Categories
PENDAPAT RENCANA

Stres pembunuh dalam senyap

Oleh Balkish Awang

Rencana ini sempena Hari Kesihatan Sedunia yang disambut pada 7 April setiap tahun.

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Menyebut perihal stres, tidak keterlaluan jika dikatakan ia sering kali menjadi punca utama kepada masalah kemerosotan hidup.

Stres boleh mempengaruhi tahap kesihatan individu dan membawa kepada pelbagai permasalahan dan penyakit yang lebih kompleks melibatkan emosi dan fizikal yang bukan sahaja memberi kesan ke atas individu bahkan orang sekeliling.

Ini termasuklah risiko penyakit jantung, murung, cenderung mencederakan diri sendiri bahkan boleh membarah sehingga membunuh diri.

Menurut Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Anita Abu Bakar, stres atau tekanan adalah normal dalam kehidupan dan adakalanya ia dapat memotivasikan seseorang baik di tempat kerja mahupun dalam menjalani kehidupan seharian.

“Namun begitu, jika seseorang tidak menangani tekanan dengan sewajarnya dalam jangka masa yang panjang, ia boleh mengganggu pekerjaan, kehidupan, keluarga dan kesihatan.

“Rasa tertekan biasanya disebabkan oleh perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan seperti menghadapi perubahan besar, risau pada sesuatu, tidak mempunyai kawalan dalam situasi kehidupan, mempunyai tanggungjawab yang berat, tidak mempunyai pekerjaan, ketidaktentuan dalam kehidupan, tekanan kerja, pembelajaran serta trauma,” katanya kepada Bernama.

B40 paling stres

Jumlah individu yang mengalami stres semakin hari semakin meningkat, seiring dengan cabaran dan situasi dunia yang kian mencabar hari ini.

Penularan pandemik Covid-19 telah mengubah 360 darjah corak kehidupan majoriti masyarakat apabila ramai yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan sekali gus menjadi punca kepada peningkatan penyakit jiwa atau mental.

Mengulas lanjut Anita berkata, hilang kerja merupakan satu punca tekanan kerana mereka yang terlibat lebih cenderung untuk mempunyai isu kesihatan mental disebabkan keadaan hidup yang tidak menentu membuatkan mereka bimbang dan takut tidak mempunyai wang untuk menyara keluarga dan memenuhi keperluan asas seperti makanan, rumah sewa dan sebagainya.

“Pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi telah mempengaruhi kesihatan mental ramai individu dan ia juga satu cabaran untuk mereka yang memang bertarung dengan penyakit mental. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS 2019), kadar kemurungan golongan dewasa di Malaysia adalah 2.3 peratus iaitu seramai setengah juta orang.

“Prevalen tertinggi adalah di Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 5.4 peratus diikuti Negeri Sembilan (5%), Perlis (4.3%), Sabah (4%) dan Melaka (3.8%),” katanya.

Anita turut mendedahkan kelompok yang mencatat kemurungan paling tinggi adalah golongan B40 (2.7%), diikuti M40 (1.7%) dan seterusnya kumpulan T20 (0.5%).

“Daripada statistik ini, kita boleh membuat kesimpulan bahawa masalah kewangan boleh mempengaruhi emosi seseorang, memberi tekanan yang besar, mengakibatkan isu kesihatan mental terutamanya kepada golongan B40 yang sememangnya mempunyai tekanan sedia ada.

“Sebelum Covid-19, kelompok B40 telah menghadapi kesusahan dalam mencari kerja atau mendapatkan kerja dengan gaji yang bagus, sekarang dengan wabak ini, peluang perkerjaan semakin kurang dan cabaran mereka bertambah besar,” jelasnya.

Aduan semakin meningkat

Berdasarkan kajian luar negara, Anita berkata lebih kurang empat dari 10 orang dewasa di Amerika Syarikat telah melaporkan simptom anxiety atau depressive disorder.

KFF Health Tracking Poll pada Julai tahun lepas mendapati ramai orang dewasa melaporkan kesan negatif tahap kesihatan mereka seperti sukar tidur (36%) atau makan (32%), peningkatan penggunaan alkohol atau penggunaan dadah (12%) dan keadaan kronik yang semakin teruk (12%) disebabkan oleh kebimbangan dan tekanan terhadap Covid-19.

Malaysia turut mencatatkan peningkatan kes bunuh diri atau kes hampir bunuh diri kerana keadaan yang tidak menentu, ketidakpastian hidup dari segi kerja, sumber pendapatan, ekonomi yang terjejas selain banyak sektor terpaksa ditutup menyebabkan ramai orang menderita.

“Selain menghadapi tekanan besar oleh masalah psikologi, emosi, kesihatan dan pendapatan, ramai yang mengalami kesepian, ketidakberdayaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tidak terkecuali ramai yang menghadapi perubahan besar dalam kehidupan mereka termasuk episod keganasan rumah tangga serta masalah penganiayaan keluarga.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menerima laporan 88 kes bunuh diri di mana 78 orang diselamatkan, tujuh cedera dan tiga kematian antara bulan Mac dan Julai 2020. Ketika tempoh awal PKP dilaksanakan, Befrienders Malaysia telah menerima lebih kurang 4,142 panggilan antara 18 Mac dan 16 Mei dengan lebih daripada satu pertiga panggilan adalah berkaitan dengan isu bunuh diri,” jelas Anita sambil menambah data itu secara langsung menunjukkan peningkatan risiko individu untuk mengakhiri kehidupan mereka.

Menyifatkan situasi yang berlaku ini bukanlah perkara baharu, beliau berkata ditambah dengan krisis Covid-19, kelemahan aspek persediaan sistem kesihatan serta kesihatan mental negara perlu diperkasa bagi menampung mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan.

Di samping kerajaan giat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, banyak badan bukan kerajaan (NGO) turut terlibat membantu menyediakan perkhidmatan dan bantuan secara dalam talian ketika tempoh PKP fasa pertama.

“Sejak Mac 2020, kerajaan telah menubuhkan Talian Sokongan Psikososial bagi membantu memberi sokongan emosi dan kaunseling kepada mereka yang menghadapi stres, bimbang, marah, murung dan sebagainya disebabkan kesan pandemik Covid-19,” katanya.

Kurang pakar, psikiatri

Menyentuh mengenai jumlah pakar mental di negara ini, beliau berkata berdasarkan Malaysian Medics International (MMI), Malaysia memerlukan seramai 3,000 psikiatri, namun hanya 410 psikiatri berdaftar sehingga Julai 2018.

“Sebahagian psikiatri bekerja di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) manakala sebahagian lagi di Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pertahanan serta universiti swasta dan klinik. Menurut MMI juga, Malaysia hanya mempunyai 1.27 psikiatri bagi setiap 100,000 penduduk sedangkan nisbah standard yang disyorkan adalah seorang psikiatri bagi setiap 10,000 orang.

“Walaupun kita telah mengambil pelbagai tindakan untuk menangani isu ini namun isu kekurangan pakar adalah satu cabaran besar untuk memastikan semua golongan dapat dibantu dari segi kesihatan mental mahupun emosi,” katanya.

Sementara itu berkongsi pandangan, mantan Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Prof Dr Nor Zuraida Zainal berkata sehingga tahun lepas terdapat 450 psikiatri di negara ini dan jumlah itu amat sedikit jika dibandingkan dengan kes-kes stres yang semakin mencatatkan peningkatan.

Katanya, tinjauan KKM pada 2015 mendapati sebanyak 29 peratus orang dewasa di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental dan ini sangat membimbangkan kerana satu daripada tiga orang dewasa mengalami tekanan hidup.

Tambah beliau, stres dari sudut psikiatri memberi definisi ketidakseimbangan dalaman dan luaran seseorang yang mengganggu fisiologi dan psikologi.

Pelbagai faktor boleh menyumbang kepada berlakunya stres antaranya aspek biologi seperti gangguan hormon, bahan kimia dalam otak serta penyakit-penyakit fizikal dan genetik.

“Dari segi psikososial, stres adalah berpunca daripada masalah keluarga, rumah tangga, perhubungan, kewangan, pekerjaan, pelajaran, PKP, pembelajaran dalam talian dan sebagainya.

“Selain itu faktor penyumbang stres yang membuatkan seseorang tertekan hingga sanggup melakukan sesuatu di luar dugaan seperti bunuh diri adalah disebabkan personaliti seseorang (kekuatan dalaman), sejarah masa lampau dibesarkan dalam suasana keluarga yang ‘toksik’ atau bermasalah, kurang kasih sayang, kurang sesuatu maklumat dan pelbagai lagi,” katanya.

Stres punca sakit jantung

Walaupun stres bukanlah pembunuh utama manusia, namun perlu diingat ia adalah antara penyumbang utama kepada masalah jantung yang sehingga kini kekal di tangga teratas sebagai penyebab kematian di Malaysia.

“Stres bukan sejenis penyakit. Ia adalah masalah kesihatan mental. Apabila keadaan seseorang bertambah teruk ia boleh melarat menjadi penyakit mental seperti gangguan kemurungan, rasa cemas, gelisah, bipolar, skizofrenia dan lain-lain.

“Kita perlu mencegah stres dengan mengurus kehidupan dengan baik dan seimbang dari segi fizikal, psikologi, sosial, spiritual dan agama. Teliti semula apa tujuan hidup dan jangkaan ke atas diri kita dan persekitaran.

“Uruskan masa sebaiknya termasuk masa untuk diri sendiri seperti bersenam, bercuti, bersosial, menguruskan kerja atau pelajaran,” tambahnya sambil menasihatkan pemakanan seimbang, menjaga berat badan dan tidak merokok antara yang perlu diamalkan sebagai pengurusan stres yang baik.

Antara tanda-tanda seseorang sedang mengalami stres adalah rasa tertekan, tidur yang terganggu, mudah marah, cemas, letih, kurang fokus, rasa mudah kecewa, mendapat serangan gastrik, kerap selsema dan batuk.

“Sekiranya tanda-tanda itu ada pada diri atau rakan-rakan segeralah dapatkan bantuan sokongan profesional dengan berjumpa kaunselor, pakar psikologi atau psikiatri,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PdPR: Fokus subjek teras, kurangkan tekanan murid dan guru

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seharusnya diberi keutamaan kepada subjek teras bagi mengurangkan stres kepada murid dan guru.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad berkata PdPR yang lebih fleksibel semasa pandemik ini seharusnya mengurangkan bilangan subjek tertentu yang tidak penting bagi mengurangkan stres kepada kedua-dua pihak ini.

“Beberapa negara seperti England telah menggugurkan bilangan mata pelajaran semasa pandemik ini dengan memberi keutamaan kepada subjek yang dianggap teras dan tidak boleh ditinggalkan sahaja.

Bukan bermaksud subjek lain itu tidak penting tapi buat masa sekarang kita harus ada keutamaan. Misalnya subjek Bahasa Melayu dan English adalah subjek teras dan memerlukan masa yang panjang untuk dikuasai, jadi ia tidak boleh digugurkan,” katanya ketika ditemu bual secara dalam talian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “PdPR 2.0 – Solusi di Luar Kotak” malam tadi.

Pensyarah Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu Dr Abdul Mutalib Embong pula berkata PdPR secara “off-site” di sekolah rendah luar bandar bagi murid miskin perlu ditambah baik dengan sukatan pembelajaran mengikut tahap keupayaan semasa murid bagi memastikan mereka tidak tercicir.

Katanya, PDPR secara “off-site” kebanyakan guru akan menyediakan modul sesuatu pelajaran kepada murid namun tiada bimbingan daripada guru berkenaan.

“Ini pula ditambah dengan ibu bapa yang datang daripada golongan kurang bernasib baik dari segi pengetahuan untuk menolong anak-anak mereka. Jadi modul pembelajaran itu boleh direndahkan.

Contohnya walaupun objektif untuk Tahun 3 adalah mengikuti pembelajaran Tahun 3 tidak tercapai tapi saya rasa lebih bermanfaat mereka dibekalkan modul pembelajaran Tahun 2, dan sekiranya ada peningkatan, murid Tahun 3 ini boleh dibekalkan modul yang lebih mencabar atau setarafnya,” katanya.

Abdul Mutalib berkata langkah itu penting kerana ramai murid di Tahun 2 dan 3 di sekolah luar bandar masih tidak mampu untuk menguasai asas pembelajaran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira kerana banyak masa mereka tidak berada di sekolah sejak pandemik COVID-19 menular pada tahun lepas.

Pada masa sama Abdul Mutalib turut mencadangkan supaya dilakukan penjadualan semula guru yang mengajar bukan subjek teras seperti guru muzik dan pendidkan jasmani untuk membantu guru lain yang mempunyai ramai murid.

“Kita tidak boleh nafikan satu-satu kelas, guru dibebani dengan 30 hingga 40 murid, jadi apabila PdPR berjalan, guru lagi terbeban apabila murid bertanya soalan dengan masa yang terhad.

Jadi mungkin sebahagian murid daripada kelas itu dipecahkan kepada kumpulan lain dan dipantau oleh guru lain bukan teras,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Stres punca lebih ramai rakyat Malaysia alami depresi

KUALA LUMPUR 5 OGOS: Depresi atau kemurungan akan menjadi penyakit kesihatan mental utama dialami rakyat Malaysia menjelang 2020 susulan semakin ramai orang dijangka mengalami peningkatan stres akibat tekanan kerja dan keluarga, kata Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun lepas, 29 peratus rakyat Malaysia mengalami depresi dan gangguan kecelaruan berbanding 12 peratus pada 2011.

“Kebanyakan orang mendapati sukar untuk menguruskan masalah yang mereka hadapi di tempat kerja dan tidak mampu mengendalikan stres, dan keadaan lebih sukar apabila individu itu berdepan masalah daripada anggota keluarga dan tidak mendapat sokongan emosi.

“Terdapat peluang lebih tinggi bahawa seseorang itu akan hanya berdiam diri dan memendam emosi apabila mereka tidak mencari cara untuk meluahkan kekecewaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, penyelidikan oleh pakar berhubung kadar depresi dalam kalangan rakyat Malaysia menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak 50 peratus pesakit depresi dari 2011 sehingga 2015.

Oleh itu, rakyat perlu menangani penyakit ini dan membangunkan strategi pencegahan dan program efektif dalam mengendalikan kesejahteraan mental, dan beberapa langkah untuk mencegah depresi dan kecelaruan adalah dengan bersenam secara konsisten, tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari dan mengelakkan platform media sosial seperti WhatsApp sekurang-kurangnya 45 minit sebelum masuk tidur, katanya.

Bagaimanapun, menurut Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, depresi dan kecelaruan boleh dirawat jika dikesan awal.

SUMBER: BERNAMA