg plastik di negeri berkenaan.

Katanya, penggunaan beg plastik sepatutnya tidak dibenarkan langsung digunakan oleh pengguna, sebaliknya ia dibenarkan dengan mengenakan caj RM0.20 sen.

“Kerajaan Negeri perlu memberikan masa kepada pengguna dan peniaga. Kita bimbang isu ini akan berlaku seperti larangan beg plastik yang tidak dilaksanakan sepenuhnya, sebaliknya masih digunakan dengan caj tertentu.

“Tanpa ada alternatif, pengguna masih boleh menggunakan beg plastik itu. Sekiranya kita peka dengan isu alam sekitar seharusnya kita tidak membenarkan langsung penggunaan beg plastik berkenaan.

“Ini tidak akan menyelesaikan masalah dan akan menjadi masalah yang sama kepada isu larangan penggunaan straw ini nanti,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Yusof mencadangkan Kerajaan Negeri supaya meminta peniaga menyediakan straw kertas atau besi sebagai langkah alternatif lain dalam tempoh tertentu sebelum memansuhkan secara terus.

Bagaimanapun, Mohd Yusof turut bimbang sekiranya terdapat peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga minuman terhadap alternatif lain memandangkan ia boleh menyebabkan harga minuman meningkat.

“Ini kerana straw mudah terurai diperbuat daripada bahan yang agak mahal dan peniaga mungkin akan mengalihkan kos berkenaan kepada pengguna sekali gus membebankan mereka.

“Di Malaysia menaikkan harga menjadi ‘budaya’ apabila wujud sedikit kenaikan dalam kos operasi berbanding menurunkan harga ketika kos operasi menurun,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyambut baik usaha berkenaan yang mengikut jejak langkah Wilayah Persekutuan yang mahu penggunaan straw plastik di haramkan.

Katanya, trend larangan berkenaan dijangka akan diikuti oleh negeri-negeri lain selepas ini.

Bermula awal tahun depan, semua perniagaan makanan dan minuman di Selangor tidak lagi dibenar menggunakan penyedut minuman plastik.

Selangor haramkan guna straw plastik menjelang Januari 2019

Ini berikutan langkah Kerajaan Selangor yang akan mengharamkan penggunaan penyedut minuman jenis itu di semua premis kedai dan restoran menjelang Januari tahun hadapan.

Exco Alam Sekitar, Teknokogi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Sains Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, peraturan itu akan dilaksanakan bagi memelihara pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada penggunaan barangan plastik.

“Pengusaha restoran dan kedai tidak dibenarkan lagi menyediakan penyedut minuman plastik dan pelanggan hanya boleh menggunakannya dengan membuat permintaan di kaunter,” katanya ketika Majlis Anugerah Kempen #Bebasplastik 2018 baru-baru ini.

Selangor adalah negeri kedua yang bakal mengharamkan penggunaan penyedut minuman plastik, apabila pada September lalu, Kementerian Wilayah memaklumkan akan mengharamkan penggunaan penyedut minuman plastik di semua kedai dan restoran makanan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mulai Januari tahun depan.